Rabu, 5 Disember 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Calet inap desa Kota Tinggi

Posted:

Calet inap desa Kota Tinggi

Calet inap desa Kota Tinggi

Oleh FARIK SALLEH

AIR laut sedang pasang. Di tepi pantai sekumpulan remaja berkumpul sambil mendengar taklimat daripada seorang lelaki. Mereka kelihatan teruja dengan maklumat yang diberikan.

Kemudian beberapa orang daripada kumpulan itu turun ke dalam laut. Apabila air berada pada paras lutut, mereka berhenti. Tidak lama kemudian terdengar jeritan keriangan.

"Haa.. macam raksasa," kata seorang remaja lelaki berusia 16 tahun. Di tangannya kelihatan sepasang belangkas yang beratnya kurang daripada sekilogram. Dia menangkap belangkas itu dengan memegang ekornya.

Remaja berkenaan, Mohd. Ezwan Rosnizam sangat seronok kerana itulah kali pertama dia menangkap belangkas. Selepas itu, belangkas tersebut dibawa ke darat. Hanya belangkas betina yang diambil manakala yang jantan dilepaskan semula ke laut.

Untuk mengenali jantina belangkas amat mudah iaitu ketika ditangkap pasti berpasangan. Si jantan berada di atas badan betina dan saiznya lebih kecil.

Pengalaman tersebut diperoleh pelajar Sekolah Menengah Vokasional Kota Tinggi ketika mengikuti program di Bob Homestay, Kota Tinggi, Johor.

Sesuai untuk semua


PINTU gerbang menyambut ketibaan para tetamu ke Bob Homestay.


Terletak di Kampung Johor Lama, Kota Tinggi, Bob Homestay merupakan sebuah tempat percutian atau perkhemahan yang sesuai untuk semua peringkat usia.

Kedudukannya di muara Sungai Johor serta jauh daripada kebisingan lalu lintas memberikan suasana damai, malah persekitaran alamnya turut terpelihara dengan baik.

Untuk sampai ke sini, perjalanan menaiki kereta hanya setengah jam dari Bandar Kota Tinggi melalui Jalan Desaru ke Telok Sengat.

Pengurus homestay berkenaan, Shahrool Anuar Rohani berkata, homestay yang ditawarkan pihaknya unik memandangkan ia satu-satunya homestay yang berkonsepkan perkampungan inap desa.

Kedudukan di kawasan Johor Lama juga membuatkan kawasan tersebut terkenal dengan khazanah sejarah yang tidak ternilai.

Shahrool yang juga pengurus Total Sterling Travel And Tours Sdn. Bhd. menambah, kawasan homestay tersebut yang seluas 0.4 hektar pada mulanya dibangunkan oleh sebuah syarikat lain pada tahun 2004 sebelum pihaknya mengambil alih pada akhir tahun 2010.

"Pada peringkat awal dahulu, kami menyasarkan pihak sekolah yang ingin menjalankan aktiviti motivasi pelajar dalam suasana kampung.

"Dari setahun ke setahun, bilangan pelanggan semakin meningkat termasuk membabitkan orang perseorangan, keluarga atau syarikat.

"Kini, kami mempunyai enam bangunan calet yang mampu menampung 120 orang pada satu-satu masa," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Setiap calet di homestay itu menawarkan bilik tidur berhawa dingin. Terdapat juga sebuah calet eksklusif yang dilengkapi perabot, peralatan dapur, televisyen dan ruang santai.

Selain itu, para pelanggan boleh memilih calet jenis berkembar atau bilik penginapan berasingan serta dua domitori yang boleh memuatkan 25 orang setiap satu.

Memancing

Bagi penggemar aktiviti memancing, jangan risau kerana di homestay itu anda boleh memenuhi keinginan tersebut. Pihak homestay sememangnya menyediakan sebuah pelantar khas untuk aktiviti berkenaan.


PARA remaja tidak melepaskan peluang mandi-manda di laut yang terletak dalam kawasan Bob Homestay.


Terdapat banyak ikan di kawasan itu. Antara spesies popular termasuk sembilang, jenahak, kerapu, belanak, kitang, siakap, gemang dan malong.

Jika tiada peralatan memancing ia bukanlah satu masalah besar kerana tetamu boleh menyewa joran dengan kadar RM10 setiap satu manakala umpan pula RM15.

Justeru, waktu terluang bolehlah diisi dengan memancing sambil menikmati suasana malam yang dingin bersama rakan-rakan atau ahli keluarga.

Jika masih belum puas memancing di pelantar berkenaan, perkhidmatan bot disediakan bagi mereka yang ingin memancing di kawasan rumah rakit berhampiran.

Bagi mereka yang ingin mengadakan mesyuarat atau hari keluarga juga boleh berbuat demikian kerana terdapat sebuah dewan yang berkapasiti 80 orang. Hendak berkaraoke pun tiada masalah kerana set karaoke turut disediakan.

"Tetamu juga boleh mengikuti aktiviti menyusur Sungai Johor bagi menikmati keindahan dan keunikan hutan paya bakau. Pastinya, aktiviti ini memberikan satu pengalaman baharu kepada mereka. Jika bernasib baik, anda dapat menyaksikan hidupan liar seperti burung, biawak dan monyet," kata Shahrool.

Sekiranya masih mempunyai masa luang, cubalah berjalan kaki atau berbasikal di kawasan kampung. Melihat peninggalan sejarah Johor Lama pasti memberi maklumat yang berguna kepada generasi hari ini.

Johor Lama juga mempunyai industri kecil dan sederhananya sendiri. Perusahaan makanan tradisional seperti kuih baulu gendang dan kuih tekap pasti sukar diperoleh di tempat lain.


PELBAGAI jenis hidangan laut termasuk belangkas yang digoreng dengan sambal boleh dinikmati ketika bercuti di Kota Tinggi.


Belangkas goreng kering

Negeri Johor juga terkenal dengan masakan asam pedas. Bagaimanapun, kampung itu mempunyai makanan istimewa tersendiri iaitu ketam bangkang dan belangkas goreng kering.

Kedudukan perkampungan yang berhampiran laut membuatkannya kaya dengan hasil laut. Dari segi harga pastinya jauh lebih murah berbanding harga makanan di bandar raya Johor Bahru.

Shahrool berkata, walaupun tidak tinggal bersama keluarga angkat seperti inap desa perkampungan lain, tetamu tetap dapat merasai keseronokan bergaul dengan masyarakat kampung.

"Sambil berjalan-jalan di kawasan kampung, mereka boleh berbual mesra dengan penduduk kampung sekali gus mendapat kenalan baharu," katanya.

Kota kegembiraan Bucharest

Posted:

Kota kegembiraan Bucharest

Kota kegembiraan Bucharest


SEBAHAGIAN besar karya seni Romania dan Eropah kini tersimpan rapi di Muzium Kesenian Kebangsaan.


DIKENALI dengan datarannya yang luas dikelilingi pokok-pokok menghijau, keunikan bangunan-bangunan neoklasik dan reputasi kehidupan elitnya satu ketika dahulu, Bucharest merupakan ibu negara dan bandar raya terbesar di Romania.

Kota itu mempunyai legendanya yang tersendiri. Dikatakan, seorang penggembala bernama Bucur telah menemui sebuah lembah luas yang terletak di tebing Sungai Dambovita.

Kepandaian Bucur bermain seruling mempesonakan orang ramai. Sebagai penghormatan, kota yang tidak bernama itu telah dinamakan Bucur yang bermaksud kegembiraan.

Terletak di tenggara Romania, Bucharest yang pernah digelar Little Paris merupakan antara metropolis yang pesat membangun di Eropah.

Kejatuhan era komunisme kira-kira 20 tahun lalu menyaksikan banyak perubahan yang berlaku. Bukan sahaja banyak bangunan pencakar langit mula kelihatan malah masyarakatnya juga semakin terbuka.

Koresponden Reuters, Sam Cage di sana, mencadangkan beberapa destinasi pelancongan yang boleh dilawati dalam tempoh dua hari di bandar raya itu.

Jumaat

Dari lapangan terbang, pengunjung boleh mengambil teksi atau perkhidmatan bas ulang-alik ke Piata Universitatii sebelum ke Lipscani, sebuah daerah yang terkenal dengan deretan bangunan bersejarah ketika zaman pertengahan.

Kawasan sekitarnya nyaris dimusnahkan oleh regim komunis Nicolae Ceausescu sewaktu berkuasa dahulu. Selepas sekian lama tersisih daripada kalendar pelancongan Romania, Lipscani mula berubah wajah dengan pelbagai pembangunan yang menjadi tarikan kepada pelancong.

Anda bebas berjalan-jalan sambil menikmati aktiviti yang ditawarkan. Jangan lupa melawat Stavropoleos Monastery, sebuah gereja berunsurkan gaya Brancovenesc dan seni bina Rom yang dibina pada tahun 1724.

Jika perut berasa lapar, nikmatilah hidangan tempatan di kafe dan bar yang banyak terdapat di situ atau sekadar membeli-belah.

Selepas itu bolehlah ke Curtea Veche untuk melawat istana milik Vlad Tepes yang dibina pada abad ke-15.

Tepes, juga dikenali sebagai Vlad the Impaler kerana kekejamannya dan kegemarannya terhadap darah manusia. Kisahnya menjadi inspirasi kepada penghasilan filem Bram Stoker's Dracula pada tahun 1992.

Jika masih belum puas berjalan, bolehlah ke Hanul lui Manuc, yang pernah menjadi lokasi pertemuan para pedagang ke Romania sekitar abad ke-19.

Sambil bersantai dan menikmati minuman ringan, anda boleh melayan perasaan sambil melihat ragam manusia di sekeliling.

Selepas puas berjalan, pasti perut berasa lapar. Lipscani menawarkan pelbagai gastronomi dari Turki, Perancis, Itali, India dan Hungari yang sesuai dengan selera anda.

Lipscani sememangnya meriah dengan kehadiran puluhan bar dan kelab malam yang menawarkan hiburan malam tanpa henti. Mojo, misalnya menawarkan persembahan muzik live manakala jika mahu suasana yang berbeza bolehlah ke bar-bar bertema seperti Atelierul Mecanic, Papiota dan Energiea.

Sabtu


ARTHENAEUM menjadi medan mengasah bakat karyawan seni di Bucharest.


Mulakan pengembaraan dengan perkhidmatan kereta api bawah tanah ke Piata Romana melepasi pasar Amzei sehingga ke Piata Revolutiei. Ia terkenal dengan deretan bagunan bersejarah termasuk sebuah istana lama yang kini dijadikan Muzium Kesenian Kebangsaan, galeri menempatkan karya-karya seni di Romania dan Eropah.

Terdapat sebuah dataran di antara istana dan bekas ibu pejabat parti komunis di situ. Ia merupakan lokasi tercetusnya revolusi pada tahun 1989 yang menyaksikan Ceausescu melarikan diri dengan menggunakan helikopter untuk mengelak ditangkap dan dibicarakan.

Di tengah-tengah dataran pula terdapat sebuah monumen untuk memperingati mangsa yang terkorban semasa revolusi itu.

Sepanjang berada di situ, anda boleh melawat beberapa tarikan lain seperti gereja Cretulescu atau Athenaeum, dewan filharmonik yang direka berdasarkan seni bina neoklasik.

Teruskan pengembaraan ke Calea Victoriei, melepasi gereja-gereja bersejarah, taman-taman dan Cantacuzino Palace, sebuah muzium yang menempatkan karya komposer terkenal Romania, Enescu.

Jika masih belum puas melawat, bolehlah ke Muzium Desa Romania dibina berdasarkan reka bentuk Rom.

Ia menyimpan pelbagai khazanah seni, tekstil dan dokumen mengenai sejarah silam. Di dalamnya juga terdapat sebuah pangung wayang, kedai cenderamata dan gerai-gerai jualan.

Sekiranya mahu menjamu selera, terdapat sebuah kafe yang menawarkan makanan tradisional Romania di belakang muzium itu.

Halakan langkah melepasi beberapa taman rekreasi menuju ke Bulevardul Aviatorilor.

Di situ terletaknya vila-vila berkonsepkan seni moden Art Deco yang menggagumkan. Kini ia dijadikan pejabat-pejabat kedutaan asing di negara itu.

Sekiranya mahu merasai pengalaman sedikit berbeza, naik trem nombor satu yang bakal membawa anda mengelilingi sekitar bandar raya sehingga ke Piata Victorei.

Sepanjang dua jam perjalanan, anda berpeluang melihat kawasan penempatan dan komersial serta jambatan baharu, Pasajul Basarab yang menghidangkan panorama keseluruhan bandar raya itu.

Ahad


JIKA Paris terkenal dengan monumen Arc de Triomphe, Bucaharest pula berbangga dengan monumen Archof Triumph.


Mulakan hari itu dengan menaiki teksi ke Casa Poporului atau Istana Rakyat. Dengan keluasan kira-kira 340,000 meter persegi, ia diiktiraf sebagai bangunan kedua terbesar di dunia.

Bangunan pelbagai fungsi yang turut menempatkan Parlimen Romania itu dibina oleh Ceausescu pada akhir 1970-an.

Apa yang pasti, sepanjang lawatan, anda akan menggunakan tenaga yang banyak untuk meneroka bangunan itu.

Menggunakan ribuan tan kristal, marmar dan kayu, Ceausescu berharap ia menjadi simbol kuasanya di Romania tetapi sebaliknya polisi sosial yang dibawanya mendapat tentangan rakyat.

Istana Rakyat menyaksikan tindakan kejam Ceausescu yang memusnahkan banyak kawasan penempatan, gereja dan rumah ibadat.

Mereka bukan setakat diusir dari kediaman sendiri malah turut menderita akibat langkah penjimatan kerajaan dalam usaha merealisasikannya.

Di belakangnya, terdapat Muzium Kesenian Kontemporari berserta kafe yang menawarkan panorama keseluruhan bandar raya itu

Berjalan kaki ke Armenian Church di Bulevardul Carol II sambil melihat realiti kehidupan masyarakat di Pusat Sivik. Sebaik tiba, anda boleh bersiar-siar di sekitar kawasan yang dikelilingi vila-vila gaya Perancis, blok apartmen moden dan istana pasca neo-Romania yang dilitupi tumbuhan-tumbuhan menjalar.

Teruskan perjalanan ke Gradina Icoanei dan di situ anda boleh lihat lebih banyak vila di sekitar Bulevardul Dacia yang turut menempatkan kawasan pejabat kedutaan asing. Jika berkesempatan nikmati secawan kopi panas di Try La Calderon 80 atau di Gargantua.

Di situ terletaknya blok-blok apartmen yang luas, diwarisi daripada era komunis dahulu. Bagaimanapun, perlahan-lahan ia kini berwajah baharu dengan pelbagai pengubahsuaian sesuai dengan perkembangan zaman. - Reuters

Panorama dari puncak Menara Alor Setar

Posted:

Panorama dari puncak Menara Alor Setar

Panorama dari puncak Menara Alor Setar

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR

MENARA Alor Setar merupakan menara komunikasi ke-22 tertinggi di dunia.


MENIKMATI keindahan sawah padi, sungai dan laut dari Menara Alor Setar yang berketinggian 165.5 meter sememangnya memukau pandangan mata, apatah lagi pada waktu petang ketika matahari terbenam. Menara Alor Setar terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar, manakala kira-kira lima kilometer dari Lebuh raya Utara-Selatan.

Bangunan yang menelan kos sebanyak RM40 juta itu menjadi mercu tanda negeri Jelapang Padi sejak dibuka pada tahun 1997. Menara telekomunikasi ke-22 tertinggi di dunia dan kedua tertinggi di Malaysia itu mempunyai tiga tingkat termasuk pelantar pemandangan yang terletak pada ketinggian 88 meter di atas paras laut.

Pada aras itu pengunjung berpeluang menikmati pemandangan negeri Kedah menerusi lima set binokoular automatik yang disediakan.

Restoran berputar

Pengurus Besar Menara Alor Setar, Hariyati Tahir berkata, dua tingkat lagi iaitu restoran berputar yang terletak pada ketinggian 94 meter di atas paras laut. Ia menyajikan makanan dari dapur Restoran Berputar D'Saji Skyview.


TERDAPAT lima set binokular yang disediakan untuk kegunaan pelancongdi Menara Alor Setar.


"Restoran berputar menyediakan hidangan makan tengah hari, minum petang dan makan malam dalam suasana romantik di samping pengunjung berpeluang menikmati keindahan dari tingkap menara.

"Restoran yang diuruskan Felda D'Saji Sdn. Bhd. melalui anak syarikatnya, D'Saji Restaurant & Cafe mampu memuatkan 220 orang," ujarnya.

Tingkat atas yang berketinggian 100 meter di atas paras laut pula dikenali sebagai Mega View Banquet Hall. Hariyati berkata, kemudahan dewan disediakan di aras ini yang memuatkan 150 orang dalam satu-satu masa.

Katanya, kebiasaannya dewan tersebut digunakan untuk pelbagai majlis termasuk perkahwinan dan seminar.

"Aras ini merupakan tingkat yang boleh digunakan untuk pelbagai acara kerana ia mempunyai empat bilik termasuk ruang karaoke," katanya.


JIKA ada kelapangan masa, nikmati makan malam dan sesi karaoke di Mega View Banquet Hall, Menara Alor Setar.


Selain dapat menikmati pemandangan pusat bandar raya, pengunjung juga boleh menikmati panorama indah Gunung Jerai, Kuala Kedah dan sebahagian Pulau Pinang dari setiap ruang Mega View Banquet Hall.

Jumlah pengunjung yang meningkat setiap tahun menjadikan Menara Alor Setar sebagai lokasi pilihan pusat pelancongan utama di Alor Setar.

Selain pelancong tempatan, Menara Alor Setar turut menerima kunjungan pelancong luar termasuk Thailand, Indonesia dan Singapura.

"Bayaran yang dikenakan itu hanyalah untuk menikmati keindahan di pelantar pemandangan sahaja, manakala caj naik ke restoran berputar akan disertakan di dalam bil," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved