Jumaat, 1 Julai 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Lukis pemandangan di kepala katil

Posted:

Lukis pemandangan di kepala katil

Lukis pemandangan di kepala katil

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my



KEDIAMAN Norana Ghazali, 52, mewah dengan sentuhan kedesaan Inggeris. Manakan tidak, setiap sudut di rumahnya, tidak kira sama ada di halaman rumah, dapur, pintu bilik malah, di dapur sekali pun, sentuhan lukisan yang dinamakan seni dekoratif mendominasi ruang.

Kelekaan penulis menghayati setiap inci keunikan di rumah dikejutkan dengan sapaan dua wanita yang juga rakan baik Norana, Zaitun Ramli, 51, dan Aniza Khir Omar, 48. Ketiga-tiga mereka sebenarnya merupakan pelukis dekoratif yang aktif di negara ini.

Sememangnya pertemuan itu menjurus untuk bercerita tentang seni dekoratif yang menjadi keghairahan mereka sejak bertahun-tahun lamanya.

Tidak perlu disogok dengan banyak pertanyaan, Zaitun sudah bersedia dengan jawapan yang konkrit. Kepada yang baru hendak mengenali seni dekoratif, Zaitun menjelaskan, seni itu adalah merujuk kepada lukisan yang dicorakkan ke atas permukaan keras seperti kerusi, meja, tempurung, tikar mengkuang, kepala katil, dulang, pinggan, tin biskut, mangkuk tingkat dan banyak lagi material.

"Dalam hal ini, sebenarnya banyak barangan terbuang seperti tin atau mangkuk tingkat adalah elemen yang dimanipulasi dan ditransformasikan dengan sentuhan seni dekoratif yang akhirnya menjadi satu barang yang bernilai," terang Zaitun kepada penulis.

Tambah wanita gigih itu lagi, kebanyakan barangan tersebut bukan saja boleh dijadikan sebagai perhiasan rumah malah, boleh dibuat sebagai hantaran mahu pun hadiah kepada orang tersayang.

Ketika kami bersembang, mata penulis melirik seketika ke arah Norana dan Aniza yang berada di dapur. Di sekeliling mereka dipenuhi pelbagai saiz berus, cat, bunga telur, meja, tin dan papan-papan lukisan yang masih basah dengan calitan cat.

Sejarah penglibatan

Saat berbual dengan tiga sekawan itu, berdasarkan gaya komunikasi mereka, penulis dapat merasakan mereka bukan sebarangan suri rumah.

Menyingkap latar belakang seorang demi seorang daripada mereka, ternyata telahan penulis tepat.

Norana misalnya adalah graduan dalam bidang Biologi dan merupakan seorang pendidik. Zaitun pula mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan pernah berkhidmat di sebuah syarikat terkemuka, manakala Aniza adalah bekas akauntan.

Apa yang mendorong wanita-wanita itu melepaskan kerjaya hebat mereka? Norana memulakan bicara dengan memberitahu kecintaannya terhadap seni ini bermula ketika beliau melancong ke Australia pada tahun 1999.


DAYA kreatif Norana terserlah apabila menterjemahkan idea seni dekoratifnya pada peti sejuk terpakai.


"Saya terpaut dengan keunikan seni dekoratif ini dan akhirnya saya memutuskan untuk mendalaminya malah, belajar daripada guru yang berbeza-beza," katanya yang sudah 12 tahun terlibat secara langsung tetapi, masih berterusan meningkatkan skilnya dari semasa ke semasa.

Zaitun punya cerita yang sedikit berbeza. Dia meninggalkan kerjaya sebagai pengurus sumber manusia atas faktor untuk memberi tumpuan menjaga anak-anak.

"Sewaktu 'kerjaya' kedua inilah, saya mempunyai masa untuk menumpukan minat saya dalam seni dan kraf," ujarnya.

Aniza yang sudah menceburi seni rakyat itu kira-kira 15 tahun pula berkata, semuanya bermula sekadar suka-suka tetapi, akhirnya menjadikan seni itu sebagai punca pendapatan sampingannya.

Tidak kira di mana dan bila mula jatuh cinta dengan seni dekoratif tersebut, mereka sepakat mengatakan bahawa cabang yang diterokai mereka merupakan satu terapi untuk mereka menenangkan jiwa.

"Setiap sentuhan dan calitan warna yang kemudiannya diolah menjadi objek sesungguhnya menggambarkan ekspresi perasaan dan kecintaan kami," kata mereka sambil memberitahu saat melukis mereka memerlukan mood yang tenteram bagi menghasilkan sebuah karya yang ikhlas.

Berniaga atas talian

Sebenarnya, setiap seorang daripada mereka mempunyai kepakaran tersendiri dalam teknik melukis. Norana terkenal dengan kepakarannya dalam melakar bentuk ukiran yang tampak asli jika dipandang sekali imbas. Zaitun pula dikenali dalam kalangan pencinta seni tersebut dengan panggilan 'ratu ros'. Ini kerana dia disifatkan antara pelukis dekoratif terbaik dalam menghasilkan corak dan motif berbentuk bunga ros.

Aniza yang merupakan ibu kepada empat cahaya mata dikatakan cenderung melukis lukisan pemandangan.

Dengan bakat yang ada tidakkah mereka mahu menjadikan seni yang dimulai sebagai hobi kepada bisnes berskala besar?

"Ya, kami memang ada terima daripada orang ramai tapi untuk pengetahuan, kami bertiga tidak mempunyai butik atau kedai kerana semua tempahan kami lakukan di rumah masing-masing," akui ketiga-tiga wanita itu yang lebih senang dengan cara begitu.

Selain terbiasa melukis di atas cawan, meja, dulang, teko, tin dan bangku, saat ditanya apakah material yang paling mencabar yang pernah dilukis ujar Zaitun, dia pernah diupah untuk melukis atas sebuah almari dan kabinet dapur.


TIGA sahabat ini berazam mahu menjadikan seni yang terkenal di Eropah itu turut diminati oleh generasi muda di negara ini.


"Saya pula pernah diminta melukis pemandangan fantasi ke atas kepala katil, mencabar jugalah sebab mengambil masa yang lama untuk disiapkan," kata Aniza.

Berkenaan dengan harga, ketiga-tiganya memberitahu, ia bergantung kepada corak atau bentuk material.

Namun, kepada pengikut dan peminat setia seni halus itu, harga bukan satu masalah.

Diminati generasi muda

Kata Norana, beliau gembira apabila cabang seni yang digemari mereka menjadi ikutan dan kegemaran ramai. Justeru, atas permintaan dan semangat untuk berkongsi ilmu, bukan saja Norana malah, Zaitun dan Aniza turut membuka kelas.

Penulis sempat mengikuti kelas anjuran Zaitun. Pelajar-pelajarnya bukan saja terdiri daripada orang dewasa tetapi turut diikuti oleh remaja.

Nor Zarifah Ismail, 17, misalnya memberitahu, dia memasuki kelas itu bukan sekadar mengisi masa lapang.

"Saya sebenarnya dikurniakan sedikit dengan bakat melukis dan saya berhasrat untuk mencuba seni dekoratif yang unik ini," katanya yang sedang mendapat tunjuk ajar mempelajari membuat bunga ros mengikut peringkat demi peringkat.

Hal yang sama berlaku kepada Azlina Hamjah, 27. Eksekutif pemasaran itu memberitahu, sudah hampir setahun dia mengikuti kelas Zaitun dan telah berjaya menghasilkan empat buah projek.

"Selain kelas, saya banyak merujuk Internet, buku dan mempraktikkan ilmu yang diajar tanpa jemu untuk memantapkan kemahiran saya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kreativiti Alam Fantasi Daisy

Posted:

Kreativiti Alam Fantasi Daisy

Kreativiti Alam Fantasi Daisy

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my


NORAZALIZA (lima dari kiri) dan Zurinah (enam dari kiri) bersama replika cek yang dimenangi bagi kategori biskut dan kek dalam Cabaran Daisy Sehebat Chef- Kosmo! 2011 di gedung beli-belah Aeon AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu.


SEBAIK sahaja pengacara program, Tazneem Faisal Meerangkutty mengumumkan cabaran sudah bermula para peserta pantas beraksi. Mereka memberikan tumpuan yang sepenuhnya pada sebiji kek yang dihasilkan mengikut resipi sendiri dengan menggunakan minyak jagung Daisy.

Selepas menyapu krim asas untuk lapisan pertama tanpa membuang masa peserta beralih pula kepada proses dekorasi yang dilakukan secara berperingkat. Mereka melakukannya dengan cukup teliti dan berhati-hati bagi mendapatkan hasil yang boleh memukau perhatian juri.

Itulah aksi para peserta yang menyertai Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 anjuran akhbar Kosmo! dengan kerjasama minyak jagung Daisy dan Tupperware di gedung AEON, AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada cabaran Zon Tengah tersebut 15 peserta kategori kek bersaing mempamerkan kreativiti rasa dan hiasan yang bertemakan Alam Fantasi.

Majoriti peserta memilih anak patung sebagai hiasan utama. Menurut peserta Mohd. Haimie Ismail, 20, alam fantasi sentiasa berkait rapat dengan cerita sang puteri yang jelita.

"Jadi, saya memilih anak patung berambut perang yang menggayakan gaun kembang yang dicorak menggunakan krim warna merah jambu lembut dan putih. Posisi boneka diletakkan di hujung kek kerana menggambarkan si puteri yang dalam perjalanan pulang ke istana," jelas Mohd. Haimie sambil menunjukkan lukisan istana yang tersergam di atas kek Coklat Daisy Corncake.

Siti Saleha Idris, 31, pula mempertaruhkan kek My Daisy's Chocolate yang bertemakan Siti di Alam Fantasi iaitu kisah dongeng popular yang mirip Alice In Wonderland. Bagi menghidupkan suasana taman fantasi itu dia meletakkan boneka dalam sebuah taman indah yang dikelilingi flora dan arnab.

Selain daripada boneka, motif haiwan, pelangi dan pemandangan di dasar laut, tema filem Harry Potter menjadi pilihan peserta. Motif naga berwarna merah yang terbang seakan-akan untuk menyambar istana berjaya menyuntik elemen sihir dan fantasi.

Peti harta karun


MOHD. HAIMIE teliti menyiapkan hiasan keknya yang berkonsepkan sang puteri pulang ke istana.


Jika kategori kek menyaksikan peserta memilih boneka menyarungkan gaun kembang, bagi kategori biskut pula kotak kayu harta karun menjadi pilihan utama.

Kalsom Zainudin, 54, salah seorang peserta yang mempamerkan kreativiti menyusun dan menghias biskut Treasure Hunt Daisy buatannya di dalam peti harta karun. Kepingan coklat berbentuk wang syiling warna kuning keemasan ditabur bagi menambahkan seri pada peti emas berkenaan.

Selain itu, Nur Atiqah Ayu Ong Abdullah, 49, tidak ketinggalan memilih peti emas untuk mempamerkan kreativitinya menghias biskut adunannya sendiri yang diberi nama biskut Jarum Emas. Konsep dekorasinya bertemakan sebuah peti berisi emas dan wang yang dijumpai di lokasi rahsia. Ia dikelilingi daun-daun kering dan sekeping surat lama.

"Menerusi kajian di Internet dan bahan bacaan, saya dapati tema Alam Fantasi banyak berunsurkan kanak-kanak comel, puteri jelita, taman bunga dan haiwan yang mampu bercakap.

"Sebab itu, hiasan biskut Unik Daisy saya ini berkonsepkan sebuah taman bunga yang diceriakan dengan pelbagai jenis buah-buahan, bunga dan kanak-kanak," ujar Siti Hajar Mohd. Nor, 29, yang turut menggunakan sangkar burung warna putih.

Menyertai pertandingan yang disertai para peserta yang lebih senior sedikit pun tidak mematahkan semangat Nur Amirah Mohd. Noor Azami, 23. Pelajar jurusan farmasi berkenaan menyajikan biskut Daisy Empengan Melinjau yang diperbuat daripada keropok melinjau.

"Keropok ini pahit tetapi mungkin ramai tidak menyangka selepas dicampur bersama gula, tepung dan minyak jagung Daisy, ia menghasilkan rasa yang manis dan rangup," katanya yang memilih konsep kartun Spongebob Squarepants.

Roziah Ayoub, 65, tidak ketinggalan menggunakan bahan tradisional seperti kepingan tempe. Ia bukan sahaja menjadi bahan utama dalam adunan malah turut dijadikan item dekorasi ideal.

Dalam cabaran Zon Tengah, kategori biskut dimenangi Zurinah Sahari, manakala Norazaliza Awang pula menjadi juara bagi kategori kek.

Markah tertinggi


BISKUT kerisik badam Daisy hasil buatan Zurinah diumumkan juara kategori biskut.


Menurut Zurinah, 39, yang memperoleh 302 markah, dia tidak menyangka menggunakan kerisik sebagai bahan utama membantu menyedapkan adunan biskutnya yang diberi nama Kerisik Badam Daisy.

Sementara itu, Norazalina, 35, dari Kuantan, Pahang pula bersyukur kerana usahanya tidak sia-sia. Dia yang mempamerkan Kek Coklat Daisy, mendapat markah 337 kerana mempamerkan hiasan kek yang ceria dan menarik serta lazat.

"Saya sanggup bertanding di peringkat Zon Tengah memandangkan lokasinya lebih dekat dengan Kuantan berbanding lokasi di Zon Timur, Zon Selatan ataupun Zon Utara," jelasnya kepada Kosmo!.

Sebelum bermulanya cabaran kek dan biskut pada sebelah petang, tapak acara sudah pun menerima kunjungan pengunjung. Seawal pukul 9.30 pagi, orang ramai sudah mula beratur untuk mendapatkan minyak jagung Daisy 500 gram secara percuma dengan menebus dua kepala surat khabar Kosmo!.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang merasai keenakan biskut kacang hijau dan kek lobak berempah yang dibuat oleh duta Daisy, Chef Liza Zainol.

Suasana pertandingan digamatkan dengan kehadiran dua artis kelahiran realiti Akademi Fantasia (AF), Adam AF2 dan Heliza AF5. Ini termasuklah persembahan tarian yang memukau daripada kumpulan penari Roku Steps, peserta top 4 program realiti tarian jalanan Showdown 2011.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berdosa guna pelaris

Posted:

Berdosa guna pelaris

Berdosa guna pelaris


PERNIAGAAN harus dijalankan dengan etika jual beli yang ditetapkan Islam termasuk dalam bisnes kedai makan. – Gambar hiasan


APAKAH hukumnya menggunakan pelaris dalam menjalankan perniagaan terutamanya dalam melariskan penjualan makanan di kedai-kedai makan?

JAWAPAN:

ISLAM mengharuskan umatnya berjual beli. Dalam hal ini setiap peniaga sewajarnya mematuhi etika berjual beli yang ditetapkan dalam Islam. Antaranya berlaku jujur dan amanah terhadap jualan tersebut.

Isu menggunakan pelaris sebagai azimat dan tangkal dalam berjual beli adalah berdosa. Ini kerana ia bercanggah dengan akidah dan boleh membawa kepada syirik kepada Allah. Berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud "Sesungguhnya jampi, tangkal, azimat dan ubat guna-guna adalah syirik." (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Oleh itu, jauhkanlah diri daripada perbuatan yang sedemikian.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-40 yang bersidang pada 9 Ogos 1996 membincangkan Khurafat dan Azimat Menurut Perspektif Islam.

Muzakarah telah memutuskan bersetuju dengan garis panduan yang telah disediakan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai iaitu amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Dalam Kitab Mastika Hadis Jilid Pertama terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tahun 2007 ada menyebut seperti berikut:

"Tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram sekiranya mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor." (halaman 191).

Penggunaan tangkal, azimat dan sebagainya daripada ayat al-Quran atau yang mengandungi nama-nama Allah SWT atau sifat-sifat-Nya adalah tidak diharuskan menurut Abdullah Bin Mas'ud, Al-Aswad dan Abdullah bin Hakim. Dr. Yusof Al-Qardhawi memilih pendapat ini.

Justeru, para peniaga sewajarnya menjalankan perniagaan dengan bersungguh-sungguh untuk maju dan berjaya dalam kehidupan.

Usaha yang berterusan perlu dipertingkatkan dan dengan perancangan strategik selagi tidak menyalahi hukum syarak dalam berniaga. Seterusnya berdoalah kepada Allah SWT agar segala usaha yang dilakukan diberkati dan dirahmati-Nya.

Mandi bunga boleh

bawa syirik

APAKAH hukum mandi bunga dalam Islam?

JAWAPAN:

ISLAM menyuruh umatnya supaya menjaga kebersihan fizikal dan kesucian rohani. Oleh itu mandi bunga yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat Islam di negara ini untuk tujuan kebersihan dan mengharumkan tubuh badan adalah diharuskan. Tetapi sekiranya mandi bunga disertai dengan amalan bomoh yang boleh merosakkan akidah, maka perbuatan itu dilarang sama sekali.

Jika seseorang itu mempercayai dan menyakini bahawa mandi bunga dapat menghindarkan diri daripada perkara-perkara buruk maka hukumnya adalah haram dan boleh membawa kepada syirik kerana mempercayai bunga mempunyai kuasa ke atas sesuatu yang lain daripada Allah SWT.

Sebagai hamba Allah yang taat kepada segala perintah-Nya, wajib kita meninggalkan setiap perbuatan syirik yang mana akibatnya amatlah pedih seperti dijelaskan dalam firman Allah Taala yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia. Dan Dia mengampuni dosa selain daripada syirik itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya." (An-Nisa':116)

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved