Rabu, 7 November 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Penginapan ala rimba di Philea Resort

Posted:

Penginapan ala rimba di Philea Resort

Penginapan ala rimba di Philea Resort

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

KETIKA menjejakkan kaki ke resort seluas enam hektar di Ayer Keroh, Melaka kira-kira setahun lalu, hati Edmund Law Kian Boon, 32, terdetik seketika.

Akalnya ligat berfikir, mencari-cari jawapan. Resort kayu berkonsepkan reka bentuk kabin kontemporari yang berada di hadapannya itu seakan pernah dikunjunginya sebelum ini.

Sambil melangkah menuju ke ruang lobi, matanya leka memerhatikan persekitaran resort yang dikenali sebagai Philea Resort & Spa itu dengan lebih dekat.

Beberapa saat kemudian, ahli perniagaan perabot itu tersenyum. Nairobi, Kenya. Ya, itulah jawapan yang dicari-carinya sejak dari tadi.

"Daripada reka bentuknya yang berkonsepkan kayu seakan-akan sebuah desa di Eropah serta hutan dan landskap yang menghijau, ia mengingatkan saya sewaktu melawat di Nairobi sebelum ini.

"Apa yang membezakan, di belakang resort itu ada sebuah safari yang menempatkan haiwan-haiwan liar Afrika, tetapi harap-harap hutan di sini tak adalah," seloroh lelaki yang berasal dari Air Leleh, Melaka Tengah itu.


PANORAMA pada waktu malam di Philea Resort & Spa cukup romantis dengan kerlipan lampu berwarna-warni di sekeliling resort.


Mengakui hatinya sudah terpaut ketika kunjungan kali pertama itu, Edmund berkata, keunikan yang ditawarkan di resort itu tidak terdapat di negeri lain kecuali di Melaka.

Katanya, keunikan kayu yang digunakan sebagai dinding dan dekorasi resort menjadi tarikan utama kepada setiap pengunjung.

"Sebab itu saya selesa menjadikan resort ini sebagai lokasi perjumpaan dan penginapan rakan-rakan perniagaan saya sama ada dari dalam atau luar negara.

"Lagipun lokasinya strategik selain suasana sekelilingnya yang tenang dan mendamaikan jiwa," ujarnya.

Terletak berhampiran dengan Plaza Tol Ayer Keroh dan kira-kira empat kilometer dari pusat bandar Melaka, Philea Resort & Spa menjanjikan penginapan eksklusif bertaraf enam bintang kepada pengunjung.

Mula beroperasi kira-kira dua tahun lalu, resort yang dibina dengan kos sekitar RM140 juta itu dimiliki dan diuruskan oleh Majestic Hotels & Resorts Sdn. Bhd.

Pengarah Komunikasi dan Permasaran Philea Resort & Spa, Connie Chin berkata, ia menawarkan 201 bilik secara keseluruhan meliputi 180 bilik Pavilion, 19 suite Philea dan dua unit Royal Villa.

Katanya, berbeza dengan resort-resort lain di negara ini, seluruh bangunan bilik penginapan dibina dengan menggunakan kayu pain atau rhu yang diimport dari Siberia, Rusia.

"Daripada lantai, dinding hingga ke siling termasuk hiasan dalamannya semuanya menekankan elemen kayu yang unik dan tampak semula jadi.

"Reka bentuknya diilhamkan daripada binaan rumah di Eropah. Lebih menarik, ia turut menggunakan kayu pasak seperti yang lazim digunakan oleh rumah-rumah tradisional satu ketika dahulu," katanya sambil mengakui kos penyelengaraan resort kayu lebih tinggi serta memerlukan penjagaan yang berterusan.

Selain itu, kata Connie, setiap blok direka khas untuk menghasilkan pandangan keseluruhan resort selain setiap bilik dilengkapi dan dihiasi perabot berkonsepkan elegan serta kontemporari.

Ia dilengkapi dengan kemudahan moden lain yang canggih seperti TV LCD, kemudahan Wi-Fi dan sebagainya.

Tambah Connie, resort itu turut mengetengahkan konsep 'hijau' demi kelestarian alam sekitar.


KAYU jenis pine yang digunakan di Philea Resort & Spa didatangkan khas dari Rusia.


"Tangga pada setiap bilik dan pagar misalnya diperbuat daripada lebih 8,000 keping kayu landasan kereta api, manakala bangkai kapal pula telah diubah suai dan dijadikan perabot di bahagian lobi.

"Di samping itu, kami juga turut menanam lebih 3,000 pokok di sekeliling resort sekali gus memberi suasana redup yang menyejukkan pandangan," jelasnya.

Kunjungan anda pasti tidak sempurna jika tidak menjengah ruang restoran dan kafe yang disediakan di resort itu. Sama ada pilihan sama ada di Cravo Cravo Nusantara, Bayu Cabana, ChillOut Bar dan Tropics Lounge, ia pasti tidak menghampakan.

"Selain menawarkan penginapan yang selesa, kami juga menghidangkan seleksi hidangan Asia dan antarabangsa yang enak dan menyelerakan.

"Sebut apa sahaja, semuanya pasti terhidang di depan mata. Di sini anda akan sentiasa kekenyangan," kata Junior Sous Chef, Mohd. Nizam Yusop.

Mempunyai pengalaman lebih tujuh tahun dalam bidang kulinari, Mohd. Nizam kini bertanggungjawab mengendalikan Bayu Cabana, sebuah restoran berkonsepkan terbuka berhampiran kolam renang.

"Sambil menjamu selera aneka hidangan Barat dan stimbot yang ditawarkan, pengunjung pasti terpesona menikmati panorama kolam renang dan air terjun yang dihiasi lampu-lampu indah pada waktu malam," katanya.

Bagi yang mahu membelai tubuh dalam suasana yang tenang dan mendamaikan, atur saja langkah ke Tanjung Wellness Spa yang terletak di hujung resort.

Terdapat beberapa vila yang disediakan khusus bagi tujuan itu, setiap satunya dilengkapi bilik mandi dan bilik persalinan untuk keselesaan dan privasi pengunjung.

Pengurus Tanjung Wellness Spa, Alice Joutin berkata, spa itu menawarkan pelbagai jenis urutan untuk semua peringkat usia, jantina dan keperluan tubuh badan.

Tidak ketinggalan khidmat rawatan spa seperti stim, jakuzi, skrub dan sebagainya.

"Di sini kami mengetengahkan urutan Bali kerana ia menggabungkan kesemua teknik urutan dengan tekanan jari terhadap titik-titik tubuh badan untuk melegakan kesakitan atau menyegarkan tubuh badan," katanya.



Tambah Alice, ketika ini, pihaknya mempunyai empat ahli terapi profesional yang berkhidmat sepenuh masa.

"Pelanggan kami tidak terhad dalam kalangan pengunjung di resort sahaja, ada juga yang pelanggan dari luar yang datang kerana mahu mendapat perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung Haizren Mohd. Esa, 29 berkata, Philea Resort & Spa merupakan penginapan percutian yang mempunyai kelasnya yang tersendiri.

Kata Haizren, sebaik melangkah kaki ke ruang balkoni, pengunjung pasti berasa terpukau melihat panorama menghijau di sekelilingnya.

"Di samping itu, deruan air terjun yang mengalir di hadapan resort membuatkan pengunjung seolah-olah berada di rimba.

"Semua faktor ini, pastinya menjadi tarikan kepada penggemar alam semula jadi, malah kepada mereka yang ingin bercuti dan bebas daripada hingar-bingar kota," katanya yang berasal dari Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Bagi Mohd. Khairuz Alu, 42, pula, kedudukan resort yang terletak di Ayer Keroh begitu strategik kerana dikelilingi beberapa tarikan pelancongan dan pusat beli-belah yang terkenal di negeri itu.

"Jika berasa bosan pengunjung boleh melawat ke Zoo Melaka, Taman Mini Malaysia dan Asean, Taman Buaya, Taman Rama-Rama atau sekadar beriadah di Hutan Simpan berhampiran," katanya.

Meneroka pantai emas Australia

Posted:

Meneroka pantai emas Australia

Meneroka pantai emas Australia


PERCUTIAN ke Gold Coast memberi kenangan manis kepada penulis dan keluarga.


SEJAK dahulu lagi, Australia popular sebagai destinasi pelancongan utama di dunia. Selain kota metropolitan Sydney yang terkenal dengan keindahan Opera House, negara itu juga menawarkan beberapa lokasi percutian yang tidak kurang menarik.

Antaranya Gold Coast, bandar pesisir pantai yang terletak di wilayah Queensland, berhampiran sempadan Brisbane dan New South Wales.

Menerima jolokan pantai emas, Gold Coast mempunyai keunikan tersendiri daripada bangunan pencakar langit dan taman tema menghiburkan kepada keindahan pantai yang menakjubkan. Tidak ketinggalan ia juga antara 'syurga' membeli-belah.

Kesempatan bercuti panjang sekitar Oktober tahun lalu membawa saya meneroka keindahan Gold Coast dengan lebih dekat. Saya tidak keseorangan, sebaliknya turut ditemani ayah, ibu dan sepupu, Mimi Salwani Samsudin, 27.

Kami berlepas dari Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gold Coast, Coolangatta yang mengambil masa lapan jam.

Keletihan perjalanan jauh itu bagaikan terubat apabila ketibaan kami seawal pukul 7.50 pagi disapa suasana tenang fajar pagi di negara kanggaru itu.

"Akhirnya sampai juga kita ke Gold Coast," bisik saya kepada Mimi.

Perkara pertama yang saya lakukan ialah menguruskan kereta sewa. Untuk pengetahuan pembaca semua, negara ini menggunakan sistem pemanduan sebelah kanan sama seperti di Malaysia.

Biarpun pertama kali memandu di negara asing, saya tidak merasa kekok. Lebih-lebih lagi melihat sikap para pemandu di sana yang sentiasa bertimbang rasa.

Berbekalkan sekeping peta dan papan tanda jalan, kami akhirnya tiba ke lokasi penginapan yang terletak di Surfers Paradise, kira-kira 45 minit pemanduan dari lapangan terbang.

Menyusuri Surfers Paradise

Kami menginap di Kupari Apartmen, sebuah apartmen bajet yang terletak berhampiran pantai. Ia lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti ruang tamu, meja makan, dapur, mesin basuh dan televisyen.

Keesokan harinya, kami memulakan perjalanan ke Titanium Riverfront Restaurant di Ferny Ave. Ia menawarkan perkhidmatan Bluewater Cruise, pelayaran selama dua jam menaiki bot menyusuri sekitar Surfers Paradise.

Sepanjang pelayaran kami dijamu panorama lautan yang membiru di samping kapal-kapal mewah dan kediaman golongan berada di negara itu.

Seterusnya, kami ke Harbour Town yang terkenal sebagai lokasi membeli-belah utama di bandar itu.

Ketika asyik 'mencuci mata', kami terserempak dengan seorang rakyat Malaysia, Faizah Yusof atau lebih mesra dengan panggilan Kak Zah.

Biarpun kali pertama berjumpa, Kak Zah yang berusia sekitar 40-an sangat mesra dan peramah. Katanya, dia dan keluarganya sudah tujuh tahun menetap di Australia kerana suaminya bekerja di sebuah syarikat petroleum di Perth.

Tanpa diduga, Kak Zah membawa kami sekeluarga melawat seorang rakannya, Kak Sha seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap di Labrador, tidak jauh dari situ. Bermula dari sekadar minum petang, perbualan kami berterusan sehingga ke waktu malam.

"Hilang kerinduan terhadap makanan di Malaysia," kata saya tatkala menikmati nasi lemak panas bersama sambal udang yang dihidangkan. Selepas kekenyangan barulah kami pulang dan melelapkan mata.

Ke Movie World


BANGUNAN pencakar langit menghiasi landskap Gold Coast.


Pada hari ketiga, saya dan Mimi merancang ke Paradise Country dan Movie World, iaitu sebuah taman haiwan dan taman tema terkemuka di bandar itu.

Ibu dan ayah tidak ikut serta kerana mahu bersiar-siar di sekitar Harbour Town sahaja.

Perjalanan ke Paradise Country mengambil masa kira-kira satu jam. Di situ kami berpeluang melihat dan bergambar dengan beberapa jenis haiwan terkenal di Australia seperti beruang koala, kanggaru dan emu.

Selepas hampir tiga jam di situ, kami meneruskan perjalanan ke Movie World yang terletak berhampiran. Ibarat berada di alam fantasi, pengunjung akan dibawa melihat watak-watak animasi popular keluaran Warner Bros seperti Donald Duck, Tom and Jerry dan Roger Rabbit.

Pada masa yang sama, ia juga sarat dengan permainan yang menghiburkan untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.

Disebabkan kesuntukan masa serta jumlah pengunjung yang ramai, kami hanya sempat mencuba permainan Scooby Doo Spooky Coaster di samping menyaksikan persembahan yang penuh mendebarkan di Stunt Driver.

Keesokannya, kami meninggalkan Gold Coast untuk ke rumah Kak Zah di Brisbane, yang memakan masa kira-kira satu jam perjalanan.

Sebaik tiba di rumah Kak Zah, kami dijamu dengan pelbagai hidangan tempatan yang lazat dan menyelerakan.

Beberapa kenalan dan jiran tetangganya dari Malaysia dan Singapura juga turut serta dalam pertemuan itu.

"Kak Zah memang selalu buat makan-makan macam ini. Sekurang-kurangnya terubat juga kerinduan terhadap keluarga di Malaysia," katanya yang berasal dari Johor Bahru. Sekali lagi kami pulang ke apartmen dalam keadaan kekenyangan.

Keesokan harinya, kami mengambil kesempatan untuk membeli-belah di sekitar Harbour Town. Sudah namanya orang perempuan, ada sahaja yang hendak dibeli sehingga tidak sedar hari sudah lewat petang.

Sebelum pulang, kami sempat membasahkan kaki di kawasan pantai sambil menikmati panorama matahari terbenam.

Setiap yang bermula pasti akan berakhir, begitu juga percutian kami selama enam hari di Gold Coast. Apa yang pasti, segala kenangan yang dilalui tetap tersemadi dalam ingatan.

Keunikan Rynek Glowny

Posted:

Keunikan Rynek Glowny

Keunikan Rynek Glowny

Oleh NASRI JAMALUDIN


STATUSNYA sebagai Tapak Warisan Dunia menyebabkan Rynek Glowny dikunjungi ribuan pengunjung saban tahun.


RYNEK GLOWNY terletak di bandar lama Krakow, Poland merupakan kawasan pasar dan komersial utama yang sehingga kini masih menjadi tumpuan pelancong.

Dibangunkan pada kurun ke-13 dengan keluasan 40,000 meter persegi, ia merupakan sebuah kota lama terbesar di Eropah.

Selain itu, hartanah bernilai tinggi tersebut turut dikelilingi kawasan perumahan bersejarah, istana dan gereja lama.

Di tengah-tengah pasar itu terdapat bangunan dikenali sebagai Sukiennice yang dibina semula pada tahun 1555. Pembinaan itu berkonsepkan gaya zaman Pembaharuan Renaissance, mempunyai loteng yang cantik yang dihiasi topeng.

Bersebelahan Sukennice ialah Gereja St. Wieza Ratuszowa yang dibina pada kurun ke-10 dan Monumen Adam Mickiewicz yang dibina pada 1898. Bangunan tertinggi di situ ialah gereja gothik St. Mary Basilica.

Sejarah

Rynek Glowny berfungsi sebagai pasar utama untuk aktiviti perdagangan. Selepas bandar itu dimusnahkan oleh tentera Mongol pada tahun 1241, pasar utama dibangunkan semula pada 1257 mengikut bentuk asal diilhamkan Putera Krakow, Boleslaw V.

Pembaharuan yang dilakukan adalah Laluan Grodzka yang disambungkan ke Rynek Glowny menggunakan Istana Wawel. Pada asalnya, pasar berkenaan dipenuhi peniaga barangan berkualiti rendah dan bangunan pentadbiran.

Bagaimanapun, Raja Casimir lll telah membina Sukiennice dan Town Hall yang memenuhi suku daripada ruang di pasar itu.

Rynek Glowny telah menyaksikan pelbagai acara bersejarah dijalankan di situ. Selain itu, pelaksanaan hukuman ke atas penjenayah pernah dijalankan di hadapan khalayak di Town Hall.

Apabila Jerman menakluki Poland, nama Rynek Glowny ditukar kepada Adolf Hitler Platz dan monumen Adam Mickiewicz dimusnahkan. Selepas perang tamat, monumen itu dibina semula.

Tapak Warisan Dunia

Pada 1978, Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengumumkan Rynek Glowny sebagai sebahagian Bandar Lama Krakow sekali gus menjadi Tapak Warisan Dunia.

Rynek Glowny dikelilingi bangunan lama dan istana bersejarah. Kebanyakan bangunan mempunyai ciri neokolonialisme. Hampir keseluruhan bangunan itu kini digunakan sebagai pub, restoran dan kelab malam.

Antara restoran yang terkenal termasuk Pod Palma yang terletak di Istana Krzysztofory.

Di bahagian bawah Sukiennice pula terdapat banyak kedai cenderamata dan kafe, manakala di tingkat atas terdapat muzium.

Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan pertunjukan jalanan, nyanyian dan tarian pada hari perayaan tertentu di kota lama itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved