Isnin, 1 Ogos 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Terjemahan imej dasar laut

Posted:

Terjemahan imej dasar laut

Terjemahan imej dasar laut

Oleh NIZHA PERIASWAMY



KETIKA membuat tinjauan di sekitar Pameran Penyelam Antarabangsa Malaysia (MIDE) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, suasana di PWTC yang padat dengan pengunjung jelas menunjukkan bahawa hobi atau keghairahan terhadap aktiviti menyelam semakin mendapat sambutan rakyat Malaysia.

Menyelam bagi kebanyakan orang merupakan satu hobi yang penuh keterujaan. Bahkan, hampir semua orang yang ditemuramah percaya menyelam mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia seolah-olah membawa seseorang itu ke satu dunia yang lain.

"Kita mungkin sudah biasa berada di atas darat dan berada di ruang angkasa tetapi, berapa ramai yang dapat membiasakan diri di dasar laut?" tanya seorang pengunjung, Danial Iskandar, 30, dari ibu kota.

Beliau bukan sahaja datang ke pameran itu untuk berjinak-jinak dengan bidang selaman memandangkan Danial sudahpun mempunyai pengalaman menyelam di lebih 120 tapak selam di Malaysia dan di sekitar Asia Tenggara.


DANIAL bersama beberapa karyanya yang dihasilkan melalui pengalaman beliau di dasar laut.


"Saya menyelam sekurang-kurangnya 20 kali di tiga atau empat buah lokasi dalam masa setahun. Tetapi menyelam sahaja tidak berbaloi jika ia tidak direkod," kata Danial. Beliau bukan sekadar menyelam dan mengambil gambar bahkan menariknya, Danial turut melukis imej di dasar laut itu.

Danial mempunyai kira-kira 32 buah lukisan dasar laut hasil tangan sendiri yang dilukis sejak dua tahun lalu. Katanya minat melukis imej dasar laut wujud selepas beliau merasakan gambar foto dasar laut bukan paling sempurna.

"Saya dapati, gambar foto yang dirakam di dasar laut boleh diubah suai. Ia menjadikan imej itu tidak semula jadi. Ia telah mengecewakan saya sekali gus mengerakkan saya untuk berkecimpung dalam bidang seni lukis," katanya yang sememangnya sudah ada kemahiran melukis sejak kecil. Kini selain lukisan dasar laut, Danial mempunyai 37 lukisan lain.

Danial belajar menyelam hanya dua tahun lalu dan selepas mendapat lesen, beliau terus menyelam sebagai hobi. Namun, selepas melawati kira-kira 50 tapak selaman, Danial merasakan selaman itu sia-sia jika ia tidak dirakam.


LELAKI berusia 30 tahun ini, mendapat lebih kepuasan dengan aktiviti menyelam apabila momen menyelam itu dirakamkan menerusi kamera dan dilukiskan di atas kanvas.


"Saya sudah puas menyelam di sekitar Malaysia. Antara lokasi kegemaran saya ialah Pulau Perhentian Besar dan Kecil di Terengganu, Pulau Tioman di Johor dan Pulau Sipadan di Sabah," katanya yang sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang hartanah, di samping menguruskan perniagaan sendiri.

Danial sudah menjual tujuh daripada lukisan dasar laut dengan harga paling tinggi sekitar RM12,000.

Dalam karyanya Danial bukan sahaja memaparkan lukisan secara terus tetapi, adakalanya dia turut mempamerkan reka bentuk dan corak gerakan air. Bagaimanapun, Danial akan mengambil gambar foto sebelum diterjemah dalam bentuk lukisan.

Kini, di samping mengumpulkan rakan daripada pelbagai latar belakang, Danial juga turut menyelam bersama anak perempuan beliau, Danisyah Irdina yang baru berusia 11 tahun, manakala anak lelaki berusia enam tahun, Muhammad Damien pula sedang belajar menyelam.

"Saya selalu menyelam bersama rakan baik saya, Mejar Muhammad Anuar Harun dan anak perempuan saya. Isteri saya pula pernah sampai ke tahap menyertai latihan tetapi, kerana kecederaan kecil, dia terus trauma dan enggan menyertai latihan seterusnya," katanya.

Danial memberitahu, trauma air juga boleh diatasi dan ia bergantung kepada semangat seseorang. Jika kebanyakan orang trauma air menyebabkan mereka tidak mencuba menyelam, ia sebenarnya boleh diatasi sebaik anda menyelam.


KIRI: Melukis sekadar mengisi masa lapang kerana Danial juga masih bergelar pelajar.


"Pemandangan dasar laut yang cantik dapat mengubah trauma anda," ujarnya yang bagaimanapun mengakui tidak berjaya memujuk isterinya berbuat demikian.

Di sebalik semua pengalaman manis di dasar laut, Danial turut berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Semasa khusyuk menyelam mengejar ikan jerung di poin jerung Pulau Sipadan, Danial hampir lemas apabila tanpa disedari oksigen beliau hanya tinggal 30 bar sahaja.

Lazimnya, seseorang penyelam akan menyelam sehingga oksigen tinggal 50 bar supaya dia mempunyai bekalan yang mencukupi semasa naik. Pada waktu itu, Danial cuba tidak panik kerana dia tahu, panik dan tindakan menyelam naik dengan cepat boleh memberi tekanan pada peparu sehingga membahayakan nyawa. "Mujur ketika itu ada buddy iaitu teman menyelam, selepas memberitahu situasi saya, dia membantu membekalkan dengan oksigen kecemasan. Itu sebabnya anda perlu memastikan menyelam bersama seseorang dan bukan bersendirian."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Bangkit selepas banjir terburuk

Posted:

Bangkit selepas banjir terburuk

Bangkit selepas banjir terburuk


KERJA baik pulih infrastruktur awam sedang giat dijalankan di Madyan iaitu sebuah penempatan di tebing Sungai Swat.


SETAHUN selepas kejadian banjir yang memusnahkan rumah dan meragut banyak nyawa, rakyat Pakistan yang masih hidup di sebuah kawasan lembah bernama Swat nekad untuk tidak berpindah ke tanah yang lebih tinggi.

Kira-kira pukul 7 malam pada 29 Julai tahun lalu, Sayed Zamin Khan, 55, terpaku melihat rumahnya dihanyutkan arus deras Sungai Swat yang berlumpur. Satu demi satu rumah-rumah jirannya di perkampungan Ariana itu runtuh disebabkan malapetaka itu.

"Tidak mengapa, ia selamat!" Itulah yang Sayed Zamin katakan kepada anak saudaranya, Shujat Ali, yang ketakutan dan bimbang. Sayed Zamin sekadar menyuruhnya menjauhi arus sungai itu.

"Kemudian tanah yang kami duduki runtuh dan turut menenggelamkan anak saudara saya bersama sebahagian rumahnya," katanya tentang Shujat, 36, seorang pekedai yang berkulit cerah dan berambut merah.

Sebelum kedatangan air bah pada musim panas tahun lalu itu, terdapat sebanyak 45 buah rumah di Ariana. Bencana itu begitu dahsyat sehingga menenggelamkan 20 peratus daripada keluasan negara berkenaan dan menjejaskan kehidupan 21 juta orang.

Kurang daripada 24 jam banjir itu melanda, bahagian yang selamat hanyalah kawasan belakang kampung berkenaan yang paling jauh dengan aliran sungai, termasuk rumah yang dihuni Shujat dan keluarganya.

Laporan rasmi memberitahu, sebanyak 150 orang telah terkorban di lembah Swat, 3,000 buah rumah musnah dan 200,000 orang penduduk dipindahkan ke kawasan pergunungan yang sukar dibangunkan selepas dua tahun pemberontakan Taliban.

Pesuruhjaya Daerah, Kamran Rehman Khan memberitahu dari pejabatnya yang tidak terjejas di Mingora, 250 kilometer di barat laut Islamabad, bahawa pembangunan semula Pakistan sedang rancak berjalan.

"Di kawasan Kalam (utara Pakistan) pula kami bertungkus-lumus membangunkan semula jalan raya dan mengaktifkan kembali bekalan kuasa. Selain itu tidak ada masalah besar lain.

"Semua kerja membaik pulih boleh selesai dalam tempoh enam bulan atau setahun," katanya.

Bantuan tentera


SEORANG lelaki merentasi sebuah jambatan sementara di atas Sungai Swat dengan membawa alatan pembinaan.


Rakyat Pakistan begitu berterima kasih kepada pihak tentera kerana telah membantu mereka mengharungi bencana itu.

Bantuan pihak tentera diibaratkan sebagai penyelamat kepada mereka yang masih hidup khususnya sepanjang pemberontak Taliban menunjuk kuasa dari tahun 2007 hingga 2009.

Seramai 30,000 orang tentera telah mengusir militan yang sewenang-wenang memancung pekerja kerajaan, menutup kedai-kedai dan membakar sekolah hanya kerana mahu melaksanakan undang-undang syariah.

Bagi Zahid Khan, Ketua Program Sokongan Luar Bandar Sarhad iaitu sebuah program kebajikan terbesar di kawasan itu yang dibiaya oleh penderma dari Barat, kehadiran pihak tentera adalah suatu rahmat.

"Sebanyak 42 buah jambatan dimusnahkan dan pihak tentera telah membinanya semula dengan struktur sementara dalam masa 35 hingga 40 hari.

"Pihak tentera telah banyak menolong kami," kata Zahid, walaupun selepas dua tahun mengumumkan Swat kembali terkawal, pihak tentera masih belum mahu melepaskan kuasa kepada para pentadbir awam.

Begitupun, ramai juga yang mengkritik kerajaan tahun lalu kerana dikatakan tidak memberi respons sewajarnya terhadap skala banjir tersebut. Agensi bantuan mengulas, keadaan itu sama teruk ketika gempa bumi tahun 2005 yang membunuh 73,000 orang di Pakistan.

Mangsa dikhabarkan layak menerima bantuan sebanyak 20,000 hingga 25,000 rupee (RM686 hingga RM857). Namun, janji bantuan sebanyak 100,000 rupee (RM3,429) bagi mereka yang kehilangan rumah masih belum ditunaikan.


PENDUDUK di sekitar Sungai Swat di Madyan sedang berehat berdekatan dengan sebuah khemah yang dijadikan masjid sementara.


Selain penduduk sungai Swat, mereka yang kehilangan rumah tidak berharap pada bantuan kerajaan untuk membina semula rumah mereka.

Seorang peniaga pakaian, Mian Mohammed Iqbal, 46, telah kehilangan segala-galanya termasuk wang simpanan sebanyak dua juta rupee (RM68,582) dan perniagaannya yang berusia 25 tahun. Air berlumpur dan berpasir merosakkan bekalan pakaian di kedainya di Behrain.

Seperti orang lain di lembah tersebut, dia bimbang banjir akan berlaku lagi. Atas faktor keselamatan, dia telah menyewa kedai di tanah yang lebih tinggi di bandar.

Ancaman monsun

Bulan lalu, pihak berkuasa pengurusan bencana negara Pakistan memberi amaran bahawa banjir yang dicetuskan hujan monsun tahun ini mampu memberi kesan ke atas enam juta penduduk.

Behrain adalah sebuah kawasan luas dengan pola petempatannya dibina di tebing gunung dan menghadap pertemuan dua batang sungai. Kawasan itu telah musnah sama sekali tahun lalu.

Hotel-hotel kegemaran pelancong kerana suhu yang nyaman di pergunungan juga telah musnah, termasuk rumah penginapan lima bilik milik Mohammed Si'ddiq.

Lelaki berusia 51 tahun itu tahu bahawa pihak berkuasa telah memberi amaran supaya dia membina rumah tetamu lebih jauh dari sungai. Namun, seperti kebanyakan mangsa yang terselamat, dia tidak mengendahkan nasihat itu.

"Saya tahu ia berbahaya, tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain," kata bapa kepada tujuh orang anak itu.

Penduduk di Swat berkata, mereka lebih rela tidak berpindah kerana yakin akan terus dilindungi pihak tentera dan optimis bahawa para pelancong akan kembali.

Harapan itu bagi mereka, lebih baik daripada tinggal merempat di pinggir bandar yang sesak dan dipenuhi penjenayah.

Tegar dengan keputusan mereka, lokasi bencana itu sekali lagi menjadi tempat mereka memulakan kehidupan baharu, walaupun terdapat risiko ancaman seterusnya. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved