Ahad, 11 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Proses pembersihan sekitar sejam

Posted:

Proses pembersihan sekitar sejam

Proses pembersihan sekitar sejam

ESAKAN tangis memecah keheningan pagi Subuh itu cuba tidak diendah walau hatinya sebak, mata berkaca mengumpul takungan air mata melihat kepiluan ahli keluarga yang baru kehilangan orang tersayang sebentar tadi.

Dikuatkan hatinya dengan kalimah suci lantas dicapai sarung tangan rona keputihan bagi meneruskan tanggungjawabnya dengan cermat dan profesional.

"Saya meminta izin kepada puan dan tuan untuk membersihkan jenazah," perlahan Ivanna Izzati Mohammad Derapi, 24, menutur sambil diangguk lemah tanda setuju daripada wakil keluarga.

Hampir tiga tahun bertugas sebagai seorang jururawat di Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Klang membuatkan gadis berasal dari Bentong, Pahang itu terus tabah berdepan situasi yang perlu dilaluinya saban hari.

Gadis yang disapa sebagai Ivanna itu berasa pilu ketika berdepan pesakit yang cukup rapat dan mesra dengannya memandangkan makan dan minum dijaga rapi sepanjang hayat si mati.

"Ajal maut itu ketentuan-Nya. Tugas pembersihan ini kami anggap sebagai satu penghormatan terakhir kepada mereka," luah Ivanna.

Prosedur tetap

Tanggungjawab membersihkan jenazah merupakan salah satu prosedur tetap yang perlu dilakukan oleh semua jururawat KPJ bertugas. Ia dilakukan sebelum jenazah diserahkan kepada ahli keluarga bagi proses pengebumian mengikut tuntutan agama.

Namun, wujud kekeliruan apabila ada keluarga yang menyangka prosedur pembersihan itu adalah seperti memandikan jenazah bagi umat Islam.


JURURAWAT melakukan pembersihan mayat dalam tempoh masa yang ditetapkan.


Situasi itu timbul mungkin kerana mereka melihat jenazah dibungkus dengan kain putih yang disediakan oleh pihak hospital.

Pernah jururawat bertugas ditegur ketika membersihkan jenazah disebabkan tidak mengikut syariat agama ketika memandikan jenazah secara tertib.

"Perlu dijelaskan, kami tidak melakukan proses-proses tersebut. Tugas kami hanya membersihkan jenazah sebelum diserahkan kepada ahli keluarga," jelas Ivanna ketika ditemui di hospital swasta itu yang terletak di Bandar Baru Klang, Klang baru-baru ini.

Mengikut budi bicara pihak hospital, mereka akan membantu waris mencari badan pengurusan jenazah atau masjid berdekatan jika tidak berkesempatan berbuat demikian.

Ia dilakukan khusus bagi kematian mengejut seperti kemalangan. Memahami keadaan emosi keluarga yang tidak stabil, pertolongan kecil sedemikian dapat meringankan beban mereka.

Menjelaskan kerja-kerja pembersihan jenazah, Ivanna memberitahu, ia akan dilakukan selepas menerima pengesahan kematian daripada doktor.

Doktor akan melakukan bedah siasat sebelum memberi kebenaran kepada jururawat untuk melakukan tugas-tugas pembersihan. Ia dilakukan bagi merekodkan masa kematian si mati mengikut prosedur biasa di kebanyakan hospital awam dan swasta.

"Selepas itu, dua orang jururawat yang bertugas pada masa kejadian akan melakukan pembersihan di katil atau bilik si mati," ujarnya.

Prosedur itu perlu dilakukan dalam jangka masa tidak melebihi satu jam yang dimulakan dengan membersihkan tubuh dengan air suam. Tempoh masa itu bertujuan untuk memastikan faktor kebersihan jenazah.

Jenazah akan dilap dengan cermat tanpa meninggalkan kesan kotoran ketara yang terdapat pada fizikal luaran jenazah. Ketika proses itu berjalan, hanya dua atau tiga orang ahli keluarga sahaja dibenarkan berada dalam bilik tersebut. Selebihnya berada di bilik menunggu.

SYEFRIE (kiri) dan Ivanna sentiasa bersedia dengan sebarang cabaran menggalas tanggungjawab seorang jururawat profesional.


Ahli keluarga juga dibenarkan untuk turut serta dalam proses pembersihan tersebut yang dikawal selia oleh jururawat.

Bagi menjaga aib si mati, katil akan ditutup rapat dengan kain rentang. Selain itu, pihak hospital juga tidak menggalakkan mengambil gambar atau merakam video sepanjang kerja pembersihan itu berlangsung.

"Tetapi kami menghormati permintaan keluarga jika mereka mahu lebih masa bersama si mati," kata Ivanna sambil diperhatikan rakan sejawatnya, Shefrie Hezrin Azizan, 30, ketika menunjukkan demonstrasi pembersihan jenazah.

Selepas siap dibersihkan, jenazah seterusnya akan dibalut dengan kain putih sebelum dialihkan ke troli. Proses pemindahan memerlukan kaedah yang cekap dan pantas di samping tambahan tenaga seorang lagi jururawat.

Jika jumlah kakitangan tidak mencukupi, bantuan dari luar seperti pengawal keselamatan akan diminta untuk turut serta.

Penyimpanan terhad

Proses tersebut adakalanya merumitkan memandangkan jumlah jururawat lelaki yang tidak ramai. Mahu atau tidak, ia perlu dilaksanakan oleh jururawat wanita yang bertugas.

Disebabkan itu juga, mereka tidak boleh memilih untuk membersihkan mayat wanita atau lelaki. Ia perlu dilaksanakan dengan profesional tanpa sebarang alasan.

"Ada juga saya meminta jururawat wanita untuk membersihkan mayat sejenis mereka. Bukan kerana segan tetapi lebih manis dilakukan oleh wanita sendiri," seloroh Shefrie.

Terdapat 98 orang jururawat di KPJ Klang dengan pecahan 93 orang perempuan dan lima orang lelaki. Seramai tiga hingga empat jururawat bertugas bagi satu syif bekerja.

Menurut Pengurus Jururawat, Ridzwani Shariff, ahli keluarga yang masih mencari badan pengurusan jenazah, jenazah yang telah dibersihkan akan diletak di bilik mayat buat sementara waktu.

Memandangkan ruang penyimpanan yang terhad, kebenaran menyimpan jenazah di peti sejuk tidak melebihi tiga jam. Namun, ia bergantung kepada situasi pihak keluarga si mati.

"KPJ Klang hanya mempunyai dua tempat penyimpanan sahaja," kata Ridzwani, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu lagi.


DOKTOR akan melakukan bedah siasat jika diperlukan sebelum memberi pengesahan kematian untuk tindakan jururawat membersihkan mayat.


Ruang pada bahagian atas dikhaskan untuk jenazah Islam manakala penganut agama lain diletakkan di bawahnya. Suhu bilik mayat mencatat suhu antara dua hingga lapan darjah Celcius.

Berkongsi pengalaman berdepan emosi keluarga, Shefrie berkata, mereka dilatih untuk memberi layanan yang baik dari segi psikologi bagi menenangkan perasaan hiba waris jenazah.

Bagi ahli keluarga yang tidak dapat menahan emosi, mereka akan dibawa ke bilik menunggu dan akan ditenangkan oleh jururawat. Ia juga bagi mengelakkan gangguan kepada pesakit lain yang berada di sekitar mereka.

Konsultasi dan kaunseling akan diberikan jika keadaan memerlukan terutama jika melibatkan kematian sakit kronik atau kemalangan.

Menurut jejaka yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu, jururawat perlu kental emosi dan mental ketika berdepan situasi berkenaan.

"Tunjukkan rasa simpati dan bayangkan jika kita yang berada di tempat mereka," jelasnya.

Hak pampasan mangsa perang

Posted:

Hak pampasan mangsa perang

Hak pampasan mangsa perang

TIGA pelajar ini bersiap sedia untuk menaikkan bendera Indonesia dalam satu majlis memperingati mangsa perang di Sulawesi, baru-baru ini.


KEJADIAN bapanya ditangkap tentera Belanda, tujuh dekad lalu masih jelas diingatan Abdul Khalik. Masih terngiang-ngiang di telinga lelaki berusia 75 tahun itu saat bapanya meminta dia segera pulang ke rumah.

Bapanya bersama lapan yang lain dimuatkan seperti binatang ke dalam sebuah trak sebelum dibawa keluar dari kampung. Ada yang melambaikan tangan seolah-olah sebagai tanda selamat tinggal.

Keesokan harinya, bapanya ditembak mati oleh tentera Belanda. Dia antara ribuan pejuang yang terkorban semasa menuntut kemerdekaan dalam tragedi berdarah yang berlaku di Sulawesi antara tahun 1946 hingga 1947.

Operasi pembersihan tentera Belanda ini sebagai tindakan balas terhadap pemberontakan rakyat Indonesia di wilayah tersebut.

Ia merupakan salah satu episod hitam ketika perang kemerdekaan yang menyaksikan ribuan pejuang tempatan mati dibunuh.

Setelah sekian lama berdiam diri, akhirnya kerajaan Belanda pada tahun lalu secara rasmi memohon maaf di atas tragedi tersebut. Pemimpin negara itu juga berjanji akan membayar pampasan kepada waris yang masih hidup.

Berjaya

Ekoran itu, beberapa balu mangsa kejadian di Sulawesi tersebut berjaya menerima pampasan. Begitu juga balu yang kehilangan suami ketika pembunuhan beramai-ramai pada tahun 1947 di Rawagede, sebuah pulau utama di Jawa.

Kejayaan tersebut telah membuka satu lembaran baharu dalam episod hitam itu. Bagaimanapun, masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Belanda manakala waris pula diberi tempoh dua tahun untuk menuntut pampasan.

Abdul Khalik dan beberapa waris lain kini mendesak agar anak-anak mangsa turut diberi pampasan. Tuntutan mereka itu akan didengar di Mahkamah The Hague, Belanda pada Ogos depan.


SEGELINTIR waris perang sahaja yang baru menerima pampasan daripada pihak Belanda.


"Ini tidak adil. Sepatutnya semua mangsa tragedi sama ada yang ditangkap, dipenjara dan ditembak wajar mendapat pampasan serupa," kata Abdul Khalik. Katanya, wang pampasan tersebut akan dikongsikan bersama 32 orang cucu dan seorang cicitnya.

Hak sama turut dituntut seorang lagi mangsa, Shariah Paturusi, 82. Dia kehilangan bapa dan abangnya dalam tragedi berkenaan dan mahukan keadilan dari Belanda.

Sementara itu, bekas kapten tentera Belanda, Raymond Westerling yang mengetuai operasi pembersihan di Sulawesi tersebut berkata, waktu itu tentera Belanda akan mengelilingi kampung untuk mencari suspek yang disyaki musuh sebelum dibunuh tanpa perbicaraan.

Operasi tersebut terbukti sangat kontroversi apabila Westerling telah dilucutkan jawatannya pada tahun 1948, walaupun beliau tidak pernah menghadiri perbicaraan terhadap kesalahan jenayah perang.

Terdapat percanggahan terhadap jumlah mangsa yang terkorban. Ada yang mendakwa hampir 40,000 orang walaupun kajian-kajian sejarah mendapati antara 3,000 hingga 4,000 yang menjadi mangsa.

Masa suntuk

Liesbeth Zegveld, peguam hak asasi manusia Belanda yang sebelum ini berjaya memenangi pampasan bagi balu Indonesia akan mewakili anak-anak mangsa pula.

Dia berharap proses tuntutan tersebut akan berjaya, walaupun masa semakin suntuk kerana kebanyakan mereka telah berumur.

"Kerajaan akan cuba membayar walaupun sedikit, namun tuntutan-tuntutan ini memerlukan masa," katanya.

Bagaimanapun, kerajaan Belanda dalam satu kenyataan meminta agar Jakarta dan Mahkamah The Hague menggariskan kejadian tersebut sebagai sebahagian daripada sejarah yang dikongsi bersama.

Hubungan diplomatik kedua-dua negara pula umumnya baik dan tempoh kolonial Belanda merupakan era silam yang perlu diketahui golongan muda di Indonesia. Namun, generasi tuanya masih lagi menyimpan kemarahan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved