Jumaat, 1 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Demi masa depan artis

Posted:

Demi masa depan artis

Demi masa depan artis

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN, FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA dan NOR ASHREEN ISMAIL



RAMAI golongan artis tanah air masih tidak sedar bahawa mereka layak mendapat royalti daripada hasil karya atau nyanyian mereka jika ia digunakan oleh pihak lain tanpa pengetahuan mereka. Perkara itu juga sebenarnya termasuk dalam isu harta intelek.

Bukan itu sahaja, hak cipta milik golongan seni juga sebenarnya perlu dijaga supaya kepentingan urusan bisnes lagu dan album di alam maya yang amat meluas tanpa batas sempadan dapat dikawal rapi.

Sekiranya golongan artis masih juga tidak tahu dan tidak ambil kisah atau enggan turut serta menyokong hak-hak intelek mereka, maka segala masalah yang berkaitan isu royalti dan hak cipta dalam industri muzik mahupun lakonan tanah air sampai bila pun tidak akan ada kesudahannya.

Bercerita mengenai harta intelek, ia terdiri daripada empat cabang utama iaitu hak cipta, cap dagang, reka bentuk industri dan paten.

Kesemua empat perkara itu mempunyai pengkhususan tersendiri yang menjurus kepada pemilikan hak eksklusif terhadap harta intelek yang dihasilkan di bawah zon masing-masing.

Pihak yang diberi tanggungjawab mengurus sistem harta intelek di Malaysia ialah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Ia telah diperbadankan pada 3 Mac 2003 bermatlamat mewujudkan satu badan berkanun yang dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menguruskan permohonan pendaftaran seterusnya menyelia beberapa akta perlindungan bagi semua komponen harta intelek.

Menyingkap sekarah pengurusan harta intelek di Malaysia, sebelum tahun 1983, hak-hak harta intelek di Malaysia telah ditadbir oleh Pejabat Cap Dagangan dan Jaminhak.


GOLONGAN pemuzik dan penyanyi lebih bernasib baik berbanding pelakon apabila timbul isu hak intelek.


Pejabat ini kemudiannya telah ditukar namanya kepada Pejabat Cap Dagangan dan Paten dalam tahun 1983 dan telah diletakkan di bawah bidangkuasa Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Pada 27 Oktober 1990, kementerian telah membuat penyusunan semula dan seterusnya pejabat ini telah diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan ditukar nama kepada Bahagian Harta Intelek (BHI).

Bahagian ini bertanggungjawab mentadbir Akta Paten 1983, Akta Cap Dagangan 1976 dan Akta Hakcipta 1987.

Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 telah mula dikuatkuasakan pada 1999, disusuli pada tahun 2000 dengan Akta Susun Atur Litar Bersepadu 2000.

Seterusnya pada tahun 2001, Akta Petunjuk Geografi 2000 dikuatkuasakan. Dalam menghadapi perubahan pembangunan harta intelek di peringkat domestik dan global, BHI telah dijadikan sebuah badan berkanun pada 3 Mac 2003 dan dikenali sebagai Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) melalui berkuatkuasanya Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002.

Perbadanan telah mengambil langkah penjenamaan semula apabila singkatan PHIM ditukar kepada MyIPO pada 3 Mac 2005 agar lebih komersil dan bertaraf antarabangsa.

Namun biarpun sudah terdapat akta yang boleh melindungi kepentingan hak intelek golongan artis seperti yang termaktub di bawah kawal selia MyIPO itu, kewujudannya bagaimanapun seolah-olah tidak disedari karyawan seni tempatan.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mengakui hakikat tersebut.

"Masih tidak ramai artis di negara ini yang menyedari hak-hak mereka," katanya.

Tambah beliau, antara punca mereka tidak terlalu mengambil berat mengenai hak mereka kerana kurang berminat tentang perkara tersebut dan merasakan hak intelek ini adalah satu perkara yang remeh.

"Ada juga yang masih tidak sedar dan kabur bagaimana mahu mendapatkan royalti walaupun pelbagai badan sudah ditubuhkan.

"Sebenarnya pihak Karyawan sendiri sudah banyak kali menganjurkan perjumpaan untuk membincangkan mengenainya, namun sambutan yang diterima memang kurang memuaskan dan hanya segelintir sahaja yang berminat.

"Malah, apa yang dikesalkan adalah kurangnya penglibatan artis-artis baru, sedangkan mereka harus tahu hak mereka sebagai seorang artis dan ia cukup penting untuk hidup mereka pada masa akan datang," jelasnya.

Dalam pada itu, Freddie turut menjelaskan bahawa undang-undang berkaitan hak intelek artis di negara ini juga dilihat lebih kepada penyanyi dan komposer berbanding pelakon.

Ujarnya, industri rakaman album lebih bernasib baik kerana para pengiatnya mendapat bayaran royalti atas penjualan album atau penyiaran karya-karya mereka menerusi radio.

Malangnya, kata Freddie, para karyawan yang terbabit dalam bidang lakonan drama, filem dan iklan pula boleh dikatakan undang-undang tidak memihak kepada mereka.

Freddie berharap, agar simposium yang berlangsung di DoubleTree by Hilton, The Intermark, Kuala Lumpur pada 5 Julai ini dapat membincang dan memperjuangkan hak-hak bagi golongan tersebut pula.

Mengulas lanjut, katanya, meskipun sesebuah filem atau drama ditayangkan secara berulang-ulang kali di televisyen, namun para pelakon yang berlakon dalam filem berkenaan tidak akan mendapat sebarang bayaran royalti.

Berbanding penyanyi dan komposer, mereka masih tetap mendapat bayaran royalti daripada badan-badan tertentu seperti Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism) sekiranya lagu mereka diputar berulang-ulang kali di radio.


GOLONGAN pelakon dan pelawak sebenarnya mempunyai hak eksklusif terhadap hasil kerja lakonan mereka.


"Tentu ramai beranggapan para pelakon yang telah berkecimpung dalam dunia lakonan terutamanya yang membintangi filem-filem di bawah arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee hidup kaya-raya kerana filem-filem mereka sering kali ditayangkan.

"Namun, secara hakikatnya mereka langsung tidak mendapat apa-apa bayaran dan satu-satunya bayaran yang mereka terima adalah ketika mereka mula-mula membintangi sesebuah filem tersebut," jelasnya.

Menurut Freddie lagi, disebabkan itu salah satu perjuangan Karyawan ketika ini adalah mahu memperjuangkan supaya pelakon juga akan mendapat royalti seperti apa yang diperolehi oleh penyanyi.

Ujarnya, pihak Karyawan juga sudah memikirkan beberapa langkah yang berkesan agar para pelakon turut mendapat hak yang sama rata. Antaranya ialah melalui perjanjian yang dibuat antara pelakon dan penerbit mahupun dengan syarikat filem atau drama.

"Ketika mahu menandatangani sesuatu kontrak lakonan, pelakon boleh meminta supaya ada bayaran tambahan yang harus diberikan sekiranya filem atau drama lakonan mereka ditayangkan berulang-ulang kali.

"Bagaimanapun, saya fikir langkah ini akan berkesan sekiranya semua pelakon bersatu agar langkah sebegini dapat dilakukan. Sekiranya tidak, hasrat untuk membela nasib para pelakon tentunya akan menjadi lebih sukar," ujarnya.

Sementara itu, seniwati Datuk Sarimah Ahmad dalam ucapannya sempena Majlis Makan Malam dan Pesta Lawak anjuran Karyawan di Restoran Seri Melayu baru-baru ini memberitahu, beliau merasa sangat sedih mengenangkan pemergian ramai rakan artis seusia dengannya yang tidak mendapat apa-apa sepanjang kehidupan mereka bergelar artis.

Sarimah berharap, agar golongan artis terutamanya pelakon-pelakon veteran mendapat ganjaran sebelum meninggal dunia.

"Saya berharap pihak-pihak tertentu bersimpati terhadap pelakon-pelakon veteran. Sekurang-kurangnya mereka mendapat ganjaran daripada hasil titik peluh mereka selama mereka bergelar artis sebelum meninggalkan dunia.

"Seperti Allahyarham P. Ramlee yang tidak mendapat apa-apa sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Katanya, janganlah selepas meninggal baru hendak dijulang.

"Saya lebih suka jika hidup mendapat ganjaran dan mati meninggalkan nama daripada hanya meninggalkan nama tetapi hidup tidak mendapat apa-apa," katanya yang berharap mendapat royalti hasil daripada ulang tayang filem lakonannya sebelum meninggal dunia.

Akta Hak Cipta

Akta Hak Cipta telah diwartakan pada tahun 1987. Tujuan ia ditubuhkan adalah untuk melindungi hak-hak insan seni tanah air tidak kira penyanyi, pelakon mahupun pemuzik. Setelah 24 tahun ia diwartakan, banyak anjakan yang perlu dilakukan.

Mengulas mengenai kepentingan harta intelek, beberapa siaran akhbar telah membincangkan isu ini sejak sekian lamanya. Antara isu yang dimuatkan selain royalti termasuklah isu hak cipta.

Isu hak cipta menjadi antara kemelut yang membelenggu banyak penerbit televisyen tempatan sejak sekian lama apabila ada sesetengah stesen penyiaran membeli hak cipta produk mereka secara total.

Ini bermakna stesen TV itu mempunyai hak sepenuhnya terhadap produk yang dibeli bukan sahaja dari segi penayangan tetapi juga memasarkan produk tersebut tidak kira di dalam mahupun ke luar negara.

Berbeza pula dengan amalan yang dipraktikkan di seluruh dunia yang mana stesen TV hanya membeli hak cipta secara kontrak misalnya secara tahunan mahupun mengikut jumlah penayangan.

Harta intelek itu kemudiannya akan dikembalikan kepada penerbit setelah tamat kontrak dan pihak penerbit boleh memasarkan produk mereka ke pasaran luar selepas itu.

Bidaan tender

Radio Televisyen Malaysia (RTM) misalnya, suatu ketika dahulu mengguna pakai sistem hak cipta dalam negara dan memegang hak cipta sesebuah rancangan selama tiga tahun. Selepas tempoh itu syarikat produksi terbabit diberi kebenaran untuk memiliki semula produknya.

Bagaimanapun amalan itu tidak lagi digunakan selepas beberapa kontrak baharu antara penerbit dengan stesen televisyen dipinda. Mengguna pakai sistem bidaan tender, kini hak cipta dibeli sepenuhnya oleh stesen tersebut..


GENERASI baru karyawan seni tempatan diharap mampu mengubah masalah kecetekan ilmu hak harta intelek artis.


Tentu sahaja menilai situasi yang berlaku, keadaan ini merugikan bukan sahaja penerbit tetapi juga karyawan dan pelakon pada jangka masa panjang.

Ini memandangkan pembayaran dibuat hanya sekali sedangkan stesen televisyen yang mempunyai hak sepenuhnya kepada produk itu boleh menyiarkan berulang kali malah dapat pula menjana pendapatan dengan penjualan iklan melalui penayangan semula produk tersebut.

Lebih menguntungkan, produk-produk popular dan mendapat jumlah tontonan (rating) yang tinggi, tidak sahaja diulang siar beberapa kali malah dijual melalui salinan cakera di dalam negara mahu pun di festival-festival filem di luar negara.

Dalam pada itu, Presiden Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik mengakui dengan merujuk kepada dirinya sebagai seorang pelakon dan pelawak, mungkin keistimewaan mereka kurang dari apa yang dimiliki oleh pemuzik.

Katanya, pemuzik mempunyai beberapa persatuan yang menjaga hak cap dagang seperti Badan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia Berhad (MACP) serta beberapa yang lain.

"MACP mengambil inisiatif untuk menjaga kepentingan seorang pemuzik dari segi hak cipta karya yang telah dihasilkan.

"Dan di situ, MACP memainkan peranan untuk mengutip royalti daripada pihak yang memainkan lagu dan muzik mereka secara awam," ujar Harun mengenai cara pengutipan royalti bagi penyanyi dan pelakon.

Hak keistemewaan

Walau bagaimanapun, pelakon masih lagi belum mendapat hak keistimewaan sepertimana yang diperolehi oleh pemuzik melalui persatuan yang dilantik khas.

Walaupun kita biasa lihat drama mahupun filem sering diulang tayang di stesen televisyen khususnya, pelakon masih tidak mendapat apa-apa insentif atau bantuan daripada pihak yang membuat penayangan tersebut.

Harun menegaskan perbezaan hak keistimewaan tersebut mengecewakan dirinya dan mungkin para pelakon yang lain yang mahu merasakan keuntungan yang diperolehi oleh pihak-pihak stesen.

"Jika boleh, sebagai seorang pelakon, kami mahu diberikan hak eksklusif cap dagang di mana setiap kali penampilan kami ditayangkan di stesen tersebut, kami juga akan menerima habuan hasil dari karya yang kami persembahkan.

"Bukanlah kami menginginkan kemewahan, tapi sekurang-kurangnya dapat merasakan sedikit habuan yang mungkin dapat mengurangkan beban kita pada masa akan datang," tegas Harun kecewa menambah jika bukan untuk mereka, ia untuk menyara keluarga.

Sehubungan itu, Harun berpendapat perkara tersebut wajar difikirkan oleh pihak yang bertanggungjawab di mana sebelum ini sememangnya wujud pihak yang berusaha ke arah itu namun progres dan hasil dari itu masih kabur.

Cap dagang

Namun, Harun akui isu cap dagang bukan perkara mudah untuk diselesaikan di mana ia memakan masa mungkin berhari, berbulan atau boleh mencapai sehingga bertahun-tahun hanya untuk menyelesaikan satu kes.

"Apabila ditayangkan di televisyen, bermakna kita tahu ada permintaan di situ. Jika tidak mana akan ditayangkan. Kita juga tahu di situ wujud pendapatan kerana mustahil sesuatu produk itu dikeluarkan secara percuma.

"Saya faham ia bukannya perkara senang tapi janganlah ambil masa terlalu lama kerana kami yang masih hidup ini mahu juga merasa kesenangan dari penat lelah menabur bakat di dalam industri seni tanah air," katanya yang juga menambah ramai pelakon yang sedar akan perkara tersebut.

Diaju persoalan, mungkin ada antara penggiat seni terutamanya para pelakon mungkin tidak tahu ke mana arah ingin dituju untuk menyelesaikan masalah ini.

Mengiakan perkara tersebut, Harun mengatakan ramai yang sedar akan perkara tersebut kerana pernah membincangkannya sebelum ini. Namun, apa yang pasti, kebanyakkannya masih tidak tahu selok-belok untuk perjuangkan masalah cap dagang yang sering melanda para penggiat seni tempatan ini.

"Bukannya semua berpelajaran tinggi, tapi kita boleh berfikir dari segi apabila karya lakonan kita sering ditayangkan, namun tiada pendapatan diperolehi.

"Itu yang terasa kecewa apabila memikirkannya, tapi sebenarnya kita tidak tahu ke siapa patut dikemukakan atau mendapat mandat untuk perjuangkan perkara sebegini bagi pihak mereka," ujarnya yang mengatakan di Malaysia tidak punyai badan atau persatuan yang benar-benar perjuangkan nasib artis tempatan terutamanya pelakon.

Menurut Harun lagi, ketiadaan pakar seperti peguam atau saluran yang betul untuk menyelesaikan perkara sebegini yang mana seseorang yang mahir mengenai selok belok undang-undang seni dan itu sebenarnya mungkin menyukarkan proses penyelesaian isu mengenai cap dagang dipercepatkan.

Untuk perkara ini, Harun memberi saranan supaya mendapatkan khidmat pakar dari luar yang sememangnya mahir tentang penyelesaian isu hak cap dagang mahupun royalti supaya para penggiat seni tidak perlu lagi menunggu terlalu lama bagi sesebuah kes untuk diselesaikan.

"Secara jujurnya, saya juga tidak tahu mengenai sistem bagi menyelesaikan masalah ini. Jadi, apa salahnya kita ambil khidmat pakar dari luar yang mahir dan tahu cara betul untuk menyelesaikannya.

Kita perlukan pakar sebegini kerana isu cap dagang bagi para pelakon merupakan suatu perkara baru dan ia lain dari muzik. Kali ini biarlah benar-benar fokus kerana kita mahukan sesuatu yang berkesan," ujar Harun.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Karyawan seni perlu celik hak

Posted:

Karyawan seni perlu celik hak

Karyawan seni perlu celik hak

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA dan NOR ASHREEN ISMAIL


MALAYSIA sudah mempunyai akta untuk melindungi kepentingan hak harta intelek karyawan seni.


SEBAGAI tanda sokongan terhadap acara anjuran Kosmo! bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), stesen radio, Sinar FM telah menjadi radio rasmi Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011 di DoubleTree by Hilton, The Intermark, Jalan Tun Razak pada 5 Julai ini.

Acara yang bakal berlangsung dari pukul 3 hingga 6 petang itu merupakan suatu simposium yang membincangkan tentang topik berjudul Pertahankan Hak, Perkukuhkan Seni Melalui Perlindungan Hak Harta Intelek. Panel simposium termasuklah tiga nama terkenal dunia hiburan tanah air iaitu Amy Search, Diana Danielle dan Aizat Amdan.

Ia sekali gus juga sebagai tanda menyokong para penggiat seni untuk lebih celik dalam menangani isu-isu hak intelek yang sememangnya penting untuk melindungi diri dari terus dibelenggu masalah hak cipta dan cap dagang.

Pengurus Program Sinar FM, Rostam Said berkata, adalah penting untuk stesen Sinar FM mengambil perhatian dan menguar-uarkan perkara ini di mana ia mengenai peranan dan hak-hak sebagai pelaku.

"Semasa ditawarkan oleh pihak Kosmo! untuk bekerjasama menjadi radio rasmi, saya rasa ia merupakan perkara yang baik.

"Program seperti ini bagus untuk beri kesedaran kepada para penggiat seni dan orang ramai kerana kita tahu masih ramai di luar sana yang masih tidak punya pengetahuan mengenai perkara ini.

Tambahnya: "Selain simposium, saya rasa perkara ini perlu dan pada masa yang sama, ia boleh diperluaskan lagi menjadi bengkel atau seumpamanya perlu diwujudkan hanya untuk beri kepada orang yang berminat," ujar Rostam.

Tambahnya, sebagai pelaku sendiri di dalam industri ini, masih ramai lagi pemuzik, pelakon atau karyawan yang lain masih tidak faham atau tidak tahu sejauh mana hak-hak mereka sebagai seorang penggubah, pencipta, pelakon dan sebagainya.


PENGIAT seni tanah air mempunyai hak mutlak terhadap hasil kreativiti mereka. - Gambar hiasan


Perkara ini sebenarnya penting untuk pengetahuan umum kerana mereka sebagai peminat juga harus ketahui hak-hak artis kegemaran mereka. Jadi, hak-hak mereka sebagai karya umum bukannya senang boleh digunakan begitu sahaja.

"Selain beri kesedaran kepada pelaku, kita juga harus beri kesedaran kepada orang ramai betapa penting dan bernilainya karya-karya yang dicipta dan untuk itu kita tidak boleh terus ambil begitu sahaja.

"Ini kerana umum masih kurang faham mengenai mengenai isu hak cipta ini, dan sebab itu mereka juga harus terlibat untuk sama-sama membanteras dan sekali gus membantu artis kesayangan mereka," ujar Rostam yang turut memberitahu peraduan mencari 25 peminat bertuah yang berpeluang menyertai majlis tersebut di Sinar FM sejak Isnin lalu sudah menemui para pemenangnya.

"Para pemenangnya akan dihubungi Kosmo! tidak lama lagi," ujarnya

Sementara menurut Moderator Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah berharap, dengan berlangsungnya simposium itu nanti pelbagai persoalan akan terjawab dan kata sepakat untuk membela golongan karyawan dapat dicapai.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Kuala Lumpur berkata: "Saya berharap Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO bersama akan menjadi satu gerakan serius dalam mempertahankan dan membantu golongan karyawan daripada artis sehingga pencipta untuk mendapatkan hak mereka."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Keriangan menyemai padi

Posted:

Keriangan menyemai padi

Keriangan menyemai padi


SEKUMPULAN wanita asyik menari dan menyanyi sambil bertepuk tangan di dalam bendang.


SEBUAH keramaian yang penuh dengan aktiviti nyanyian, tarian dan rutin tradisi yang memberi makna kelangsungan hidup kepada golongan pesawah - itulah yang terjadi dalam Pesta Asar Pandhra.

Sambutan pada hari ke-15 bulan Asar dalam kalendar Nepal itu amat dinanti-nantikan oleh ramai pihak di setiap kawasan perkampungan yang menanam padi. Festival yang popular di seluruh negara pergunungan itu berlangsung sempena musim menyemai benih padi.

Selain daripada mengisi waktu berseronok dengan permainan bendang dan juga acara berkumpulan antara wanita dan lelaki di dalam petak sawah, selera mereka turut dijamu dengan sajian snek tradisi seperti emping beras goreng, biskut beras dan juga manisan lain.


TANGAN seorang wanita yang berkedut akibat terlalu lama terkena air dan menabur racun serangga tanpa sarung tangan.


Bagi pelancong asing, lokasi paling meriah untuk menyaksikan sambutan pesta Asar Pandhra di sekitar Lembah Kathmandu adalah di Harrisiddhi, Kirtipur, Chapagaon, Bungmati, Sanogaon dan Bhaktapur. Para pesawah akan bermain air dan lumpur serta berpesta Holi mengikut cara mereka.

Jika pesta Holi lazimnya menggunakan serbuk yang diwarnakan, penduduk yang menyambut Asar Pandhra melontarkan lumpur antara satu sama lain sebagai tanda keraian, restu dan keseronokan hidup dalam komuniti yang muafakat.

Asar Pandhra pada mulanya diraikan untuk menandakan bermulanya musim tengkujuh. Lain dari pemahaman biasa, musim tengkujuh sebenarnya dianggap sebagai musim yang paling ideal untuk menanam padi di kawasan pergunungan.


SEPASANG selipar di atas batas sawah ini menunjukkan bahawa pemiliknya sedang sibuk menyemai benih padi.


Memandangkan kemeriahannya yang mampu menarik perhatian ramai termasuk pelancong luar negara, kerajaan Nepal mengisytiharkan pesta tersebut sebagai Hari Padi Kebangsaan.

Sama ada mengikut rutin orang kampung bermain lumpur, bergelak ketawa atau menari, para pelancong seharusnya mengambil peluang menyertai kumpulan pesawah yang menyanyikan lagu Ashare bhaka.

Itu merupakan lagu tradisional istimewa yang dinyanyikan ketika benih padi disemai.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved