Isnin, 13 Jun 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Bebas sakit lutut selepas surgeri

Posted:

Bebas sakit lutut selepas surgeri

Bebas sakit lutut selepas surgeri

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR



NADARAJAH ARUMUGAM, 60, tidak pernah mengetahui apakah penyakit artritis walaupun dia sendiri menderita penyakit itu selama lima tahun. Dia menahan sakit yang dianggap biasa dan mengambil banyak ubat dan vitamin untuk mengurangkan kesakitan.

Namun, usahanya tidak mendatangkan hasil, malah sakit lutut yang dialaminya semakin teruk. Apabila bertemu doktor, barulah dia mengetahui penyakitnya itu, tetapi sudah terlambat kerana doktor memberitahu pertahanan badannya tidak lagi memberi tindak balas kepada ubat-ubatan yang diambil.

"Sebelum menjalani pembedahan, semua sendi saya berasa sakit dan paling teruk adalah lutut saya. Tetapi, saya takut untuk menjalani pembedahan kerana saya pernah mendengar mereka yang pernah melakukannya ada yang boleh berjalan dan ada yang lumpuh," katanya.

Selepas dipertemukan dengan Dr. Amir Azlan Zain dari Pusat Perubatan Sunway, Nadarajah berasa lega kerana dia diberitahu wujudnya Yayasan Artritis Malaysia (AFM) yang menyediakan dana untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan menjalani pembedahan penggantian sendi.

"Saya sedia maklum bahawa kerajaan boleh membantu, tetapi saya perlu mengeluarkan duit sendiri terlebih dahulu dan saya tidak mempunyai wang yang banyak untuk menjalani pembedahan.

"Akhirnya, saya menjalani pembedahan penggantian sendi untuk kedua-dua belah lutut saya dan kos pembedahan ditanggung sepenuhnya oleh AFM. Jika tidak, saya perlu mengeluarkan kos sebanyak RM18,000 untuk pembedahan di hospital kerajaan dan dua kali ganda jika di hospital swasta," katanya.

Nadarajah memberitahu, selepas melakukan pembedahan, dia banyak berkongsi pengalamannya dengan rakan-rakan dan keluarganya dan menggalakkan mereka yang mempunyai sakit sendi untuk menyertai AFM.

"Bagi mereka yang berkemampuan, pasti tidak mempunyai masalah. Tetapi mereka yang tidak berkemampuan, masih ada harapan untuk kembali pulih dan menjalani hidup yang lebih baik," katanya.

Kembali berjalan normal


NADARAJAH semakin pulih dan berjalan tanpa rasa sakit selepas menjalani pembedahan dan mengamalkan pengambilan makanan tambahan.


Nadarajah juga memberitahu, ketika menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), barulah dia tahu bukan sahaja orang tua, malah kanak-kanak turut menderita penyakit artritis.

"Saya tidak mempunyai sejarah penyakit artritis dalam keluarga saya, tetapi pak cik saya ada yang menderita artritis. Saya mendapat penyakit ini mungkin disebabkan saya aktif dalam sukan semasa muda dan pernah terlibat dalam kemalangan.

"Kemalangan itu berlaku ketika saya bekerja di trek lumba kuda di Batu Tiga, Shah Alam. Saya memandu kereta dan berlanggar dengan sebuah van menyebabkan lutut saya cedera tetapi, saya tidak membuat pemeriksaan yang sepatutnya," katanya.

Nadarajah telah menjalani pembedahan lutut Oktober tahun lalu. Katanya, selepas menjalani pembedahan dia tidak lagi mengalami kesakitan malah, dapat membuat kerja rumah dan berjalan dengan normal. Dia juga mengawal dietnya.

"Sebelum ini saya banyak bergantung kepada ubat penahan sakit, tetapi ia hanya mengurangkan rasa sakit dan bukannya mengubati penyakit. Saya juga tidak dapat makan banyak makanan seperti makanan laut, ayam, bayam dan kekacang.

"Kini, saya mengambil makanan tambahan khas untuk pesakit artritis sejak enam bulan lalu dan kesakitan yang dialami beransur hilang," katanya.

Tambahnya, sebelum mengambil makanan tambahan itu, sendinya sering berasa kebas apabila tidur atau duduk terlalu lama sehingga tidak dapat menggerakkan sendinya.

"Kini saya rasa sihat kembali. Saya dapat menggerakkan dan meregangkan sendi saya bila-bila masa sahaja," katanya.

Seorang lagi pesakit yang telah menjalani pembedahan penggantian sendi lutut, Shantabai Moses, 65, memberitahu, dia mengalami sakit-sakit lutut selama lebih 10 tahun tetapi tidak menjalani pemeriksaan sewajarnya.

"Selepas bertemu doktor, barulah saya tahu penyakit artritis yang saya alami dan sekiranya dibiarkan akan menyebabkan kerosakan serius sehingga sukar diubati.

"Walaupun telah menjalani pembedahan dan menggunakan sendi palsu, cara berjalan tidak akan sama lagi jika dibandingkan dengan mereka yang mendapat rawatan awal," katanya yang menjalani pembedahan di Hospital PPUM.


Artritis reumatoid menyebabkan tangan membengkak dan menjadi kemerah-merahan.


Justeru katanya, dia menasihati mereka yang mempunyai rasa tidak selesa dan sakit pada sendi-sendi serta otot yang berpanjangan untuk segera menjalani pemeriksaan.

"Saya akan memberitahu sesiapa sahaja yang saya temui untuk menjaga kesihatan dan menyuruh mereka menjalani rawatan sekiranya terdapat simptom-simptom artritis.

"Lebih baik sekiranya dirawat lebih awal kerana jika tidak pesakit itu sendiri yang akan menderita," katanya.

Shantabai berkata, selepas tiga tahun menjalani rawatan, dia kini dapat berjalan semula tanpa rasa sakit.

"Saya bernasib baik kerana dapat menjalani hidup dengan selesa sekarang," katanya.

AFM bantu pesakit miskin

Dalam pada itu, Pengerusi AFM, Dr. Amir Azlan Zain memberitahu, statistik terkini menunjukkan penyakit artritis menyerang sebanyak 0.5 peratus populasi rakyat Malaysia.

"Artritis paling mudah menyerang golongan yang terlalu aktif bersukan terutama mereka yang pernah mengalami kecederaan sendi dan otot seperti pemain bola sepak.

"Ia merupakan penyakit yang menjadi salah satu penyerang utama ke atas rakyat Malaysia. Mereka yang berlebihan berat badan, genetik dan berusia juga paling mudah mendapat penyakit ini," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Sunway baru-baru ini.

Katanya, sejak AFM ditubuhkan, sebanyak 60 pesakit artritis telah berjaya menjalani pembedahan dengan kos sebanyak 90 peratus ditanggung oleh yayasan berkenaan.

"Bagi sesetengah kes, pesakit artritis memerlukan pembedahan penggantian sendi untuk memulihkan fungsi sendi supaya dapat berfungsi dengan normal.

"Pada umumnya, anggota palsu yang digunakan dalam pembedahan berharga RM5,000 dan oleh kerana ramai pesakit tidak mampu membiayai pembedahan ini, keadaan mereka menjadi semakin teruk," katanya.

Justeru kata Amir Azlan, AFM menyedari keperluan itu dan telah menubuhkan tabung untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan dalam pembedahan gantian sendi.

"Mereka yang ingin memohon boleh berhubung dengan jabatan kebajikan masyarakat atau melayari laman web AFM iaitu www.afm.org.my di bawah tabung artritis," katanya.

Tambahnya, mereka yang layak adalah warganegara dan penduduk tetap Malaysia yang mempunyai pendapatan bulanan RM3,500 ke bawah.

"Pembedahan penggantian sendi akan dijalankan oleh pakar ortopedik yang berpengalaman di hospital kerajaan.

"Tabung artritis juga akan membuat pembayaran kepada syarikat pembekal anggota palsu secara langsung dan wang tidak akan sampai ke tangan pesakit," katanya sambil memberitahu, AFM tidak memberi peruntukan untuk kos-kos pembedahan selainnya termasuk ubat-ubatan dan penginapan.

Memelihara tulang rawan


Perbezaan sendi lutut yang sihat (kiri) dan sendi yang sudah haus (kanan).


Sementara itu, pakar nutrisi Kordel, Neoh Guat Khim memberitahu, makanan tambahan yang mengandungi Glucosamine dan Chondroitin dapat membantu memperbaiki dan membina tulang rawan yang terjejas dengan bertindak seperti kusyen di hujung tulang.

"Makanan tambahan Glucosamine dan Chondroitin dapat meningkatkan fungsi sendi dan pergerakan, menyediakan sokongan nutrisi kepada sendi, ligamen dan pemeliharaan tulang rawan serta mengurangkan kesakitan sendi.

"Ini kerana, seiring pertambahan umur dan diet yang tidak sihat, proses pembaikan tulang rawan di dalam sendi menjadi perlahan sekali gus mendorong osteoartritis untuk menyerang apabila kita tua," katanya.

Guat Khim memberitahu, artritis bukanlah satu keadaan penyakit sahaja kerana ia merangkumi lebih daripada 100 penyakit yang menyerang sendi. Ia hadir sama ada dalam bentuk artritis degeneratif (menyusut) atau rasa terbakar.

"Artritis degeneratif merupakan artritis yang disebabkan oleh koyakan pada sendi seperti osteoartritis, yang merupakan artritis yang paling banyak menyerang di seluruh dunia," katanya.

Guat Khim memberitahu, Glucosamine dan Chondroitin juga boleh ditemui dalam makanan seharian kita, tetapi sukar menentukan jumlah kandungannya yang sesuai dan optimum untuk kesihatan sendi.

"Glucosamine boleh didapati di bahagian luar cengkerang seperti udang, udang kara, ketam dan udang krai tetapi ia hanya membekalkan glucosamine dalam jumlah yang kecil, manakala chondroitin pula boleh didapati terutama daripada sumber haiwan seperti tulang rawan lembu," katanya.

Bagaimanapun katanya, diet yang seimbang dapat membantu mereka yang aktif bersukan untuk memiliki sendi dan otot yang sihat.

Banyakkan makan makanan yang mengandungi antioksida dan buah-buahan seperti beri serta sayur-sayuran untuk mengurangkan kerosakan radikal bebas pada sendi.

"Makanan yang kaya sulfur juga dapat membantu membina sendi yang sihat seperti kubis, asparagus, bawang putih dan bawang. Sulfur bagus untuk tulang, pembaikan tulang rawan dan tisu.

"Makanan yang mesti dikurangkan dan dihadkan ialah minuman ringan, alkohol dan kopi," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ikan 'miskin' gantikan ikan 'mewah'

Posted:

Ikan 'miskin' gantikan ikan 'mewah'

Ikan 'miskin' gantikan ikan 'mewah'


IKAN miskin seperti tenggiri kuda dan leerfish mempunyai keenakan rasa serta khasiat yang tidak kurang berbanding ikan mewah.


MEREKA yang memilih menyertai pergerakan Slow Food Itali berpeluang melihat duri-duri beracun dan mata-mata yang terbeliak pada ikan kala jengking dan ikan cendro. Menariknya ikan-ikan itu mungkin kelihatan hodoh tetapi, ia lebih murah, tahan lama dan mempunyai rasa yang hebat.

"Ia masa untuk kembali menjamu selera dengan ikan-ikan 'miskin' (ikan yang murah) yang juga ikan-ikan yang dimasak oleh nenek moyang kita sebelum ini. Ia bukan sahaja lazat dan murah malah, ia boleh menyelamatkan ikan-ikan lain daripada kepupusan," kata seorang nelayan, Roberto Moggia pada acara Slow Fish Itali.

Moggia dan nelayan skala kecil yang lain berkumpul selama empat hari di Genoa, Itali untuk cuba menukarkan selera pencinta ikan mewah seperti salmon dengan ikan-ikan yang lebih murah.

Spesies mewah lain seperti tuna sirip biru, todak dan belut juga kini di ambang risiko kepupusan. Ia kini perlu diganti dengan amaun besar ikan jenis licin berkilat, berbentuk tajam, kembung mahu pun yang berwarna-warni yang kini dipamer atau dihidang mentah, masak atau dijeruk.

"Pameran Slow Fish membawa orang ramai mendekatkan diri dengan jenis ikan yang luar biasa. Mereka mula memasuki dapur rumah melalui pintu belakang," sindir Moggia yang berusia 49 tahun sambil menunjukkan kaunternya yang dipenuhi makanan laut bermisai dan menggerutu.

Pelawat ke festival itu berpeluang menyaksikan pelbagai juadah sama ada daripada ikan ternakan bebas dari Australia, ikan trout lautan sehinggalah ke udang kara dan sushi alternatif.

Sushi yang dipamerkan tidak lagi menggunakan ikan salmon sebaliknya ikan-ikan lain yang tidak kurang lazatnya.

"Kami menggantikan tuna dan salmon dengan ikan leerfish dan ikan tenggiri kuda. Orang ramai tidak dapat merasai perbezaannya," kata Nicola Fattibeni, pelajar gastronomi yang membantu menganjurkan sesi sushi, lengkap dengan ketua tukang masak dari Jepun.

Selamatkan ikan dan nelayan kecil

"Tetapi kami bukan hanya mencuba untuk menyelamatkan ikan dalam bahaya. Idea di sebalik Slow Fish juga untuk membantu menyelamatkan 'spesies' yang lain iaitu nelayan tempatan," dia menambah.

Nelayan-nelayan skala kecil sering kali dikredit kerana membantu melindungi persekitaran marin. Namun, jumlah mereka semakin berkurangan apabila berhadapan dengan individu yang mencari keuntungan menggunakan bot tunda untuk menangkap ikan pada jumlah besar di mana kebanyakan akan terperangkap dalam pukat mereka.

"Kita mungkin mengubah cara kita makan, tetapi kita juga perlu memastikan untuk mengubah cara menangkap ikan," kata Pesuruhjaya Perikanan Kesatuan Eropah, Maria Damanaki pada acara pembukaan, Slow Food dengan tema, Makanan yang baik, bersih dan adil.

Kebanyakan ikan ditangkap terlalu awal tanpa memberikan mereka peluang membiak.

Damanaki juga memberitahu wartawan bahawa, pihaknya bertindak keras terhadap tangkapan ikan secara haram, yang mengganggu ekosistem, merendahkan kualiti ikan dan menggalakkan persaingan tidak adil. Mereka menggunakan sistem mata seperti mana yang digunakan untuk lesen memandu.

Fattibeni dan pelajar-pelajar gastronomi di gerai sushi pula berkata, masalah lain berkenaan ikan ialah toksin.

"Salmon misalnya, ialah salah satu ikan berlemak yang menyerap toksin daripada sisa kapal dan bahan pencemar lain, terutama dalam Lautan Atlantik dan di Asia. Ikan-ikan tuna dipenuhi toksin ini dan ia mampu berkumpul pada skala yang lebih besar," ujar Fattibeni.

Pameran tersebut sedikit sebanyak membuka mata pelawat betapa selera mewah mereka adakalanya menyumbang kepada masalah ekosistem dunia dan kepupusan ikan mewah.


SEORANG chef menghidangkan sajian yang dimasak menggunakan makanan laut murah.


"Kini saya akan cuba mengenal pasti jenis ikan yang saya beli di pasar raya. Setiap orang harus mengambil inisiatif. Kita tidak boleh melihat bumi yang lebih baik tetapi, kita boleh menghentikannya daripada menjadi lebih buruk," kata seorang pengunjung, Livia Polgacini.

Berdekatan dengannya, sekumpulan pelawat berbaris untuk merasa masakan ketua tukang masak antarabangsa yang menyediakan masakan ikan miskin di atas pinggan.

"Cara masakan yang boleh mengumpan ibu mertua cukup sekadar daripada ikan sardin yang biasa.

"Di restoran, kami tidak lagi menghidang ikan tuna. Kami menggunakan produk tempatan dan resipi tradisional. Salah satu daripada masakan kegemaran saya ialah resipi Venice untuk ikan stargazer," kata chef Itali Gianluca Cazzin yang berusia 44 tahun.

Lengkap berpakaian chef, Cazzin menerangkan kepada pengunjung sambil menghidang masakan ketam kulit lembut goreng dan pasta kerang Rom. Dia mengakui, peranan sesebuah restoran dalam mengubah sikap pemakanan adalah sangat penting.

"Secara rasional, orang ramai tidak boleh terus makan makanan berasaskan ikan tuna atau todak. Jenis-jenis ikan yang 'miskin' juga mempunyai rasa yang hebat dan murah, tetapi bergantung kepada cara kita untuk memberi cadangan makanan," katanya.

"Kita perlu memberikan ruang untuk spesies pupus membiak supaya generasi akan datang berpeluang merasainya.

"Tiada siapa akan mati kelaparan jika tidak makan tuna untuk 10 tahun akan datang," Cazzin menambah.

"Saya berharap agar anak-anak kami masih akan dapat melihat pada ikan-ikan ini berenang dalam tempoh 20 tahun akan datang."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kulinari Barat air tangan sendiri

Posted:

Kulinari Barat air tangan sendiri

Kulinari Barat air tangan sendiri

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


SETIAP resipi dalam buku ini mengandungi penerangan tentang nutrisi.


SEKIRANYA anda menjengah mana-mana toko buku popular di negara ini, buku-buku masakan makanan Barat sememangnya bertimbun. Namun, ramai yang berdepan dengan masalah apabila ramuan-ramuan yang dicadangkan sukar didapati di negara kita.

Melihat kepada permasalahan itu, seorang tukang masak yang berasal dari Johor, Chef Haris Amir Jais, 27, mengambil inisiatif mentransformasikan masakan Barat yang popular kepada selera Malaysia dalam sebuah buku.

Bukan itu saja, Haris melakukan beberapa eksperimen dengan mengolah bahan-bahan tertentu dalam masakan yang sukar ditemui di pasar raya dengan bahan-bahan yang lebih mudah dicari.

Bahan-bahan yang ditukar itu dijual pada harga yang murah seperti menggantikan ikan kod dengan ikan merah.

"Anda juga boleh menukarkan wain putih yang tidak halal dengan epal cider selain saya menggantikan sayuran yellow squash dengan lobak merah muda untuk hidangan tertentu," ujarnya yang menghasilkan buku sulungnya yang bertajuk Masakan Barat Di Rumah.

Beliau mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan karya itu sambil dibantu oleh chef-chef yang berpengalaman.

Graduan dari Institut Teknologi Tun Abdul Razak dalam bidang Diploma Kulinari itu memberitahu, karya tersebut dihasilkan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada suri rumah mencuba lebih 30 jenis makanan ala Barat dengan cara yang lebih mudah.

Haris membahagikan masakan-masakannya kepada jenis jus dan stok, makanan laut, salad, ayam, daging, sup dan pasta.

Sebagai permulaan, buku itu secara langsung akan memperkenalkan kepada pembaca terlebih dulu bahan-bahan asas untuk memasak menu Barat.

Antaranya ialah daun rosemary (selalu digunakan untuk memasak stew), marjoram (digunakan dalam masakan berempah), daun bay (digunakan dalam sup, daging dan hidangan laut), kulit kayu manis dan banyak lagi.

Menyentuh tentang cara penyediaan, Haris tidak memberi panduan secara panjang lebar.

"Saya tidak berbuat demikian kerana cara pembuatannya memang senang dan saya percaya cubaan pertama pembaca terhadap satu-satu menu, insy-Allah akan menjadi," katanya yang mempunyai kepakaran khusus dalam masakan Barat dan mempunyai lapan tahun pengalaman dalam bidang itu.

Lebih menarik lagi hasil karya anak muda itu ialah gubahan menu pencuci mulutnya. Untuk kategori itu, terdapat enam resipi yang dikongsi bersama. Antaranya ialah mango mousse yang diubah suai dan hanya menggunakan serbuk agar-agar, gula, krim putar, telur, sebiji mangga, kacang dan sedikit pewarna.

Dalam pada itu, Haris turut menyelitkan info tambahan atau peringatan kepada pembaca dalam menyiapkan satu-satu masakan.

Sebagai contoh, dalam buku itu, beliau mengingatkan bahawa resipi mango mousse, anda seharunya menyejukkan moussenya selama enam jam sebelum dihidangkan.

Bukan untuk menu itu saja, setiap paparan resipi akan disertakan dengan info tambahan yang sangat berguna kepada pembaca yang ingin mencuba.

Menyentuh tentang nutrisi makanan dalam sajiannya, chef yang bertugas di Hotel Micasa itu memberitahu: "Setiap resipi dalam buku ini mengandungi nutrisi makanan yang seimbang, setiap satu hidangan juga mempunyai serat dan zat yang bersesuaian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved