Isnin, 19 September 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Pusat tumpuan bersenam dan belajar

Posted:

Pusat tumpuan bersenam dan belajar

Pusat tumpuan bersenam dan belajar

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my

SELEPAS menimba pengalaman sebagai jurulatih di pusat-pusat kecergasan tersohor dan jurulatih peribadi kepada beberapa individu ternama, seorang lelaki mengambil inisiatif untuk membuka pusat kecergasan sendiri dengan kerjasama seorang rakan.

Selepas mempersiapkan diri dengan ilmu bisnes perkhidmatan, kini pusat kecergasan milik Seelan Manoheran, 35, bukan sekadar tempat untuk bersenam, memanaskan badan dengan kegiatan fizikal dan penjagaan kesihatan secara keseluruhan.

Lebih daripada itu, premis yang sama juga menjadi pusat latihan tarian dan pembelajaran bagi kanak-kanak. Cita-citanya itu direalisasikan bersama-sama rakan niaganya, Janice Dass.

Body Works Fitness and Dance Studio (Body Works) adalah yang pertama seumpamanya. Seelan berbangga dengan operasi pusat kecergasan dan studio tarian tersebut yang kini membuka pintunya di lokasi strategik, Bukit Damansara, Petaling Jaya.

"Ini adalah impian saya dan apabila memperoleh rakan niaga seperti Janice, impian ini menjadi kenyataan," ujar Seelan yang melaburkan sejumlah wang yang besar untuk perniagaannya itu.

Pusat senam peribadi

Katanya lagi, Body Works menawarkan tiga jenis perkhidmatan. Pertama adalah daripada dirinya sendiri iaitu perkhidmatan latihan kecergasan peribadi.

"Saya akan berada di sisi ahli untuk memberikan tunjuk ajar secara khusus sepanjang proses latihan dan pastikan latihan yang diberikan mengikut kehendak pelanggan.

Jika ada lebih ramai, saya akan hadkan paling maksimum kepada dua atau tiga orang untuk satu sesi," katanya.

Perkhidmatan kedua dan ketiga adalah merujuk kepada studio tarian dan pusat pembelajaran.

Kosmo! sempat bertemu dengan dua orang ahli kecergasan Body Works, Sheena Prasannan, 21, dan Matt Marzuki, 37. Mereka mengakui bahawa menjalankan aktiviti senaman dan rutin kecergasan di pusat tersebut mempunyai kelainan serta kelebihan.


SEORANG ahli Body Works, Sheena sedang mencuba mesin berteknologi tinggi yang membantunya melakukan pelbagai jenis latihan kecergasan dan kekuatan otot.


Sheena yang juga bekas pelari negeri Selangor berkata, di Body Works, dia bukan sahaja dapat merasai sesi senaman yang lebih komprehensif, malah tunjuk ajar dan bimbingan diberikan mengikut keperluan serta sasarannya.

"Saya berlatih di sini tiga kali setiap minggu. Mesin senaman kegemaran saya ialah seperti leg press, deadlift dan squads," ujarnya.

Sambung pelajar psikologi di sebuah universiti swasta itu, senaman juga menjadikan dia bersedia dari sudut mental. Selain itu, Sheena juga dibimbing mengenai amalan pemakanan yang sihat.

"Saya agak tegas mengenai apa yang saya makan. Saya akan meminimumkan pengambilan nasi dan gula," ujarnya.

Bagi Matt pula, apabila bersenam dijadikan satu kemestian, ia akan menjadi rutin.

"Konsistensi dalam bersenam itu amat penting supaya ia menjadi sebahagian daripada cara hidup. Tidak pernah terlalu lambat untuk bermula cuma anda perlu peka seterusnya menjalani aktiviti itu secara berterusan dan disertai diet yang betul," ulasnya.

Body Works menyediakan prasarana yang cukup lengkap dengan bilik mandi dan tandas yang bersih dan selesa. Ahli pusat kecergasan itu akan berasa selamat dengan sistem kawalan keselamatan di situ, selain boleh berlatih seperti berada di tempat sendiri.

Selain tumpuan perkhidmatan berbentuk peribadi, Seelan juga membenarkan ahlinya membawa cakera muzik sendiri untuk dipasang dan didengari sewaktu sesi bersenam.

"Satu lagi tarikan ialah mesin senaman di sini. Walaupun hanya terdapat kira-kira 10 mesin kesemuanya, tetapi setiap mesin ini boleh digunakan untuk lebih daripada satu senaman.

"Misalnya mesin berteknologi tinggi dan terbaharu dalam sains sukan iaitu TRX, Rib60 dan Kinesis. Ia boleh digunakan untuk membuat latihan kecergasan dan kekuatan otot untuk hampir semua bahagian anggota badan. Mesin-mesin itu membantu seseorang mengkhususkan latihan tubuh dengan lebih 100 jenis gerakan berbeza," tambahnya.

Menari dan belajar

Perkhidmatan kedua dan ketiga di Body Works, ialah studio tarian dan kelas pembelajaran yang dikendalikan oleh Janice dengan bantuan guru tari, Emily Dass, 24, serta guru muzik Suresh Kumar.


PELBAGAI sesi latihan kecergasan disediakan buat pelanggan.


Kalau suasana gimnasium dapat dirasai di aras dua premis tersebut, kanak-kanak dan orang dewasa yang berminat untuk mempelajari tarian balet, tap, tarian moden. muzik dan yoga boleh menyertai kelas latihan di tingkat tiga.

Emily yang berpengalaman dalam bidang tarian dan memiliki kelayakan daripada Persatuan Kebangsaan Guru Tarian dari Eropah sedia untuk membimbing mereka yang berminat.

Dalam pada itu, bagi perkhidmatan pembelajaran pula Body Works membuka kepada kanak-kanak prasekolah dari usia dua hingga lima tahun untuk Kelas Fairy yang dikendalikan oleh Janice sendiri.

"Kelas ini memberi kanak-kanak peluang membongkar minat mereka. Sama ada dalam muzik, tarian, drama atau perkara lain. Daripada situ, kami akan kembangkan kemahiran itu supaya mereka dapat mengenali identiti sebenar diri mereka," ujar Janice.

Perkembangan

Seorang bapa, Kenny Kang, 38, yang mendaftarkan anaknya, Kang Sher Min, 4, dan Kang Sher Niz, 3, memberitahu, beliau amat berpuas hati dengan sesi pembelajaran yang dikelolakan di pusat tersebut.

"Saya membelanjakan RM90 bagi satu hari di setiap kelas dan ia amat berbaloi untuk membentuk perkembangan sosial dan mental anak-anak saya. Selain mengikuti kelas Fairy, mereka juga belajar tarian balet bersama Emily," kata Kenny.

Tambahnya, pembelajaran bukan kokurikulum itu dilihat sebagai satu pendekatan yang baik bagi mengembangkan kemahiran bukan akademik dalam kalangan kanak-kanak.

Janice percaya, pendekatan yang dipraktikkan di pusat tersebut memberikan kanak-kanak peluang untuk menimba ilmu kemahiran selain melatih mereka agar berkeyakinan, berupaya berkomunikasi dengan baik, memperkukuh keupayaan bahasa Inggeris, berdisiplin dan berinteraksi dalam kumpulan.

Bagi kelas tersebut, Janice mengehadkan sehingga 12 orang kanak-kanak dan mereka akan didedahkan dengan cerita-cerita dongeng popular kanak-kanak.

"Bukan itu sahaja, mereka akan diberikan wings (sayap) seperti dalam cerita fairy dan ia secara simbolik sebagai satu langkah kejayaan mereka di peringkat prasekolah.

"Selepas tamat sesi pembelajaran mereka di sini, sayap itu akan kami simpan dan mereka akan dipesan untuk menerima 'sayap' seterusnya iaitu segulung ijazah," kata Janice.

Lorekan arang terjemah mitologi

Posted:

Lorekan arang terjemah mitologi

Lorekan arang terjemah mitologi

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my


KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF Kumpulan Pendidikan Taylor's, Datuk Loy Teik Ngan bersama Duta Peru di Malaysia, Willian Belevan McBride semasa majlis pelancaran Pameran Karya Pujazon.


PAMERAN seni amnya menjunjung erti tertentu. Sama ada ia berkaitan dengan tema pameran, personaliti artis mahupun ekspresi bebas. Namun, lazimnya, artis atau pelukis lebih gemar memilih lakaran seni yang dekat dan serasi dengan diri mereka.

Bagi seorang artis seni dan pensyarah dari Universiti Taylor's, Ernesto Pujazon, hasil kerja seni yang dipamer merupakan parameter pendekatan estetik yang mengenal pasti hubungan pelukis itu dengan negara asalnya, Peru.

"Tujuan utama saya berkarya adalah untuk meneliti proses perhubungan kreativiti dan pemikiran hasil seni ini dengan persekitaran serta ruang kehidupan. Sebagai seorang pelukis dari Latin Amerika, penelitian saya di sini adalah berkenaan unsur-unsur mitologi," katanya.

Ketika menemui lelaki itu di bangunan Universiti Taylor, kampus dekat tasik di Petaling Jaya, beliau bukan sahaja sibuk melayan tetamu bahkan, menerima banyak maklum balas atas hasil karya yang lain daripada yang lain.

"Kesemua lukisan ini (kira-kira 40 buah) adalah mengenai mitologi dan kebudayaan negara Peru. Sejarah membentuk kebudayaan. Saya meninggalkan rupa lukisan ini antara warna hitam dan putih kerana kebudayaan yang dipapar ini masih belum berkesudahan," ujarnya berfalsafah.

Pameran Pujazon itu bertajuk Semangat Kosmos: Satu Tafsiran Iknografi Peru-Inca.


KEBANYAKAN karya Pujazon menggunakan bentuk bulatan dan warna hitam putih.


Walaupun bunyinya sedikit kompleks, Pujazon sempat juga menerangkan bahawa kosmologi atau Inca sebagai satu ciri-ciri keagamaan di kebanyakan wilayah yang telah ditakluki mudah di Peru. Latar kepercayaan, patung dewa-dewi, ramalan empayar Inca yang ditakdirkan dua ribu tahun dahulu, semuanya menjadi intipati lukisan.

"Bentuk pemujaan tradisional berdasarkan tempat mempunyai sedikit perbezaan. Namun, idea untuk menjunjung pencipta alam daripada roh-roh tanpa jasad animisme lain dan konsep-konsep berkaitan dengan petir, kilat dan pelangi menjadi elemen utamanya," kata Pujazon ketika menerangkan lanjut mengenai kebudayaan yang mekar di negaranya itu.

Seperkara yang menarik mengenai hasil kerja tangan lelaki yang sudah menjalin hubungan dengan Malaysia sejak tahun 1997 itu adalah kesemua lukisan siap separuh itu hanya menggunakan pensel dan arang.

Katanya, semasa mula melibatkan diri dengan lukisan ini sejak tahun 2000 selepas beberapa tahun berehat antaranya, beliau bersungguh-sungguh untuk menampilkan satu hasil yang unik.


BATU arang dan pensil menjadi material utama persembahan warna lukisan oleh Pujazon.


"Ini cara saya. Saya tiada hak untuk membezakan hasil seni dengan orang lain kerana setiap orang mempunyai gaya masing-masing. Tetapi saya percaya ia mampu mengetengahkan satu gaya baharu," katanya merujuk kepada semua hasil karya beliau.

Seni lukis yang bersifat sejagat, membalas kepada persekitaran dan konteks sosial, sejarah serta psikologi itu merupakan satu siri lakaran informatif. Lakaran hitam putih ini juga dipercayai dapat memperkukuh lagi hubungan kebudayaan antara negara asal Pujazon, Peru, dan negara semasa beliau, Malaysia.

Bukan itu sahaja, Pujazon juga berharap supaya pameran tersebut dapat mewujudkan kesedaran terhadap seni Peru iaitu gambar visual tersebut lebih dilihat bertindak atas satu paras yang boleh dihuraikan.

"Ia tidak dibatasi bahasa, sama ada dalam bentuk lisan atau penulisan sama sekali. Walau bagaimanapun, ia adalah satu bentuk komunikasi yang boleh menyentuh diri kita secara mendalam," ulas Pujazon.

Ketagih kopi Jalan Maharani

Posted:

Ketagih kopi Jalan Maharani

Ketagih kopi Jalan Maharani

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


KAFE Kopi 434 menggunakan pembancuh kopi yang berkualiti.


MUAR merupakan antara persinggahan destinasi yang unik. Selain terkenal sebagai pusat pembuatan rempah-ratus, daerah di Johor itu juga terkenal dengan kopi 434.

Aroma kopi 434 yang dibangunkan oleh Syarikat Sai Kee Kopi Serbok Sdn. Bhd. yang terletak di Jalan Maharani sememangnya mampu menggamit sesiapa sahaja untuk bertandang ke kafe itu.

Menurut pewarisnya yang juga merangkap pengurus kafe terbabit, Kiar Cher Yong, 26, kopi hasil dedikasi datuknya, Kiar Am Sai yang diusahakan sejak tahun 1953 diproses menggunakan teknologi terkemuka Brambati dari Itali.

"Kopi 434 menjamin kesegaran, warna, aroma dan keenakan, kami mampu memproses 10 tan biji kopi dalam masa sehari," kata Cher Yong ketika ditemui baru-baru ini.

Mengapa kopi itu dinamakan 434? Sebenarnya, angka-angka itu merujuk kepada tiga angka nombor telefon Am Sai suatu ketika dulu.

Ia sangat bertuah kerana jenama itu berjaya menambat hati dan sangat dikenali dalam kalangan pelanggan terutama penduduk di sekitar Johor.

Dahulu produk itu dikenali sebagai Kopi Cap 434 dan menjadi minuman kegemaran dalam kalangan peminat kopi tempatan.

Mengulas mengenai produk yang dihasilkan, Cher Yong memberitahu, mereka memproses tiga jenis kopi iaitu kopi kampung, espresso dan kopi pracampur. "Kopi kampung atau kopi O mempunyai cita rasa tersendiri yang bukan sahaja beraroma tetapi rasa yang enak. Ia diproseskan dengan resipi tradisional yang menggunakan gula pasir dan marjerin sebagai ramuan," jelas usahawan muda itu sambil menambah kopi jenis itu turut disediakan dalam bentuk uncang.

Sementara itu, bagi jenis espresso, syarikat itu mempunyai lima jenis kopi iaitu Elephant Bean AA, Sai Kee Special, Arabica Gold, 434 Cafe Roast dan Kopi Jawa yang memberi rasa kopi jenis Robusta yang sungguh harum dan pekat.


KEHADIRAN anda ke bandar Muar tidak lengkap jika tidak membeli Kopi 434 sebagai ole-ole atau untuk dinikmati sendiri.


Harga berpatutan

Ujar Cher Yong, kopi pracampur 434 berbeza dengan produk kopi lain yang terdapat di pasaran.

Misalnya, kopi pracampur yang dilabelkan sebagai White Coffee penuh berkrim dan kaya dengan rasa coklat asli. Begitu juga Kopi Monalisa yang mudah disediakan.

Kafe 434 turut menyediakan menu ringan seperti roti bakar, variasi aiskrim termasuk dua jenis menu mi pada harga yang sangat berpatutan.

Kafe mewah

Adakah kopi yang dibancuh di rumah mempunyai rasa yang sama sama seperti kopi di kafe? Ya, untuk mendapatkan secawan kopi yang lazat, syarikat itu menyediakan beberapa panduan berguna kepada para pelanggannya.

Sebelum kopi dibancuh, pastikan air ditapis bagi mengasingkan klorin supaya minuman kopi terasa enak dan jangan sekali-kali masak air yang telah dimasak.

"Kami mengesyorkan 10 gram (g) serbuk kopi untuk satu cawan ukuran 200 mililiter (ml), tambah air sekiranya minuman kopi ini pekat," kata Cher Yong.

Bagi peralatan membancuh, anak jati Johor itu menasihatkan agar kain penapis dibilas dengan air panas mendidih sebelum digunakan.

Bagaimana pula dengan rekaan dalaman kafe? Tidak keterlaluan untuk dirumuskan, hiasan dalamannya berkelas mewah. Justeru, jangan terkejut jika terdengar ada pihak memberi jolokan kafe itu sebagai 'Little Starbucks'.

Kepada yang datang sekali-sekala menikmati Kopi 434, apa kata anda membeli cenderamata berupa set cawan dan piring yang diperbuat daripada Claytan Ceramics Johor sebagai kenang-kenangan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved