Ahad, 31 Julai 2011

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Busana khas tradisi nyonya

Posted:

Busana khas tradisi nyonya

Busana khas tradisi nyonya

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my



ZANNA OMAR mempunyai sebab tersendiri saat dia mula-mula mahu mewujudkan butik Jelita Sari. Dalam fikirannya, jahitan sulaman tradisi masyarakat Melayu dan Nyonya yang terkenal sejak turun-temurun masih ada penggemarnya.

Daripada sulaman kerancang, sulaman ayak, sulaman benang, sulaman peniti, sulaman riben hinggalah ke sulaman pita, Zanna mempunyai kepakaran mengenai semua teknik tersebut yang kini semakin luput dalam kalangan generasi muda.

Seni yang jarang diperturunkan itu kini cuba dihidupkan kembali oleh Zanna. Buktinya, butik Jelita Sari menawarkan pelbagai pilihan kebaya dan baju kurung yang dihiasi perincian sulaman pelbagai bentuk.

"Semasa saya kecil, saya suka melihat Allahyarham Saloma mengenakan kebaya ketat yang kecil dipinggang, berkain batik gulung dan bersanggul tinggi.

"Seni fesyen seperti itu kini sudah tiada tetapi, ia diperbaharui dan melalui arus kemodenan sehingga terhasil baju kebaya masa kini yang lebih moden," katanya.

Zanna memberitahu, butik Jelita Sari diilhamkan untuk mengekalkan tradisi sulaman kerancang atau kerawang serta turut dikenali sebagai sulaman nyonya dalam kalangan penggemar kebaya nyonya.

"Sulaman ini amat digemari oleh golongan Baba dan Nyonya di Melaka tetapi, wanita sekarang lebih selesa mengenakan baju kurung pesak atau moden.


BAJU kurung tampil lebih indah dengan sulaman peniti yang halus.


"Justeru, sulaman kerancang ini disesuaikan untuk dijadikan sebagai satu seni hiasan pada busana si pemakai dengan motif yang lebih moden," katanya.

Mewahkan fabrik

Tambah Zanna, sulaman menjadikan sehelai pakaian tampak indah kerana ia bukanlah seni yang mudah malah, dibuat dengan berhati-hati bagi memastikan kekemasan dan kualiti.

"Sulaman lazimnya dibuat mengikut motif bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan atau alam semula jadi. Ia amat sesuai dengan keperibadian wanita yang lembut dan halus," katanya.

Menurut Zanna, sulaman wujud dalam banyak jenis dan yang paling terkenal ialah sulaman kerancang yang namanya diambil daripada perkataan Indonesia.

"Sulaman kerancang merupakan seni halus dan teliti. Ia menggunakan seni ayak dan goyang yang merupakan seni tangan yang sukar untuk didapati pada masa kini.

"Ia mempunyai jaringan yang dipanggil sebagai krell yang merupakan jaringan berbentuk seperti sarang labah-labah," katanya.

Kongsi beliau lagi, teknik sulaman tersebut bergantung kepada kecekapan penjahit untuk melakarkan motif atau corak sulaman tanpa menggunakan komputer.

"Sulaman ini boleh digunakan pada kebaya pendek atau labuh serta baju kurung pesak, moden atau Pahang.

"Ia akan lebih menyerlah pada material kain kosong seperti sutera, taffeta dan kain kapas. Malah, ia boleh juga disulam pada kain bercorak," katanya.

Sulaman yang turut memerlukan kemahiran yang tinggi ialah sulaman ayak iaitu sulaman yang menggunakan teknik yang sama seperti sulaman kerancang tetapi tidak mempunyai krell yang membentuk seperti sarang labah-labah.

"Sulaman ini membentuk corak atau motif sulaman dengan jahitan benang berwarna-warni. Ia juga sesuai disulam pada baju kurung moden atau pesak tetapi, tidak sesuai untuk baju kebaya.

"Ia juga dibuat dalam sulaman bercorak timbul bagi menampakkan seolah-olah ia hidup," katanya.

Sementara itu, sulaman benang pula katanya merupakan teknik sulaman yang menggunakan 100 peratus tangan tanpa bantuan mesin jahit atau komputer untuk menjalinkan benang yang berwarna-warni bagi membentuk corak yang diingini.


SENI sulaman ayak yang menggunakan dua warna kontra.


"Sulaman ini juga tidak sesuai disulam pada baju kebaya, sebaliknya lebih sesuai disulam pada baju kurung moden atau pesak," katanya.

Ketelitian sulaman peniti

Zanna turut memperkenalkan sulaman peniti yang merupakan sulaman teknik simpulan benang pada akhir sulaman.

"Teknik ini agak sulit kerana jahitannya juga 100 peratus menggunakan tangan.

"Sulaman untuk sepasang baju sahaja memakan masa sehingga dua bulan. Selain itu, sulaman ini lebih kepada motif bunga-bungaan menggunakan dua warna benang yang berbeza," katanya.

Dalam pada itu Zanna memberitahu, sulaman riben atau pita pula merupakan teknik sulaman menggunakan benang dan riben.

"Riben bersaiz kecil dan nipis ini selalunya digunakan untuk membentuk bunga atau corak utama baju, manakala benang hanya digunakan untuk menjahit riben tersebut pada kain," katanya.

Menurut Zanna, baju bersulam kini seharusnya diperkenalkan kepada penggemar fesyen bagi menggalakkan mereka menggunakan sulaman bagi menghiasi busana mereka.

"Ia melambangkan seni ketimuran dan kemelayuan kepada si pemakai serta menggalakkan anak-anak muda untuk mempelajari teknik sulaman ini supaya ia tidak hilang dek zaman," katanya.

Zanna memberitahu, dia mahu menghidupkan kembali trend kebaya Nyonya yang sarat perincian tradisi Melayu dan nyonya.

"Kini, tidak ramai yang pandai atau mempelajari teknik sulaman, justeru seni itu semakin hilang kini.

"Lebih-lebih lagi, ramai anak muda kini selesa mengenakan baju kurung, kurung pesak atau kebaya ringkas yang tidak disulam," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Kesegaran wajah bulan puasa

Posted:

Kesegaran wajah bulan puasa

Kesegaran wajah bulan puasa


KAYLA menawarkan krim pelembap dan krim asas wajah yang mengandungi ekstrak stem epal hijau.


HARI ini merupakan detik istimewa kepada umat Islam di seluruh dunia kerana berpeluang menjalani ibadah puasa sempena bulan Ramadan. Dalam tempoh sebulan ini muslimin bukan saja menahan lapar dan dahaga malah, mengehadkan diri daripada melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan tubuh badan keletihan.

Namun tahukah anda, meskipun berpuasa melebihi lapan jam tanpa menjamah makanan dan minuman, anda masih berpeluang menjalani kehidupan seharian dengan aktif. Oleh itu, sempena hari pertama Ramadan ruangan Riak&Rias kali ini berkongsi beberapa tip menarik bagi mengelakkan wajah kusam dan tubuh badan kurang bermaya sewaktu berpuasa.

Banyak minum air putih

Berpuasa bukan alasan untuk kita mengurangkan pengambilan air putih. Kekurangan air putih dalam tubuh badan menyebabkan kelesuan dan menyebabkan kulit kering, jerawat, sukar membuang air besar serta wajah kelihatan kusam. Bagi mengelakkan penampilan tampak kurang bermaya anda disaran minum banyak air putih sewaktu berbuka dan bersahur.

Persatuan Dietetik British menyarankan individu menikmati sekurang-kurangnya dua liter air putih setiap hari. Tabiat itu membantu membuang toksin, mencantikkan kulit wajah dan badan.

Aplikasi salap bibir

Selain itu, sepanjang menjalani ibadah puasa anda turut mengalami masalah bibir kering dan menggelupas gara-gara kekurangan air. Oleh itu, biasakan diri mengoles salap atau pelembap bibir yang mengandungi vitamin C dan E yang membantu memberi kelembapan dan kesegaran berpanjangan. Jangan sesekali membasahkan bibir dengan lidah kerana ia membuatkan bibir bertambah kering.

Krim wajah

Selain menitikberatkan bahagian bibir, kelesuan wajah sewaktu berpuasa dapat diatasi dengan mengaplikasi pelembap dan krim asas pada wajah. Memahami situasi wanita yang ingin kelihatan segar jenama kosmetik Kayla Beverly Hills memperkenalkan krim pelembap Kayla Ori Stem Cell.

Krim wajah yang mengandungi ekstrak sel stem epal hijau Uttwiler Spatlauber dari Switzerland, minyak jojoba, ekstrak lidah buaya dan vitamin E itu menawarkan lapan khasiat di dalam satu krim.


MAKANAN berserat baik untuk membekalkan tenaga pada bulan puasa.


"Selain melembapkan kulit wajah, krim ini turut bertindak melindung kulit daripada sinaran Ultra Ungu (UV), mengurangkan jerawat, antipenuaan, mengurangkan pigmentasi dan mencerahkan kulit wajah.

"Pengguna dapat merasai perubahan kulit wajah dalam tempoh empat minggu saja sekiranya mengaplikasi krim Kayla Ori Stem Cell secara sistematik. Bukan itu saja, olesan krim ini membuatkan kulit wajah lebih sekata dan memudahkan proses solekan kerana anda tidak perlu menyapu bedak asas terlalu tebal," jelas pemilik jenama Kayla Beverly Hills Malaysia, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed.

Solekan ringkas

Sementara itu, perunding kecantikan Kayla Beverly Hills, Nor Aishah Tokiran, menjelaskan selepas menyapu krim pelembap, krim asas dan bedak asas, serlahkan bahagian pipi dengan pemerah pipi rona ceria seperti merah jambu lembu atau jingga.

Kemudian hiasi kelopak mata dengan pembayang mata rona pilihan dan pengaris mata warna hitam bagi membuatkan sepasang mata kelihatan lebih galak.

"Solekan ringkas dan tipis membantu mengelakkan wajah kelihatan lesu," katanya.

Makanan berkhasiat

sewaktu bersahur

Disebabkan kita perlu menahan lapar dan dahaga lebih daripada lapan jam maka sewaktu bersahur kita wajar mengambil makanan yang berkhasiat dan membekalkan tenaga.

Selain bijirin bersama susu segar atau oat yang dicampur bersama daging atau ayam, kita juga boleh menikmati hidangan buah-buahan yang berserat tinggi. Antaranya buah epal, pisang, jambu batu, prun atau pir. - IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved