Jumaat, 15 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Mendidik erti disiplin

Posted:

Mendidik erti disiplin

Mendidik erti disiplin

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my



MEREKA mengatur langkah menuju ke tapak perhimpunan sekolah sambil membawa alat muzik masing-masing. Cuaca panas terik pada petang itu sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka untuk menjalani latihan.

Masing-masing diam seribu bahasa yang hanya kedengaran pergerakan tapak kasut mereka yang membetulkan posisi.

Melihat sahaja tangan konduktor atau Drum Major menunjukkan isyarat, lantas dengan pantas mereka bergerak membentuk formasi V seperti yang diarahkan.

Barisan tepi di sebelah kiri dan kanan menempatkan pemuzik tuba, saksofon, trompet dan trombon manakala bahagian belakang pula menempatkan mereka yang mengendalikan instrumen pelbagai jenis dram.

Sebaik saja konduktor pasukan memberi isyarat seterusnya, mereka terus memulakan persembahan dengan mengalunkan irama lagu menggunakan instrumen yang digenggam di tangan mahupun yang disemat kemas pada tubuh. Sambil meniup dan jari-jemari menekan punat alat muzik, sepasang kaki mereka turut menari seiring mata mereka yang tertumpu pada konduktor.

"Fokus kepada konduktor amat penting dalam pancaragam bagi memastikan alunan muzik yang dimainkan mengikut isyarat konduktor.

"Jika saya menunjukkan isyarat mendatar, muzik akan dimainkan pada nada rendah manakala not kembali tinggi apabila saya menaikkan tangan. Begitulah seterusnya sehingga tamat persembahan," cerita Jasa Fitri Zulkepli, mengenai kumpulan pancaragamnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane Kuala Lumpur.


JASA FITRI (kanan) memantau kumpulan pancaragamnya mengalaunkan lagu dalam sebuah persembahan khas sempena Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 pada Mei lalu.


Jasa, 16, yang hampir empat tahun aktif dalam pancaragam berkata, tugas konduktor bukan sekadar memberi arahan tentang alunan muzik, malah dia turut bertindak memastikan tempoh masa sesebuah lagu dan susun atur corak persembahan. Ini termasuklah mempamerkan reaksi wajah mengikut muzik memandangkan posisi konduktor berada di barisan depan.

"Selain itu, saya turut mempamerkan aksi bermain tongkat khas ini. Tetapi saya perlu berhati-hati dan tangkas menangkap semula tongkat yang dilontarkan bagi mengelakkan kecederaan kepada pemuzik lain.

"Pernah sewaktu berlatih saya tersilap teknik untuk menangkap tongkat maka ia memberi kecederaan kepada jari dan pergelangan.

"Lebih mengecewakan insiden itu berlaku dua hari sebelum pertandingan Drum Line yang dianjurkan pada Hari Belia 2011 di Putrajaya," luah Jasa yang pernah dinobat sebagai dram major terbaik dalam pertandingan Pancaragam Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan 2009.

Etika dan disiplin

Sementara itu, Junaidi Affendi, 19, yang kini melanjutkan pelajaran di tingkatan enam di sekolah berkenaan pula tidak henti-henti bercerita tentang sudut positif menyertai kumpulan pancaragam.

Sambil mengesat peluh di wajahnya, anak kelahiran Kuala Lumpur itu ramah memberitahu bahawa dia berminat menyertai kumpulan pancaragam sewaktu menjalani minggu orientasi di sekolah pada enam tahun lalu.

Melihat sendiri kesungguhan dan keseragaman pemain senior mengalunkan lagu telah mendorong Junaidi untuk melibatkan diri.

"Lagipun, saya sukar berpisah dengan muzik kerana keluarga saya juga berlatarbelakangkan seni muzik terutamanya bidang nyanyian. Walaupun pada peringkat awal tidak mempunyai sebarang kemahiran bermain alat muzik, tetapi itu bukan halangan.


BARISAN hadapan pancaragam diserikan dengan kumpulan pembawa panji sekolah.


"Cikgu memberi tanggungjawab kepada saya bermain tuba. Mula-mula sukar kerana alat muzik ini bukan saja berat malah saya perlu membiasakan diri dengan punat-punat yang terdapat pada tuba.

"Namun, berkat usaha dan tunjuk ajar cikgu dalam tempoh dua tahun, saya dapat memainkan tuba dengan baik," jelas Junaidi yang juga merangkap Major Band atau ketua pasukan.

Tambah Junaidi yang memasang impian bergelar guru muzik menerangkan tugas sebagai Major Band bukan saja memastikan ahli kumpulan menjalani latihan seperti yang ditetapkan malah perlu peka pada setiap pergerakan grup.

Sehubungan itu, sebelum melakukan pertunjukan, pemuda berkulit hitam manis tersebut akan meneliti aspek pemakaian. Selain menyarungkan kemeja dan seluar selanjar (jumpsuit) hitam masing-masing perlu memakai jaket mini ala tentera rona merah, berkasut hitam serta bertopi.

"Sesudah lengkap berpakaian, saya mula memberi arahan dengan melakukan kawat ringkas. Langkah ini perlu kerana berkawat adalah peringatan agar mereka bersiap siaga.

"Seterusnya, saya mengarahkan ahli kumpulan berada dalam keadaan bersedia dan fokus kepada konduktor yang akan memberi arahan membentuk formasi bulatan, V atau U mengikut lagu dan corak persembahan yang ingin dipersembahkan," jelas Junaidi yang turut berasa bangga kerana pancaragam SMK Cochrane pernah melakukan persembahan di banyak acara besar.

Buktinya, tiga tahun lalu mereka mengiringi persembahan kumpulan antarabangsa, Panic! At The Disco pada acara MTV Asia Awards 2008, yang pertama kali dianjurkan di Arena Of Stars di Genting Highland.

Lebih membanggakan, pada bulan Mei lalu, mereka turut melakukan persembahan ketika menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kompleks Futsal 1Malaysia bagi merasmikan Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011.

Ikut jejak bapa


KUMPULAN pancaragam SMK Cochrane sentiasa berusaha melakukan yang terbaik meskipun pada tahun ini usia kumpulan itu mencecah 25 tahun.


Bagi Ahmad Afif Waqiyuddin Illyas, 17, menyertai kumpulan pancaragam sekolah menjadi antara pengalaman manis yang dikutip sepanjang menuntut ilmu di SMK Cochrane.

Bertanggungjawab mengendalikan instrumen tuba, remaja yang mesra disapa Afif itu menyifatkan cintanya pada pancaragam tersemai sejak belajar di tingkatan dua.

"Pada mulanya, ia sekadar suka-suka mengikut kawan-kawan menyertai kumpulan pancaragam. Hadir ke kelas latihan pun kadang-kadang saja. Tetapi minat semakin bercambah apabila terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan pancaragam.

"Tempoh sebulan menjalani latihan sebelum hari pertandingan membuatkan saya seronok dan mengambil keputusan untuk lebih serius melibatkan diri.

"Lagipun minat ini mendapat sokongan padu daripada ayah saya yang juga pernah manjadi ahli pancaragam," tutur Afif mengenai bapanya, Illyas Abdul Rahman yang menyertai kumpulan pancaragam di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.

Tambah anak keempat daripada lima orang adik-beradik itu, bapanya tidak lokek berkongsi ilmu muzik malah sentiasa berpesan supaya berlatih, menghafal not lagu dan berdisiplin.

"Tanpa kesungguhan dan mengambil sikap sambil lewa dalam aspek menghafal not, ia akan menjejaskan kualiti persembahan secara keseluruhan.

"Keseimbangan irama yang terhasil daripada paduan kepelbagaian alat muzik amat penting dalam sesebuah pertunjukan pancaragam," kata Afif.

Bijak bahagi masa


DRAM pelbagai saiz menghasilkan variasi muzik yang menghiburkan.


Bagi Basyirah Rusli, 17, pancaragam mendidiknya menjadi individu yang berdisiplin, nilai persahabatan dan kerjasama memandangkan kumpulan muzik berkenaan melibatkan jumlah ahli yang ramai.

Dia yang bakal menduduki menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu memberitahu, ahli pancaragam sentiasa dididik supaya tidak mementingkan diri sendiri.

Menurutnya, selain menjalani latihan di sekolah, setiap ahli perlu melakukan latihan di rumah. Inisiatif itu wajar dipraktikkan untuk memantapkan skil mengendalikan alat muzik mengikut susunan not yang betul.

"Meskipun sebahagian masa saya banyak dihabiskan dengan dunia pancaragam tetapi itu tidak bermakna saya mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Apatah lagi, peperiksaan SPM bakal menjelang.

"Saya perlu bijak membahagi masa antara pelajaran dan pancaragam. Justeru, di dalam kelas saya menumpukan sepenuh perhatian pada ajaran guru dan pada sebelah malam pula saya mengulang kaji pelajaran serta menyiapkan kerja sekolah," terang Basyirah yang bermain klarinet, alat muzik kategori tiup.

Dalam pada itu, dia yang bercita-cita bergelar chef kelak menyifatkan teknik menghafal not lagu banyak membantunya menghafal nota-nota subjek untuk peperiksaan SPM.

"Proses menghafal memerlukan minda kita sentiasa aktif. Jadi, jika saya berkemampuan menghafal not lagu dengan baik maka tidak mustahil saya berupaya mengingati nota subjek," ujar Basyirah sambil tersenyum.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Debaran lapan peserta final

Posted:

Debaran lapan peserta final

Debaran lapan peserta final


CHEF LIZA (kanan) memberi penerangan kepada peserta yang menyertai Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011.


TINGGAL sehari saja lagi debaran lapan peserta yang akan mempamerkan kebolehan masing-masing dalam peringkat akhir Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011.

Pertandingan final yang bakal berlangsung esok di pusat beli-belah Plaza Shah Alam, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor itu akan menyaksikan kehebatan peserta kategori kek dan biskut menghasilkan hasil masakan mengikut daya kreativiti tersendiri.

Kumpulan peserta yang layak ke final merupakan pemenang kategori kek dan biskut pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 yang telah diadakan di peringkat Zon Timur, Zon Tengah, Zon Utara dan Zon Selatan.

Zurinah Sahari, 39, salah seorang pemenang kategori biskut menyifatkan dia tidak menyangka sama sekali biskut Kerisik Badam Daisy yang dicipta dalam tempoh seminggu berjaya menambat hati juri.

Jelas ibu kepada lima cahaya mata itu, bersesuaian dengan tema Hari Raya Aidilfitri, pada acara kemuncak maka dia berpendapat kerisik antara bahan utama yang paling ideal digunakan.

"Lazimnya, tiba saja hari raya kerisik sentiasa mendapat permintaan tinggi untuk digunakan dalam masakan. Dari situ saya mendapat idea untuk menghasilkan biskut berasaskan kerisik, selain menggunakan minyak jagung Daisy yang membantu membuatkan biskut rangup dan wangi.

"Justeru, pada cabaran final saya masih mempertaruhkan jenis biskut yang sama cuma mempelbagaikan bentuk biskut seperti bentuk bulat, hati, empat segi dan bulan sabit. Lagipun Chef Liza berkali-kali menasihatkan agar biskut yang dipamerkan mengikut tema yang ditetapkan," ujar Zurinah yang turut menggunakan ketupat, juadah rendang dan lemang sebagai penghias utama pada dekorasi biskutnya.

Ikut tema Aidilfitri

Bagi juara kek Cabaran Daisy Sehebat Chef-Kosmo! 2011, Zon Tengah, Norazaliza Awang, 35, dia gembira kerana berpeluang mara ke peringkat akhir. Jelasnya, yang berasal dari Bentong, Pahang, meskipun resah menanti hari pertandingan tetapi, dia sudah bersedia dan membuat persiapan sebaik mungkin.

"Tidak dinafikan para peserta yang layak ke peringkat final berbakat dari segi kreativiti dekorasi dan resipi tetapi, saya yakin peluang buat diri saya tetap ada.

"Namun, secara keseluruhan saya masih belum mendapat idea hiasan yang sesuai untuk pertandingan itu nanti," jelas Norazaliza yang akan bersaing dengan tiga peserta yang mewakili Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Timur.

Daya kreatif Norazaliza menyediakan kek berbentuk boneka dan konsep tiga dimensi (3D) sebelum ini bagaimanapun tidak akan dipraktikkan semula pada pertandingan akhir nanti.

Meskipun masih mencongak idea dekorasi kek yang bakal dipersembahkan tetapi, Norazaliza telah menyediakan bahan-bahan untuk menghias meja perhiasan.

Sesuai dengan tema Aidilfitri yang ditetapkan, dekorasi Norazaliza turut diserikan dengan sajian rendang, ketupat dan kuih raya.

"Saya juga banyak bermain dengan warna hijau kerana ia sinonim dengan hari raya," katanya yang memilih aising sebagai bahan utama.

Tuah resipi peribadi

Sementara itu, juara kategori biskut peringkat Zon Selatan, Norulsakinah Mohammad Hanan, mengharapkan resipi Biskut Kerang Mutiara Daisy ciptaannya membawa tuah pada pertandingan akhir.

Dia yang merupakan suri rumah sepenuh masa memberitahu, walaupun yakin mempunyai peluang untuk meraih tempat terbaik, namun dia tidak mahu terlalu meletakkan harapan yang tinggi kerana percaya peserta lain turut memberi persaingan sengit pada pertandingan tersebut.

Untuk itu katanya, dia masih meluangkan masa untuk membuat beberapa perubahan terutama dari segi hiasan bagi memberikan daya penarik terhadap biskut ciptaannya itu.

"Saya masih mengekalkan resipi yang sama cuma melakukan sedikit penambahan dari segi bahan utama. Ini termasuklah menampilkan dekorasi berbeza pada biskut," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Kerap berlatih mengadun kek

Dalam pada itu, Mohd. Nawawi Alias, 24, juara kategori kek peringkat Zon Timur, menyatakan selain mahu membuktikan kemampuan se bagai chef berbakat, dia juga sebenarnya turut membawa amanah besar sebagai duta kepada syarikat pembuat kek dan roti, Ziq Bakery & Cake.

Justeru anak kelahiran Kampung Serada, Kuala Terengganu itu, telah melakukan persiapan rapi seperti merujuk pada pelbagai buku masakan dan melayari Internet bagi mendapatkan tip terbaru.

"Semakin hampir hari pertandingan semakin banyak tekanan dan debaran yang saya dihadapi terutamanya menghasilkan resipi kek mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak penganjur," katanya yang sudah tiga tahun melibatkan diri dalam bidang masakan kek.

Jelas anak kelima daripada enam beradik ini, dia juga meng gunakan segala kreativiti dan pengetahuan yang ada untuk diterjemahkan pada penghasilan kek yang bukan saja menarik dan lazat tetapi berkhasiat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved