Kosmo Online - Rencana Utama |
Pendidikan untuk yang terpinggir Posted: Pendidikan untuk yang terpinggirOleh ADLAN JAAFAR TERLETAK di aras dua dan tiga bangunan rumah kedai, anak-anak kecil berumur lingkungan tiga hingga 14 tahun sedang khusyuk mendengar dengan tekun akan ajaran yang disampaikan oleh guru mereka. Di Madrasah Hashimiah, dekat Kompleks Pasar Borong Selayang, Selangor, insan-insan kecil yang rata-ratanya berkulit sawo matang itu kelihatan begitu dahagakan ilmu pengetahuan walaupun belajar dalam keadaan serba kekurangan. Selain menempatkan asrama di aras tiga, aras dua premis itu yang berkeluasan 1,000 kaki persegi (93 meter persegi) mempunyai bilik pejabat, bilik guru dan tandas. Baki ruang tersebut pula dijadikan bilik darjah yang juga berfungsi sebagai ruang bersolat. Bilik darjah mereka hanya terdapat sekeping papan putih dan beberapa buah meja kecil mudah alih untuk meletak kitab al-Quran ketika kelas mengaji diadakan. Bagi Pengetua Madrasah itu, Hafiz Hashim Qassim, 41, tempat pengajian tersebut menyediakan anak-anak pelarian Myanmar dengan pendidikan asas demi kelangsungan hidup. Di situ, mereka diajar menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira. Menurutnya yang mesra dipanggil dengan nama Hashim, pendidikan Islam turut diserapkan dalam sesi pembelajaran termasuk melatih mereka menghafal al-Quran. Penubuhan madrasah tersebut bermula pada tahun 1994. Ketika itu, Hafiz tersentuh hati menyaksikan kedaifan anak-anak rakan senegaranya yang baru sahaja kematian ayah mereka. Lebih malang, anak-anak itu ditinggalkan tanpa pendidikan agama. "Ketika itu, memang tiada tempat untuk anak-anak itu bersekolah. Lalu saya tawarkan diri mengajar mereka sembahyang dan membaca al-Quran. SEBAHAGIAN daripada anak pelarian Myanmar yang diajar membaca al-Quran di Madrasah Hashimiah di Selayang. "Ibu mereka juga tidak kisah jika saya mengenakan hukuman rotan kepada anak-anaknya kerana dia percaya kepada saya," ujar lelaki yang berasal dari Moulmein, Myanmar itu. Jika dia tidak mengambil inisiatif tersebut, mungkin anak-anak pelarian itu akan terus hidup melarat dan keselamatan mereka sudah tentu tidak terjamin. Pendidikan Sesi pembelajaran di Madrasah Hashimiah terbahagi kepada dua. Sesi pertama bermula seawal pukul 8 hingga 11 pagi sementara sesi seterusnya bersambung semula pada pukul 2 hingga 4.30 petang. Hanya lima subjek yang diajar iaitu bahasa Myanmar, bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Matematik dan Pengajian Islam. Bermula dengan seorang guru iaitu Hashim sendiri, kini madrasah tersebut memiliki 10 orang guru yang terdiri daripada pelarian Myanmar dan dua orang rakyat Malaysia yang ditaja badan bukan kerajaan bagi mengajar subjek bahasa Melayu. Salah seorang guru yang mengajar di sana, Abdul Rahim Mohd. Yusof, 28, mula mengajar subjek pengajian Islam dan bahasa Myanmar sejak tahun 2009. Bercerita tentang tempat asalnya di Yangon, Abdul Rahim berasa bernasib baik kerana sekolah-sekolah pengajian agama di bandar itu tidak ditutup berbanding di kawasan pedalaman lain. Selepas menamatkan pelajaran dan memperoleh sijil, Rahim sempat mengajar di salah sebuah sekolah di Yangon sebelum sekolah itu dihentikan operasinya oleh pemerintah tentera. Lantaran itu, dia mengambil keputusan untuk datang ke Malaysia. Berbekalkan ilmu yang dimilikinya, dia merencana pertemuan dengan Hashim. Ternyata, pertemuan itu telah membuka peluang kepadanya untuk menjadi tenaga pengajar di Madrasah Hashimiah. Kelayakan Sehingga kini sudah hampir 300 orang anak-anak Myanmar mendapat pendidikan di situ. Untuk mengikuti pembelajaran, tiada sebarang had umur dikenakan tetapi mereka diasingkan mengikut pengetahuan yang dimiliki. Hashim memberi contoh seorang pelajar bernama Abdul Karim Hussein, 13, yang baru sahaja tiga bulan menuntut di madrasah tersebut. PENGHUNI Madrasah Hashimiah diajar untuk berdikari menguruskan diri. "Dia dihantar oleh bapa saudaranya. Saya dapati bahawa dia tidak tahu membaca atau menulis malah tidak pernah mendapat pendidikan agama. Jadi, dia ditempatkan ke dalam kelas yang rata-rata pelajarnya berusia antara tiga hingga lima tahun," ujar Hashim. Semua pelajar baharu akan melalui sebuah ujian dan temu ramah bagi menilai tahap ilmu yang dimiliki. Soalan-soalan yang ditanyakan lazimnya berkisar mengenai latar belakang pelajar dan tahap kemahiran mereka membaca al-Quran. Melalui penilaian itu, mereka akan diagih-agih ke kelas masing-masing yang secara keseluruhannya terdapat lima tahap. Hashim berjanji anak-anak pelarian yang dihantar di situ akan diberi tunjuk ajar sehingga boleh membaca al-Quran dalam tempoh setahun sahaja. Antara pelajarnya yang dianggap cemerlang ialah Mohd. Anuar Hassan, 11, yang kini sudah tujuh tahun menetap di Madrasah Hashimiah. "Tahun lalu, dia menjuarai pertandingan majlis tilawah al-Quran di Shah Alam peringkat kanak-kanak dengan mengalahkan para pesaingnya yang merupakan anak-anak tempatan," kata Hashim. Menurut Mohd. Anuar yang menjadi warga madrasah itu sejak kehilangan ibunya, dia mengambil masa selama dua bulan untuk berlatih secara intensif termasuk memperbaiki teknik bacaan dan pernafasan. "Saya berasa seronok walaupun tidak menaruh harapan untuk menang," ujarnya dalam nada segan sambil dibantu oleh seorang penterjemah. Yuran asrama Yuran yang dikenakan bagi seorang pelajar oleh Madrasah Hashimiah sangat berpatutan iaitu sebanyak RM50 sebulan. "Bagaimanapun, tidak semua mampu melunaskan yuran kerana mereka juga hidup dalam keadaan susah dan saya faham situasi mereka," jelasnya. Selain menyediakan sebuah tempat untuk menuntut ilmu, Madrasah Hashimiah turut menyediakan asrama kepada anak-anak yatim piatu dan mereka yang datang dari keluarga susah. Di asrama itu, tiada susunan katil-katil bertingkat seperti yang biasanya ditemui dalam sesebuah asrama biasa. HAFIZ mula menubuhkan madrasah untuk anak pelarian selepas tersentuh dengan nasib anak seorang kawannya. Sebaliknya, asrama madrasah berkenaan hanya terdapat beberapa susunan rak yang menempatkan kelengkapan tidur seperti bantal dan selimut selain bakul-bakul yang mengandungi pakaian. Kata pengetuanya, ruangan itu memang dibiarkan lapang tanpa dipenuhi perabot kerana ia turut menjadi ruang permainan. Tinjauan Kosmo! pada waktu lewat petang itu menyaksikan lebih kurang 10 orang pelajar berumur lingkungan 12 hingga 15 tahun sedang beristirehat. Ada antara mereka yang bermain karom manakala segelintir yang lain sekadar bermain bola dalam ruang terhad. Di asrama yang menyediakan hidangan makanan sebanyak empat kali sehari itu, penghuninya yang terdiri daripada pelajar lelaki hidup berdikari dengan mengemas dan membasuh pakaian sendiri. Kos perbelanjaan bulanan asrama yang dihuni seramai 40 orang itu mencecah sehingga RM3,500 sebulan. Sehingga kini, ia terus beroperasi sepenuhnya dengan wang hasil derma orang ramai. Selain itu, Hashim juga ada melakukan kerja-kerja sampingan dengan menjadi pembekal daun sireh kepada peniaga-peniaga kecil di sekitar pasar borong. Hashim berkata, setiap kali bersolat, dia pasti berdoa agar urusan di asrama itu permudahkan. "Alhamdulillah, walaupun serba kekurangan, saya sentiasa mendapat bantuan setiap kali berdepan masalah," ujarnya sambil menadah tangan tanda syukur. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan