Isnin, 10 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


YRMS asah kemahiran belia

Posted:

YRMS asah kemahiran belia

YRMS asah kemahiran belia

MENDIRIKAN rumah tangga sebelum menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) membuktikan betapa Siti Nor Abdullah, kini 35, melalui fasa perkahwinan pada usia muda. Bagaimanapun, hayat mahligai yang dibina oleh wanita yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu musnah selepas memiliki empat cahaya mata.

Status ibu tunggal yang dipegangnya membuatkan Siti Nor bergelut dalam membesarkan keempat-empat anaknya. Pada usia yang masih muda, Siti Nor bekerja keras mendapatkan pekerjaan tetap meskipun sering ditolak dek pencapaian akademik yang kurang memberangsangkan.

"Saya pernah bekerja sebagai tukang masak, pembantu di klinik dan beberapa kerja sambilan yang lain. Gaji yang diperoleh memang tidak cukup menampung perbelanjaan saya sekeluarga. Saya tidak mahu anak-anak hidup susah dan mahu mereka mendapat pendidikan setinggi yang boleh," penuh perasaan saat wanita itu berbicara tentang sejarah hidupnya.

Nasib Siti Nor berubah selepas terbaca iklan berkenaan permohonan satu program Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dalam sebuah akhbar. Tanpa berfikir panjang, dia melalui proses temu duga. Kejayaan menerima tajaan YRMS untuk menyertai program keusahawanan telah mengubah hidup Siti Nor secara drastik.

"Saya diterima oleh YRMS pada tahun 2006 dan impian saya ketika itu mahu bergelar seorang perunding kecantikan. Walaupun tiada kelayakan akademik, YRMS berjaya menempatkan saya menjalani kursus kemahiran bidang kecantikan di Akademi Senniyo Beauty, Serdang, Selangor.

"Selama tiga tahun saya mempelajari selok-belok dunia kecantikan di akademi tersebut dan akhirnya layak mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Sambil belajar, kerja-kerja sambilan masih saya jalankan bagi menyara anak-anak.

"Sejurus tamat kursus, saya diterima bekerja di sebuah spa terkenal di Bangsar, Kuala Lumpur. Saya juga mengikuti beberapa kursus pendek pengurusan perniagaan, kewangan dan promosi dan segala yang berkaitan dengan perniagaan salon.

"Pada tahun 2008 saya bercadang untuk membuka sebuah spa sendiri dan pihak YRMS amat terbuka dengan impian saya itu. Selepas kertas kerja saya diluluskan, YRMS memberi pinjaman sebanyak RM50,000 sebagai modal suntikan dan kini saya berjaya membuka spa, I Miracle Beauty di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor," cerita Siti Nor yang turut menerima sijil bagi melayakkannya menjadi tenaga pengajar seni kecantikan.


PENDEDAHAN dalam bidang masakan sejak kecil membuahkan minat kepada Megat Danial menceburi bidang kulinari.


Dunia kulinari

Kegagalan akademik seperti Siti Nor turut dialami seorang lagi penerima tajaan YRMS, Megat Danial Aizat Megat Ariffin, 26. Anak muda itu tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ekoran gagal dalam subjek Bahasa Melayu, meskipun mengulangi peperiksaan mata pelajaran itu sebanyak dua kali.

Enggan berpatah harap mengejar kejayaan, Megat Danial meninggalkan kampung halamannya, di Seberang Perai, Pulau Pinang untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur dan Johor Bahru selama enam tahun. Minat anak ketiga daripada empat beradik itu terhadap bidang masakan membawanya berkhidmat di beberapa buah restoran.

"Sejak kecil, ketika tinggal bersama arwah nenek, saya kerap membantunya berniaga sate. Lama-kelamaan saya terbiasa ke dapur dan bereksperimen dengan pelbagai jenis masakan.

"Ibu bapa tidak menyekat minat saya, namun mereka teragak-agak memberi persetujuan ketika saya ingin mendalami bidang masakan," singkap Megat Danial yang pernah membantu beberapa tukang masak profesional menyediakan juadah di Istana Negara sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada bulan April lalu.

Sekembalinya ke Pulau Pinang, Megat masih bertegas mengutip pengalaman sebagai pembantu tukang masak di hotel dan restoran. Angan-angan bergelar tukang masak profesional mendorongnya memohon tajaan YRMS bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.

Tamat pengajian

"Saya berjaya menerima tajaan YRMS dalam program Talent for The World pada tahun 2009 dan mula menghadiri kursus kemahiran kulinari di Kolej East-West, Seremban, Negeri Sembilan yang merupakan anak syarikat kepada Kolej Taylor's.


Siti Nor (kiri) juga pernah menjalankan khidmat urutan kaki sebelum membuka spa sendiri.


"Selepas tiga tahun menimba ilmu di situ, saya terpilih sebagai pelajar terbaik dan ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat diploma. Memandangkan saya tiada kelayakan SPM, saya perlu melalui peringkat sijil selama setahun," jelas Megat Danial yang bekerja sambilan sebagai tukang masak di Restoran Temptations yang terletak dalam kolejnya.

Kini Megat Danial menuntut dalam semester satu diploma kulinari di Kolej Taylor's, Subang Jaya, Selangor dan dijangka tamat pengajian pada tahun 2014.

Jika Siti Nor dan Megat Danial perlu melalui proses temu duga, berbeza pula dengan Ainil Johani Abu Bakar, 24, yang dipilih sendiri oleh pihak YRMS bagi menerima tajaan kewangan atas kecemerlangannya dalam sukan golf pada tahun 2007 bagi kategori Talent for The World.

Bakat golf Ainil mula diasah pada usia sembilan tahun selepas tertarik dengan sukan yang diceburi abangnya itu. Melanjutkan pelajaran selama lima bulan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Selangor pada tahun 2003, Ainil seterusnya melanjutkan pelajaran di Hills International Golf Academy, Brisbane, Australia pada peringkat O'Level selama dua tahun.

Kecemerlangan Ainil sebagai pemain golf remaja negara menyinar apabila beliau menjuarai kategori bawah 12 tahun pada Kejohanan McGregor Junior Golf di Hong Kong, memenangi pingat emas untuk Selangor pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2004, Kejohanan Golf Sekolah-Sekolah Asia malah pernah menduduki tempat keenam pada Kejohanan Golf Callaway World Junior di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Anak jati Shah Alam itu juga pernah menerima Anugerah Olahragawati Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Selangor pada tahun 2005, yang disampaikan sendiri oleh Penaung Diraja YRMS, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


BAKAT golf Ainil mula diasah pada usia sembilan tahun.


"Saya amat berterima kasih dengan tajaan yang diberikan YRMS dan ia membantu meningkatkan semangat saya untuk terus maju dalam sukan golf yang kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Malaysia.

"Saya berhasrat untuk menjadi antara 10 pemain golf wanita terbaik di dunia dan sasaran saya kini terarah kepada menjadi ahli Persatuan Golf Wanita Profesional (LGPA)," demikian impian yang dipasang oleh Ainil yang meminati pemain golf wanita profesional dari Mexico, Lorena Ochoa itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved