Isnin, 19 September 2011

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Irfan, Wan Zack kurang cergas

Posted:

Irfan, Wan Zack kurang cergas

Irfan, Wan Zack kurang cergas

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

KIM SWEE (kiri) tetap tenang menyusun strategi meskipun menerima perkhabaran kurang gembira menjelang aksi menentang Jepun esok pada saingan pusingan akhir peringkat Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Tosu, Fukuoka.


DEBARAN semakin dirasai jutaan peminat bola sepak tanah air menjelang aksi skuad Olimpik negara menentang Jepun pada aksi pembukaan Kumpulan C, pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Tosu, Fukuoka malam esok.

Tinggal kurang 48 jam sahaja lagi, jurulatih skuad olimpik, Ong Kim Swee pastinya 'tidak senang duduk' ketika ini bagi memikirkan formula terbaik demi mengekang asakan anak-anak buah Takashi Sekizuka daripada bermaharajalela di gelanggang sendiri.

Perkhabaran kurang gembira lantaran dua tonggak, Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang dikatakan masih belum cergas sepenuhnya juga langsung tidak menganggu 'kerja rumah' Kim Swee yang kini masih berteka-teki mengenai kesebelasan utamanya yang hanya dijangka diketahui selewat-lewatnya sebelum sepak mula bermula.

"Walaupun satu kerugian buat negara jika kedua-dua pemain itu tidak dapat diturunkan, saya tidak menganggap ia satu malapetaka memandangkan kita memiliki ramai lagi pemain yang sama hebat untuk menentang Jepun.

"Ketika ini, prestasi Wan Zack dan Mohd. Irfan masih dipantau rapi, justeru kesebelasan utama hanya akan saya umumkan menjelang perlawanan tersebut," kata Kim Swee semasa dihubungi di Jepun semalam.

Wan Zack dan Mohd. Irfan dikatakan mula dibelenggu kecederaan itu semasa dipinjamkan mewakili kelab Liga Corgon Slovakia, Vion Zlate Moravce selama dua bulan sebelum ini.

Masalah kecederaan pemain yang dihadapi Kim Swee begitupun turut melanda skuad Samurai Biru yang dikhabarkan bakal mengetepikan tonggaknya di bahagian tengah, Kosuke Yamamoto gara-gara kecederaan ketika beraksi di liga domestik Rabu lalu.

Jika Wan Zack tidak dapat diturunkan, aksi dua lagi tonggak negara, Mohd. Fandi Othman dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria sememangnya ditagih bagi mengkucar-kacirkan benteng pertahanan negara Matahari Terbit itu di bahagian sayap.

Kredibiliti pemain tengah, Abdul Shukor Jusoh dan K. Gurusamy juga wajib mendominasi corak serangan dari tengah padang sekiranya Mohd. Irfan terpaksa diketepikan sekali gus memberikan cabaran sengit kepada Gergasi Asia itu.

Skuad negara merupakan satu-satunya wakil dari Asia Tenggara yang layak ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 selepas mengatasi saingan Pakistan dan Lebanon dalam dua peringkat awal sebelum ini.

Selain Jepun, turut diundi bersama skuad Olimpik negara dalam Kumpulan C ialah jaguh Asia Tengah, Bahrain dan Syria.

Dalam masa yang sama, mereka juga akan menggalas tanggungjawab mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA di Indonesia, November depan.

Rajagobal tak pilih kasih

Posted:

Rajagobal tak pilih kasih

Rajagobal tak pilih kasih

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


RAJAGOBAL hanya menyenaraikan pemain yang bebas daripada kecederaan dalam skuad yang akan menentang Australia.


Desas-desus negatif mengatakan pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal sering 'pilih kasih' dalam membentuk pasukannya sebelum ini sememangnya tidak berasas.

Semalam, dua tonggak kebangsaan, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal yang selama ini dilihat sering menjadi keutamaan Rajagobal tiba-tiba 'tercicir' daripada senarai 26 pemain yang terpilih menjelang aksi persahabatan menentang Australia di Sydney pada 10 Oktober depan.

Meskipun Safiq difahamkan terpinggir gara-gara penggantungan setelah mendapat kad merah semasa menentang Singapura pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 baru-baru ini, ketiadaan Amirulhadi dalam senarai pemain kali ini sememangnya mengejutkan.

Tidak mustahil, prestasi hambar yang ditunjukkan oleh Safiq dan Amirulhadi ketika mewakili Selangor pada kancah saingan Piala Malaysia kali ini juga antara penyebab mengapa kedua-dua pemain itu digugurkan daripada senarai pemain negara bagi menentang Socceroos kelak.

Selain beberapa muka baharu seperti Norhafiz Zamani Misbah, Khyril Muhymeen Zambri, Joseph Kalang Tie, Faizal Muhamad, Shahrom Kalam serta dua penjaga gol, Farizal Marlias dan Norazlan Razali yang dipanggil ketika ini, Rajagobal turut menamakan beberapa tonggak Olimpik negara bagi menghadapi cabaran Australia.

Antara pemain Olimpik yang mendapat kepercayaan Rajagobal kali ini termasuklah Mahali Jasuli, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Izzaq Faris Ramlan, K. Gurusamy dan Syahrul Azwari Ibrahim.

Rajagobal begitupun enggan mengulas lanjut mengenai ketiadaan Safiq dan Amirulhadi dalam senarai pemainnya kali ini.

Menurut beliau, dia hanya memilih pemain yang berada pada prestasi terbaik serta bebas daripada sebarang kecederaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan itu.

"Meskipun hanya berstatus perlawanan persahabatan, saya harap banyak yang kita boleh pelajari dalam pertemuan menentang Australia kelak.

"Kesemua pemain itu akan dipanggil menjalani latihan sebaik selesai menjalankan tugas bersama pasukan masing-masing selepas ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Difahamkan, daripada 26 pemain tersebut, hanya 22 pemain sahaja yang akan terpilih menyarung jersi kebangsaan menentang Australia nanti.

Penyerang Harimau Malaya, Safee Sali yang ketika ini menjalani ujian pemilihan bersama kelab England, Cardiff City juga antara muka-muka lama yang masih mendapat kepercayaan Rajagobal selain Norshahrul Idlan Talaha yang turut dipanggil semula selepas diketepikan gara-gara kecederaan sebelum ini.

Antara pemain-pemain lain yang turut terpilih termasuklah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Asraruddin Putra Omar, Mohd. Amar Rohidan, S Kunanlan dan Baddrol Bakhtiar.

Kehadiran semula penyerang Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong yang cukup cemerlang membantu pasukannya pada edisi Piala Malaysia kali ini juga dilihat boleh memberikan lebih banyak pilihan kepada Rajagobal dalam merencana strategi menggempur gawang Australia kelak.

Pertemuan menentang Australia yang diperkuatkan dengan pemain terkenal seperti Tim Cahill, Harry Kewell dan Mark Schwarzer itu ternyata merupakan medan terbaik buat Rajagobal menguji barisan pemain terbaiknya dalam usaha untuk mengekalkan kejuaraan Piala Suzuki AFF pada tahun depan.

Perlawanan itu juga bakal menjadi ujian buat skuad negara meraih pengalaman berguna semasa beraksi di pentas antarabangsa menjelang Kelayakan Piala Asia 2015 selepas ini setelah ditunjukkan jalan keluar oleh Singapura pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 dengan agregat 6-4, pada penghujung Julai lalu.

Pemain tetap setia

Posted:

Pemain tetap setia

Pemain tetap setia

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


PEMAIN Selangor tetap setia dengan Devan meskipun kemampuan jurulatih berkenaan mula diragui penyokong setia skuad Gergasi Merah itu.


SUDAH menjadi lumrah di dalam kehidupan, yang menang pastinya disanjung sementara nasib berbeza menanti mereka yang tewas.

Mahu tidak mahu, itulah adat permainan yang cukup pahit terpaksa ditelan pengendali Selangor, K Devan yang kini dilihat tidak lagi bertakhta di hati peminat skuad Gergasi Merah itu.

'Magis' yang selama ini membantu beliau juga dilihat semakin pudar terutamanya prestasi hambar yang dipamerkan sepanjang edisi Piala Malaysia kali ini.

Tewas di tangan pasukan berstatus kelab, T-Team 2-1 di gelanggang keramat, Stadium Shah Alam ketika perlawanan hanya berbaki 10 minit Sabtu lalu juga semakin menyemarakkan 'bara' amarah peminat setia Selangor yang berterusan mendesak Devan supaya segera meletak jawatan bagi menuntut pembaharuan juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali itu.

Selain kecaman di blog dan Facebook, segelintir peminat yang tidak berpuas hati juga bersikap 'terang lagi bersuluh' apabila secara terbuka menaikkan kain rentang mahukan Devan meletak jawatan di bangku penyokong pada perlawanan Sabtu lalu.

Apa yang pasti, Devan kini semakin terjerut dalam misi membantu Selangor menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 setelah sekadar mengutip empat mata daripada empat perlawanan terdahulu dalam aksi Kumpulan D.

Meskipun dikecam hebat, Devan masih tenang serta tidak tunduk terhadap tekanan, selain optimis pasukannya masih bernyawa dengan syarat memenangi baki dua perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini sebelum membuat perhitungan hidup dan mati menentang 'adik', Kuala Lumpur di Shah Alam tiga hari selepas itu.

"Pemain masih positif, keyakinan untuk mara ke suku akhir masih membara, dan itu yang paling penting sebenarnya.

"Mengenai desakan (meletak jawatan), itu saya tidak mahu komen," kata Devan kepada Kosmo! semalam.

Biar apa jua 'tsunami' yang melanda Gergasi Merah setakat ini, Devan pastinya menarik nafas lega apabila anak-anak buahnya masih setia bersama beliau.

Pemain tengah Selangor, Safiq Rahim juga enggan berterusan menatap kedukaan sebelum ini dan menyeru rakan-rakannya supaya kembali bangkit ke landasan sebenar bagi menghidupkan semula peluang ke suku akhir.

"Kami kalah sebagai satu pasukan, justeru tidak adil jika hanya jurulatih (Devan) sahaja yang dipersalahkan.

"Nantikan kebangkitan kami, peluang Selangor masih ada dan baki dua perlawanan selepas ini menjadi detik penentu hala tuju Gergasi Merah," kata Safiq.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin semasa dihubungi juga membayangkan Devan masih terus diberi kepercayaan mengemudi Selangor sehingga saingan Piala Malaysia berakhir.

"Setakat ini semuanya masih macam biasa, jika ada apa-apa perubahan (kemungkinan Devan direhatkan atau dipecat) kami akan buat sidang akhbar," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved