Jumaat, 16 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Burger Malaysia di jalan Phonm Penh

Posted:

Burger Malaysia di jalan Phonm Penh

Burger Malaysia di jalan Phonm Penh

Oleh HISHAM IDRIS
hisham.idris@kosmo.com.my

BURGER Ziki's kini menjadi kegemaran anak muda di Kemboja.


SIAPA sangka konsep dan cita rasa burger jalanan yang popular di Malaysia juga mampu menempa nama di luar negara terutama negara-negara Indo China seperti Kemboja dan Vietnam. Idea yang mendapat sambutan menggalakkan itu berjaya dibuktikan melalui produk di bawah label Ziki's Burger yang dimiliki sepenuhnya syarikat tempatan, Deminziki Co. Ltd. (Deminziki).

Malah, inisiatif Deminziki itu kini berjaya membawa konsep dan cita rasa burger jalanan yang mewarnai kehidupan rakyat di negara ini menjalar ke bandar raya Phonm Penh, Kemboja.

Berorientasi cita rasa Malaysia sepenuhnya, kombinasi daging burger tempatan buatan Ramly menjadi sandaran utama Ziki's Burger dalam menawan hati penduduk Phonm Penh. Pengarah Eksekutif Deminziki, Md. Arfizal Md. Ariffin berkata, idea memperkenalkan konsep burger jalanan ke negara itu dibuat atas dua sebab.

Sebab pertama, menurutnya peluang terbuka seiring dengan kepesatan ekonomi Kemboja yang kini sedang pesat membangun dan mempunyai potensi pasaran yang luas kepada pelabur luar selepas era zaman pemerintahan zalim tentera Pol Pot.

"Lagi pun, kini ledakan industri makanan segera berlaku di Kemboja dan ia tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Kita boleh lihat kemunculan banyak restoran makanan segera seperti piza, pasta, burger dan ayam goreng.

"Jadi kami mencuba nasib memperkenalkan Ziki's Burger sejak beberapa tahun dahulu dan ternyata ia menerima sambutan yang baik. Sehingga kini kami sudah mempunyai 40 gerai burger di seluruh pelosok Pnom Penh dan ia dijangka bertambah dalam masa terdekat," ujarnya.

Perkara kedua, menurut Md. Arfizal, kolaborasi syarikat usahasama Malaysia dan Kemboja telah melancarkan rangkaian kios burger halal pertama seumpamanya pada 11 Mei lalu sebagai pilihan makanan halal kepada masyarakat Islam Kemboja dan pelancong luar.

Bermula dengan pemilihan lokasi strategik di sekitar Phnom Penh sebelum menempatkan kios kini di kawasan tumpuan ramai.

Bagi memastikan produk tersebut dikenali, pelbagai promosi dijalankan sebagai usaha menarik minat penduduk Kemboja bagi merasai keenakan burger jalanan yang begitu asing pada mereka, katanya.

"Setiap hari pasti akan ada kios-kios terpilih sekitar bandar menjalankan promosi istimewa termasuk pengedaran risalah tentang jenama Ziki's Burger," katanya.

Kini selepas dua bulan memulakan operasi, Ziki's Burger berjaya menggandakan jumlah kiosnya menjadi 40 buah sejajar dengan sasaran menjadikan 100 buah kios menjelang hujung tahun ini.

Keenakan burger Malaysia

Sama seperti burger di negara ini, kualiti, rasa dan bentuknya tetap dikekalkan sebagai penanda aras.

Ciri-ciri keunikan burger jalanan, burger untuk semua lapisan masyarakat ditonjolkan supaya penduduk tidak rasa janggal dan hairan ia lebih murah berbanding harga ditawarkan di restoran.

Ban lembut, mayonis, salad, bawang menjadi pelengkap kepada daging burger keluaran Ramly yang diimport ke Phonm Penh.


BEBERAPA kakitangan Ziki's Burger melakukan promosi di jalan Phonm Penh termasuk menggunakan maskot berbentuk burger.


Rata-rata pelanggan yang merasai burger keluaran Ziki's berpuas hati dengan rasa asli daging yang digunakan berbanding burger tempatan yang dijual di restoran.

Menurut Md. Arfizal, hasil maklum balas para pelanggan, kualiti daging yang enak menjadi pilihan kenapa mereka kembali memilih burger keluaran Ziki's.

Faktor harga yang lebih murah berbanding burger yang dijual di restoran turut menyebabkan ia menjadi tarikan utama bagi warga Phonm Penh untuk tidak lokek mengeluarkan wang saku.

Pada harga semurah RM3.30, Ziki's Burger mampu terjual kira-kira 500 biji sehari.

"Pelanggan kita berusia 40 tahun ke bawah dan kebanyakan yang menggemari produk kita merupakan remaja," katanya.

Katanya, biarpun jenama Ziki's Burger masih baru namun, dengan sambutan yang diberikan sejak ia diperkenalkan, beliau yakin burger keluarannya mampu bersaing dan berkembang menjadi jenama digemari.

"Kita tahu bukan mudah untuk kita ubah cara pemakanan sesuatu masyarakat, namun dengan perkembangan cara hidup masa kini yang lebih mendesak burger bakal menjadi pilihan masyarakat Kemboja," katanya.

Salah seorang pelanggan, Chin Phearum, 23, berkata, kali pertama menikmati keenakan Ziki's Burger membuatkan beliau tertarik dengan rasa daging sebenar yang berlainan dengan burger keluaran tempatan.

Katanya, rasa yang enak membuatkan beliau teruja untuk membeli kali kedua burger tersebut.

"Kami di sini jarang boleh menikmati burger kerana ia agak mahal jika hendak dibeli di restoran. Ada juga gerai yang menjual burger tetapi, mereka mengeluarkan daging yang dihasilkan sendiri. Rasanya kurang enak berbanding burger biasa," katanya.

Sementara itu, mengenai cara memasak pula, Md. Arfizal berkata, ia dipantau mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pengeluar daging burger Ramly bagi menjamin keenakan daging tersebut tidak terjejas apabila dimasak.

Antara pilihan menu yang terdapat di kedai Ziki's Burger ketika ini ialah, burger ayam, daging, ayam dan daging istimewa.

Bagi menjaga aspek kualiti makanan, kios Ziki's Burger diubah suai mengikut keperluan penduduk di sana.

"Kios-kios yang ditempah khas pada asasnya sama seperti kios-kios burger yang terdapat di Malaysia, cuma apa yang membezakan ialah ia lebih bersih dan dilengkapi sistem penyerap minyak dan asap," kata Arfizal.

Menurutnya, para pekerja pula diwajibkan memakai uniform lengkap berserta dengan apron sebagai penampilan diri kemas dan bersih.


ZIKI'S menawarkan empat jenis burger di gerainya di Phonm Penh.


Ketika penyediaan makanan para pekerja diwajibkan menggunakan sarung tangan plastik bagi menjaga kualiti dan kebersihan burger yang hendak dibungkus sebelum diserahkan kepada pelanggan.

Program untuk belia Islam

Program Pembangunan dan Pencapaian Usahawan Kecil (SEDAP) merupakan platform utama membantu belia-belia Islam Kemboja keluar daripada belenggu masalah kemiskinan.

Dengan menerapkan pembangunan kapasiti, belia-belia Islam Kemboja diberikan latihan menjadi usahawan kecil untuk berdikari.

Salah seorang pekerja Ziki's Burger, Reh Vanny, 20, peluang yang diberikan amat bermakna buat dirinya.

Katanya, apa yang ditawarkan oleh majikannya itu jauh lebih baik dan mampu membuatkan beliau mula berjinak-jinak dengan bidang perniagaan.

"Sebagai kaum minoriti di sini tidak banyak yang boleh dilakukan terutama dalam bidang perniagaan. Apa yang ditawarkan oleh Ziki's Burger terlalu istimewa untuk ditolak," katanya.

Bagi Pengurus Besar Deminziki Kemboja, Fauzy Ahmad, menerusi SEDAP, belia-belia Islam Kemboja bakal dilatih membina kemampuan, ketahanan dan kemahiran perniagaan.

Buat permulaan 40 orang belia kini sedang dilatih menjadi usahawan kecil sehingga mereka betul-betul mahir dan kemudian bakal ditawarkan peluang membuka kios burger sendiri.

"Dengan membuka kios sendiri keuntungan jualan bakal dimiliki melalui penjualan burger," katanya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan Ziki's Burger boleh diikuti melalui laman web www.zikiburger.blogspot.com atau di laman sosial facebook.

Tradisi yang kejam

Posted:

Tradisi yang kejam

Tradisi yang kejam


SEORANG lelaki bertindak nekad mendekati Afligido untuk menikamnya dengan lembing.


ORANG ramai sibuk berlari, menunggang kuda dan berteriak. Mereka berkejar-kejaran sambil merancang strategi untuk mengepung dan mengalahkan seekor lembu laga jantan. Masing-masing mengacukan lembing untuk disasarkan ke arah tubuh haiwan berkenaan yang mendengus dan mengganas akibat keresahan serta kesakitan.

Begitupun Selasa lalu, lembu itu akhirnya mati juga di tangan mereka. Ratusan orang telah berganding bahu menumpaskan Afligido, seekor lembu jantan seberat 608 kilogram dalam festival Toro de la Vega. Nama Afligido itu sendiri yang bermaksud 'kedukaan' seakan-akan mengejek hayat haiwan tersebut.

Berlangsung di bandar Tordesillas di wilayah tengah negara tersebut, lembu itu berlari cemas merentasi jalan dan lorong, menyeberangi Sungai Duero hinggalah akhirnya ia tewas di sebuah kawasan dataran.


PULUHAN peserta berkuda menyasarkan lembing mereka ke arah lembu jantan yang menjadi 'mangsa' sambutan sebuah warisan tradisi.


Selain luka parah akibat ditusuk puluhan lembing dari pelbagai arah, Afligido yang kehabisan tenaga dan tidak mampu lagi berlari akhirnya dibunuh dengan satu tikaman menggunakan alat pemutar skru besar tepat di kepalanya.

Ritual merejam lembu dengan lembing beramai-ramai itu adalah tradisi yang diwarisi sejak Zaman Pertengahan di negara itu. Ia jauh mendahului sebuah lagi tradisi lama yang juga dianggap tidak berperikemanusiaan iaitu pertandingan laga lembu.

Festival yang bermula sejak tahun 1453 itu disifatkan sebagai acara yang kejam dan memalukan oleh golongan pencinta haiwan serta banyak lagi pertubuhan bebas sedunia. Sebahagian besar rakyat Sepanyol sendiri merasakan festival itu perlu dihentikan dan diganti dengan acara lain.

Selain daripada insiden seorang penunjuk perasaan wanita yang nekad menyembur cecair pemedih mata kepada seorang perejam lembing di Tordesillas, sebuah perarakan protes turut dijalankan di Madrid.


KUMPULAN pencinta haiwan mengadakan perarakan di Madrid bagi memprotes festival Toro de la Vega yang kejam.


"Kami protes sambutan Toro de la Vega ini. Selain acara laga lembu, kami juga mahu festival yang lebih kejam ini dihentikan. Budaya negara ini tidak sepatutnya diasaskan dengan tindakan menyeksa dan menyebabkan kematian haiwan secara suka-suka," kata Silvia Barquero, jurucakap kumpulan pejuang hak haiwan, PACMA.

Wilayah timur laut Sepanyol iaitu Catalonia akan menganjurkan pertandingan laga lembu terakhirnya pada 25 September nanti. Perkara itu tercapai setelah mengambil kira undi bantahan pada tahun lalu yang mahukan tradisi itu dilenyapkan terus dari bumi Sepanyol.

Dalam perkembangan lain, PACMA mencabar majlis perbandaran Tordesillas untuk mengisytiharkan Toro de la Vega sebagai aset budayanya.

Setiap wilayah di Sepanyol mempunyai penilaian dan undang-undang tersendiri berkaitan isu perlindungan haiwan. Begitupun, pertandingan laga lembu masih dibenarkan termasuk di Tordesillas yang terus menganggap Toro de la Vega perlu disambut setiap tahun atas nama kesinambungan tradisi.

Job Camp latih pelajar

Posted:

Job Camp latih pelajar

Job Camp latih pelajar

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my


SEBAHAGIAN daripada pelajar UniMAP yang menyertai Job Camp di Perlis baru-baru ini.


BERGELAR seorang graduan, pastinya merupakan satu detik paling manis kepada seorang graduan selepas bertungkus-lumus menelaah buku bagi memperoleh segulung ijazah.

Ia menjadi tiket mengejar cita-cita dan memegang wang sendiri.

Kelulusan diperoleh itu akan dibawa ke mana sahaja untuk mendapat pekerjaan idaman seterusnya membina kerjaya mereka pada masa depan dan mendapat pendapatan yang setimpal.

Namun, tidak semua graduan berjaya mencapai cita-cita yang diingini sebaik sahaja menerima segulung ijazah masing-masing lantaran persaingan sengit dalam dunia pekerjaan sebenar.

Resah dan bimbang menghantui graduan yang masih bergelut menempatkan diri dalam alam kerjaya apatah lagi mendapat pekerjaan yang setaraf kelulusan yang dimiliki.

Perkara itu dibuktikan berdasarkan data yang dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat April lalu yang menunjukkan bilangan penganggur dalam negara setakat pada tahun lalu ialah seramai 421,800 orang atau mewakili kadar 3.4 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Jumlah tersebut menjadikan pasaran kerja begitu sengit di kalangan graduan terutama bagi siswazah baru lepasan universiti untuk sama merebut tawaran kerja di sektor awam atau pun swasta.

Antara sebab graduan gagal mendapat pekerjaan ialah kebanyakan majikan kini menetapkan pengalaman bekerja sebagai salah satu syarat pelantikan selain kemahiran diri yang lemah di kalangan pemohon.

Ekoran itu, atas keprihatinan terhadap pasaran kerja yang sengit itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tampil dengan program khusus bagi memastikan siswazah mereka mempunyai nilai pasaran.

Hasil program tersebut yang dikenali Job Camp UniMAP yang dikendalikan oleh Pusat Kerjasama Industri (CIC), universiti itu berjaya meningkatkan pasaran para siswazahnya.

Pengarahnya, Dr. Yufridin Wahab berkata, melalui Job Camp itu, UniMAP dapat meningkatkan nilai pasaran siswazahnya untuk mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian sehingga 90 peratus.

"Job Camp khusus kepada latihan bersama industri yang diberikan kepada siswazah UniMAP yang masih belum mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

"Mereka yang dipilih bakal mengikuti latihan di antara empat hingga enam bulan di syarikat tertentu bagi menambah pengalaman untuk para siswazah," katanya.

Apa yang menariknya, lebih 98 peratus siswazah yang mengikuti latihan tersebut diserap atau diambil pekerja oleh syarikat yang melatih mereka dengan tawaran gaji yang lumayan.

"Selain itu, kami juga mendapat maklum balas yang baik dari syarikat terbabit yang berpuas hati dengan siswazah yang mengikuti latihan tersebut sehingga mereka berminat menawarkan kerja," ujarnya.

Jelasnya, Job Camp diperkenalkan pada tahun 2010 lalu dengan seramai 75 pelajar dipilih bagi mengikuti latihan industri di beberapa syarikat terpilih di dua sektor iaitu automatif serta elektrik dan elektronik.

"Bagi sektor automotif syarikat yang terlibat adalah seperti Perodua Manufacturing, Sapura Industrial, Sipro Plastic, Ingress Technologies dan Permintex Sanko Technologies.

"Untuk elektrik dan elektronik, syarikat terlibat ialah Silterra Malaysia, Infineon Technologies, Samrtac Technologies dan banyak lagi," ujarnya.

Katanya, kesemua syarikat tersebut merupakan syarikat terkemuka di dalam industri masing-masing dan pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM466,000 melalui peruntukan oleh pihak industri dan bantuan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Ekoran kejayaan yang diperoleh memberangsangkan, Job Camp akan diperluas dengan penambahan dua sektor industri lagi manakala dari aspek pengambilan siswazah pula, akan ditingkatkan sehingga 220 pelajar bagi tahun ini," ujarnya.

Sementara itu, seorang peserta program itu, Farahdina Che Jaafar, 24, memberitahu, dia amat berterima kasih dengan UniMAP dan majikannya yang mengambil dia berkerja yang dahulu tempat pelajar membuat latihan tersebut.

"Selepas tamat pengajian saya menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan apabila 20 permohonan di buat dan temuduga namun tidak mendapat balasan," ujarnya.

Farahdina berasal dari Sungai Petani kini berbangga bertugas sebagai Jurutera Material di Infineon Sdn. Bhd. di Kulim, Kedah.

Seorang lagi perserta itu, Mohd. Gadaffi Osman turut diserap oleh Ingress Technologies Sdn. Bhd. yang mengambilnya sejurus tamat program Job Camp.

"Saya kini menerima pendapatan yang tinggi sesuai dengan kelayakan dan saya amat berterima kasih dengan UniMAP yang mengambil berat tentang para pelajarnya walaupun setelah kami bergraduasi," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved