Jumaat, 22 Julai 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Naik taraf paling komprehensif

Posted:

Naik taraf paling komprehensif

Naik taraf paling komprehensif

Oleh SHAWKATH AZDE



TAHUN 1993 menyaksikan pembentukan satu kategori baharu untuk rangkaian model Mercedes-Benz. Dinamakan sebagai C-Class, ia merangkumi model-model kereta kompak eksekutif daripada pengeluar Jerman itu. Kelahiran segmen tersebut bertujuan menggantikan siri rangkaian sedan 190 Mercedes-Benz.

Model C-Class merupakan kereta paling murah pernah ditawarkan oleh Mercedes-Benz. Itu pun sebelum ketibaan model A-Class pada tahun 1997.

Model C-Class dilihat memiliki rekaan sporty dan bercirikan bulat jika dibandingkan dengan produk lain keluaran Mercedes-Benz. Sedan pertama C-Class mula dikeluarkan pada 1 Jun 1993, sebelum diikuti oleh generasi kedua dan ketiga pada tahun 2000 dan 2007.

8.5 juta C-Class dijual

Segmen baharu tersebut bagaimanapun tidak melupakan perjuangan yang dipikul oleh model 190 sebelum ini. Apa lagi kalau bukan menjadi saingan kepada BMW 3 Series.

C-Class nyata tidak mengambil masa lama untuk popular. Sepanjang tahun 2007 sahaja, C-Class sudah menerima tiga anugerah iaitu Car of the Year di Australia oleh majalah Wheels, Executive Car Of The Year (majalah Top Gear) dan Japan's Import Car of the Year tahun 2007-2008. Kunci kejayaannya berkait rapat dengan aspek harganya yang lebih mampu milik.

Sejak C-Class diperkenalkan pada 1982 (ketika itu dikenali dengan model 190), Mercedes-Benz merekodkan jualan sebanyak 8.5 juta unit seluruh dunia. Bermula tahun 2008 pula, Mercedes-Benz menjadi peneraju global dalam segmen tersebut.


DARI KIRI: Schlickum, Folger dan Yee pada satu sesi pengenalan dan pandu uji model baharu Mercedes-Benz C200 dan C250 baru-baru ini.


Senario hangat itu turut dirasai dalam pasaran tempatan. Baru-baru ini, Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. (MBM) mengumumkan prestasi jualan separuh tahun pertama 2011. Rekod baru dicipta. Sebanyak 3,900 unit kenderaan penumpang dan komersialnya berjaya dijual. Peningkatan sebanyak 22.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Penalaan berbeza

Demi mengekalkan momentum jualan tersebut, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Car, MBM, Kai Schlickum mengumumkan pengenalan dua varian wajah baharu C-Class iaitu C200 BlueEFFICIENCY dan C250 BlueEFFICIENCY.

"Ini merupakan rangkaian model naik taraf paling komprehensif pernah dilakukan dalam sejarah Mercedes-Benz. Kami juga belum pernah berbelanja sebegini besar untuk menaik taraf mana-mana model," katanya pada satu sidang akhbar yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Roland S. Folger dan Pengurus Besar Jualan Kenderaan Komersial MBM, Albert Yee.

Rangkaian model itu dilengkapi dengan 2,000 komponen baharu yang membezakannya dengan model terdahulu. Bukan suatu perubahan kecil. Jelas ia memaparkan ketelitian dan kesungguhan pemain automotif Jerman ini.

Kedua-dua model tersebut dipasang dengan enjin empat silinder suntikan terus bersesaran 1,796cc. Kotak gear transmisi automatik tujuh kelajuan 7G-TRONIC dipadankan dengan enjin berkenaan. Meskipun memiliki nadi yang sama, talaan kedua-dua model adalah berbeza.

Model C200 mengambil masa 7.8 saat untuk pecutan 0 kilometer (km) hingga 100km. Kuasa kudanya ialah 184 pada 5,250rpm. Kelajuan maksimum mampu dicapai ialah 235 kilometer sejam (km/j).


KEANGGUNAN dan kemewahan binaan dalam model C-Class baru Mercedes-Benz.


Bagi varian C250 pula, ia mengambil masa 7.2 saat untuk 0km -100 km. Kuasa kuda pula sebanyak 204 pada 5,500 rpm. Kelajuan maksimum ialah 240km/j. Kedua-dua jentera itu memiliki tahap penggunaan bahan bakar yang sama iaitu 6.4 liter hingga 6.9 liter bagi setiap 100km. Malah, anda harus tahu bahawa varian C-Class terbaru itu memberi penjimatan petrol sehingga 31 peratus.

Jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya, perbezaan ketara boleh dilihat pada bahagian hadapan kereta. Kedua-dua model itu dipasang dengan bonet, front wing dan modul pintu aluminium yang baharu. Berat jentera turut dikurangkan dan kecekapan penggunaan petrol ditingkatkan.

Varian tersebut turut memiliki bampar dengan lampu LED, lampu depan bi-xeon dan gril radiator baharu. Kombinasi semua elemen itu menjadikannya memiliki profail huruf V. Bahagian belakang juga menerima sentuhan penambahbaikan. Antaranya ialah bampar baru dan padanan lampu belakang LED. Generasi C-Class nyata semakin maskular dan mantap.

Melangkah masuk ke dalam C-Class, kelainan dapat dilihat pada papan pemukanya. Ia menggabungkan elemen anggun dan sporty. Butang kawalan turut dikemaskan.

Stereng yang dilengkapi 12 butang kawalan dibalut dengan material kulit. Versi Elegance C-Class memiliki stereng empat jejari, manakala stereng versi Avantgarde pula tiga jejari. Terdapat juga sebuah skrin LCD yang ditempatkan dalam ruangan sama dengan panel instrumen.

Jaminan tiga tahun


ANDA boleh melayari Internet di dalam kabin C250.


Tidak memandang ringan aspek keselamatan, Mercedes-Benz mengetengahkan sebanyak sepuluh sistem bantuan pemanduan. Antaranya, Adaptive Highbeam Assist yang menurunkan suluhan cahaya lampu depan ke paras dan jarak wajar apabila mengesan kenderaan di hadapannya.

Attention Assist pula akan memberi amaran apabila mengesan pemandunya dalam keletihan. Ia membantu mengelakkan pemandu daripada terlibat dalam kemalangan. Satu lagi ialah sistem Parktronic yang mengukur keluasan kawasan untuk memudahkan pemandu meletakkan kenderaannya.

Model C200 BlueEFFICIENCY dan C250 BlueEFFICIENCY merupakan jentera komponen unit terurai (CKD) yang dipasang di kilang MBM di Pekan, Pahang.

C200 BlueEFFICIENCY ditawarkan pada harga RM258,888 seunit, manakala C250 BlueEFFICIENCY boleh anda miliki pada takat harga RM290,888 seunit. Tempoh jaminan diberikan ialah selama tiga tahun.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Pesaing BMW 1 Series

Posted:

Pesaing BMW 1 Series

Pesaing BMW 1 Series


MODEL A1 memperoleh peralatan lima bintang dalam ujian kemalangan Euro NCAP.


MODEL kompak Audi iaitu A1 akhirnya diperkenalkan ke pasaran tempatan. Ia merupakan model paling kecil daripada Audi dan diimport sepenuhnya (CBU) oleh pengedar tunggal kenderaan Audi di Malaysia, Euromobil Sdn. Bhd. (Euromobil).

Pengenalannya dalam pasaran pastinya mencetuskan saingan kepada dua model rakan senegaranya, BMW 1 Series dan Mini. Sebenarnya terdapat beberapa varian A1 di pasaran global, namun hanya A1 1.4 TFSI sahaja yang diperkenalkan di Malaysia.

Model Audi A1 membuat debut pada Geneva Motor Show 2010. Jualan kereta kompak tiga pintu itu bermula di Jerman pada Ogos 2010 dan tiga bulan kemudiannya, ia sudah berada dalam pasaran United Kingdom. Sehingga Jun lalu, pengeluaran model ini sudah mencecah 100,000 unit.

Baru beberapa bulan berada dalam pasaran antarabangsa, A1 sudah menerima beberapa pengiktirafan. Antaranya, Auto Trophy daripada majalah Auto Zeitung, Golden Steering Wheel daripada Auto Bild dan Bild am Sonntag serta Car of the Year Award daripada majalah What Car?. Jentera itu turut menerima penarafan lima bintang dalam ujian kemalangan Euro NCAP.

Model 1.4 TFSI dilengkapi enjin suntikan terus pengecas turbo empat silinder sebaris bersesaran 1,390cc. Kuasa maksimum ialah 122hp pada 5,000rpm. Sementara tork puncak ialah 200Nm @ 1,500-4,000rpm. Enjin kompak itu dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan S-tronic. Ia membolehkan pemandu memilih sama ada untuk menukar gear secara automatik atau manual dengan mudah.

Model A1 mampu memecut dari 0 kilometer (km) hingga 100km dalam tempoh 8.9 saat sahaja. Untuk setiap 100km, ia hanya menggunakan 5.3 liter petrol. Kelajuan maksimum ialah 203 km/sejam. Kadar emisi karbon pula cuma sebanyak 122 gram/km.

Cukup mudah untuk mengenali jentera itu kerana Audi memaparkan lambang empat cincin berangkai pada gril besar pada bahagian hadapannya.

Lampu depan mengguna pakai lampu jenis xenon. Sementara lampu belakang ialah lampu LED. Turut disediakan ialah lampu kabus dan DRL (Daytime Running Lights) LED.

Rekaan dalaman membabitkan kerusi sport pada barisan hadapan yang dibalut dengan fabrik Herzklopfen. Selain itu, ia turut memiliki cermin dalaman antisilau automatik, stereng sport kulit tiga jejari dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat.

Model A1 sarat dengan pelbagai sistem keselamatan termasuklah ESP, ASR, EDL, ABS, EBD dan BA. Ia juga didatangkan dengan enam beg udara. Kereta kompak itu ditawarkan pada harga RM179,900 atas jalan tanpa insurans.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Terbaik daripada Toyota

Posted:

Terbaik daripada Toyota

Terbaik daripada Toyota

Oleh MUHAMMAD MD. TAJUDIN


LFA didakwa menjadi jelmaan Toyota Supra berikutan persamaan rekabentuk antara kedua-dua model tersebut.


ASIA TENGGARA ialah 'tanah jajahan' Toyota. Di Malaysia, walaupun Perodua dan Proton adalah peneraju utama industri automotif, namun jika dikira pengaruh Toyota dalam Perodua dan digabungkan dengan jualan Toyota itu sendiri, maka boleh dibuat kesimpulan mudah bahawa gergasi dari Jepun itu sebenarnya adalah penakluk pasaran tempatan.

Di sekeliling kita pula penuh dengan kenderaan jenama Toyota. Ada jiran yang memandu Avanza atau rakan sekerja yang memandu Vios. Di pejabat pula, terutama agensi kerajaan, banyak yang menggunakan Hiace sebagai kenderaan rasmi untuk mengangkut pekerja.

Toyota kini berada dalam keadaan yang kukuh. Mereka mewah dengan teknologi dan platform dengan kos pembangunan yang dikongsi oleh beberapa model lain. Mereka mempunyai skala ekonomi, faktor yang penting dalam survival bisnes masa kini.

Biarpun begitu, dalam kalangan rakan-rakan saya, Toyota menjadi bahan jenaka. Harus tahu bahawa kelompok saya terdiri daripada anak muda yang gemarkan kereta pantas, cantik dan tidak membosankan.

Walaupun Toyota menawarkan Vios versi TRD, itu tidak memadai kerana di dalam kepala rakan-rakan saya cuma ada model Hachiroku (Toyota Corolla AE86), Supra atau paling tidak Starlet Turbo.

Jika dibandingkan dengan Vios TRD, ia ibarat langit dan bumi. Maka tidak hairanlah jika model-model Toyota moden menjadi bahan jenaka mereka. Tetapi apa boleh buat, begitulah dunia bisnes automotif.

Anda boleh keluarkan model niche dengan kos jutaan ringgit, tetapi sanggupkah syarikat anda lingkup semata-mata hendak mengeluarkan model menarik, tetapi hanya dua tiga kerat yang memilikinya.

Jika model bisnes sebegitu betul, tidaklah Lotus kini dimiliki Proton, Lamborghini ditadbir Volkswagen dan Jaguar dibeli Tata.

Walaupun Toyota dengan kereta berprestasi boleh diibaratkan sebagai memori silam yang tidak harus dikenang lagi, namun mereka menghantar mesej yang jelas melalui anak syarikat mereka iaitu Lexus. Subsidiari yang menghasilkan kenderaan mewah bagi menyaingi kereta premium barat.

Lexus menghadiahkan model berprestasi LFA, kereta dengan kejuruteraan agung daripada pakar-pakar Toyota dan Lexus yang mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan.

Momen penting Lexus

LFA merupakan satu pencapaian dan momen yang penting untuk Lexus dari segi sejarah dan pembangunan model itu. Dakwa Lexus, ia direka atas kertas kosong walaupun ada yang mengatakan LFA adalah jelmaan Supra kerana beberapa persamaan rekabentuknya.

LFA dicipta oleh pasukan jurutera berkuantiti kecil dengan nyalarasa serta dedikasi tinggi dengan menolak luas sempadan kejuruteraan pada setiap peringkat penghasilannya. Senang kata, projek LFA benar-benar menguji pengetahuan dan pengalaman kejuruteraan mereka.

Asyik hasilkan kereta biasa-biasa sahaja untuk pasaran massa, sekali-sekala hasilkan kereta yang mencabar minda sebegini memang menyeronokkan.

Dengan matlamat mempunyai berat seminimum mungkin, LFA dibina menggunakan teknologi gentian kaca termaju. LFA pada asalnya dirancang untuk dibina menggunakan aluminium pada bahagian casis dan badan kereta. Ia sebaliknya digantikan dengan material Carbon Fibre Reinforced Plastic [CFRP].

Kereta berpacuan roda belakang itu dikuasakan oleh enjin 4.8 liter V10 aspirasi normal berkuasa 552bhp yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan sequential automatic. Kelajuan total LFA, 320 kilometer sejam (km/j).

Lebih menarik, Lexus membuat keputusan bahawa struktur CFRP harus dibina sendiri dan bukannya oleh vendor luar. Bagi mencapai matlamat itu, Lexus menggunakan teknologi warisan Toyota iaitu teknologi tenunan bagi menghasilkan gumpalan gentian kaca untuk membina LFA.

Perlu tahu, Toyota sebenarnya bermula sebagai syarikat yang menghasilkan mesin tenunan sebelum membuat kereta.

LFA pertama kali dilancarkan pada tahun 2000 sebagai projek yang jelas serta mudah dari aspek penyelidikan dan pembangunannya. Walau bagaimanapun, projek itu kemudian menjadi lebih besar apabila Haruhiko Tanahashi dilantik untuk mengetuai sekumpulan jurutera dalam membangunkan projek tersebut.

Prototaip LFA pertama siap dibina pada tahun 2003. Kajian rekabentuknya pula dibuat dengan dipertontonkan pada umum pada pada Pameran Kereta Detroit 2005.

Kemudian, LFA dihantar untuk berlumba dalam perlumbaan Nurburgring 24 jam pada tahun 2008 dan 2009 bagi menguji ketahanannya. Sejarah tercipta apabila LFA dilancarkan secara rasmi pada Pameran Kereta Tokyo pada tahun 2009.

LFA benar-benar 'rare' apabila hanya 500 unit sahaja akan dikeluarkan untuk pasaran seluruh dunia. Kereta itu akan dihasilkan dengan tangan di kilang Motomachi di Toyota City. Setiap unit enjin V10 LFA akan dibina oleh seorang jurutera dan kemudiannya ditandatangani olehnya sebagai tanda perhatian penuh yang diberi dalam menghasilkan kereta itu.

Bak kata Haruhiko: "LFA ialah kereta berprestasi dengan 'baka' baik. Sebuah mesin yang dijuruterakan bagi mencapai satu matlamat iaitu memberi pengalaman pemanduan yang agung.

"Dalam sedekad yang lalu, kami telah menjarakkan setiap sempadan dalam mencapai matlamat ini. Saya percaya kami telah menghasilkan kereta yang berorientasikan pemandu dengan sedaya upaya kami."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved