Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Ilham kontemporari buah kurmaOleh MAZLINA ABDUL MAJID KURMA atau tamar merupakan hidangan yang menjadi 'buruan' ramai terutamanya menjelang bulan Ramadan. Berbanding satu atau dua jenis yang diketahui oleh seseorang, sebenarnya terdapat ratusan jenis buah istimewa itu di seluruh dunia. Di Arab Saudi sahaja, terdapat lebih daripada 400 jenis. Itu belum termasuk dari Mesir, Iran, Tunisia, Iraq dan di California, Amerika Syarikat. Kurma jenis Nabi atau ajwa, sefri, barhi, khalas dan khodri yang berwarna merah hati (maroon) pula merupakan antara yang paling popular dan menjadi kegemaran utama penduduk di Tanah Arab. Selain dimakan segar sesudah matang usia, zaman yang silih berganti kini menyaksikan kurma atau nama saintifiknya, phonex dactylifera, dinikmati dengan pelbagai cara dan rupa. Buah dari jenis tumbuhan palma itu kini direvolusikan dengan tambahan elemen, bahan atau perisa sampingan agar selari dengan kecenderungan dan selera masyarakat semasa. Terbaru, sekumpulan anak muda dari syarikat UKP Management Enterprise mengambil inisiatif melakukan pembaharuan pembungkusan yang lebih dinamik terhadap buah yang kaya dengan khasiat itu. Enam sekawan, Ashraf Zulkifli, 30; Mohd. Noor Nawawi Muhammad, 30; Ikhwan Mansor, 30; Abdullah Ismail, 28; Ahmad Nailan Rosli, 30 dan Shahrul Zaman Luqman, 30, terpanggil berbuat demikian setelah mereka berenam melakukan kajian menyeluruh tentang cita rasa berbeza rakyat Malaysia. Selaku Pengarah Operasi syarikat, Ashraf memberitahu Kosmo!, ilham itu mula-mula hadir apabila mereka melihat kurma badam yang disalut coklat atau lebih dikenali dengan nama Chocodate menerima sambutan yang sangat memberangsangkan dalam kalangan pencinta kurma. "Selepas melihat fenomena luar biasa itu, kami terfikir mengapa tidak buah itu ditransisikan kepada beberapa elemen dan rasa tambahan agar ia lebih kontemporari dan sedap. "Paling penting, rasa kurma yang diperbaharui itu sendiri mampu dihadam orang ramai dan tidak menjejaskan keaslian rasa kurma itu sendiri," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini. 10 ciri baharu Sempena Ramadan kali ini, usahawan-usahawan muda ini membawa kelainan dengan memperkenalkan kurma yang berintikan 10 jenis gabungan bahan baharu. ASHRAF dan rakan-rakannya lebih selesa memasarkan produk-produk keluaran mereka secara talian. Antara yang menarik ialah kurma yang berintikan gabungan keju halomi, aprikot dan air mawar. Tidak kurang juga, kurma yang terkandung bahan perisa campuran seperti coklat susu dan pudina; coklat susu dan durian; serta kombinasi empat jenis bahan iaitu halwa bijan, keju krim, pati delima dan air mawar. Bagi penggemar jalinan rasa kurma dan kekacang, syarikat tersebut turut memperkenalkan kurma yang berintikan halwa bijan, kacang brazil, kacang macamedia, walnut dan kacang pikan. Menurut Ashraf, mereka melakukan uji kaji kepada kesemua bahan itu selama beberapa bulan lamanya demi mendapatkan rasa yang ideal. "Kesemuanya mempunyai keistimewaan tersendiri dan yang paling penting, ia tidak menjejaskan kesihatan," ujarnya dan memberitahu perniagaan itu diusahakan sejak tahun 2009. Pemilihan kacang pikan misalnya, dapat membantu menyembuhkan penyakit insomnia. Bijian tersebut juga mengandung vitamin B, khususnya vitamin B6 yang dapat menenangkan sistem saraf yang terlalu aktif. Pati delima pula ujar Ashraf, berupaya membantu menyingkirkan lemak berlebihan, melangsing badan, membakar kalori dengan cepat selain meningkatkan tenaga dan memulih keletihan tubuh badan. "Kurma-kurma ini juga tahan lama jika disimpan dalam peti sejuk," tambahnya. Kreatif Imaginasi enam sahabat yang berkawan sejak di bangku sekolah menengah itu sangat mengagumkan dari sudut seni kreatif. Bukan saja melakukan penyelidikan dan pembangunan, sebaliknya mereka turut mempunyai bakat dengan menawarkan gubahan bungkusan hamper kurma yang dibuat oleh mereka sendiri. "Kurma yang syarikat kami tawarkan boleh dibeli begitu saja, tapi penampilan kurma itu akan lebih terserlah jika ia dipakejkan dengan sempurna. "Pelanggan boleh memilih stail dan jenis kurma mengikut kehendak masing-masing untuk digubah," kata Ashraf. Daripada banyak jenis gaya hamper yang ditunjukkan seperti yang diperbuat daripada mengkuang pandan, bungkusan hamper yang berbentuk kitab antara yang paling kreatif dan paling menarik perhatian. Harga yang ditawarkan juga berpatutan. KURMA yang dipesan boleh dipakejkan dengan pelbagai stail mengikut citarasa masing-masing. Dalam pada itu, pada tahun ini juga, kata Mohd. Noor Nawawi selaku pengarah syarikat, pihaknya turut memperkenalkan pakej hadiah yang dinamakan Set Ibadah. Set itu terdiri daripada kain telekung, kain sembahyang dan kain pelikat yang dijual pada harga yang sangat berpatutan. Satu tan kurma Jika pada tahun-tahun sebelumnya, UKP Management hanya menyediakan di antara 500 hingga 600 kilogram (kg), namun pada Ramadan ini, sebanyak satu tan kurma pelbagai jenis dijadual akan dipasarkan. Kurma-kurma seperti kurma safia bertangkai, madu yuta, mabrum, ambar, wasem, medjoul dan amina didapatkan secara terus daripada pengedar terkemuka negara, Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd. Secara keseluruhannya, terdapat lebih 30 jenis kurma yang diambil dari syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu. "Selain itu, kami juga ada mengimport kurma dari Iran seperti kurma mariami dan mudofatibam serta kurma yang dipanggil deglenour yang didatangkan khas dari Tunisia," kata Mohd. Noor Nawawi sambil memberitahu syarikatnya banyak menerima tempahan daripada syarikat guaman dan pejabat-pejabat kerajaan. Seperti memahami kehendak pelajar Asia Barat yang semakin berkembang di institut pengajian tinggi awam di negara ini, syarikat ini turut mengimport sajian-sajian lain yang terkenal seperti halwa dan knafeh (sejenis puding yang diperbuat daripada yogurt, susu dan kacang). "Pejabat kami secara kebetulan terletak di universiti, jadi ramai pelajar Arab bertanya. Daripada situ kami dapat idea untuk membawa masuk makanan itu ke Malaysia," katanya. Bagaimana untuk berurusan dengan mereka? Mudah saja kerana semuanya dilakukan atas talian. Jika anda tidak berkesempatan untuk mengambil tempahan, usah khuatir kerana syarikat ini menawarkan perkhidmatan penghantaran dari rumah ke rumah. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan