Selasa, 11 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Anak muda pewaris khazanah negara

Posted:

Anak muda pewaris khazanah negara

Anak muda pewaris khazanah negara

TERPEGUN seketika apabila melihat kerja tangan ukiran patung dan topeng kayu yang menghiasi gerobok pameran di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay, pada November lalu.

Pelbagai bentuk dan rupa dihasilkan daripada sebongkah kayu tanpa menggunakan sebarang alatan moden. Tidak sekadar patung dengan saiz yang besar, turut kelihatan beberapa patung dan topeng dengan saiz mini untuk dijadikan cenderamata kenangan buat pengunjung.

Rekaannya yang unik dan halus sekali gus menggambarkan ketelitian tangan yang mengukirnya. Melihatkan rupa patung dan topeng itu, pasti ada cerita dan misteri yang berlingkar di sebaliknya.

Samri Anak Abdul Rahman, 37, menjelaskan setiap rekaan tersebut memang mempunyai cerita dan mitos tersendiri.

Tukang ukir itu memberitahu, datuknya pernah menceritakan, patung Harimau Berantai tersebut lahir daripada cerita mengenai seorang lelaki yang mencari rezeki di laut.

Pada suatu hari, dia ditimpa musibah yang tidak diketahui puncanya lalu dia dibawa bertemu pawang untuk perubatan tradisional. Menurut tilikan tersebut, lelaki itu terkena semangat Sauh Tujuh Berantai.

Selepas berubat tiga hari tiga malam, dia diarah untuk mengukir kayu yang mempunyai rantaian tujuh gelang yang bertautan antara satu sama lain.

Hasil daripada cerita dari mulut ke mulut itu, tercipta ukiran yang menjadi bualan hebat kerana sentuhan yang kemas dan teliti.

Mitos juga melingkari motif ukiran Moyang Lanjut yang dikatakan diambil daripada kisah legenda Puteri Gunung Ledang. Patung tersebut mempunyai ukiran separuh manusia dan separuh harimau.

"Namun begitu, saya masih mencari makna dan maksud ukiran-ukiran yang selebihnya. Saya perlu mendalami lebih lanjut daripada pengukir generasi lama," jelas anak muda itu.

Walau apapun penerangannya, kemahiran itu tetap bertunjang pada kehebatan imaginasi si pengukir menghasilkan karya yang menakjubkan.

"Pada dasarnya, ukiran kayu tidak digunakan sebagai alat perubatan. Ia lebih kepada kepercayaan generasi dahulu untuk mengaitkan mimpi dalam bentuk ukiran," jelasnya.

Tambah Samri, golongan dahulu menggunakan ukiran sebagai kaedah membebaskan penyakit dari tubuh.


SETIAP patung kayu Orang Asli mempunyai cerita tersendiri disebalik ukiran yang dilakukakan.


Namun begitu, mereka tidak menggunakan kayu sebagai medium pengantara kerana bimbang segala penyakit akan terkena kepada orang lain.

"Bayangkan kalau ia diukir di atas kayu lalu membuangnya jauh dalam hutan atau sungai, pasti ia akan dijumpai oleh orang lain secara tidak sengaja," jelasnya.

Oleh kerana itu, tambahnya, kebanyakan Orang Asli menggunakan bahan yang mudah reput seperti tepung bagi menjalankan ritual tersebut.

Ibarat tanggungjawab

Bercerita pengalamannya selama 16 tahun dalam dunia ukiran, Samri berkata minatnya dalam bidang ini adalah kerana kecintaan pada warisan nenek moyang yang semakin kurang mendapat perhatian golongan muda.

"Ia ibarat satu tanggungjawab kepada saya untuk meneruskan legasi ukiran Orang Asli," ujarnya.

Mendapat tunjuk ajar daripada pak ciknya, Pion Anak Bumbung, Samri menjelaskan proses pembelajarannya mengambil masa yang panjang kerana tidak mempunyai sebarang pengalaman dan kemahiran.

Seingatnya, ukiran pertama yang dihasilkan adalah bentuk huruf S yang menyerupai seekor naga. Pertukangannya itu mengambil masa hampir seminggu walaupun saiznya tidak terlalu besar.

"Mujur saya turut dibantu oleh sepupu yang mengajar cara-cara membuat ukiran yang lebih halus," ujar ayah kepada dua cahaya mata itu.

Sejak itu, Samri mula memahirkan diri dengan liuk lekuk patung yang diukir halus hingga mendapat perhatian meluas daripada penggemar ukiran kayu.

"Ukiran paling mahal yang pernah dihasilkannya ialah patung setinggi 0.7 meter. Ia dibeli oleh seorang peminat dari Australia pada harga RM3,500," ujar Samri.

Walau setinggi manapun sesuatu warisan itu dijulang, jika tiada yang ingin meneruskan, ia pasti tenggelam bersama perjalanan masa. Samri juga tertanya-tanya mengenai dunia ukiran yang seolah-olah tidak mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.


PERKAKASAN biasa yang digunakan untuk membuat ukiran.


Seni keluarga

Bagi seorang lepasan Diploma Seni Kraf Kayu dari Institut Kraf Negara (IKN), Rawang, Muhd. Fathul Bari Abdul Hashim, 20, dia mengakui bahawa darah cinta seninya bermula daripada ibunya yang merupakan seorang pelukis bebas.

"Ibu saya secara kecil-kecilan menjual hasil lukisannnya yang dijadikan sebagai cenderamata," ujarnya.

Baru sahaja melepasi saat graduasi beberapa bulan yang lepas, anak muda itu sudah mempunyai sebuah bengkel atas inisiatif Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) yang memberinya peluang menjalankan perniagaan.

"Saya turut diminta untuk mengajar tiga orang pelatih di bawah seliaan Kraftangan yang mengambil tempoh jangka masa selama enam bulan," katanya sambil menambah bengkel tersebut memberi fokus kepada penghasilan ukiran batu.

Menurutnya, walaupun ia tidak sama dengan jurusan yang diikutinya, namun seni ukiran batu tidak banyak berbeza malah lebih mudah berbanding ukiran kayu.

"Ukiran batu tidak memerlukan tukang ukir meneliti keadaan objek sebelum memulakan proses ukiran.

"Jika menggunakan kayu, pengukir perlu berhati-hati dengan melihat urat kayu. Jika tersilap, ia akan mencacatkan proses pembentukan," ujarnya.

Fathul Bari pernah mengikuti kursus jangka pendek di Yogyakarta, Indonesia selama tiga bulan untuk mendalami seni ukiran luar. Di situ, dia mempelajari bahawa seni ukiran mempunyai falsafah dan inspirasi.

"Jika mengikut falsafah rekaan tradisional Melayu, setiap dasar ukiran harus mempunyai satu punca sahaja kerana ia melambangkan kita berpegang pada satu pegangan.

"Begitu juga daun atau puncak ukiran tidak boleh dilukis menegak sebagai tanda penghormatan kepada Yang Maha Esa," jelasnya.

Berkongsi pendapat dengan Samri, Fathul Bari mendapati bahawa golongan muda kini lebih suka melakukan kerja-kerja yang mudah.

"Mereka tidak rela membanting tulang dan lebih suka mencari pekerjaan dalam persekitaran pejabat yang selesa," ujarnya mengulas mengenai keterlibatan golongan muda dalam dunia kraf tradisional.

Dalam masa sama, Fathul berharap akan diwujudkan jurusan ukiran batu bagi mengembangkan lagi potensi pereka dan masa depan industri tersebut.

Pilih buluh


FATHUL pernah mendalami ilmu dan falsafah seni ukiran di Yogyakarta, Indonesia.


Sementara itu, Jackson Angik, 25, baru sahaja melibatkan diri dalam pembuatan kraf. Dia mula meminati membuat buluh sumpitan tiga tahun lepas yang digunakannya ketika memburu di hutan.

"Ayah saya yang banyak memberi tunjuk ajar untuk membuat buluh tersebut. Saya mengambil masa tiga tahun untuk memahirkan diri bagi mendapatkan bentuk yang sesuai," ujarnya.

Proses pembuatan buluh sumpitan tersebut mengambil masa hampir dua bulan dan ia bermula dengan skil memilih batang buluh.

"Pada awalnya, batang buluh tersebut perlu disalai di atas bara bagi meluruskannya. Selepas itu, proses pengeringan perlu dilakukan sebelum mengukir dan menebuk lubang untuk memasukkan damak sumpit," jelasnya.

Tambah Jackson, proses menyalai dan pengeringan mengambil masa yang lama berbanding mengukir. Langkah akhir prosesnya hanya mengambil masa selama seminggu.

Anak Orang Asli Temiar itu berkata minat dan kesungguhan perlu ada bagi golongan muda untuk menceburi bidang kreatif kraf tangan.

"Dalam keluarga saya, tidak semua yang mahir membuat kraf tangan kaum Orang Asli. Jika tidak mempunyai minat, kemahiran itu akan hilang begitu sahaja," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved