Jumaat, 1 Julai 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Kia Sportage

Posted:

Kia Sportage

Kia Sportage

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
syukran.zainuddin@kosmo.com.my



KALAU diingat semula kira-kira sepuluh atau lima tahun lalu, kereta berjenama Korea jarang sekali berada di senarai teratas jika seseorang hendak membeli kereta baru. Bagi segelintir yang membelinya, tidak kiralah sama ada Hyundai atau Kia, ada beberapa sebab kenapa keputusan itu diambil.

Antara sebab popular adalah mahu lari daripada kebiasaan. Sudah tidak mahu pandu Proton atau Perodua. Selain itu, mahu mencuba produk baru. Siapa tahu, kereta itu mungkin bagus dan memuaskan hati.

Ketika ramai yang langsung tidak merungut, tidak kurang juga yang menyesal selepas membelinya. Bukan sahaja harga alat ganti yang boleh membuatkan pemiliknya menelan air liur malah nilai jualan semulanya yang teruk menjadi faktor utama kenapa jenama kereta Korea mula dipinggirkan.

Tetapi, itu cerita dahulu. Sekarang, kereta Korea sudah banyak berubah. Sudah mampu mencabar gergasi-gergasi automotif dari Jepun. Kalau dilihat sekali imbas, sukar untuk bezakan kereta Korea dengan model keluaran pembuat kereta terkemuka dunia yang lain. Jurang standard pun semakin mengecil.

Melantik Peter Schreyer sebagai Ketua Pegawai Rekabentuk mungkin tindakan paling bijak pernah dibuat oleh Kia. Bermula pada tahun 2006, bekas pereka bentuk Volkswagen itu mula menghasilkan rekaan-rekaan magisnya ke atas produk-produk baru keluaran Kia.

"Dahulu, kereta-kereta Kia sangat neutral. Apabila melihatnya di atas jalan, anda tidak tahu itu kereta Korea atau Jepun. Jadi, saya fikir amat penting kereta Kia dapat dikenal pasti sebaik sahaja ia dilihat buat pertama kalinya," kata Schreyer.

Gelombang kebangkitan

Schreyer mengangkat konsep 'hidung harimau' sebagai paksi rekaan gril korporat kenderaan Kia. Kini semua model Kia mengaplikasikan gril korporat tersebut. Di samping rekaan tubuh yang menarik dan kontemporari.


RUANG kokpit yang mengetengahkan rekaan moden dan futuristik.


Berikutan perubahan tersebut, gelombang kebangkitan Kia kian terasa terutama di pasaran-pasaran penting seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Menjadi antara lima jenama automotif paling pantas berkembang, Kia mencatatkan jualan mencecah 988,011 unit hanya dalam tempoh lima bulan tahun 2011. Angka itu mewakili pertumbuhan 20 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Anak syarikat Kumpulan Naza, Naza Kia Malaysia (Naza Kia) menjadi penaung kepada jenama tersebut untuk pasaran tempatan. Sejak Disember tahun lalu, Naza Kia dilihat terus mengujakan pasaran dengan pengenalan model-model baru Kia.

Selepas model SUV Sorento, sedan popular Kia Forte yang ditambahbaik diperkenalkan. Tidak cukup dengan itu, model lebih sporty Forte Koup turut ditawarkan kepada pengguna pada Mac lalu.

Perubahan secara total

Terbaru, Naza Kia mengetengahkan model SUV kompaknya yang sudah lama ditunggu-tunggu, Kia Sportage. Memasuki generasi ketiga sejak diproduksi pada tahun 1993, nama Sportage tidak pernah ditukar. Itu adalah taktik pemasaran yang biasa diamalkan oleh pengeluar kereta bagi mengukuhkan lagi jenama dan model terbabit.

Kalau hendak dibandingkan dengan generasi sebelum ini, perbezaannya seperti langit dengan bumi. Sportage terbaharu mengalami perubahan secara total. Sama ada dari segi rekabentuk, prestasi, keselesaan serta teknologinya.

Jentera itu mengekalkan nilai-nilai kefungsian serta versatiliti Sportage sebelumnya. Tetapi dipakej dengan gaya yang lebih moden dan kemas. Penampilan luarannya diserlahkan dengan rim aloi bersaiz 18 inci.

Sementara bahagian dalamannya pula terasa mewah menerusi penggunaan material kulit berwarna hitam pada stereng, panel pintu dan tempat duduknya.

Pada harga cuma RM138,888 seunit, cuba lihat apa yang tidak ada pada Sportage. Ya, tipikal kereta Korea generasi baru, ia menawarkan segala ciri yang biasanya cuma ada pada produk lebih premium.


DARI KIRI: Pengurus Besar dan Ketua Operasi ASEAN, Kia Motors Corporation, S. P. Choi, Hafiz dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Kia, SM Nasarudin SM Nasimuddin.


Dilanda demam yang dipopularkan oleh Audi, Sportage tidak terkecuali dalam barisan model baru yang dipasang dengan lampu DRL (Daytime Running Lights). Itulah antara ciri-ciri premium yang saya katakan tadi.

Tidak cukup? Bagaimana dengan bumbung panoramik, paparan kamera mengundur pada cermin pandang belakang dan butang Start/Stop untuk menghidupkan enjin. Fungsi-fungsi itu pasti membezakan Sportage anda dengan SUV kompak yang lain.

Dilihat pada aspek keselamatan, Sportage adalah juara untuk segmen dengan harga di bawah takat RM150,000.

Sportage memperoleh rating lima bintang dalam penarafan keselamatan Euro NCAP. Memiliki enam beg udara, selain sistem ABS, EBD, Downhill Brake Control dan Traction Control System pasti membuatkan anda berasa lebih yakin ketika memegang sterengnya di atas jalan raya.

Sportage menggunakan khidmat unit enjin Theta II dual-CVVT bersesaran dua liter yang menjimatkan minyak. Enjin itu didakwa mampu menghasilkan kuasa sehingga 166 PS dan tork puncak mencecah 197Nm. Bagi menjamin kelancaran pemanduan, kuasa tersebut diagih menerusi transmisi automatik enam kelajuan.

Sasaran Naza Kia

Enggan menjadi SUV olok-olok, Sportage mengaplikasikan sistem pacuan All Wheel Drive (AWD). Pada kondisi pemanduan biasa, sistem tersebut menghantar 100 peratus kuasa tork kepada roda hadapan untuk meningkatkan kadar penjimatan bahan api.

Namun apabila gelinciran roda dikesan, peratusan kecil kuasa tork akan diagihkan kepada roda belakang. Ini bagi memastikan kestabilan kenderaan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Kehadiran Sportage dilihat tepat pada masanya. Menjadi segmen paling pantas berkembang di Malaysia, jualan SUV kompak memperlihatkan pertumbuhan sehingga 85 peratus iaitu kepada 5,253 unit pada tahun ini.

"Dengan potensi itu, Naza Kia yakin Sportage akan diterima baik oleh pengguna. Apa yang dibimbangkan sekarang adalah dari aspek penawaran produk ini kepada para pelanggan.

"Apatah lagi, Sportage merupakan model kedua paling laku untuk pasaran luar Korea dengan volum mencecah 128,949 unit. Justeru, Naza Kia meletakkan sasaran sebanyak 200 unit Sportage dapat dijual setiap bulan," kata Ketua Pegawai Operasi, Naza Kia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar.

Hanya satu varian, Sportage yang dijual di sini adalah sama spesifikasinya dengan model yang ditawarkan di pasaran luar negara.

Anda boleh memilih daripada lima warna menawan termasuklah putih, perak, oren, kelabu dan coklat. Lebih menarik lagi, ia hadir bersama jaminan selama lima tahun dan perbatuan tanpa had!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Litar Kart SIC dilancar

Posted:

Litar Kart SIC dilancar

Litar Kart SIC dilancar


SEBANYAK sebelas selekoh mencabar menanti pemandu.


LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini melancarkan kemudahan Litar Kart Antarabangsa Sepang yang berwajah baru. Pelancaran itu bertujuan menjadikan SIC sebagai lokasi acara korporat dan hiburan, di samping berperanan selaku litar sukan bermotor kelas dunia.

Litar go-kart yang menerima sentuhan pereka litar Formula Satu (F1), Hermann Tilke tersebut mengalami beberapa penambahbaikan seperti penghadang tayar, penggantian permukaan litar dan pemasangan sistem saliran yang baru.

Dengan jarak sepanjang 1.247 kilometer dan lebar 10 meter, litar itu dilengkapi sebelas selekoh mencabar. Tar pada permukaan litarnya adalah sama seperti yang digunakan untuk litar utama Sepang.

Seiring dengan pelancaran semula litar berkenaan, ia turut melibatkan pelantikan operator baru iaitu City Karting Events Sdn. Bhd. (City Karting). Syarikat yang memiliki pengalaman dalam industri lebih 30 tahun itu akan mengurus litar tersebut bersama SIC. Beberapa jentera go-kart baru juga dibawa masuk. Antaranya ialah go-kart dua tempat duduk untuk ibu bapa dan anak.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, penambahbaikkan litar tersebut adalah sebahagian usaha pihaknya untuk memberi perkhidmatan nilai tambah, selain mempromosikan sukan perlumbaan di negara ini.

"Litar go-kart merupakan tempat terbaik serta pilihan selamat untuk pemandu baru dan remaja berjinak-jinak dalam perlumbaan. Go-kart juga membantu mereka mengasah bakat, membina semangat kesukanan dan persaingan.

"Malah juara F1 seperti Sebastian Vettel dan Lewis Hamilton bermula dengan pembabitan dalam sukan go-kart. Tidak lupa juga pemandu lumba tempatan seperti Fairuz Fauzy dan Nik Iruwan Nik Izani," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

SUV kompak unik

Posted:

SUV kompak unik

SUV kompak unik

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN
geartinggimedia@gmail.com


ETCM dijangka membawa masuk Juke pada tahun depan.


BERDASARKAN pemerhatian peribadi, citarasa kebanyakan pembeli kereta di Malaysia tidak banyak berbeza. Contoh nyata adalah jualan Perodua Myvi, Perodua Viva dan Proton Saga yang begitu laku. Setiap bulan berbelas ribu model-model itu terjual dan tidak hairanlah ia banyak berada di atas jalan raya.

Mujur setiap orang ada pilihan warna yang tersendiri. Jika tidak, pasti jalan raya di Malaysia akan dipenuhi dengan kereta berwarna sedondon. Walau bagaimanapun, tiada apa yang salah dengan senario itu. Memandangkan pembelian kereta melibatkan wang yang banyak, maka adalah lebih selamat jika membeli kereta yang popular.

Tawar menawar

Pengeluar kereta kini juga banyak menggunakan dapatan kajian untuk membina kereta, demi mengurangkan kos dan memaksimumkan pulangan. Justeru, adalah amat penting bagi sesebuah kereta sesuai untuk pelbagai kegunaan. Sama ada untuk berulang-alik ke pejabat, bersiar-siar dan balik kampung.

Rakyat Malaysia memiliki citarasa yang tinggi terhadap kenderaan berharga murah tetapi bernilai tinggi. Mujur harga kereta adalah tetap, jika tidak pasti ramai daripada kita akan membuat tawar-menawar.

Biarpun begitu, ini tidak bermakna tiada langsung tawar-menawar. Ia sebenarnya masih berlaku tetapi dalam hal yang lain iaitu meminta 'free gift'. Jurujual pula seolah-olah terpaksa wajib menyediakan barangan percuma.


REKAAN ruang kokpit Nissan Juke yang tidak konvensional.


Tidak hairanlah jika berderet tawaran seperti filem penebat haba, kad tol, minyak setangki penuh dan sebagainya diberikan. Apa yang penting adalah untuk mendapatkan pembelian terbaik. Mungkin kedengaran lucu, tetapi tawar-menawar sudah menjadi sifat standard rakyat Malaysia.

Satu lagi sifat unik rakyat Malaysia, mereka bersetuju secara beramai-ramai mengenai rekabentuk sesebuah kereta. Jika cantik maka cantiklah. Jika hodoh maka pasti ramai yang akan bersetuju.

Saya yakin masih ramai yang ingat tentang Proton Juara dan Perodua Kenari yang digelar mesin basuh dan akuarium bergerak. Bukan sedikit yang saya dengar daripada rakan-rakan mengenai gelaran itu dan sehingga kini masih lagi menjadi bahan gurauan.

Tidak kiralah sama ada ia digelar mesin basuh atau apa pun, yang pasti kereta itu adalah unik, praktikal dan tidak adil jika kita memanggil dengan pelbagai gelaran. Pemiliknya juga mempunyai perasaan dan pasti terasa jika ayat-ayat tersebut sampai ke telinga mereka.

Jika ramai yang menganggap rekaan Juara dan Kenari pelik, saya tidak pasti apa pula respon kita terhadap Nissan Juke. Memang pelik habis. Rekaan Juke mengejutkan kebiasaan kereta konvensional dan merupakan ekspresi kreatif perekanya.

Gen kereta sport

Apa yang pasti kehadirannya bakal membuatkan kita menoleh dua tiga kali. Nissan menampilkan Juke sebagai SUV kompak dengan gen kereta sport. SUV itu ditawarkan dengan tiga opsyen enjin iaitu 1.6 liter berkuasa 117PS. Bagi mereka yang mementingkan penjimatan pula boleh memilih enjin 1.5 liter dCi diesel berkuasa 110PS.

Untuk mereka yang sukakan kuasa, Juke turut dipasang dengan enjin turbo pancitan terus 1.6 liter berkuasa 190PS, sama ada bersama pacuan dua atau empat roda. Angka kuasa itu nyata mengujakan kerana Juke ialah sebuah SUV kompak.


TEMPAT duduk yang dibalut dengan fabrik berkualiti tinggi,


Model pacuan semua rodanya dipadankan dengan transmisi CVT XTRONIC Nissan bersama mode enam kelajuan manual serta lateral torque-vectoring. Lateral torque-vectoring merupakan ciri yang pertama untuk segmen kereta kecil. Teknologi itu biasanya terdapat pada kereta-kereta premium.

Inovasi adalah kunci utama dalam rekabentuk peralatan Juke. Pada bahagian dalam, SUV itu dilengkapi dengan Nissan Dynamic Control System. Ia adalah pusat kawalan dan modul paparan yang membolehkan pemandu mengubah talaan pemanduan dinamik serta kawalan suhu. Tambah menarik apabila ia mempunyai beberapa paparan, warna dan fungsi berbeza mengikut seleksi pemandu.

Untuk pasaran tempatan, khabarnya Nissan Juke akan dibawa masuk oleh Edaran Tan Chong Motors (ETCM). Malah, ETCM telah pun mengadakan sesi pandu uji bagi menilai tahap penerimaan orang ramai terhadap Juke. Dengarnya, maklum balas yang diterima cukup positif. Harus saya akui bahawa itu adalah satu tindakan yang sangat berani.

Secara fizikalnya saya sudah dua kali bertentang mata dengan Juke. SUV ini memang unik dengan interior yang menarik dan bersaiz kompak. Di atas jalan, Juke mudah menarik perhatian. Namun, respon awal daripada artikel saya sebelum ini ada yang mentertawakannya.

Tetapi suatu yang aneh tentang perasaan ialah benda yang kita tidak suka itu lama-lama akan kita suka pula. Sama seperti Perodua Kenari, pada penghujung hari ramai juga yang membelinya.

Apa pun. Juke bukanlah suatu jenaka, cuma ia merupakan sebuah objek yang lari daripada kebiasaan. Unik.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved