Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Erti puasa Malek NoorADA yang bertanya mengapa Malek Noor menjadi figura pertama untuk ditemu bual pada hari pertama Ramadan Al Mubarak yang bermula hari ini. Relevannya mudah. Barangkali ada yang beranggapan bekas jaguh bina badan negara ini terlalu 'senior' untuk dijadikan bahan utama. Namun bukan itu yang Kosmo! pedulikan. Sebaliknya, kami mahu berkongsi cerita tentang pengalaman puasa bagi figura yang mengaku tidak pernah berpuasa sepanjang usianya sehingga menjangkau usia tua. Sebelum ini, umum tahu Malek telah membogelkan kisah hidupnya yang tidak pernah hidup berlandaskan jalan Islam. Tidak solat, memakan makanan haram termasuk daging khinzir dan meminum arak adalah hal bukan tabu bagi dirinya. Begitu juga soal kewajipan berpuasa. Malek tidak berasa penting untuk dia berpuasa sedangkan ia adalah rukun Islam kedua yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam. Namun selepas mendapat hidayah sekitar usia 46 tahun, kehidupan Malek kini berubah secara total. Dia telah lama meninggalkan segala yang haram dan berusaha menjadi umat Islam yang baik dengan menunaikan sebanyak mungkin kewajipan yang disyariatkan, termasuklah berpuasa di bulan Ramadan. Tahun ini, baru genap 10 tahun Malek Noor berpuasa penuh. Dia tidak malu untuk mengaku hal tersebut walaupun kini usianya sudah menjangkau 55 tahun. Banyak cerita yang dikongsi Malek tentang keterujaannya berpuasa. Bagi figura yang baru pulang mengerjakan umrah pada awal tahun ini, nikmat berpuasa tidak boleh ditukar ganti. "Alhamdulillah, sejak selepas bertaubat, saya masih belum pernah tertinggal satu hari pun puasa. Malah saya juga melakukan puasa sunat seperti puasa enam dan sebagainya. "Saya kini berusaha sehabis baik untuk menggantikan semua dosa tidak berpuasa yang pernah saya lakukan dahulu," ujarnya sambil tersenyum. Malek memberitahu, sewaktu zaman dia tidak mempedulikan kewajipan berpuasa, dia akan makan pada waktu siang hari seperti biasa. "Tapi saya masih hormat orang lain yang berpuasa, jadi saya tidak makan di tempat umum. Lagi pula saya pun dikenali orang, saya harus menjaga nama juga pada waktu itu. Jadi saya hanya akan makan di rumah seperti biasa dan tidak mempedulikan tentang ibadat ini," luahnya jujur. KASIH seorang bapa yang jelas terserlah antara Malek dan Amelin. Mengenang semula proses pertama kali dia berpuasa, ujar Malek dia sangat teruja untuk melaksanakan ibadat tersebut. Justeru, ia tidak menjadi masalah buatnya untuk memulakan puasa walaupun tidak pernah berpuasa selama lebih 40 tahun sebelum itu. Malah kini sepanjang Ramadan, selain menahan lapar dan dahaga, apa yang dititikberatkan oleh anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini juga adalah amalan-amalan sunat yang dapat meningkatkan pahalanya. Mengaku jarang bersahur, ujar Malek: "Aktiviti saya di bulan Ramadan banyak dihabiskan dengan membaca al-Quran, Yassin dan berwirid. Saya berusaha sebaik mungkin bukan sahaja menahan lapar berpuasa, sebaliknya mencuci segala keburukan diri sebersih-bersihnya." Bagaimanapun kata Malek, amalan tersebut bukan sekadar dilakukan pada bulan Ramadan, sebaliknya ia juga harus diteruskan pada setiap masa. Ini termasuklah menjaga pertuturan atau bersedekah. Ditanya tentang menunaikan solat tarawih, seperti 'melompat' daripada satu masjid ke masjid lain, Malek ternyata mempunyai persepsi sendiri. Dia memberitahu, dia bukan individu yang mengejar jemaah tarawih. Bukan tidak menyedari ganjaran yang dijanjikan Allah S.W.T, namun kata Malek, dia lebih gembira jika solat wajib lima waktu dilaksana sempurna dan dijaga baik, sebelum melakukan solat sunat. "Saya akui, ada masa, saya akan ke masjid menunaikan solat tarawih, tetapi bukanlah setiap hari saya ke masjid, kerana kadang-kadang saya memang terlepas ke masjid melakukan tarawih secara berjemaah. "Jadi saya akan lakukannya secara berseorangan di rumah. Secara peribadi, bagi saya sendiri, saya amat menitikberat soal solat wajib lima waktu. Apa yang penting solat wajib ini tidak tercicir hanya kerana mahu mengejar ganjaran bertarawih," katanya jujur. Sementara itu, ditanya tentang juadah berbuka, Malek tidak memilih juadah, cukup sekadar kurma pembuka selera dan sesekali dia mahu merasa nasi beriani, itu sudah memadai baginya. MALEK dan Amelin bersama ibu dan bapa kandung Amelin, Sharifah Rohani dan Nik Mahmood. Bukan ulama Mengajak Malek berkongsi serba sedikit tentang transformasi dirinya kini, dia tidak mahu khalayak melihatnya sebagai seorang alim ulama, sebaliknya cukup sebagai salah seorang manusia yang pernah melakukan terlalu banyak khilaf dan sudah bertaubat nasuha untuk kembali patuh ke jalan-Nya. Mengaku menjalani transformasi negatif kepada positif secara berperingkat-peringkat, perkara keji yang dilakukan secara drastik sebaik mendapat hidayah adalah berhenti memakan daging khinzir dan meminum arak. Sementara hal-hal buruk lain seperti pergi ke kelab malam dan sebagainya dilakukan secara berperingkat. "Selepas saya mendedahkan kehidupan lampau saya, saya telah mendapat pelbagai respons daripada banyak orang. "Ada yang menyokong, ada yang sebaliknya mengatakan saya memalukan diri dan keluarga kerana membuka aib yang tidak akan dibuka oleh orang lain. "Ingin saya tegaskan di sini, saya bukan mahu memalukan keluarga atau membuka aib, sebaliknya saya mahu berterima kasih kepada Allah S.W.T kerana masih memberi saya ruang untuk memperbaiki diri dengan menyedarkan saya tentang khilaf yang dilakukan sebelum saya meninggal dunia dalam kesesatan. "Saya juga tidak malu mengaku keburukan lampau kerana saya tidak takut atau malu dengan pandangan masyarakat, sebaliknya saya mahu dan takut hanya pada Allah S.W.T sahaja," tegasnya. Biarpun sudah berubah paksi, itu tidak bermakna Malek melupai duniawi terus. Dia memberitahu kadang-kala masih bertemu teman-teman lama dan masih mengunjungi karaoke. Katanya: "Sebab itu saya kata saya bukan alim ulama. Kehidupan saya banyak berubah tetapi saya juga harus menyeimbangi kehidupan duniawi asal ia tidak berlebihan dan sentiasa mementingkan akhirat." Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Deruan David ArchuletaOleh KHAIRUL AMRI HASSAN DAVID menerima cenderamata yang merupakan sebuah wau daripada Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Adrian Lim. DAVID James Archuleta atau David Archuletta, namanya melonjakkan deruman adrenalin serata alam. Berbeza pula dengan pencabarnya yang dinobatkan juara American Idol musim ketujuh, David Cook, aura dan gema suara David jelas sekali mampu didengar sehingga ke wilayah Asia. Cukup gah untuk menggegar dunia apatah lagi Stadium Negara pada hari Selasa lalu, David mengukir namanya sekali lagi selepas konsert sulungnya di Malaysia pada tahun 2009 menerusi David Archuleta The Other Side of Down Tour Live In Malaysia 2011. Menginjak ke usia dewasa 21 tahun berbekalkan panggilan manja Archie, figura kelahiran Utah, Amerika Syarikat (AS) itu kini sudah berjaya melahirkan album ketiganya The Other Side of Down. Siri jelajah konsertnya di Asia bermula di Jakarta, Indonesia seterusnya ke Manila, Filipina sebelum meninggalkan bumi Ho Chi Minh dan Hanoi, Vietnam untuk menoktahkan sebaran suara emasnya di Kuala Lumpur. Konsert yang pada masa yang sama bertujuan mempromosi album ketiganya itu membuka tirai persembahan dengan lagu Stomping The Roses. Dengan hanya menyarung sehelai jaket kulit, sehelai kemeja-t kelabu serta sepasang jeans hitam hingga ke akhir persembahan yang berdurasi sejam setengah itu, Archie turut melantunkan beberapa lagu baharunya antaranya Touch My Hand, My Kind of Perfect, Everything and More dan Zero Gravity. Tidak ketinggalan menunjukkan skil bermain piano sambil dan mengulit 5,000 pengunjung penuh syahdu dengan dendangan notasi dan irama My Kind Perfect dan A Thounsand Miles (lagu asal Vanessa Carlton). Selain itu, Archie juga melantunkan beberapa buah lagu nyanyian asal Tears For Fears (Everybody Wants To Rule The World), Ben E King (Stand By Me) dan Bryan Adams (Heaven). SUASANA meriah kunjungan kira-kira 5,000 peminat menjadikan konsert David Archuleta di Kuala Lumpur kali ini cukup mengujakan. Empat single daripada album terbaharunya, The Other Side of Down, Falling Stars, Elevator dan Something 'Bout Love, turut menghiasi persembahan. Pelengkap persembahan tidak lain tidak bukan single pertama yang menjulang namanya tinggi di persada dunia, Crush sebagai hadiah teristimewa dan penutup konsert penuh energetik di Asia. Semanis wajahnya, kaya pelbagai gaya dan tawa kecil, Archie yang ditemui pada sidang akhbar di Hotel Hilton sehari sebelum konsertnya nyata girang teruja menjejakkan kaki buat kali kedua di bumi Malaysia. "Masih saya ingat pengalaman kali pertama datang ke sini (Malaysia) berjumpa dengan peminat saya, dan kini buat kedua kalinya kenangan ini pasti tidak akan dilupakan," bicaranya yang terbuka untuk bertandang lagi jika diberi peluang kali ketiga. Tambahnya, Touch My Hand benar-benar sebuah naskhah bermakna baginya, selain dicipta khas untuk didendangkan di depan khalayak ramai ia punya mesej tersendiri. "Seumpama mimpi menjadi realiti, lagu itu amat luar biasa dan saya cukup teruja untuk berkongsinya dengan khalayak," ceritanya santun. Sebanyak 17 buah lagu, sepersalinan dan diiringi pemuzik dari Los Angeles dan New Zealand, Archie mengakhiri persembahan penuh memukau dengan ucapan "Terima Kasih Malaysia!" Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Suhaila hilang sabarOleh HARYATI KARIM IBU dan bapa Suhaila banyak memberi sokongan moral buatnya dalam perancangan masa depan untuk membesarkan Zahrah Rania Shanley. BADAI yang melanda rumah tangga pengacara Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, dan isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, nampak masih belum ada titik noktahnya. Bahkan, jalan penyelesaian yang dicari untuk berbaik semula semakin tidak menampakkan sinarnya. Suhaila sebelum ini yang enggan bersuara mengenai masalah rumah tangganya kini mula tampil ke hadapan untuk memprotes segala kenyataan yang dilemparkan Jimmy terhadapnya sebelum ini. Ibu kepada Zahrah Rania Shanley yang kini berusia sebulan, ditemui pada majlis cukur jambul anaknya pada Rabu lalu di kediaman ibu bapanya di Sungai Buloh, Selangor berkata, dia dan bapanya hilang sabar selepas Jimmy menghebohkan kepada pihak media bahawa majlis cukur jambul itu dibatalkan. "Saya tidak faham kenapa dia kata majlis hari ini batal sedangkan tarikh 27 Julai ini dipilih olehnya sendiri kerana pada hari Sabtu dan Ahad dia sibuk bekerja. Kenyataan itu yang membuatkan bapa saya marah kepadanya dan melarang dia datang ke rumah kami, sedangkan majlis ini sudah dirancang untuk majlis doa selamat sambut puasa sekali," ujarnya. Disoal mengapa sekarang baru Suhaila tampil untuk memberikan kenyataan sedangkan sebelum ini sudah terlalu banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh Jimmy, tidak ada satu pun yang dibalasnya. Dia menjawab: "Saya ada perniagaan sendiri, saya tidak mahu masalah rumah tangga kami diperbesarkan sebab itu saya sanggup mendiamkan diri dan dalam masa yang sama saya melantik penguam untuk kes yang difailkan Jimmy iaitu permohonan kembali taat dan nusyuz serta mendapatkan hak penjagaan anak." Tiada persefahaman Luah Suhaila lagi, tiada persefahaman antara mereka menjadi penyebab utama mengapa dia nekad memilih jalan untuk bercerai dengan suaminya itu.
"Saya nekad untuk bercerai, cukuplah saya pernah bagi peluang sekali kepadanya sebelum ini, jadi buat masa ini saya tunggu apa kata peguam. Keluarga saya memang tidak menyokong keputusan saya kerana kalau boleh mereka ingin melihat kami berbaik semula kerana anak, saya maafkan dia tetapi saya tidak akan kembali kepadanya," tutur Suhaila tegas. Selain tidak ada persefahaman antara mereka, kejadian Jimmy mengasari Suhaila sebanyak dua kali, pertama pada malam sebelum perkahwinan mereka dan kedua ketika mereka berbulan madu di Koh Samui, Thailand juga merupakan faktor dia mengambil keputusan untuk tidak kembali kepada suaminya. "Selepas berkahwin, baru saya tahu perangai sebenar dirinya. Saya tidak sangka dia baran macam itu. Memanglah dia ada minta saya berubah dan saya pun meminta dia berubah, tetapi manusia tidak boleh berubah begitu cepat. "Dia tidak bagi saya berjumpa rakan-rakan saya sedangkan saya tidak banyak rakan di Kuala Lumpur kerana saya membesar sejak kecil dan bersekolah di Kedah. Jadi, rakan-rakan saya di Kuala Lumpur semuanya saudara-mara dan pekerja syarikat keluarga saya. "Keluarga saya besar dan saya memang sukakan suasana riuh-rendah bila berkumpul dengan keluarga tetapi dia tidak boleh menerima situasi itu kerana dia sukakan suasana privasi," jelasnya. Suhaila juga menafikan bahawa Jimmy tidak tahu tarikh sebenar majlis cukur jambul anaknya, malah, ibunya turut menjemput Jimmy untuk datang ke majlis tersebut. Bagaimanapun kelibat Jimmy dari awal sehingga majlis berakhir langsung tidak kelihatan. "Ibu saya sudah menjemput Jimmy, saya tidak tahu kenapa dia tidak datang," jelasnya mengenai majlis cukur jambul itu turut disertai oleh anak abang Suhaila yang baru berusia 16 hari. Sebelum mengundur diri, Suhaila, memberitahu, selepas ini dia akan memberi tumpuan kepada anaknya dan berusaha untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Menurutnya, Jimmy sebagai bapa dibenarkan untuk melawat anaknya. "Masalah antara saya dan Jimmy, saya tidak mahu membebankannya kepada anak. "Walau apa yang berlaku Jimmy tetap bapa kepada Zahrah, jadi saya tidak akan menghalangnya untuk datang ke rumah menjenguk Zahrah. Sebelum ini pun dia ada datang menjaga Zahrah ketika saya baru lepas bersalin," tutur Suhaila yang melahirkan anaknya secara pembedahan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan