Selasa, 11 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Perang psikologi bermula

Posted:

Perang psikologi bermula

Perang psikologi bermula

RAJAGOBAL


BANGKOK - Padang sekolah pun jauh lebih elok!Demikian nasib Harimau Malaya yang terpaksa menjalani latihan sulung di bumi Bangkok dalam keadaan padang yang serba daif petang semalam.

Ia ekoran padang awam Jaran Buraprat itu yang disediakan Thailand semalam cukup menyedihkan sehingga menyukarkan pengendali negara, Datuk K. Rajagobal merencana strategi menjelang aksi separuh akhir kedua kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Supachalasai di sini malam esok.

Selain terpaksa menjalani latihan secara terbuka sehingga memberi ruang kepada media Thailand 'mengintip' kekuatan skuad negara, tiada bilik persalinan disediakan selain permukaan padang yang teruk.

Sama ada tiada padang lain yang lebih sempurna, layanan buruk itu dilihat seolah-olah perang psikologi daripada tuan rumah bagi melemahkan moral skuad negara, tambahan pula Thailand kini memiliki kelebihan gol di tempat lawan selepas berjaya melakar keputusan seri 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu.

Pengurus pasukan negara, Datuk Seri Subahan Kamal ternyata kecewa dengan layanan 'kelas kedua' yang diberikan pihak negara Gajah Putih berhubung perkara itu.

"Sudah tentu ia jauh berbeza daripada apa yang diberikan kami kepada Thailand sebelum ini.

"Keadaan padang memang teruk, itu belum dikira soal keselamatan pemain negara.

"Saya memang tidak menyangka Thailand hanya menyediakan kami padang awam seperti ini," katanya semalam.

Subahan memberitahu, mereka mungkin terpaksa menjalani latihan ringan di pekarangan Hotel Golden Tulip Sovereign (tempat penginapan Harimau Malaya) pagi ini memandangkan hanya dapat menjalani latihan di Stadium Supachalasai pada sebelah malam.

"Kami telah mengemukakan aduan berhubung perkara itu kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan juga Persatuan Bola Sepak Thailand kerana padang itu memang tidak sesuai langsung dijadikan tempat latihan mana-mana pasukan kebangsaan," katanya.

Kelantan terus uji tonggak import

Posted:

Kelantan terus uji tonggak import

Kelantan terus uji tonggak import

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


KCIRA (empat dari kiri) antara pemain import baharu yang sedang diuji oleh Kelantan.


JUARA trebel musim ini, Kelantan akan menguji dua bintang import baharu mereka, Dimitrios Pertratos dan Lek Kcira selain memastikan pemain-pemain lain berada pada tahap terbaik bagi mengharungi saingan liga musim depan dengan mengadakan perlawanan pramusim menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Penolong jurulatih, Kamaruddin Muhammad berkata, kedua-dua pemain tersebut tetap berada dalam perancangan untuk diturunkan sama ada dalam kesebelasan utama ataupun sebagai pemain gantian pada perlawanan itu kelak.

Menurutnya, selain dua pemain tersebut, seorang lagi bintang import mereka, Keita Mandjou turut diberi peluang untuk mempamerkan aksi bagi memikat pihak pengurusan, sekali gus merebut tempat untuk didaftarkan sebagai pemain import yang beraksi pada Liga Super.

"Ketua jurulatih, Bojan Hodak akan kembali ke Kota Bharu malam ini (malam tadi). Pemain mana yang disenaraikan untuk menentang Kedah akan ditentukan oleh beliau.

"Perlawanan pemanas badan seperti ini amat penting bagi membolehkan kami menilai prestasi semua pemain kerana kita terlibat dalam dua kejohanan besar (Liga Malaysia dan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia) musim depan.

"Jadi, inilah peluang buat Hodak memikirkan siapa (pemain import) yang layak beraksi untuk Kelantan dalam dua pertandingan itu. Selepas ini kita akan terbang ke Acheh pula bagi menghadapi Kejohanan Piala Gabenor di sana bermula 14 hingga 22 Disember ini," katanya.

Kamaruddin menyifatkan Pertratos dan Kcira mudah menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan oleh skuad Kelantan.

"Pertratos pula kagum apabila melihat stadium kita dibanjiri lebih 20,000 penyokong meski pun pertemuan Kelantan dengan Perlis baru-baru ini merupakan satu perlawanan persahabatan biasa dan dia perlu menyesuaikan diri dalam suasana stadium seperti itu," ujarnya.

Kedah yang dilatih Marijo Tots beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan turut diperkuatkan dengan pemain import yang tidak asing lagi dari Chile, Nelson Sam Martin serta Chayene Santos (Brazil).

Mengulas mengenai pertemuan malam ini, Kamaruddin menganggap ia perlawanan yang cukup sengit memandangkan Kedah merupakan pasukan yang kuat biar pun beraksi dalam Liga Premier musim depan.

"Mereka tetap pasukan yang hebat meski pun tanpa kelibat Mohd. Khyril Muhymeen dan Baddrol Bakhtiar yang masih bersama skuad kebangsaan.

"Masih ramai lagi tonggak utama seperti Sabre (Mat Abu) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) bermain dengan Kedah," jelasnya.

Misi ke separuh akhir sukar

Posted:

Misi ke separuh akhir sukar

Misi ke separuh akhir sukar

VIENTIANE, Laos - Skuad bola sepak negara berdepan laluan sukar dalam misi menempah slot ke peringkat separuh akhir pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012.

Skuad bimbingan Azman Eusoff itu tewas 0-3 kepada tuan rumah, Laos pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Chou Anou Vong di sini semalam.

Azman berkata, kekalahan itu merupakan tamparan hebat buat skuad negara yang pada awalnya berkeyakinan tinggi mampu membenam cabaran Laos.

"Kami sepatutnya menang perlawanan pertama ini jika mahu mara ke peringkat separuh akhir, namun, semuanya tidak menjadi hari ini (semalam).

"Pemain-pemain saya tidak beraksi pada tahap prestasi sebenar mereka. Sebaliknya, corak permainan yang diterapkan Laos memberi masalah kepada skuad negara.

"Secara jujurnya, saya tidak menjangka kami akan tewas dengan jumlah jaringan seperti ini kerana jurangnya terlalu besar," kata Azman ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan semalam.

Pada aksi tersebut, penyerang Laos, Sitthideth Khanthavong membuka tirai jaringan pada minit ke-41 sebelum Khouta Sivongthong yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua meledak gol kedua minit ke-83.

Lembo Saysana melengkapkan kemenangan Laos apabila meledak gol ketiga selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh pada masa kecederaan.

Ekoran kekalahan itu, skuad negara tidak mempunyai pilihan selain mencatatkan kemenangan ke atas Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B esok.

Anak-anak buah Azman sekurang- kurangnya perlu menjaringkan lebih daripada tiga gol bagi membuka semula pintu ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, jika menang perlawanan itu, skuad negara perlu mengharap bantuan Laos untuk menewaskan Singapura bagi mengisi slot ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B.

"Saya akui kami perlu bergantung kepada pasukan lain untuk layak ke separuh akhir, namun saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenainya.

"Saya tetap percaya dengan kemampuan barisan pemain saya dan kami sendiri boleh menentukan nasib kami," kata Azman.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved