Isnin, 31 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Ajak masyarakat ubah persepsi

Posted:

Ajak masyarakat ubah persepsi

Ajak masyarakat ubah persepsi

WAKTU makan tengah hari Cindy Wong Sian Siew seperti kebanyakan individu bekerjaya, terpaksa makan di luar tetapi dia akan memilih restoran organik atau makan menu ekonomi yang terdiri daripada nasi dan lauk-pauk ringkas.

Dalam satu pertemuan pada akhir Disember lalu, Cindy memilih restoran Chef Low Organic Kitchen yang terletak di 10 Boulevard. Kadang-kadang Cindy akan membawa bekal dalam bekas mangkuk tingkat diperbuat daripada besi.

Wanita berusia 36 tahun itu sudah tiga tahun tidak bertandang ke restoran makanan segera seperti McDonald's, jauh sekali mahu menjamah santapan dalam tin atau sejuk beku.

Dia yang menetap di Kayu Ara, Damansara, Selangor sudah lapan tahun mengamalkan gaya hidup organik walaupun tidak sepenuhnya.

Suatu hari tujuh tahun lalu, ketika dia terjaga daripada tidur, tiba-tiba datang perasaan sedih, bosan dan pedih bercampur baur dalam diri.

Bayangkan, beratnya ketika itu mencecah 77 kilogram dengan ketinggian 163 sentimeter akibat makan terlalu banyak bagi melepaskan tekanan bekerja sebagai akauntan audit, cerita Cindy.

"Pada waktu itu, saya makan makanan segera paling kurang dua kali seminggu," katanya.

Dari situ, dia mula mengamalkan cara hidup sihat, melakukan pembacaan dan kajian seterusnya menemui kepentingan menjalani gaya hidup organik.

Produk penjagaan diri

Semua bahan pencuci ditukar pada produk berasaskan organik atau bahan semula jadi, manakala untuk kecantikan kulit, Cindy menggunakan minyak kelapa dara.

Gincu bibir pula, dia menggunakan jenama Paul Penders, satu-satunya jenama organik yang boleh didapati di Malaysia. Bagi makanan tambahan pula, Cindy percaya pada rangkaian produk Fitline.

Sekurang-kurangnya, wanita itu menggunakan produk penjagaan diri yang tidak mengandungi bahan sodium laureth sulfat, penyebab syampu atau pencuci muka berbuih.

Air di rumahnya dilengkapi dengan penapis dan tidak sekali-kali minum air hasil daripada proses osmosis songsang (RO). Oat yang diambil dalam keadaan tidak diproses dan beras perang untuk menggantikan beras biasa.

Umpama berpatah balik ke zaman silam, Cindy menggunakan termos untuk menyimpan air panas bagi menjimatkan elektrik dan memakai kain menggantikan pad sanitari ketika haid.

"Pad sanitari mempunyai banyak kandungan bahan kimia dan ia boleh diserap badan. Memang leceh menggunakan kain dan ramai tidak suka, malah saya pun mengambil masa untuk menerimanya," ujar Cindy yang kini mempunyai 66 kg.


RESTORAN Organik Kitchen kini mula mendapat perhatian masyarakat yang sedar tentang kepentingan organik.


Dia telah berhenti kerja sebagai akauntan dan menjalankan perniagaan sendiri menjual teh berasaskan organik. Pada masa yang sama dia sentiasa berkongsi cerita kepentingan gaya hidup dengan rakan-rakan.

Telahannya, persepsi masyarakat mengenai harga barang-barang organik yang mahal menyebabkan ia kurang digemari, namun perbelanjaan bulanannya masih sama sejak mula menukar gaya hidup.

Sebenarnya, kesedaran mengenai kehidupan organik masih lagi belum begitu baik, barangkali dalam tempoh sedekad, penduduk Malaysia secara keseluruhan sedar mengenai kepentingannya, ramal Cindy.

Sebagai contoh, sebuah restoran organik di Damansara, Selangor yang telah dibuka selama 15 tahun lalu, mula dikunjungi ramai orang.

Mungkin impak yang kurang jelas, harga yang mahal selain dianggap menyusahkan oleh kebanyakan penduduk bandar organik kurang digemari.

Perkara tersebut turut diterima oleh Koordinator Projek Ladang Organik Cetdem, Tan Siew Luang, 60-an. Katanya, rata-rata individu yang beralih mengambil makanan organik disebabkan kesihatan dan tidak mengadaptasi keseluruhan pada gaya hidup.

"Tetapi perlahan-lahan orang sudah mula menyedari bahan toksik dalam kandungan barang kegunaan harian seperti alat solek.

"Malaysia terlalu perlahan dari segi kesedaran," ujar Siew Luang ketika dihubungi.

Contohnya, Thailand yang lewat menggerakkan inisiatif ini berbanding Malaysia tetapi sudah mempunyai pergerakan organik, tetapi pengamal organik di Malaysia masih belum menonjol.

Ramai pengamal hanya menumpukan pada makanan tidak dari segi gaya hidup dengan masih menggunakan plastik dan penggunaan tenaga elektrik berlebihan.

"Sungguhpun kini sudah ada plastik biodegradasi tetapi ia masih lagi perlu dibuat dan memerlukan tenaga. Jadi, membawa beg kitar semula adalah yang terbaik," katanya.

Prinsip organik

Sambutan dalam kalangan lapisan masyarakat juga tidak menyeluruh apabila kurang penglibatan kaum Melayu dan India, malah lebih tertumpu di bandar.

Dari segi ladang pertanian pula katanya, tiada yang betul-betul menepati konsep organik dan mereka lebih bersifat menghasilkan serta membekal sahaja.

Petani tidak mengamalkan ladang bersepadu, malah kompos dan baja berasaskan organik perlu dibawa dari luar ladang, ujar Siew Luang.

"Saya berharap kerajaan akan mengadakan satu komuniti organik yang dapat bergantung sesama mereka baik dari segi pemilihan tanaman mahupun penggunaan kompos dan baja," ungkap wanita dari Petaling Jaya itu.


CINDY puas dengan gaya hidup organik kerana sekurang-kurangnya dia telah menyumbang sesuatu kepada dunia.


Kini, berat badannya sudah menurun sehingga 60 ki logram dan stabil walaupun kadangkala ada naik dan turun. Harapan Cindy, dia mahu lebih ramai yang akan mengamalkan organik secara keseluruhan dan tidak terhad dalam pemilihan makanan sahaja.

Dia sentiasa mengajak rakan-rakan sekurang-kurangnya dengan meminta mereka bawa sendiri botol minuman pada peringkat permulaan.

"Memang susah untuk mempengaruhi rakan-rakan, malah dalam keluarga hanya saya dan abang yang mengamalkan organik," kata Cindy sambil menyifatkan gaya hidup organik di Malaysia tidak menonjol.

Akui Cindy, gaya hidup organik agak menyusahkan, dia sendiri hanya mengamalkan 50 peratus keseluruhan gaya hidupnya mengikut prinsip organik iaitu Reduce, Reuse and Recycled (kurang, guna dan kitar semula).

Paling penting kata Cindy, amalan organik dapat membantu menyelamatkan dunia untuk generasi akan datang yang boleh dilakukan oleh kebanyakan orang.

Kampungnya baru sahaja dilanda banjir pada 24 Disember lalu termasuk Kelantan dan Terengganu.

"Sampah-sarap yang tidak dikitar semula dan dibuang merata-rata lama-kelamaan menyebabkan banjir kilat," luah wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang itu.

Bencana alam banjir merupakan antara yang kerap dilaporkan oleh media sepanjang tahun 2012. Bukan setakat di Pantai Timur tetapi negeri-negeri di sebelah barat Semenanjung turut dilanda banjir seperti di Melaka, Johor dan Selangor.

Kekerapan gempa bumi dan ribut tropika juga semakin banyak berlaku selain intensitinya semakin kuat di seluruh dunia.

Berdasarkan penilaian pakar geologi, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, 60, kesemua kejadian tersebut menjadi penunjuk manusia tidak menguruskan sumber alam dengan baik.

Lebih parah lagi, ia berlaku disebabkan sifat gelojoh manusia dalam mencari keuntungan sehingga lupa tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

Biarpun sudah banyak yang berlaku tetapi manusia seakan-akan tidak peduli dan tidak mengurus sumber dengan baik.

"Pada tahun 2013, saya meramalkan fenomena tersebut akan terus berleluasa dengan kekerapan yang meningkat dan intensiti yang lebih hebat.

"Ia akan berlaku jika tiada usaha-usaha secara individual atau kolektif diambil dengan segera," ujar Mohamad Ali ketika dihubungi.

Menjalani kehidupan secara organik meskipun sangat baik untuk alam tetapi kesannya terlalu sukar dilihat. Sepatutnya, orang ramai harus berfikir secara global dan bertindak setempat.

Tidak seperti negara-negara maju seperti Jepun, tiada undang-undang yang mewajibkan setiap isi rumah melakukan kitar semula menyebabkan perkara tersebut dipandang sepi.

Setakat ini, pada pandangan Mohamad Ali, usaha-usaha yang ada kelihatan tidak berkesan seperti rancangan tindakan Persidangan Pembangunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCED), Agenda 21 untuk pembangunan mapan pada tahun 1912 di Rio de Janeiro, Brazil.

Pada peringkat tempatan yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga tiada apa-apa impak positif dengan kejadian banjir kilat berlaku.

Semua yang berlaku di seluruh dunia merupakan satu reaksi yang bersangkutan. Individu pengamal organik amat baik tetapi tidak ramai, malah industri-industri utama dunia yang menyumbang pencemaran tidak bertindak.


PERMINTAAN televisyen paparan cecair kristal (LCD) dijangka merudum ekoran permintaan pelbagai produk pancaran cahaya diod organik (OLED) seperti telefon pintar ataupun televisyen.


Barangkali kesan sifat rakus manusia tidak nampak pada alam dalam jangka pendek tetapi sama seperti umpama penyakit barah, ia hanya terjadi selepas satu tempoh yang panjang.

"Pengambilan makanan yang tidak berkhasiat lambat-laun menunjukkan kesan pada badan, begitu juga dengan alam sekitar," ceritanya.

Cadangannya, setiap manusia harus sedar tanggungjawab sebagai khalifah, manakala kementerian berkaitan harus mengambil inisiatif menyedarkan penduduk selain mewujudkan pengurusan bahan buangan berbahaya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved