Sabtu, 17 September 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Mencari magis baru

Posted:

Mencari magis baru

Mencari magis baru

JAUH dia berkelana, menjadi pemaustatin sementara di kota metropolitan, Amerika Syarikat (AS). Mimpinya hanya satu, dia mahu hasil karya yang sederhana dalam nuansanya mampu diperdagang di seluruh dunia. Mimpi Yuna itu kini, sedang meniti di landasan yang tidak tersasar.

Hal itu dapat dilihat pada figura sederhana berjiwa besar ini saat menjadi saksi pada malam konsertnya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur pada 13 September lalu. Dapat dilihat bahawa kelananya di Amerika bukan kelana kosong.

Malah harus diakui, Yuna telah mengutip banyak pengalaman besar di kota Los Angeles, di California itu.

Sebaliknya kelana Yuna ke bumi tersebut kelana yang diisi dengan pelbagai ilmu seni. Walau sesekali mempamer sifat malu, ironi, dia tampil matang. Vokal, persembahan, komunikasi dan semua yang dipertontonkan pada malam itu boleh dimasuk dalam kategori spektakular.

Itu yang dituang Yuna di atas pentas filharmonik pada malam konsert sulung dan solonya di pentas berprestij itu.

Sebagai bukti bahawa dia juga amat dipuja, konsert yang sepatutnya hanya berlangsung sehari iaitu pada 12 September telah dilanjutkan kepada 13 September kerana permintaan yang luar biasa.

"Saya terharu, terima kasih semua," begitu ringkas dan terdengar ikhlas Yuna melontar rasa di sebalik mikrofon saat dia berdiri manis berbaju kurung merah jambu di atas pentas.

Tidak tampil berlebihan, Yuna hanya ditemani sebuah gitar diiringi rakan band yang selama ini serasi bersamanya. Masing-masing, biar lama tidak bermain sama dengan gadis yang kini 'bermain' dengan banyak pemuzik antarabangsa itu tampak cocok tanpa sedikit pun canggung.

Setiap lagu yang dipersembahkan, dialun dengan kemas dan menyenangkan. Sementelah lemak merdu vokal Yuna membawa semua yang hadir terkesima dan tenggelam dalam emosi masing-masing.


SALAH satu lagu milik gadis ini kini berada dalam daftar iTunes.


"Ada yang sudah menangis?," dia mengusik sebaik mendendangkan tiga buah lagu termasuk Gadis Melayu yang menurut Yuna dibikin khusus untuk menterjemah isi hatinya yang tidak akan berubah kerana permintaan orang, sebaliknya suka menjadi diri sendiri sebelum menyambung: "Jangan menangis dulu."

Barangkali menangis yang dimaksudkan Yuna kepada audiens pada malam itu adalah bagaimana busur panah vokal dan persembahannya boleh menusuk tepat di tangkai hati peminatnya. Jika itu yang dimaksudkannya, ia adalah tepat kepada sasaran.

Menyambung persembahan dengan lagu Decorate yang cukup indah dengan melodinya, Yuna menjelaskan: "Ini adalah lagu yang pada mulanya tidak ingin saya rakamkan kerana durasinya yang terlalu pendek iaitu sekitar satu minit.

"Bagaimanapun atas pujukan pengurus, saya rakamkan dan ia kini telah menjadi lagu kegemaran saya."

Kemudian gadis yang kini sedang hangat dibalut asmara bersama hos Qi ini terus membawa audiens larut di dalam dunia seni kecilnya dengan mendendangkan lagu-lagu hitnya seperti Gelora Asmara (nyanyian asal Allahyarham P. Ramlee) dan Dan Sebenarnya.

Turut tidak ketinggalan adalah lagu Cinta Sempurna, Coffee, Penakut, Memo dan Random Awesome yang dinyanyikan dengan cukup sempurna.

Di celah untaian lagu tersebut, Yuna turut menyelitkan lagu yang dinyanyikan semula milik grup legenda Nirvana, Come As You Are. Malah dia telah mendapat pujian daripada pengkritik muzik antarabangsa mengenai versi dan susunan muzik yang begitu melankolik tetapi terdengar 'kasar' hasil kreativitinya.

Lebih daripada itu, dapat ditebak, selain menggemari lagu tersebut, Yuna telah memilih strategi bijak dengan menyanyikan semula lagu tersebut. Ia umpama pancing agar dirinya disedari dalam dunia hiburan Amerika kerana Nirvana adalah grup muzik yang berasal dari negara tersebut.

Fears & Frustrations yang bunyinya cukup terdengar antarabangsa itu, tidak hairan menjadi salah satu lagu dalam daftar iTunes beberapa bulan lalu. Teruja Yuna berkongsi rasa tentang pemilihan lagu tersebut, lantas ia didendangkan dengan penuh jiwa terhadap aprisiasi pihak antarabangsa memilih lagu dengan durasi lima minit itu dalam iTunes.


PERSEMBAHAN sulung Yuna di Dewan Philharmonik dengan skala besar membuktikan kredibilitinya.


Menutup tirai persembahan selama sejam, Yuna memilih lagu baharu yang dihasilkan di bumi orang, Let Love Come Through sebagai buah tangan terbaik untuk konsertnya itu.

Sejam larut di dalam dunia Yuna, ia adalah dunia yang cukup sederhana, namun mempunyai ruang yang terlalu besar dengan limpahan karya seni yang cukup luar biasa. Dia juga umpama penyanyi wanita era kini yang berada dalam wilayahnya tersendiri, tanpa perlu dibandingkan dengan sesiapapun. Dan kehadirannya cukup untuk membuat muzik tanah air berbangga kerana sekurang-kurangnya Malaysia mempunyai penyanyi generasi kini yang bukan ikut-ikutan, tetapi mempunyai kuasa tersendiri.

Semoga kelana dan pencarian seni di negara orang dapat dimanfaat baik oleh gadis yang bakatnya tercungkil keluar daripada kemodenan dunia maya.

Enam bulan

Biar namanya semakin harum, gadis yang menjadikan Fiona Apple, The Cardigans, Alanis Morissette dan Garbage ini tidak cepat terhipnosis dengan godaan yang hadir. Dia masih terus mahu fokus terhadap apa yang dikerjakan, sementelah mimpinya jauh lagi untuk menjadi kenyataan.

Mengaku sedikit sukar pada awal kedatangan ke sana, namun tiada diskriminasi terhadap wanita bertudung sepertinya membuat dia selesa.

Seiring dengan aliran muzik, dia bereksperimentasi dengan fesyen.

Katanya: "Saya seorang yang eksperimental dan suka berfesyen. Saya ingin mencipta sesuatu yang tersendiri. Muzik dan fesyen adalah medan untuk saya mengekspresi diri."

Berada di Malaysia selama tiga minggu sebelum pulang kembali ke Amerika, kata Yuna, dia berusaha untuk memberi yang terbaik buat peminatnya.

"Justeru setiap enam bulan sekali, saya merancang untuk membuat sesuatu buat peminat saya. Ia adalah sebagai harga balas terhadap sokongan yang mereka berikan kepada saya walaupun saya jauh dari bumi Malaysia. Insya-Allah, saya juga sedang merancang sebuah konsert berskala besar," ujarnya.

Bercerita tentang perkembangan seninya di sana, Yuna memberitahu dia telah menghasilkan 30 buah lagu untuk dimuatkan di dalam album baharunya. "Semua adalah lagu berbahasa Inggeris, sesuai dengan konsep antarabangsa yang mahu saya capai," katanya lagi.

Namun begitu, jujur Yuna, dia masih penasaran biar banyak karya telah dihasilkan. Ini kerana menurut pencetus aliran fesyen muslimah dengan gaya tudung dan imej santai, dia masih gagal bertemu magis seperti mana terjadi kepada lagu Melayu yang menjadi fenomena, Dan Sebenarnya.

Katanya: "Saya masih mencari magis. Ini kerana belum ada satu lagu yang saya hasilkan mampu memberi magis baharu selepas lagu Dan Sebenarnya."

Anang tangguh lamar Ashanty

Posted:

Anang tangguh lamar Ashanty

Anang tangguh lamar Ashanty


ANANG dan Ashanty tidak jadi berkahwin pada 28 September ini.


PASANGAN Anang Hermansyah memang merancang untuk melamar Ashanty pada 28 September ini. Bagaimanapun hasrat tersebut dibatalkan kerana mereka terikat dengan komitmen kerja dan berkaitan adat yang berlainan.

"Memang dia mahu melamar saya pada 28 September ini, tapi ada pekerjaan yang lebih besar untuk kita dahulukan.

"Kemudian terdapat perbezaan adat antara keluarga saya dan keluarga dia, jadi kami harus tangguhkan ia dahulu," ujar Ashanty yang tidak tahu bila tarikh lamaran baharu akan diusul.

Namun demikian Anang menegaskan bahawa hubungannya dengan Ashanty sangat serius. Mereka memiliki niat serius untuk segera membangun mahligai pernikahan.

Sementara itu, Ashanty sendiri berkata, jika pernikahan antara dia dan Anang terjadi, dia mahu mempersiap diri dengan sebaik mungkin.

Katanya ringkas: "Insya-Allah saya mahu ini (pernikahan) menjadi yang pertama dan terakhir."

Anang pula memberitahu selepas rasmi bernikah nanti dirinya akan memberi waktu kepada si isteri untuk belajar berumah tangga.

Nostalgia Saloma buat Mariani

Posted:

Nostalgia Saloma buat Mariani

Nostalgia Saloma buat Mariani

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


MARIANI bakal muncul di layar perak menerusi filem Hanya Dikau.


ABADI tersemat utuh di dinding restoran Saloma Bistro potret bintang terkenal era 50-an dan 60-an, Salmah Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Saloma.

Begitu juga setianya kasih dan sayang terhadap adiknya, Mariani Ismail, 78, yang merupakan seniwati yang tidak asing lagi dalam industri lakonan tanah air.

Masih kekal aktif di usia emasnya, pelakon filem Ahmad Albab, Tiga Abdul dan Labu Labi itu yang selesa membahasakan dirinya Mummy juga tidak putus-putus menerima tawaran berlakon.

"Mummy sangat rapat dengan Mama (Saloma), sikapnya yang masih melekat dalam jiwa Mummy sampai sekarang, dia sebenarnya malas membeli-belah.

"Biasanya Mummy yang akan belikan pakaian untuk dia memandangkan ukuran kami hampir sama, dulu pinggang kami lebih kurang saja, Mama 22 inci dan Mummy 24 inci," ceritanya mengimbau sekelumit kenangan silam dengan kakak tercinta.

Tambahnya yang ditemui pada majlis rumah terbukanya di Saloma Bistro, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, tempat itu umpama rumah keduanya dek kerana kenangan yang terlalu banyak antaranya dan Saloma.

"Terlalu banyak nostalgia antara tempat ini (Saloma Bistro) dan Mummy, setiap kali melangkah masuk ke sini Mummy akan teringat kenangan antara Mummy dan Mama," kata seniwati itu lagi.


HARI terbuka Mariani dimeriahkan dengan kehadiran dua anak Mariani, Rozita (kiri) dan Melissa Saila.



.

Kendatipun usianya menjengah ke angka 80, Mariani masih lagi disunting berlakon. Terbaru, seniwati kelahiran Tanjong Pagar, Singapura itu akan tampil dengan beberapa filem antaranya Hanya Dikau dan Dari Kerana Mata.

"Mummy tidak akan berhenti berlakon selagi mendapat permintaan dan tawaran, selagi tidak menyusahkan orang dan selagi boleh menghafal dialog," luahnya berbalut jiwa kental.

Tolak genre seram

Dalam pada itu, Mariana menegaskan dia sudah berhenti daripada menerima watak dalam cerita seram. Katanya, penat bersolek mengalahkan keringatnya berlakon.

"Mummy sebenarnya penat bila tiap kali perlu bersolek untuk merealisasikan watak seram, kadangkala sampai empat jam, itu belum termasuk nak tanggalkan solekan dan pakai kanta lekap yang sangat memedihkan mata," ujarnya yang bakal menjalani pembedahan katarak mata tidak lama lagi.

Berbicara mengenai bayaran yang patut diterima aktres veteran yang sudah banyak menghiasi layar seni, Mariani tidak sesekali meletakkan harga buat dirinya.

Berpandukan pengalaman dan pencapaian yang diraih sudah cukup untuk mewakili bayaran yang selayaknya diterima.

"Mummy tidak pernah letakkan bayaran buat diri Mummy, anda nilai sendiri berapa yang seharusnya Mummy terima, Mummy tidak mahu diniaga seperti ikan di pasar.

"Seni itu tidak boleh dijual beli dan Mummy tidak berkira walau dibayar sedikit," getusnya berhemah.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved