Rabu, 7 November 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tolak populariti, terima kualiti

Posted:

Tolak populariti, terima kualiti

TANPA berselindung, Faizal Hussein, Maya Karin mahupun Azhanrani memberitahu mereka tidak meletakkan harapan untuk menang dalam Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) yang bakal berlangsung pada 9 November ini. Tegas anak-anak seni berkaliber itu, mereka bekerja secara ikhlas dan lebih mementingkan kualiti serta kepuasan dalam bekerja.

Biar masing-masing tidak meletak sasaran untuk menang, namun melihat kepada filem dan watak yang didukung mereka begitu hebat, maka kebarangkalian untuk mereka menang adalah besar.

ASK 2012 boleh dikatakan medan 'tuah' buat Faizal apabila tiga filem lakonannya tercalon iaitu Bunohan, Abuya dan Datin Ghairah. Tercalon untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik bagi filem Bunohan, tegas Faizal, dia bersyukur kerana filem itu juga berjaya mewakili negara ke pencalonan awal Academy Awards ke-83.

Bagi Maya Karin atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 33, dia berbangga dengan pencapaian filem Ombak Rindu yang menerima banyak pencalonan termasuk pencalonan untuk dirinya iaitu Pelakon Wanita Terbaik Filem dalam anugerah tersebut.

Menganggap pencalonan tersebut sebagai rezeki, jelas Maya, bukan kemenangan menjadi keutamaan, sebaliknya dia lebih mementingkan kualiti kerja dan sentiasa menunjukkan komitmen 100 peratus dalam bekerja.

Sebaliknya, bagi pelakon berbakat besar, Azhanrani, 37, ini adalah kali pertama dia tercalon untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk drama Pelarian.

Tidak meletakkan sebarang sasaran, ungkap lelaki yang senang disapa Azhan itu, jika menang ia merupakan satu bonus buat dirinya.

Faizal ke Hollywood

Tepat jangkaan Faizal, 45, apabila filem Bunohan berjaya mewakili negara ke Academy Awards ke-83 pada tahun hadapan. Disebabkan itu, pelakon yang cukup sinonim dengan filem nostalgia Gila-Gila Remaja itu tidak terkejut dengan pencalonan filem tersebut ke luar negara.

Ungkapnya, biar pada mulanya filem tersebut menerima kritikan orang ramai apabila ditayangkan tetapi dia sedar filem itu bagus dan mampu ke peringkat antarabangsa.

"Saya cukup berbangga dengan pencapaian ini dan secara tidak langsung menjadi duta yang mewakili negara kita di Hollywood. Saya rasa ini merupakan satu petanda aras bahawa filem Malaysia akan diangkat ke mata dunia suatu hari nanti," katanya.

Cuma, harapannya kini agar filem Bunohan mampu memasuki pencalonan Top 5 Academy Awards ke-83, seterusnya membuka ruang dan peluang untuknya melangkah kaki ke Hollywood.

Ternyata harapannya itu bakal menjadi kenyataan apabila dedah Faizal, baru-baru ini dia ada menerima dana daripada sebuah syarikat komunikasi untuknya bertapak di Hollywood.

Biarpun pada mulanya Faizal agak keberatan untuk berkongsi cerita tersebut kerana beranggapan perkara itu masih lagi dalam perbincangan, namun kerana rasa gembira impiannya selama ini bakal tercapai perkara itu akhirnya dikongsikan secara eksklusif bersama Kosmo!.

"Sebenarnya ada projek rahsia yang bakal saya jalankan. Baru-baru ini saya ada menerima dana daripada sebuah syarikat komunikasi yang sudah merangka perjalanan karier saya di Hollywood," jelasnya.

Luah Faizal, sebenarnya sejak umurnya 20-an lagi dia sudah mengimpikan untuk ke Hollywood namun, ternyata impiannya itu terlaksana ketika usianya mencecah 45 tahun.

Berasakan tidak terlalu lewat untuknya pergi ke peringkat antarabangsa, ujar Faizal, projek itu akan berjalan sepanjang pencalonan filem Bunohan bagi kategori Filem Asing Terbaik dalam Academy Awards ke-83 yang akan berlangsung pada 10 Januari 2013.

Berjaya atau tidak projek itu nanti bukan menjadi keutamaan Faizal, tetapi tegasnya ia bertujuan sebagai pembakar semangat kepada pelakon-pelakon Malaysia untuk tampil ke peringkat antarabangsa.

Ia akan dapat membuka peluang yang lebih besar lagi kepada aktor-aktor tempatan untuk meluaskan lagi bakat mereka di luar negara khususnya di Hollywood.

"Saya boleh katakan projek tersebut sebagai pembakar semangat dan motivasi kepada pelakon-pelakon di Malaysia untuk ke peringkat antarabangsa," ujarnya.

Selain Faizal, filem yang mengambil latar belakang cerita di sebuah kampung di Kelantan itu turut dibintangi oleh pelakon lain seperti Zahiril Adzim, Bront Palarae, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Wan Hanafi Su dan Tengku Azura.


DARI kiri: Faizal Hussein, Maya Karin dan Azhanrani memiliki karisma tersendiri sebagai anak seni yang disegani. Ketiga-tiganya dilihat sebagai pencabar hebat dalam kategori yang mempertandingkan mereka menerusi Anugerah Skrin 2012 yang bakal berlangsung pada Jumaat ini.


Mengenai perkembangan terkini, Faizal mengakui terpaksa menyimpan jambang sehingga malam ASK 2012 kerana terlibat dengan penggambaran drama 13 episod untuk RTM 1 iaitu Beret Hijau.

Membawa peranan sebagai ketua militan jahat bernama Abu Farsi, dedah Faizal, dia mampu bertahan dalam industri seni berkat daripada peranan antagonis yang dibawa sejak tahun 2000.

"Saya ada strategi untuk membuatkan penonton dan peminat tidak puas menonton lakonan saya. Disebabkan itu, bermula tahun 2000, saya banyak menerima watak antagonis tidak kira dalam drama mahupun filem," jelasnya yang risau penonton muak jika terlalu kerap muncul di media.

Eksperimentasi Maya

Bakal muncul dengan persalinan ala puteri raja daripada pereka Khairi Sufi untuk ASK 2012 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, ini merupakan penampilan pertamanya dalam anugerah tersebut selepas lima tahun tidak berpeluang menghadirinya.

Bukan sebab tidak dicalonkan, tetapi menurut pelakon yang memegang peranan Katerina dalam filem terbaharunya iaitu Lagenda Budak Setan 2, dia tidak dapat hadir ke ASK sebelum ini kerana tidak mempunyai kelapangan waktu.

Ditanya bagaimana dia mampu bertahan dalam industri seni sehingga kini, ujar Maya, semuanya kerana dia bijak mengawal kualiti kerja dan melakukan sebaik mungkin setiap watak yang diberikan.

Disebabkan itu, katanya, dia tidak pernah mengambil dua kerja dalam masa serentak kerana mahu memberi sepenuh perhatian kepada satu karya.

Menolak semua tawaran drama yang datang, jelas Maya, ia bukan disebabkan dia berlagak diva atau menganggap dirinya besar dan tidak layak untuk berlakon drama, tetapi dia akui begitu selektif memilih watak dan jalan cerita yang benar-benar berkualiti untuk dilakukan.

"Saya bukan berlagak tidak mahu berlakon drama dan hanya berlakon filem sahaja, tetapi saya kena selektif. Kebanyakan drama yang saya terima ada skripnya yang masih belum siap, jalan cerita yang tidak jelas penghabisannya dan masa penggambaran yang terlalu lama," ujarnya yang tidak suka menerima karya yang tidak bermutu.

Ujar Maya, jika terbabit dengan sesebuah filem sekalipun, dia hanya memberikan masa paling lama enam minggu untuk melakukannya namun, janjinya dia akan meletakkan 100 peratus komitmen untuk karyanya itu.

Selepas itu, tutur wanita cantik itu lagi, dia akan melakukan pelbagai aktiviti kesukaannya seperti mendaki gunung untuk kepuasan peribadi.

Mengakui suka bereksperimentasi dalam mencuba pelbagai watak, dedah Maya dia harus akur bahawa selera peminat lebih suka melihatnya membawakan watak yang sama seperti watak Izzah dalam filem Ombak Rindu.

"Saya menerima banyak komen peminat yang mempertikaikan jika saya membawakan watak yang lain daripada watak sebelum ini. Sebaliknya, saya pula tidak suka membuat benda yang sama (berlakon watak yang sama). Bagaimanapun, selepas menonton lakonan saya, peminat akhirnya menerima dan menyukai watak baharu yang saya lakonkan," ceritanya.

Tidak meletakkan sasaran sehingga bila dia akan berlakon, kata Maya, menjadi keutamaan baginya setiap kali muncul di kaca TV atau layar perak, peminat menyukai hasil lakonannya dan dia juga mendapat kepuasan maksimum.

Populariti Azhanrani

Azhanrani mula berlakon pada tahun 2005 apabila menghiasi slot Samarinda, Sesuci Cinta Sofia di TV3. Namun, impak lakonan yang dibawa lelaki berwajah serius ini masih belum menyerlah di kaca mata peminat.

Hampir tujuh tahun merangkak kemudian bertatih dalam industri bukan jangka masa yang singkat namun, ia tidak pernah mengecewakan Azhan.

Sehingga dia muncul dalam drama Gemilang, Supermak dan terbaharu Amukan Pocong untuk slot Seram diTV3, baru kehadirannya dalam industri lakonan disedari.

Pun begitu, akui Azhan, sehingga kini orang ramai masih lagi tidak mengetahui namanya.

"Banyak kali orang yang terjumpa saya akan cakap, 'Eh awak ini yang berlakon dalam drama Amukan Pocong itukan...', 'Awak berlakon dalam drama Supermak kan...'," dedahnya yang tidak ambil hati kerana namanya masih tidak dikenali peminat.

Bagi pelakon yang mencuri perhatian peminat dengan karisma lakonannya, tidak dikenali bukan merupakan satu isu besar bagi dirinya, sebaliknya dia lebih suka orang mengenali karakter yang dibawanya di dalam drama atau filem.


MAYA, Azhan dan Faizal lebih mementingkan kualiti kerja berbanding menerima tempias popular kerana kontroversi.


Mengakui kurang dikenali dari segi nama dan kurang pendedahan di dada akhbar mahupun program hiburan, bagaimanapun, tawaran lakonan tetap bertali arus.

"Walaupun kurang pendedahan di majalah atau surat khabar, peluang sentiasa ada. Biarlah nama saya tidak popular seperti pelakon lain, asalkan tawaran lakonan sentiasa ada.

"Dari segi perkembangan karier, saya bersyukur kerana tawaran sentiasa ada, malah kadangkala terpaksa tolak," katanya.

Dalam nada rendah diri, Azhan akui seronok dapat bekerja dengan ramai pengarah besar tempatan. Tanpa berselindung, itulah impiannya selama bergelar pelakon iaitu bekerja dengan semua pengarah tempatan untuk merasai nikmat kepuasan berlakon.

"Saya membesar dengan teater sejak kecil. Selepas lama bergiat dalam teater dan bermula daripada Lantai T Pinkie, saya dibawa masuk ke dunia penyiaran oleh tiga pengarah iaitu Along Kamarudin, Ahmad Nor Bujang dan Zuraidah," jelasnya.

Sejak itu, Azhan menggalas peranan sebagai anak seni dalam lebih 40 buah drama TV, antara lain Ku Milikmu, Tower 13, Lembing dan Dayang dan Warkah Terakhir.

Ana Dahlia menyesal

Posted:

Ana Dahlia menyesal

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


ANA DAHLIA dan Chef Riz bernikah 11 bulan lalu. Rumah tangga mereka kini sedang bergolak.


BADAI yang melanda rumah tangga pelakon filem Mantra, Ana Dahlia dan chef selebriti terkenal, Chef Riz menjadi teka-teki dan status perkahwinan mereka masih mengundang tanda tanya ramai pihak.

Kontroversi itu muncul setelah pasangan itu dilihat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor pada awal minggu lalu untuk mengambil borang penceraian.

Walaupun kedua-duanya telah memberikan kenyataan balas mengenai keadaan hubungan mereka, namun punca sebenar keretakan rumah tangga mereka belum lagi didedahkan.

Kosmo! yang berkesempatan bertemu dengan pelakon Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, di majlis ramah mesra drama bersiri Cinta Itu Milikku di Sri Pentas baru-baru ini untuk mendapatkan kenyataan lanjut daripadanya.

Kosmo!: Sepanjang kes rumah tangga Ana dibicarakan dengan lebih meluas sejak akhir-akhir ini, tiada lagi kenyataan mengenai punca masalah rumah tangga kalian bergolak. Apakah komen anda?

Ana Dahlia: Hal ini terlalu peribadi buat saya. Sampai masanya orang ramai akan tahu perkara sebenar. Tidak perlu saya aibkan diri saya, keluarga kedua-dua belah pihak dan orang sekeliling.

Benarkah anda dan Chef Riz hadir ke mahkamah untuk mengambil borang penceraian baru-baru ini?

Saya tidak boleh cakap apa-apa. Saya tidak mengesahkan atau menafikan perkara itu.

Benarkah ada dakwaan anda kini sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang sehingga menyebabkan keretakan rumah tangga anda?

Ingin saya tegaskan di sini, saya tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki jauh sekali untuk berlaku curang.

Boleh anda jelaskan tentang status perkahwinan anda kini? Adakah kalian masih tinggal sebumbung?

Itu terlalu peribadi, jadi saya tidak perlu jawab. Buat masa ini saya tidak boleh jelaskan lagi mengenai status perkahwinan saya. Sampai masa perkara ini akan jelas dengan sendiri.

Anda dan Chef Riz hanya baru 11 bulan berkahwin dan kini perkahwinan kalian sudah bergolak. Anda ralat?

Saya akui kami berkenalan dalam tempoh yang singkat sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin dan tidak cukup mengenali hati budi masing-masing.

Itu salah saya. Sebaik-baiknya, janganlah membuat keputusan terburu-buru dan menyebabkan kita tersilap langkah. Saya terima keluarga sebelah mentua kerana mereka sangat baik dan rapat dengan saya.

Apakah tindakan anda sekarang? Adakah anda berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan kalian?

Saya rasa semua orang melakukan perkara yang sama untuk menyelamatkan rumah tangga (jumpa kaunselor). Kini saya hanya berserah dan berusaha untuk diri saya.

Adakah isu kepincangan rumah tangga anda kini mengganggu fokus kerja?

Terus-terang, ya. Tapi saya harus fokus terhadap karier dan tidak mahu memikirkan hal ini sehingga ia menjejaskan kehidupan saya.

Buat masa ini, saya masih perlu menjalani penggambaran drama Cinta Itu Milikku dan saya juga tidak ada menerima tawaran lain.

Kontrak tetamu Timberlake-Biel

Posted:

Kontrak tetamu Timberlake-Biel


GAMBAR perkahwinan Justin Timberlake dan Jessica Biel telah menjadi muka depan majalah Hello!.


JUSTIN TIMBERLAKE dan Jessica Biel telah pun selamat berkahwin pada 19 Oktober lalu. Pasangan tersebut kini sedang menikmati bulan madu mereka di Tanzania.

Namun, rupa-rupanya setiap tetamu yang hadir ke majlis tersebut harus menandatangani satu kontrak yang telah disediakan oleh pasangan selebriti tersebut.

Hal itu didedahkan oleh bintang Jimmy Falon. Falon memberitahu: "Ya, saya telah menandatangani satu kontrak sebagai tetamu pada majlis tersebut."

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan isi kandungan kontrak yang perlu ditandatangani para tetamu. Sebaliknya hanya memberitahu majlis tersebut telah berjalan dalam suasana yang cukup sederhana tetapi romantik.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved