Ahad, 17 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


muflis pada usia muda

Posted:

muflis pada usia muda

muflis pada usia muda

MENELITI satu persatu rak pakaian jenama baharu yang dipamerkan dalam gedung dan butik tempatan, tergerak dalam hati untuk memiliki koleksi yang sama.

Melihat rakan-rakan yang lebih dulu memakainya, membuat hati meronta-ronta mahu ikut serta.

Akhirnya, digenggam juga pakaian tersebut tanpa memikirkan wang yang semakin 'menipis' dalam simpanan.

"Kadangkala hajat membeli itu disimpan lama terutamanya untuk memiliki barangan gajet terkini sehingga sanggup berlapar," ujar Syafil Syazwan Jeffri, 24, sambil membelek tablet yang mendapat perhatian golongan muda masa kini.

Gaya hidup di luar kemampuan sering menjadi punca utama masalah kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan remaja. Hal tersebut membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan.

Perbelanjaan terbesar yang perlu dilunaskan Syafil setiap bulan ialah sewa rumah. Bayaran tersebut hampir separuh daripada gaji pokoknya. Walaupun berdepan dengan kadar sewa yang tinggi, dia terpaksa akur dengan pilihan itu memandangkan jarak rumah dan tempat kerjanya dekat berbanding rumah sewa lain.

"Selain itu, tanggungan bulanan juga merangkumi bil internet, telefon, kelab gimnasium dan perbelanjaan makan minum," jelasnya.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mengenai perilaku dan tabiat kewangan golongan pekerja muda, 37 peratus daripada kelompok tersebut mengakui mereka berbelanja melebihi gaji bulanan.

Tahap pengetahuan yang rendah mengenai pengurusan kewangan menjadi salah satu punca kepada kemelut bebanan hutang golongan tersebut. Kajian CRRC membuktikan 47 peratus daripada mereka dibebani hutang serius.


BANYAK faktor perlu diambil kira oleh golongan muda yang baru bekerja sebelum membeli kereta.– Gambar hiasan


Kos sara hidup yang meningkat saban tahun turut menyumbang kepada masalah pengurusan wang golongan muda. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 2009, pendapatan kasar bulanan isi rumah di kawasan bandar menjulang naik kepada RM4,705 berbanding RM3,357 pada tahun 1999.

Hal ini memberi gambaran bebanan dan tanggungan perlu dihadapi oleh golongan muda terutamanya graduan yang baru memasuki alam pekerjaan.

Urus kewangan

Adakah cara hidup generasi ini perlu disalahkan sepenuhnya atau perlu mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat?

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd Jani, berkata, golongan muda perlu mengukur baju di badan sendiri ketika berbelanja dan menguruskan kewangan.

"Tidak dinafikan kos sara hidup yang tinggi mempengaruhi perbelanjaan bulanan seseorang. Ia ditambah dengan gaya hidup yang tidak selari dengan pendapatan.

"Namun begitu, ia berbalik kepada individu itu sendiri. Mereka seharusnya mengetahui cara pengurusan wang dengan bijak. Langkah yang salah dalam perkara ini menjerumuskan ramai golongan muda dalam perangkap muflis," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah Mohd. Fauzi, salah satu punca utama berlakunya muflis dalam kalangan golongan muda adalah disebabkan penggunaan kad kredit tanpa had. Kebanyakan kes yang berlaku disebabkan kegagalan membayar balik hutang kad kredit yang tinggi dan di luar kemampuan mereka.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), jumlah pemuda berusia 34 tahun ke bawah yang muflis meningkat setiap tahun. Sebanyak 47 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,568 kes baharu direkodkan sehingga suku tahun lalu.

"Namun demikian, kita perlu mengkaji punca mereka menggunakan kad kredit. Ini kerana ada yang membuat kad kredit untuk melangsaikan bayaran perniagaan mereka sehingga menjadi muflis.

"Perkara ini perlu diambil kira dan pada masa yang sama, beberapa inisiatif harus dilakukan bagi membantu remaja yang muflis disebabkan masalah pengurusan wang dalam perniagaan," jelas Mohd. Fauzi.

Perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang. Situasi ini menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat saban tahun.

Seramai 9,471 orang telah diisytiharkan muflis sehingga suku ketiga tahun 2012 mengikut statistik MdI.

Sejumlah 6,203 daripadanya diisytiharkan sebagai muflis akibat kegagalan menjelaskan hutang kad kredit. Ia menjadi kebimbangan kerana turut membelenggu sebilangan belia yang mempunyai tanggungan kad kredit dalam usia yang masih muda.


SYAFIL (kiri) mengakui dirinya terjerat dengan kos perbelanjaan bulanan yang tinggi.


"Hutang yang semakin meningkat saban tahun memaksa saya mencari solusi masalah kewangan ini," ujar pekerja sektor awam, Saida Akmar, 25, yang mula menggunakan kad kredit sejak tahun 2011.

"Walaupun sudah mengehadkan perbelanjaan sebanyak RM5,000 untuk sebulan, penggunaan kad kredit membuatkan Saida terleka ketika membeli-belah.

"Tidak dinafikan, semua yang berlaku kerana kesalahan sendiri yang tidak dapat menahan diri ketika berbelanja," keluh Saida.

Bahang kos sara hidup tinggi turut dialami oleh Nurliza Barhan, 25, yang berhijrah ke ibu kota untuk mencari peluang pekerjaan yang setaraf dengan bidang pengajiannya.

Bagi gadis kelahiran Miri, Sarawak itu, penyelarasan gaji bagi pemegang ijazah boleh mengurangkan masalah kewangan yang berlaku kepada golongan muda seperti dirinya.

"Apa yang saya lihat sekarang, gaji bagi lepasan ijazah tidak selaras di sektor awam atau swasta. Penyelarasan perlu dipertimbangkan memandangkan peningkatan kadar perbelanjaan saban tahun," ujar Nurliza ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Penyelarasan

Mengulas isu tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menyelaraskan tangga gaji penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini berada di bawah gred 41.

"Perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dijalankan kerana keperluan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," ujarnya.

Dilema yang membelenggu diri akibat bebanan hutang perlu diatasi secepat mungkin. Antara langkah yang yang boleh dimulakan adalah dengan mengikuti

proram-program motivasi dan kewangan seperti yang diadakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit.

"Sehingga Disember 2012, lebih daripada 207,997 orang telah mendapatkan khidmat kaunseling di AKPK. Pada masa sama, 85,994 orang daripada jumlah tersebut telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit," ujar Pengurus Bahagian Pendidikan Kewangan AKPK, Nor Akmar Yaakub, ketika ditemui di pejabat urusan AKPK.

Program yang dijalankan bertujuan untuk memupuk tabiat meminjam secara bijak sekali gus menggalakkan budaya pembayaran semula peminjam secara konsisten. Mengikut statistik AKPK, seramai 2,039 belia telah mengikuti program tersebut.

Nilai berbeza yoga Barat

Posted:

Nilai berbeza yoga Barat

Nilai berbeza yoga Barat


PARA pelancong Barat dilihat menyertai rutin yoga tradisional yang dilangsungkan sempena Festival Kumbh Mela di Allahabad, India baru-baru ini.


SHIVA REA yang dalam lingkungan usia 40-an membongkokkan badan mengikut ritma. Dia sebenarnya sedang melakukan senaman 'yoga berkuasa tinggi' yang sangat mengejutkan golongan pengamal yoga tradisional.

Sejurus pencipta tarian Yoga Trance yang penuh bertenaga itu baru sahaja selesai membuat demonstrasi senaman berkenaan di sebuah festival yoga di utara India. kira-kira 20 orang telah meninggalkan bilik itu.

"Ini bukan yoga, ia hanya pertunjukan. Namun, demi menjayakannya di California, mereka perlu melakukannya sebegini," ulas seorang guru yoga Austria, Florian Palzinsky, 42.

Sejak beribu-ribu tahun, yoga adalah mengenai ekspresi kawalan tubuh, pernafasan dan minda secara berperingkat.

Begitupun, kritikan terhadap aksi Rea di Festival Yoga Antarabangsa selama seminggu di Rishikesh secara tidak langsung menambahkan sebab perpecahan antara pengamal yoga sejati dan pelatih seni dengan inovasi baharu itu.

Rishikesh yang terletak di kaki bukit Himalaya menjadi lokasi terkenal di dunia apabila pernah menerima kunjungan kumpulan muzik The Beatles pada tahun 1968. Ahli kumpulan itu mempelajari cara meditasi daripada Maharishi Mahesh Yogi, sekali gus membantu mempopularkan idea kerohanian India.

Kini, beratus-ratus pelawat, kebanyakan daripada mereka adalah warga asing, mengunjungi tempat itu setiap tahun untuk menyertai festival tersebut. Mereka datang dari pelbagai negara di dunia membawa tikar yoga untuk mempelajari tentang pengawalan pernafasan, postur, membaca mantera dan mendapatkan maklumat nutrisi daripada pakar yoga.

Kelas-kelas bermula pada pukul 4 pagi dan berlangsung sehingga matahari terbenam.

"Yoga tidak mengalir dalam urat kita seperti ia dalam kalangan orang India. Jadi, saya datang sini untuk bermula daripada asas," kata guru yoga berbangsa Perancis, Juliette Allard, 38, yang menghadiri festival tersebut sejak tiga tahun yang lalu.

Guru sejati

Pakar nutrisi Jerman, Daniela Wolff, 50, berkata bahawa dia berasa amat gembira menyertai festival itu apabila dapat bersama guru-guru aliran tradisional India seperti Swami Yogananda berusia 103 tahun yang menyampaikan kursus pada setiap pagi tepat pada pukul enam.

PENGAMAL kesihatan Barat telah banyak mencedok pergerakan yoga dan dikomersialkan mengikut gaya hidup mereka. - Gambar hiasan


"Mereka sangat sejati, tidak menggunakan kata-kata mewah, tidak menggunakan muzik. Paling penting, mereka tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa," kata Wolff.

Bagi guru yoga dari Jepun, Hikaru Hashimoto, warga Amerika sangat berbakat dalam mengembangkan yoga, membawa perubahan dan pelbagai gaya baharu yang mampu dibawa ke seluruh dunia.

"Tetapi India merupakan negara asal yoga. Asasnya bermula di sini," ujarnya.

Dalam pada itu, pengamal bukan konvensional yang turut menarik perhatian ramai pada festival itu ialah wanita berkulit putih dari Amerika, Gurmukh Kaur Khalsa. Nama asalnya ialah May Mary Gibson tetapi kini dia seorang penganut Sikh yang taat.

Khalsa memberi tunjuk ajar khas kepada bintang Hollywood seperti Madonna, Cindy Crawford dan Courtney Love mengenai Yoga Kundalini. Ia merupakan satu bentuk meditasi regangan yang memimpin peserta 'mencari cahaya dalam diri sendiri'.

"Semua orang menginginkan untuk berasa lebih baik dan menjadi lebih dekat kepada diri mereka sendiri. Itu adalah intipati yoga," katanya.

Tetapi Khalsa mengejutkan penonton yang mengambil bahagian dalam festival itu apabila kumpulannya menggenggam jari-jemari tangan dan melaung perkataan 'Hallelujah' selama 10 minit, sambil meliukkan badan masing-masing.

Ada sebilangan daripada mereka kelihatan menitiskan air mata manakala peserta lain kelihatan gembira selepas sesi itu. Begitupun, reaksi emosi mereka tidak menarik perhatian pengkritik.

"Saya mengamal yoga selama 20 tahun. Saya berasa pengetahuan saya masih cetek. Hari ini, yoga telah menjadi komersial, sedangkan ia sepatutnya menjadi satu pencarian falsafah dalam diri seseorang," kata guru yoga dari India, Kamal Deep Ohlan, 35.

Percutian pilihan

Sementara itu, Dharamshala, rumah spiritual di Tibet, adalah hentian wajib bagi kebanyakan pelancong yang mencari pilihan yang lebih daripada destinasi pantai dan istana lama.

Pesertanya boleh diatur untuk mengikuti ajaran khusus yang diadakan di kuil utama di bandar atas bukit. Ia menarik orang ramai yang lazimnya terdiri daripada sami-sami dan pelawat khusus.


TIGA warga Utah, Amerika Syarikat ini sedang berseronok dengan gaya yoga di kaki lima kediaman mereka.


Lokasi lain bagi penganut Buddha adalah Bodh Gaya yang bertempat di utara India, Bihar, tempat Buddha dipercayai mencapai pencerahan.

Swami Chidanand Saraswatiji, yang menjalankan salah satu pusat meditasi terbesar di India, Parmath Niketan Ashram di Rishikesh, tahu punca kedatangan begitu ramai orang Barat ke Asia untuk mencari ketenangan.

"Semua orang datang kerana mereka memerlukan keamanan dan kebahagiaan.

"Sejurus berada di sini, mereka mudah mendekatkan diri kerana Rishikesh adalah tempat lahirnya yoga. Di sini anda belajar kaedah untuk menjadi tenang," ujarnya.

Kemahuan dan peluang untuk menilai emosi diri sendiri telah dijadikan sebagai prospek niaga yang baik oleh Eric Grange, pengasas Oasis Voyages. Dia melabel dirinya sebagai satu-satunya agensi Perancis yang khusus dalam 'pengembaraan rohani'.

"Orang ramai tertekan kerana kehilangan tempat rujukan mereka di dunia. Pelancong kini tidak lagi mahu melayan kamera digital mereka, sebaliknya mahu memberi keutamaan melayan jiwa sendiri.

"Oleh sebab itu mereka ke sini. Asia adalah benua kecemerlangan rohani yang terhebat buat mereka," ujarnya.

Rekod pengalaman di bumi asing

Posted:

Rekod pengalaman di bumi asing

Rekod pengalaman di bumi asing

Oleh NIZHA PERIASWAMY

SELAIN Melodi Hati, Iwan sudah menghasilkan beberapa novel dan juga penulisan kompilasi bersama penulis lain.


OLEH kerana amat menghargai pengalaman luas ketika menuntut ilmu di Amerika Syarikat (AS), penulis Ridzuan Mohd. Ghazali atau nama penanya, Iwan Reaz, mahu berkongsi kisah tersebut melalui karya tulisannya.

Anak kelahiran Kajang, Selangor, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Temple University, Philadelphia, AS itu mengakui bahawa pengalaman mengembara ke bumi asing telah mendekatkannya pada budaya masyarakat di tempat berkenaan.

"Saya sering bersiar-siar di bandar New York. Berdasarkan pemerhatian, saya menceritakan semula kisah suka duka masyarakat di situ melalui novel saya yang bakal diterbitkan berjudul Goodbye New York.

"Saya juga ada bercerita mengenai Times Square, Central Park dan banyak lagi lokasi yang menarik di New York," katanya yang kini bertugas sebagai eksekutif latihan di sebuah syarikat agensi berita.

Berpeluang menjelajah ke banyak destinasi utama di AS antaranya seperti New York, Washington, New Orleans, Las Vegas, Los Angeles dan San Francisco, Iwan mengakui masih belum puas mengembara.

"Saya teruja menemui sesuatu yang tidak pernah saya lihat atau alami sebelum ini. Contohnya, apabila saya berada di lembah Grand Canyon, saya merasakan seperti berada di planet lain. Perasaannya sukar digambarkan. Ia membuatkan saya berasa tenang," katanya yang turut pernah melawat Turki dan Korea Selatan.

Datang ilham

Iwan yang juga ahli Kumpulan Karyawan Luar Negara mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan selepas tamat peperiksaan akhir tingkatan dua. Sungguhpun begitu, Iwan hanya mula serius untuk menerbitkan buku pada awal tahun 2009 semasa berada di semester akhir sebuah kolej swasta.

"Saya merasakan satu kerugian sekiranya saya membiarkan sahaja ilham itu berlalu pergi. Jadi, saya kumpul kesemua idea itu ke dalam komputer riba dan menyusun jalan ceritanya. Akhirnya, terhasil novel Melodi Hati pada tahun 2009," kata Iwan.

Menambah lagi elemen pengalaman dan pemerhatian yang digunakan dalam menghasilkan sesebuah karya, Iwan mengambil contoh novel Hazim, Aizat dan Muzik yang menemui pembaca pada tahun 2011. Ia berlatarkan Philadelphia, bandar tempat tinggalnya sejak tahun 2009 sehingga 2012.

"Walaupun tidak pernah menjadi mangsa jenayah yang serius, saya garap suasana sebenar bandar ini ke dalam novel itu," ujarnya.

Penulis yang mengagumi karya Hilal Asyraf dan Ain Maisarah itu berkata, dalam menghasilkan sesebuah karya, dia akan menempuh tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas menulis.

IWAN banyak menghimpunkan jalan cerita berdasarkan kisahnya ketika menuntut di luar negara.


Sebelum mula menulis, Iwan akan merangka kertas cadangan supaya pihak penerbit tertarik untuk meluluskannya. Semasa menulis pula, Iwan menghadapi cabaran kental apabila perlu mengekalkan momentum penulisan supaya tidak terhenti sekerat jalan.

"Pengurusan masa yang baik amat membantu. Saya juga perlu mencari bahan rujukan dan sumber yang sahih agar jalan cerita menjadi hidup dan realistik," katanya yang baru sahaja menamatkan pengajiannya.

Berkongsi lagi pengalaman mencabar semasa penghasilan sesuatu novel, Iwan memberitahu, dirinya pernah keluar masuk balai polis di Philadelphia semata-mata mahu menemu bual pengalaman pegawai polis menghadapi situasi cemas dalam kes-kes jenayah.

Novel komik

Kini, Iwan dalam usaha merangka menghasilkan karya gabungan novel dan komik. Projek tersebut melibatkan sepupunya sendiri yang melakar komik mengikut jalan cerita yang disusun Iwan.

Iwan menjelaskan, matlamat penghasilan karya genre segar itu adalah bagi menarik minat pembaca dari golongan remaja lelaki. Sebagai pembaharuan dalam profil penulisannya, Iwan juga berminat untuk menghasilkan novel bergenre misteri dan suspens. Novel yang bakal diterbitkan itu sudahpun diberi judul Subway.

Selain gemar bersukan, Iwan juga meminati dunia perfileman dan pernah mengarah dan menghasilkan beberapa drama pendek sepanjang berada di luar negara. Antara karyanya yang boleh ditonton di laman YouTube adalah Auta Face, Nur Kasih @ Philly dan Identity HUM0851.

Iwan juga boleh dikatakan penulis pertama yang sudah mempunyai lagu tema hasil nukilan sendiri. Lagu tema, menurutnya, dihasilkan untuk melengkapi penerbitan novelnya.

"Syukur, lagu Itulah Impianku yang menjadi lagu tema novel Melodi Hati mendapat sambutan yang memberangsangkan," kata Iwan mengenai lagu yang pernah memasuki carta nasyid stesen radio IKIM.FM.

Iwan kini sedang dalam proses merakam lagu keduanya bertajuk Sedingin Salju. Kepada peminat Iwan, penulis ini boleh dihubungi melalui laman sosial Facebook di Iwan Reaz Ridzuan Ghazali; Twitter di Iwan_Reaz atau laman blognya, reazbest.blogspot.com.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved