Isnin, 19 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kostum watak jahat lebih hebat

Posted:

Kostum watak jahat lebih hebat

Kostum watak jahat lebih hebat

Oleh BASIR ABU BAKAR

WATAK-WATAK dari filem fiksyen sains popular, Star Wars yang berlegar-legar di tapak Pameran Barangan Mainan Antarabangsa Malaysia (MITF) 2011 baru-baru ini mampu menarik perhatian sesiapa saja yang memandang. Benar, mereka bukanlah tentera makhluk asing atau pelakon filem terbaru Star Wars yang sedang melakukan promosi tayangan.

Sebaliknya, mereka adalah peminat fanatik dunia fiksyen sains atau ringkasnya sci-fi. Mereka merupakan ahli kelab 501st Legion iaitu sebuah organisasi peminat antarabangsa yang dedikasi terhadap pemakaian kostum watak-watak jahat filem Star Wars.

Komander Pemerintah Malaysia-Brunei Outpost, 501st Legion, Zulkarnain PS Muhammad, 35, memberitahu, ahli organisasi peminat global itu memilih untuk menggayakan kostum karakter jahat Star Wars kerana kostumnya lebih menyerlah, bergaya dan hebat berbanding kostum-kostum watak baik.

Pertubuhan itu tidak ditaja oleh syarikat Lucasfilm Ltd. Sebaliknya, ia merupakan sebuah badan bebas yang terdiri dari kumpulan peminat kostum watak pasukan Imperial Darth Vader.

"Untuk pengetahuan umum, karakter Star Wars, kostum dan barangan lain yang berkaitan merupakan harta intelek syarikat Lucasfilm.

"Maka segala tindakan bagi mengkomersialkan karakter Star Wars akan dikenakan tindakan. Namun, komuniti peminat kostum filem tersebut yang tidak bermotifkan keuntungan dikecualikan dan diiktiraf oleh pihak Lucasfilm," kata pengurus teknologi maklumat itu ketika ditemui baru-baru ini di Pameran Barangan Mainan Antarabangsa Malaysia (MITF) 2011 di Kuala Lumpur.

Dalam pameran itu, sebahagian daripada 19 anggota kumpulan kelab 501st Legion bagi cawangan Malaysia-Brunei turut hadir dan mereka begitu sibuk melakukan kerja-kerja sukarelawan membantu insan lain yang dalam kesusahan.


BAGAIKAN pasukan tentera di bawah telunjuk Vader, beginilah keadaannya kalau ahli-ahli taksub ini berkumpul.


Tarik minat

Fenomena Star Wars telah dicetuskan daripada siri filem epik fiksyen sains Amerika yang diilhamkan oleh penerbit dan sutradara, George Lucas. Awalnya, filem pertamanya telah diterbitkan syarikat 20th Century Fox pada tahun 1977.

Budaya popular itu diteruskan melalui dua buah filem sekuel yang menemui peminatnya selang tiga tahun. Selepas 16 tahun, trilogi prekuel bagi filem tersebut dihasilkan dengan pencapaian teknologi perfileman terkini termasuk penggunaan imejan janaan komputer. Filem terakhir siri prekuel itu menemui penonton dunia pada tahun 2005.

Sejak tahun 1997, kata Zulkarnain, kelab 501st Legion telah menyebarkan keajaiban kisah fiksyen Star Wars melalui pemakaian kostum seperti watak sebenar dan ia berjaya menarik minat masyarakat dunia dan Malaysia.

"Dalam tempoh beberapa tahun sejak ditubuhkan, kelab ini telah menjadi kekuatan utama mengangkat filem Star Wars dengan kerja-kerja amal yang dilakukan oleh kumpulan peminat filem itu di seluruh dunia.

"Dengan jumlah ahli seramai 4,200 orang yang masih aktif di seluruh dunia, kita telah menyertai terlalu banyak acara promosi, melakukan kutipan amal berjuta-juta dolar dan menghiburkan peminat filem Star Wars pada pelbagai peringkat usia," katanya.

Tambahnya, kelab 501st Legion bagi Malaysia-Brunei Outpost merupakan salah satu kumpulan serantau dalam Asean. Ia dianggotai 19 orang ahli aktif dan kini semakin berkembang sejak ditubuhkan pada bulan Januari 2006.

"Antara karakter kostum yang dimiliki anggota kami ialah Darth Vader, Imperial Officers, Royal Guards, Boba Fett, Tusken Raiders, TIE Pilots, Pilot AT ST, Biker Scout, Sandtrooper dan yang paling popular ialah Stormtrooper.

"Kesemua anggota kami mengeluarkan wang sendiri untuk membeli kostum dari luar negara, rakan-rakan atau menghasilkannya sendiri menyerupai kostum asal," katanya yang sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk tujuan tersebut.

Kumpulan 501st Legion Malaysia-Brunei Outpost terdiri daripada sukarelawan dan setiap ahli dalam kumpulan itu sanggup menghabiskan masa berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun untuk membuat, mewarna dan menyambung kostum karakter Star Wars mereka.


AHLI 501st Legion sangat aktif menganjurkan aktiviti amal dan konvensyen di serata dunia.


Sukarela

"Sebenarnya, orang ramai mahu melihat kostum karakter Star Wars dan bukan wajah si pemakainya.

"Namun yang menggayakan kostum ini terdiri dari ahli kumpulan yang secara sukarela meluangkan masa, wang ringgit dan keghairahan terhadap Star Wars sekali gus membentuk 501st Legion seperti sekarang," katanya yang mendakwa kebanyakan ahli kumpulan itu terdiri daripada pekerja profesional seperti peguam dan pengurus besar syarikat.

Seorang ahli 501st Legion, Charlie Teng, 29, berkata, dia menyertai komuniti sukarelawan tersebut sejak empat tahun lalu kerana didorong oleh suaminya Julian Kong, yang meminati filem Star Wars.

Dia mula mengenali dan mengetahui kewujudan kumpulan 501st Legion itu apabila mula berkenalan dengan suaminya yang aktif dalam organisasi itu.

Melihat keghairahan Julian memakai kostum dan sibuk dengan rakan-rakannya melakukan kerja amal membuatkan Charlie jatuh cinta dan akhirnya menyatakan hasrat untuk menyertai kumpulan tersebut.

"Untuk memasuki kumpulan ini, seseorang ahli perlu mempunyai kostum seperti yang ditetapkan oleh pertubuhan.

"Ekoran itu, Julian telah menghadiahkan kepada saya sebuah topi kostum Royal Guard pada hari lahir saya tiga tahun lalu.

"Sejak itu, saya mula aktif dengan aktiviti 501st Legion sehingga kini bersama suami," katanya yang merupakan salah seorang ahli farmasi di sebuah hospital kerajaan.


DI MALAYSIA, kegilaan terhadap Star Wars memuncak selepas tertubuhnya kelab 501st Legion bagi Malaysia-Brunei Outpost pada Januari 2006.


Pada mulanya, Charlie hanya mengenali karakter Star Wars melalui filem-filem yang ditayangkan di pawagam dan suka menonton filem fiksyen sains terkenal Lucasfilm itu sejak kecil.

Namun, setelah menjadi ahli 501st Legion, Charlie mula belajar dengan lebih mendalam tentang kisah karakter-karakter dalam filem tersebut.

"Walaupun kostum yang kami pakai ini lebih kepada watak jahat dalam filem Star Wars, namun realitinya kami melakukan kerja-kerja sukarelawan bagi membantu insan yang susah dan memerlukan bantuan.

"Sejak menyertai kumpulan ini, saya lebih banyak menghabiskan masa yang terluang dengan melakukan kerja-kerja kebajikan seperti mengutip derma atau dana.

"Semua itu bagi menghiburkan kanak-kanak yang sakit di hospital dan anak-anak yatim serta orang kelainan upaya (OKU)," katanya yang memasang angan untuk memakai kostum Stormtrooper tidak lama lagi.

Pewarna daripada serangga cochineal

Posted:

Pewarna daripada serangga cochineal

Pewarna daripada serangga cochineal


SEORANG peladang menuai serangga cochineal menggunakan bilah-bilah logam.


IA hanyalah serangga kecil yang bersaiz seperti pepijat. Serangga yang dikenali dengan nama cochineal dan berguna untuk menghasilkan pewarna merah tua semula jadi itu mula diternak oleh para pengusaha di Kepulauan Canary di Sepanyol.

Warna merah pekat yang dihasilkan oleh serangga yang berbentuk bujur itu diperoleh daripada asid yang dilepaskan oleh serangga berkenaan untuk menghalau pemangsa.

"Kebanyakan jualan cochineal digunakan oleh industri makanan dan kosmetik. Ada juga digunakan di dalam industri tekstil," kata Juan Cazorla, seorang ahli biologi yang cuba menggalakkan pembiakan serangga berkenaan di sebuah pulau di Lanzarote.

"Kami cuba untuk mendidik pengusaha di pulau ini cara-cara untuk menggunakan pewarna merah dalam produk kraf tangan mereka bagi meningkatkan nilai produk-produk berkenaan.

"Kami juga mengiklankan pewarna semula jadi ini dalam kalangan pelukis di negara-negara lain seperti Perancis, Britain, Turki dan Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Calorza, yang bekerja dengan pertubuhan Milena bagi meningkatkan penghasilan cochineal berkata, pengusaha memerlukan kira-kira 3 sehingga 3.5 kilogram (kg) cochineal untuk menghasilkan sekilogram cochineal kering yang menjadi bahan asas untuk membuat pewarna berkenaan.

Tempat tinggal

Serangga berkenaan yang bersaiz kira-kira enam milimeter (mm) atau kurang suku inci panjang, mungkin disalahertikan dengan tompokan putih kecil pada permukaan daun-daun pokok kaktus yang menjadi tempat tinggal mereka.

Ia makan getah pada daun-daun pokok berkenaan dan mampu merebak secara semula jadi ke seluruh kawasan ladang tetapi para petani memudahkan proses itu dengan menanam tanaman mereka secara teratur bagi memudahkan proses persenyawaannya.

Cochineal diletakkan di atas daun-daun berkenaan supaya ia melekat pada daun tersebut. Selepas 60 hingga 70 hari kemudian serangga berkenaan sudah cukup matang untuk dituai dengan menggunakan bilah-bilah logam.

Selepas 10 hingga 20 hari proses mengering, ia akan diletakkan di dalam beg dan disimpan, kadangkala sehingga setahun sebelum pewarna merah tua dapat diekstrak untuk digunakan sebagai pewarna semula jadi untuk kegunaan produk-produk yang tidak sesuai dengan pewarna sintetik.

Usaha sama penternakan cochineal di kawasan membangun Mala-Guatizaberjaya mengeksport sebanyak 20,000kg Lanzarote kering ke kilang di Jerman untuk membuat pewarna merah tua untuk industri makanan pada April 2010.

Walaupun dilihat mempunyai potensi yang bagus, penternakan cochineal pada zaman pra-Columbia Mexico telah merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini di Kepulauan Canary.


PATI warna merah ini diperoleh daripada serangga cochineal.


"Dalam pengetahuan saya terdapat kira-kira 30 hektar ladang penternakan di sini, terutamanya di rantau membangun Mala-Guatiza," kata Cazorla.

"Mereka menghasilkan antara 2,000 hingga 3,000kg cochineal kering setiap tahun, jauh berbeza dibandingkan dengan hasil yang diperoleh pada tahun 1980 iaitu sebanyak 14,000kg," katanya.

Harga rendah

Pengusaha di Kepulauan Canary berdepan dengan detik-detik sukar untuk bersaing dengan Peru. Peru merupakan pembekal utama yang mampu memenuhi permintaan bahan pewarna berkenaan di kebanyakan negara di dunia diikuti Chile, Bolivia dan Mexico.

Cochineal kering dijual di Jerman pada tahun 2010 pada harga 50 euro kg (RM215) kata Cazorla, tetapi 15 tahun lalu di Kepulauan Canary para pengusaha sukar menjual hasil mereka kerana harga yang jauh lebih rendah ditawarkan Peru, katanya.

Penghasilan cochineal kekal sebagai perniagaan keluarga kerana hanya sedikit keuntungan diperoleh daripadanya. Pertubuhan Milena bagaimanapun menggalakkan penternakan serangga berkenaan untuk meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke ladang-ladang mereka. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved