Isnin, 13 Jun 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Memori di sawah bendang

Posted:

Memori di sawah bendang

Memori di sawah bendang

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID dan ABDUL RAZAK LATIF



"Apa yang sedang mereka lakukan dan kenapa mereka membongkokkan diri ke kawasan berlumpur itu?" Demikian antara soalan yang dilontarkan kepada penulis oleh rakan-rakan wartawan luar negara yang mengikuti program International Journalism Fellowship (IJF) 2010 sejenak kami menjejakkan kaki ke Laman Padi yang terletak di Pulau Langkawi.

Kemudian, seorang wartawan dari akhbar Filipina, Myla Iglesias, 26, pula minta penjelasan tentang anak patung yang dipacakkan di sawah bendang berkenaan. Rupa-rupanya apa yang dirujuk merupakan orang-orang yang digunakan untuk menakut-nakutkan haiwan daripada merosakkan padi.

Sebenarnya, agak sukar untuk penulis menjawab satu persatu. Mengapa? Ini disebabkan penulis sendiri terlepas peluang menikmati pengalaman indah bersawah padi di kampung halaman di Melaka.

Seingat penulis, momen yang paling melekat di hati cuma sekadar teringat gelagat segerombolan pesawah padi di hadapan rumah sewaktu penulis masih kecil.


PERTANDINGAN menanam padi turut dijalankan di Laman Padi Langkawi bagi memberikan pengalaman baru kepada pengunjung.


Memori itu secara perlahan-lahan lenyap daripada ingatan. Barangkali faktor mengejar ilmu di ibu kota ditambah transformasi desa kepada urban membuatkan kerja-kerja tradisi itu luput daripada pandangan anak muda sekarang.

Lamunan penulis tadi terhenti apabila wartawan dari Uzbekistan, Ilshat Mustafin, 25, tanpa jemu berterusan bertanya soalan. Tanpa menunggu lama, penulis membawanya serta rakan-rakan dari Mongolia, Filipina, Brunei dan Indonesia menuruni tangga menuju ke petak sawah padi. Kami mendekati seorang wanita lengkap bertopi dan wajahnya dibasahi peluh. Walaupun sibuk melakukan aktiviti membanting padi, dia masih mampu melemparkan senyuman dan berkongsi kisah mengenai Laman Padi.

Imbauan seni tanam padi


SEORANG lelaki berpakaian seperti pesawah pada zaman dahulu di Laman Padi Langkawi.


Menurutnya yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Jah, 40-an, Laman Padi atau lebih dikenali sebagai Muzium Laman Padi merupakan satu-satunya lokasi yang mengetengahkan proses penghasilan beras dengan kaedah lama.

Sambungnya lagi, laman itu yang berkeluasan 8.6 hektar adalah berkonsepkan 100 peratus alam semula jadi dan mengadaptasikan senario asli sebuah perkampungan.

"Di laman padi kita menunjukkan proses penghasilan beras bermula di sawah bendang lagi. Kita secara jelas menunjukkan kepada orang ramai bagaimana kita menanam anak padi, kemudian selang beberapa bulan, kita membanting padi kemudian beralih kepada proses menampi hingga mengisar padi dengan menggunakan pengisar tradisional," jelasnya.


KANAK-KANAK juga tidak ketinggalan melibatkan diri dalam pertandingan menangkap ikan di Laman Padi.


Sewaktu kehadiran kami pada November tahun lalu, aktiviti membanting padi di Laman Padi yang terletak di Pantai Cenang dan 10 minit dari lapangan terbang Langkawi sedang giat dijalankan.

Kami turut difahamkan, padi di sana ditanam secara berperingkat-peringkat dengan tujuan mahu memastikan tanaman tersebut sentiasa wujud untuk tujuan lawatan mahupun penyelidikan.

Semasa kunjungan jurufoto, Abdul Razak Latif (pada Mac lalu) pula, ia lebih istimewa dan sememangnya membangkitkan kenangan silam. Beliau bersama ahli rombongan media lain anjuran Lembaga Pemasaran dan Pertanian Pertanian Persekutuan (FAMA) dihidangkan dengan pelbagai aktiviti termasuk acara menanam padi.


BERANI. Seorang pelancong tanpa rasa takut cuba untuk menangkap ikan di sawah.


Pesona kepada program itu sangat terserlah. Para peserta daripada anak-anak kecil hingga dewasa yang kebanyakannya adalah penghuni Pantai Cenang mengambil bahagian. Masing-masing mengenakan pakaian ringkas yang bersesuaian dengan karakter pesawah.

Semangat kerjasama yang ditonjolkan dan hilai tawa mereka ketika menanam anak pokok di tapak semaian membangkitkan rasa keterujaan. Suara mereka juga berjaya menenggalamkan siulan burung yang terbang di ruang udara Laman Padi.

Menghangatkan lagi atmosfera di sana, demonstrasi memasak kuih yang dikenali sebagai jemput-jemput yang dikatakan menjadi hidangan pesawah di Kedah dilakukan secara beramai-ramai berhampiran tapak semaian.

Tangkap ikan sawah


SEPASANG suami isteri dari luar negara mempelajari bagaimana mengeluarkan bunyi daripada batang padi.


Jiwa penghuni-penghuni desa sangat berbeza. Mereka tidak kisah untuk beraksi dalam lumpur. Pacat atau lintah hinggap di kaki atau tangan, itu sudah dianggap perkara biasa.

Barangkali seperti dapat menyelami fikiran si jurufoto, adik Mohd. Haikal Hazami Azhar, 8, dengan bersahaja memperkenalkan satu peralatan menangkap ikan yang di panggil serkap.


MOHD. HAIKAL menunjukkan ikan keli yang berjaya ditangkapnya dengan cara menyerkap di Laman Padi Langkawi.


Serkap lazimnya digunakan untuk menangkap atau dengan lebih tepat, menerkap ikan di sawah. Budak lelaki itu nampak berani dan membenarkan pergerakannya yang penuh skil dalam menangkap ikan sawah dirakam Abdul Razak.

Selang 10 minit, budak lelaki itu menjerit kegirangan apabila usahanya berhasil apabila berjaya menangkap seekor ikan betuk dan sepat. Kemudian, dia berjaya mendapatkan seekor ikan keli yang punya 1,001 khasiat untuk kesihatan tubuh badan.

Sebenarnya, aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan peralatan tradisional seperti serkap dan bubu juga antara program yang dirancang oleh pihak FAMA untuk media.

Ada media yang berani namun, tidak kurang juga yang gementar. Penulis sememangnya awal-awal lagi hanya memerhati gelagat pesawah di pangkin di tengah bendang saja.


WARTAWAN-WARTAWAN dari negara Asia begitu kagum dengan usaha Malaysia mewujudkan Laman Padi.


Laman Padi itu bukan sekadar diliputi oleh sawah bendang saja kerana terdapat sebuah Galeri Padi yang memperkenalkan alatan tradisional pertanian seperti tampi padi, tong membanting padi, bajak, kepelbagaian jenis benih padi selain serkap dan bubu.

Di sini juga, pengunjung boleh menikmati pemandangan sawah yang aman damai dari atas bangunan yang ditanam secara bertingkat.

Satu sudut yang dikenali sebagai Laman Variasi pula membuka ruang kepada orang ramai merasai kehidupan pesawah sebenar. Tidak rugi untuk membayar sejumlah RM3 kerana segala aktiviti untuk menanam padi bermula dari mencabut semaian anak pokok padi dapat dirasai oleh anda.

Jika anda bernasib baik, kemungkinan pengunjung turut berkesempatan membajak sawah menggunakan kerbau.

Ketika itu, penulis dan beberapa rakan wartawan lain sempat mempelajari bagaimana cara menyemat atap rumah dengan menggunakan daun nipah.

Pengalaman ini sesungguhnya sangat bererti lebih-lebih lagi kepada pelancong luar yang semestinya sangat asing dengan aktiviti tradisional begini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Resipi asli dengan Daisy

Posted:

Resipi asli dengan Daisy

Resipi asli dengan Daisy

Oleh ALIF ABU BAKAR


BAHAROM (tengah) dan Chef Liza (lima dari kanan) semasa sesi pratonton pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef di Jalan Ipoh baru-baru ini.


MEMASUKI ruangan dapur Chef Liza menimbulkan keterujaan buat penulis dan tetamu jemputan yang hadir pada sesi pratonton pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 yang merupakan program kerjasama Minyak Jagung Daisy, Tupperware dan Kosmo!.

Hati semakin berdebar apabila kami diminta menyediakan menu mengikut resipi yang diberikan bersama bahan-bahan masakan di atas meja masing-masing.

Seramai 10 blogger masakan tempatan turut bersama-sama menyempurnakan tugasan Chef Liza yang menuntut tetamu menyediakan kek mangga yogurt dan biskut semperit.

Laman Chef Liza iaitu dapur masakan chef tersebut yang terletak di Kg. Batu Delima, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur riuh-rendah dengan gelagat tetamu yang ada antaranya baru pertama kali belajar membuat kek dan biskut.

Bagaimanapun dengan kemahiran dimiliki Chef Liza membimbing dan menjelaskan teknik yang betul, membuatkan kek dan biskut yang dibuat tetamu hari itu benar-benar menjadi.

Apa yang pasti, apa yang dilalui penulis dan blogger terbabit hanyalah sekelumit daripada debaran yang akan dilalui oleh 120 orang peserta pada pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef. Pertandingan yang dimulakan pada 18 Jun itu akan menyaksikan Cabaran Daisy Sehebat Chef menjelajah ke empat buah negeri di seluruh Malaysia.

Cabaran Daisy Sehebat Chef dihidangkan Bersama Kosmo! 2011 itu merupakan penganjuran kali kedua Daisy bersama Tupperware yang dipecahkan kepada dua kategori iaitu kek dan biskut.

Peserta-peserta perlu tampil dengan menu tersendiri menggunakan 100 peratus minyak jagung Daisy serta disarankan membuat persediaan rapi sebelum pertandingan.

"Mencipta menu sendiri akan membuatkan pertandingan lebih mencabar dan ia melatih mereka untuk bereksperimen terlebih dahulu sebelum hari sebenar cabaran.

"Kriteria pemarkahan akan dilihat kepada ketulenan resipi, inovatif peserta serta cara ia dipersembahkan termasuk hiasan.

"Saya juga tidak mahu peserta mencampurkan minyak jagung Daisy dengan mentega selain mahu mereka lebih fokus terhadap mutu kek dan biskut berbanding hiasan," jelas Chef Liza selaku juri cabaran itu nanti.


TETAMU melakukan regangan sebelum memulakan acara memasak.


Signifikan penggunaan minyak jagung Daisy dalam penyediaan kek dan biskut untuk cabaran itu adalah kerana ia mengandungi soft-poly yang menjadikan kek lebih lembut dan halus serta biskut lebih rangup dan ringan.

Mekanisme cabaran

Orang ramai yang berminat menyertai cabaran tersebut perlu mengisi borang yang disiarkan Kosmo! sejak 1 Jun lalu sehingga 20 Jun ini.

Borang penyertaan hendaklah dihantar bersama satu resipi ciptaan sendiri mengikut kategori pilihan dengan setiap peserta dihadkan terhadap satu kategori sahaja.

Resipi yang dihantar perlu ditaip kemas menggunakan kertas bersaiz A4 dan mereka yang dipilih bagi peringkat zon diminta membawa dua biji kek atau dua set biskut yang telah siap dimasak ke lokasi pertandingan.

Empat lokasi bagi peringkat zon akan dijalankan di Giant, Kuala Terengganu pada 18 Jun dengan tema Seni dan Kebudayaan manakala AEON AU2, Setiawangsa Kuala Lumpur pada 26 Jun dengan tema Alam Fantasi.

Peserta di Star Parade, Alor Setar pula perlu tampil dengan tema Flora pada 2 Julai sementara mereka di Giant, Tampoi, Johor Bahru akan mengikut tema Dasar Laut yang akan diadakan pada 10 Julai.


CHEF Liza menjadi jurucakap Daisy sejak tahun 2007 lagi.


Pemenang peringkat zon bagi setiap kategori akan bertanding pada peringkat akhir di Plaza Shah Alam pada 17 Julai dengan tema Hari Raya Aidilfitri.

Cabaran tersebut juga tidak mengenakan bayaran penyertaan dan setiap peserta yang bertanding akan menerima saguhati berupa wang tunai RM100 beserta hadiah daripada Daisy dan Tupperware.

Juara bagi setiap kategori pula akan menerima wang tunai RM5,000 beserta hadiah daripada Tupperware, RM3,000 beserta barangan Tupperware buat naib juara dan RM2,000 serta cenderamata Tupperware bagi pemenang tempat ketiga.

Pembaca Kosmo! juga berpeluang mendapatkan minyak jagung Daisy 500 mililiter secara percuma dengan menebus dua kepala surat khabar Kosmo! di kaunter lokasi pertandingan.

Sebanyak 200 botol minyak disediakan di setiap lokasi bermula dari pukul 10.30 pagi sehingga 11.30 pagi.

Sementara itu, Pengarang Kosmo! Baharom Mahusin memberitahu, cabaran tersebut merupakan peluang bagi Kosmo! mendekati kumpulan pembaca yang berbeza-beza.

"Diharapkan dengan pertandingan sebegini, ia akan dapat membentuk kumpulan pembaca baru terutama golongan wanita," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Perginya seorang bapa

Posted:

Perginya seorang bapa

Perginya seorang bapa

BEBERAPA tahun lalu, seorang rakan bertanya, siapakah yang menjadi pilihan utama untuk saya temu bual jika saya bergelar wartawan kelak, lantas saya menjawab: "Aku hendak interviu bapa-bapa malang yang dihantar ke rumah orang tua."

Mahu tahu apa reaksi rakan saya itu? Dia kata saya gila. Soalnya, 'Kenapa tidak meletakkan cita-cita mewawancara seorang pemimpin, artis mahu pun orang-orang berharta?' Dia sebolehnya mahukan jawapan konkrit daripada saya tapi saya berkata: "Jawapan itu tiada sekarang, aku akan beritahu nanti."

Akhirnya, pada tahun lalu, dia menelefon saya dan memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya. Ujarnya dengan tangisan teresak-esak, dia baru sedar mengapa saya menyimpan impian sedemikian rupa. Dia juga baru tahu yang saya sebenarnya telah kehilangan ayah ketika saya berusia 13 tahun.

Rahsia yang disimpan selama 10 tahun itu terdedah tatkala dia membaca rencana tulisan saya bertarikh 6 September 2010 yang bertajuk Pilu Disisih Perhatian Anak.

Sesungguhnya, tugasan saya di saat menjelang bulan puasa di Rumah Seri Kenangan Seremban pada tahun lalu merupakan satu momen peribadi yang paling terkesan dalam hidup saya. Saya merapati jiwa beberapa orang bapa malang.

Menyelami kisah duka tiga orang tua yang ditinggalkan anak-anak begitu menghiris perasaan. Harun Tan, 70-an, dengan penuh emosi menyuruh anak-anaknya ditangkap kerana membuangnya ekoran keputusan Harun memeluk agama Islam. Ada juga yang saya temui, pasrah menghadapi qada' dan qadar yang telah ditentukan.

Kata-kata Jazlan, 80-an misalnya, telah membuatkan saya tewas untuk menahan air mata. Dia yang tidak berupaya untuk berjalan lagi tetap mendoakan kesejahteraan anak-anaknya meskipun mereka menganggap dia 'objek yang menyusahkan'.

Namun, saya rasa begitu terpukul apabila seorang tua bernama Ramlan, 70-an, meninggal dunia setelah tiga minggu saya mewawancaranya. Hanya Tuhan memahami perasaan saya ketika itu.

Hati saya memberontak. Saya tidak faham kenapa ada individu sanggup berlaku kejam pada bapa mereka sendiri.

Barangkali emosi saya meruap-ruap disebabkan saya telah kehilangan ayah sewaktu kecil. Saya mudah tersentuh apabila rakan-rakan bercerita tentang ayah mereka. Saya rindukan arwah ayah saya setengah mati. Ketika kehilangannya, saya rasakan dunia ini sudah tidak bermakna lagi.

Pemergiannya telah memberi impak besar kepada diri ini. Saya telah meninggalkan bakat melukis saya. Sudah 18 tahun saya tidak melakarkan sebarang objek pun. Kenapa? Ini kerana saya menerima berita kematian bapa saya ketika saya sedang menyiapkan sebuah lukisan. Saya fobia untuk melukis lagi kerana saya takut untuk menerima sebuah lagi berita tentang kematian.

Bagaimanapun, sejak dulu lagi saya tidak pernah menganggap saya berpisah dengan arwah kerana semangat dia sentiasa dengan saya. Saya juga percaya, suatu hari nanti kami pasti bertemu. Setiap kali saya melelapkan mata, saya berharap dapat berjumpanya di alam mimpi.

Kepada mereka yang masih berbapa, saya nasihatkan hargailah mereka selagi mereka bernyawa. Meskipun anda melalui detik-detik sukar menjaga mereka di dunia yang fana ini, insya-Allah pengorbanan anda akan dibalas oleh Yang Maha Esa di akhirat nanti.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved