Isnin, 19 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Warga emas cuba hidupkan tradisi

Posted:

Warga emas cuba hidupkan tradisi

Warga emas cuba hidupkan tradisi

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

SEKUMPULAN remaja kaum Cina sedang rancak bersembang di hadapan pentas opera Cina di tokong Sam Hock, Batu 12, Jalan Kapar, Klang. Mereka langsung tidak menghiraukan perjalanan cerita opera itu, sebaliknya memilih untuk berbual sesama mereka sambil bergelak ketawa.

Apabila didekati, semuanya 'lari' kerana segan memberi maklum balas walaupun belum tahu tujuan sebenar mereka didekati. Namun, seorang remaja lelaki selepas dinasihati bapanya, barulah berani membuka mulut.

"Saya jarang menonton opera Cina. Mungkin boleh dikatakan ini adalah kali pertama saya duduk paling lama di sini. Biasanya sekejap sahaja. Saya tidak berapa menyukai penyampaian opera ini," ujar Tee Tun Hong, 15, yang pantas berundur dan mencari rakan-rakannya yang lain.

Opera Cina adalah salah satu cabang seni kebudayaan masyarakat Cina yang dikhuatiri perlahan-lahan dilupakan kaumnya sendiri gara-gara kurang elemen tarikan terhadap generasi muda.

Dialek Hokkien

Teater Cina tradisional atau opera Cina menggabungkan muzik, nyanyian, tarian dan kadangkala akrobatik. Persembahan itu dipercayai telah wujud di Tanah Melayu semasa pendudukan Inggeris sekitar kurun ke-16. Ia diilhamkan oleh peniaga dan pemastautin Cina sebagai satu bentuk hiburan pada waktu senggang.

Seorang remaja lelaki yang enggan dikenali memberitahu, persembahan opera disifatkan olehnya sebagai membosankan kerana mereka menggunakan dialek Hokkien.

"Kami hanya tahu dialek Kantonis atau Mandarin," ujarnya ringkas lalu meninggalkan tempat itu.

Penceritaan opera Cina dalam dialek Hokkien dipercayai menyentuh kisah kegagahan para pahlawan dan golongan bangsawan. Kebanyakan kisah-kisah opera Cina diambil dari zaman Dinasti Song selatan. Antara cerita-cerita opera Cina yang popular ialah Tasik Biru dan Hang Zhou.

"Apa yang kami percaya ialah opera ini bermula sejak lebih 5,000 tahun yang lalu ketika pemerintahan Dinasti Tang. Ia merupakan salah satu bentuk hiburan yang disampaikan hampir pada setiap bulan mengikut festival-festival di tokong-tokong tertentu. Umumnya, ia meriah pada bulan Jun, Julai dan Ogos mengikut kalendar Lunar.


OPERA Cina bermula sejak Dinasti Tang ketika pemerintahan Maharaja Xuazong.


"Opera ini berasal dari wilayah Xiamen di China," kata pengurus kumpulan opera Cina dari Batu Pahat, Johor, Ng Chui Sia, 64, yang sudi berkongsi cerita di sebalik kesibukannya menjayakan persembahan menggunakan patung boneka di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Walaupun tidak dapat dipastikan kesahihan fakta itu, Xiamen dikenal pasti sebagai salah satu tempat popular bagi Opera Gezi iaitu sejenis persembahan opera teater.

Opera Cina itu dipercayai cukup popular pada Dinasti Tang sewaktu pemerintahan Maharaja Xuanzong (712-755) yang menemui kumpulan opera Pear Garden. Kumpulan tersebut hanya membuat persembahan untuk hiburan peribadi maharaja.

"Saya percaya, opera Cina berasal daripada persembahan menggunakan patung-patung dan kemudian ia berevolusi menjadi persembahan teater yang terdiri daripada pelakon-pelakon yang memakai solekan tebal," kata Chui Sia.

Chui Sia memulakan perkhidmatan menyediakan patung dan pelakon untuk opera Cina sejak tahun 1970. Dengan pengalaman lebih 40 tahun, lelaki itu mengakui dia mendapat permintaan yang tinggi daripada pihak pengurusan tokong.

Namun, permintaan itu wujud kerana kumpulannya antara yang masih menawarkan perkhidmatan tersebut.

"Tujuan persembahan ialah untuk menghibur tuhan atau kami panggil Datuk. Ia bukan semata-mata untuk pengunjung tokong, tetapi orang ramai digalakkan menontonnya untuk merapatkan diri dengan elemen kebudayaan," terangnya.

Teater makin malap

Pada hari tersebut, lima orang membuat persembahan opera boneka iaitu tiga orang penyanyi, seorang pemain dram dan seorang pemain kancing. Semuanya terdiri daripada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

"Mungkin selepas saya, tidak ada orang yang mahu meneruskan perkhidmatan ini. Mungkin saya menjadi orang terakhir bagi syarikat saya memandangkan anak-anak saya tidak berminat," keluh Chui Sia.

Lelaki yang jelas menampakkan garis-garis usia pada wajahnya itu mengakui, kumpulannya mendapat RM1,000 untuk setiap persembahan dengan kekerapan dua kali sehari. Lazimnya, mereka berada selama tiga hari di setiap lokasi persembahan. Permintaan membuat persembahan meningkat pada pertengahan tahun iaitu lebih 10 hari tempoh persembahan.

Pada malam Chui Sia ditemui, persembahan yang beliau lakukan itu adalah persembahan pada hari pertama dan ia akan diteruskan selama dua hari lagi. Jumlah penonton yang hadir untuk menyaksikan persembahannya pula tidak lebih daripada 30 orang.


PATUNG boneka turut digunakan pada seni opera Cina.


Opera teater Cina merupakan satu lagi cabang opera yang cukup popular di Malaysia. Dengan menyolek wajah menggunakan warna-warna yang terang dan tebal, pelakon-pelakon teater menunjukkan pelbagai kemahiran sepanjang persembahan.

Sim Siang Aoon sudah mencecah umur 46 tahun. Dia merupakan pelakon paling muda dalam persembahan opera malam itu. Sambil merias wajah dengan solekan tebal, Siang Aoon ramah bercerita tentang kisahnya meskipun suaranya tenggelam timbul dek kebingitan bunyi muzik.

Bertemu di tokong Sam Hock di Batu 12, Jalan Kapar, Klang, Siang Aoon merupakan isteri kepada Chui Sia, pemilik kumpulan teater boneka yang Kosmo! temui sebelumnya di Pelabuhan Klang.

"Kami semua berasal dari Batu Pahat, Johor. Saya sudah lama menyanyi untuk opera sejak tahun 1984 dan berlakon sejak lebih sedekad yang lalu," kata Siang Aoon fasih berbahasa Melayu.

Beliau bersama 16 orang pelakon dan pemuzik, semua kelihatan sibuk dengan kerja masing-masing.

"Pelakon sahaja, kami ada 15 orang. Pemuzik dua orang. Dulu ada tiga, sekarang hanya dua," katanya yang turut meluahkan rasa khuatir terhadap masa depan opera Cina di Malaysia.

Menerima lebih RM2,000 untuk satu hari persembahan, Siang Aoon memastikan pelakon-pelakonnya menepati kualiti persembahan.

"Saya sendiri mengambil masa satu jam untuk bersolek kerana saya tidak suka buat kerja cincai. Saya akan pastikan solekan ini dapat tahan lama. Jika persembahan pada waktu petang, solekannya kurang tebal, tetapi pada waktu malam, ia mesti lebih menonjol. Begitu juga dengan pakaian dan aksesori," terangnya.

Siang Aoon memberitahu, kerana kekurangan pelakon, mereka terpaksa mengimport pelakon dari Taiwan dengan menawarkan gaji lumayan. Sebanyak RM350 perlu dibayar kepada pelakon jemputan itu berbanding pelakon tempatan yang hanya menerima RM80 untuk satu persembahan.

"Tauke tanggung makan dan pengangkutan. Hanya mekap, pakaian dan aksesori kami punya," katanya.

Menurut Siang Aoon, pelakon Taiwan dibayar agak mahal kerana mereka lebih berkemahiran khususnya dari segi penampilan. Pakaian mereka juga lebih menarik berbanding pelakon tempatan.

"Baju pelakon Taiwan biasanya mahal, lebih kurang RM1,000 dan aksesori mereka juga lebih menarik. Walaupun ada ramai pelakon opera di Taiwan, kami hanya mengambil mereka yang umurnya lebih 40 tahun kerana faktor gaji," jelasnya.

Seorang lagi pelakon opera wanita yang ditemui sedang sibuk memasang aksesori kepala berwarna merah, Sia Ah Bo, 53.

"Saya sudah 35 tahun berlakon. Dari dulu hingga sekarang sama sahaja. Terlibat dalam opera, kita perlu pantas. Pantas bersiap sedia supaya tidak ketinggalan melakonkan watak yang diberi," kata Ah Bo yang memegang watak maharaja.

Rata-rata, persembahan teater opera Cina tidak mempunyai skrip. Mereka dipimpin oleh seorang guru mengenai jalan cerita dan watak setiap orang. Berlandaskan panduan itu, setiap orang berlakon dengan skrip masing-masing.

Nasib malang pelarian Afghan

Posted:

Nasib malang pelarian Afghan

Nasib malang pelarian Afghan


RAMAI pelarian Afghanistan memasang angan hendak mencari lembaran baharu di Malaysia. - Gambar hiasan


MASIH segar di ingatan Akhbar keperitannya membawa seluruh ahli keluarganya menyusup keluar dari negara kelahirannya, Afghanistan, untuk ke Malaysia.

Lelaki yang memegang status pelarian itu, memasang impian untuk mendapat kehidupan yang lebih sempurna di Australia selepas mengetahui perjanjian penuh kontroversi antara Australia dengan Malaysia baru-baru ini.

Pada Julai lalu, kerajaan Australia telah menandatangani perjanjian pertukaran pemohon suaka politik dengan Malaysia.

Mengikut perjanjian itu, Malaysia dijadual menerima 800 pendatang tanpa izin yang tiba di Australia dengan bot sebagai pertukaran dengan 4,000 pelarian dari Malaysia untuk ditempatkan semula di negara ini.

"Jika kami mati, ia bukan satu masalah. Namun jika kami tiba di Australia, itu sudah bagus, tiada lagi penyeksaan," katanya yang duduk dalam buangan di negara sendiri.

Impian Akhbar itu sebenarnya sama seperti pelarian lain dari negara-negara terdesak seperti Iraq dan Myanmar.

Perjanjian itu seolah-olah telah memberi motivasi kepada mereka untuk berhijrah dan mencari kehidupan yang lebih baik dan sempurna di Australia.

Kata Akhbar, dia dan keluarganya telah merentas satu perjalanan yang sukar sejak empat tahun lalu untuk keluar dari Afghanistan.

Ketika wawancara diadakan di rumahnya yang merupakan sebuah flat dua bilik di Kuala Lumpur, dia memohon agar nama sebenarnya tidak disiarkan agar dia tidak dijejaki pihak berkuasa negara ini.

Gangguan tentera

Petani dari keturunan etnik Hazara dengan penuh emosi menceritakan, dia melarikan diri kerana mahu melepaskan diri daripada gangguan tentera nomad Pashtun iaitu kumpulan etnik terbesar di Afghanistan.

Orang Pashtun kata Akhbar, telah membawa ternakan mereka dan memakan gandum dan sayur-sayuran di tanah milik lelaki itu.

"Setiap tahun bila tanaman tumbuh dengan subur, mereka membawa haiwan-haiwan mereka, ternakan itu kemudiannya akan makan semuanya, kami tak dapat apa-apa.

"Jika saya masih tinggal di sana, mungkin satu hari nanti saya akan dibunuh," katanya sambil memberitahu beberapa orang rakannya mati di tangan perompak-perompak yang tidak berperikemanusiaan.

Dibantu oleh penyeludup, dia dan ahli keluarganya telah menyelinap masuk sempadan Pakistan seterusnya menuju ke Iran.

Di sana, seorang rakan memberitahu, terdapat peluang pekerjaan di sebuah negara Islam iaitu di Malaysia yang dikatakan telah menawarkan pengecualian visa.

Bertitik tolak daripada itu, Akhbar, isterinya termasuk seorang anak perempuannya tiba di Malaysia selepas bergolok bergadai kira-kira RM20,000 untuk membayar penyeludup dan tiket penerbangan.


SEORANG wanita Myanmar sedang melayan kerenah anaknya di sebuh kem pelarian sementara di Kuala Lumpur.


Namun tegas Akhbar, pengembaraannya masih belum tamat.

Mereka bertiga mendaftar sebagai pelarian secara bona fide (niat baik) dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kuala Lumpur. Namun, ia tidak diiktiraf di Malaysia hingga menyebabkan mereka sukar untuk memperolehi pekerjaan yang sah, pendidikan mahupun rawatan kesihatan.

Kini, Akhbar bekerja secara tidak sah sebagai pembantu restoran makanan Iran di Kuala Lumpur. Dia dibayar sebanyak RM1,200 sebulan yang mana separuh daripada jumlah itu digunakan untuk membayar sewa rumah.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitu gambaran nasib Akhbar. Dia dan abangnya pernah sekali ditahan selama 17 hari ketika sedang bekerja.

Kejadian itu menyebabkan isteri dan anaknya yang berusia dua tahun jarang sekali keluar dari rumah gara-gara gentar diburu pihak berkuasa.

Tinggal harapan

Malaysia secara kasarnya menjadi rumah' kepada dua juta pendatang tanpa izin dari seluruh Asia. Lebih daripada 94,000 adalah berstatus pelarian yang kebanyakannya dari Myanmar manakala hanya kira-kira 500 orang merupakan rakyat Afghanistan.

Menurut kaunselor yang juga salah seorang ahli Health Equity Initiatives, Sharuna Verghis, kebanyakan pelarian Afghanistan menderita akibat kurang diberi sokongan.

"Generasi baharu yang lahir membesar dalam buangan tanpa ada identiti yang sah. Anda tidak boleh hidup seumur hidup tanpa identiti dan tujuan," tegas wanita itu.

Jelas Sharuna, kebanyakan pelarian Afghanistan di Malaysia terdiri daripada mereka yang berfahaman Syiah yang diharamkan oleh kerajaan.

Lebih malang, mereka turut dipandang serong oleh sesetengah pihak yang mengaitkan mereka dengan Taliban.

Bagaimanapun, pada 31 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi di Australia telah menghalang rancangan pemerintah negara itu untuk menghantar imigran tersebut ke Malaysia. Mahkamah menegaskan, pelarian tidak boleh dihantar ke negara yang tidak melindungi mereka dengan undang-undang.

Keputusan itu merupakan tamparan kepada rancangan untuk menempatkan semula pelarian.

"Hari ini, mahkamah tinggi membatalkan pengumuman Menteri Imigrasi dan Kewarganegaraan mengenai Malaysia yang boleh memproses tuntutan suaka buat kumpulan pencari suaka yang memasuki Australia melalui Pulau Christmas," kata mahkamah dalam satu kenyataan.

Keputusan itu sekali gus memadamkan impian bukan sahaja Akhbar dan ahli keluarganya malah semua pelarian yang mengharap

Bagaimanapun kata Akhbar sebelum ini, dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

"Saya memang berharap dapat berada di sebuah tempat yang menghormati hak manusia. Saya mahu berada di situ selamanya," katanya. - AFP

Subjek kajian Sri Rahayu

Posted:

Subjek kajian Sri Rahayu

Subjek kajian Sri Rahayu

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


KARYA Sri Rahayu memerlukan ketajaman fikiran dan penguasaan bahasa yang tinggi untuk difahami.


KATA penulis novel terkemuka negara, Sri Rahayu Mohd. Yusop, buku itu lambang jati diri seseorang pengkarya. Kata-kata itu terlalu abstrak dan apakah yang ingin disampaikan oleh wanita tersebut?

Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) selama enam kali itu menghuraikannya secara terperinci pada satu pertemuan baru-baru ini.

Ujarnya, kecenderungan alunan pena dan mindanya terarah untuk menulis karya bergenrekan sastera warisan dan sains fiksyen. Kata Sri Rahayu, peristiwa semasa dan pemerhatian terhadap rona alam tidak langsung mempengaruhi penulisannya.

Adakah itu berlaku kerana dirinya seringkali membaca karya-karya serius dan fantasi?

Sri Rahayu mengakui dirinya lebih terkesan apabila membawa buku sastera Melayu dan Inggeris bercorak paranormal, ensiklopedia dan aliran novel pengembaraan bersulam fantasi rekaan pengkarya agung dunia, JK Rowling.

"Ya, ia bermula dengan itu (pembacaan) saya sentiasa lapar untuk membaca, dengan 20 buah buku yang saya baca, saya akan lihat dan kaji subjek dalam buku itu yang tidak menonjol.

"Subjek yang tidak menonjol itulah akan memberi buah fikiran kepada saya untuk memperluaskan karya yang seterusnya," katanya yang membaca di antara lima hingga 20 buah buku sebulan bergantung kepada waktu.

Hasil kejerihan wanita itu berkarya, pembaca dapat menghadam karya-karya seperti Impuls/Roh, Bukan Legasi Lalang, Merdekakan Cinta Ratna, Kasih Nan Agung, Odisi Tanah Kencana dan Warisnya Kalbu.

Menariknya, kesemua karya itu diiktiraf dan diangkat menjadi pemenang bagi HSKU secara berturut-turut sejak tahun 2000 hingga 2007.

Tidak keterlaluan untuk dirumuskan, tulisan guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di ibu kota itu agak kompleks difahami.

Karyanya memerlukan ketajaman fikiran dan penguasaan bahasa yang tinggi untuk memahaminya.

Perbaiki bahasa Melayu

Tanpa melenting beliau memberitahu pernah mendengar kritikan seumpama itu.

"Saya akuinya, ia (buku) mempunyai ion-ion yang berat, mungkin latar dan keadaan yang memerlukan seseorang pergi ke tempat lain, sebab itu ia nampak berat.

"Seperkara, saya juga akui saya bukan berkemahiran dalam bahasa Melayu, contohnya dalam buku Impuls/Roh, ayat-ayat Inggeris diterjemahkan secara terus ke dalam bahasa Melayu dan ia sangat janggal. Saya akan terus perbaiki untuk mencairkan bahasa Inggeris saya," katanya.

Bagaimanapun kata Sri Rahayu, di sebalik konflik dua bahasa itu, dirinya memperoleh manfaat ke atas semua penghasilan karya-karyanya.

Apa yang dimaksudkan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Teaching English as Second Language (TESL), University of Otaga, New Zealand itu?

"Penguasaan bahasa Inggeris membenarkan saya membaca banyak bidang dan seterusnya membolehkan saya menulis banyak perkara," katanya lagi.

Dari satu sudut yang lain, karya-karya ilmiah Sri Rahayu dilihat bukan sahaja menjadi tumpuan orang dewasa waima remaja.

Fakta itu sememangnya benar ekoran penulis novel yang dihormati ramai itu banyak menyalurkan watak dan karakter remaja.

"Bagi saya, walau remaja itu masih muda, pada waktu sebeginilah terdapat pengisian hidup yang kompleks yang dilalui mereka," ujarnya bersemangat.

Sri Rahayu ditanya tentang caranya mendapatkan dan seterusnya menyusun idea untuk sebuah karya hebat.

Tanpa ada rasa ragu, pecinta karya JK Rowling dan Khadijah Hashim itu memberitahu, dia memerlukan muzik untuk mencanangkan idea di atas kertas.

Anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu juga berkata, dia menulis pada setiap masa.

"Ke mana-mana saya pergi, saya pasti akan membuat buku nota, dapat saja idea, terus tulis.

"Untuk hasilkan sebuah buku, saya perlukan masa setahun, 10 bulan untuk membuat nota-nota kajian dan dua bulan berikutnya menaip pula," ujarnya yang mula aktif menulis pada tahun 2000.

Kongsinya, untuk menjadi penulis yang baik, tiga formula yang harus dititikberatkan iaitu mesti ada sifat ingin tahu, sabar dan berdisiplin.

Apakah perancangan Siti Rahayu? Wanita itu berhasrat untuk menghasilkan karya yang mengkaji perbandingan seni visual Barat dan Islam.

Sekiranya terdapat sebarang pandangan atau untuk berkongsi ilmu, layari srirahayumohdyusop.blogspot.com.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved