Khamis, 3 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pencabulan terhadap institusi perundangan

Posted:

Pencabulan terhadap institusi perundangan

Pencabulan terhadap institusi perundangan

PROSES perbicaraan yang dilakukan di mahkamah Mesir melalui pertuduhan secara berkelompok dan mengetepikan hak membela diri sangat tidak wajar.


INSTITUSI perundangan di Mesir boleh diibarat seperti mempermainkan sistem kehakiman apabila dengan mudahnya menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 penyokong bekas Presiden Mesir, Dr. Mohamed Morsi pada 25 Mac lalu.

Ironinya, perbicaraan tersebut berlangsung selama dua hari dan proses penghakiman hanya mengambil masa kurang lima minit seolah-olah membuktikan betapa murahnya nilai nyawa mereka yang tertuduh.

Situasi itu juga memperlihatkan berlakunya pencabulan terhadap undang-undang kerana jelas pihak mahkamah mengetepikan satu perbicaraan yang adil untuk tertuduh membela diri.

Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin (IM), Mohamed Badie yang turut dibicarakan bersama pengikutnya, menegaskan, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang bakal bertanding jawatan Presiden sebagai seorang yang kejam dan akan gagal untuk terus berkuasa.

Bercakap dari kandang tertuduh di sebuah mahkamah di Minya, selatan Kaherah Selasa lalu, Badie menolak tuduhan oleh kerajaan tentera Mesir bahawa pertubuhannya terlibat dengan keganasan.


PARA penyokong Morsi tidak pernah berhenti menyatakan bantahan dan protes mereka terhadap rampasan kuasa oleh pihak tentera.


Terbunuh

"Rakyat tidak akan menerima seorang tentera yang kejam," ujar Badie merujuk kepada Abdel Fattah yang telah meletak jawatan sebagai Ketua Tentera Mesir untuk bertanding sebagai calon pada pilihan raya Presiden yang akan dijalankan pada 26 dan 27 Mei ini.

Abdel Fattah bertindak menggulingkan Morsi yang dipilih secara demokrasi melalui pilihan raya 2012 pada Julai tahun lalu selepas berlakunya protes besar-besaran ke atas pemerintahan beliau.

Ratusan penyokongnya terbunuh dan ribuan termasuk Morsi ditahan oleh pihak tentera yang mengambil alih pemerintahan negara.

"Pertubuhan kami yang telah mencecah usia melebihi 85 tahun ini tidak pernah terlibat dalam keganasan dan tidak pernah melawan terhadap sebarang keganasan walaupun ia dilakukan oleh kerajaan.

"Sebaliknya mereka (pihak berkuasa ketika ini) merupakan pengganas. Abdel Fattah inilah merupakan orang yang 'melahirkan' keganasan. Mereka yang telah membunuh rakyat Mesir," ungkap Badie yang memakai kemeja-T putih longgar.


SEBUAH kereta terbakar di hadapan Universiti Kaherah selepas berlakunya rusuhan oleh sekumpulan pelajar.


Selain daripada 529 yang dijatuhkan hukuman mati, lebih 1,000 penyokong Morsi dan anggota IM turut didakwa di mahkamah atas tuduhan yang sama.

Pada 31 Mac pula, seramai 33 penyokong telah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas dakwaan mencetuskan rusuhan, merosakkan harta benda awam dan menyebabkan kematian seorang anggota polis pada protes yang berlangsung pada Ogos 2013.

Salah seorang tertuduh, Gehad el-Hadad yang hadir pada perbicaraan 1 April lalu, menggesa kuasa-kuasa dunia untuk menegakkan demokrasi di Mesir.

"Kepada pemimpin-pemimpin dunia yang bercakap atas nama demokrasi, inilah masanya untuk bangkit bagi menamatkan rampasan kuasa tentera.

"Kami akan terus berjuang untuk kebebasan negara ini. Ia akan bertukar menjadi keluarga Abdel Fattah. Namun, kami tidak akan menyerah kalah," tegas Hadad yang bercakap dalam bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, pihak mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh membayar denda 50,000 pound Mesir (RM23,464) atas kesalahan tersebut.

Kumpulan hak asasi, Amnesty International mengatakan, tindakan keras yang dilakukan tentera Sisi terhadap penyokong Morsi telah menyebabkan lebih 1,400 orang terbunuh.

Ribuan akan dipenjara termasuk kepimpinan tertinggi IM. Malah, Morsi sendiri berdepan tiga perbicaraan berasingan.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Amalan Perundangan, Kuliyyah Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zulfakar Ramlee, 47, berkata, tindakan yang diambil oleh mahkamah di Mesir amat memeranjatkan.


MESIR merupakan sebuah negara yang terletak di Afrika Utara.


Tamadun silam

"Pertuduhan berkelompok dan perbicaraan sekelompok dengan mengetepikan hak membela diri adalah satu perbicaraan yang terang-terang mencabuli prinsip-prinsip hak asasi sejagat," ujar Zulfakar ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah beliau, di dalam al-Quran sendiri iaitu surah al-A'raf ayat 109 hingga 118 dan surah Taha ayat 57-72, Allah telah merakamkan satu tamadun silam yang mengamalkan konsep perbicaraan jenayah yang serius. Jika sekarang, ia seperti jenayah terhadap negara.

Apa yang menarik ialah perbicaraan ini dibuat secara terbuka yakni orang ramai dibenarkan hadir. Kedua, tertuduh dibenarkan membawa peguam bela dan ketiga, kedua-dua pihak dibenarkan membawa bukti atau hujah masing-masing. Malangnya, Firaun tidak boleh menerima kekalahan menentang Nabi Musa AS.

"Kini, ketiga-tiga prinsip yang ditunjukkan Firaun itu dikenali sebagai Principles of Natural Justice dan semua negara yang bertamadun mengamalkan prinsip-prinsip ini.

"Justeru, dalam hal ini berlaku ketidakadilan terhadap tertuduh kerana tidak mengikut prosedur mahkamah seperti yang termaktub dalam undang-undang.

"Dalam Islam, jika keadilan tidak diberi, ia merupakan satu kezaliman yang dilakukan pihak berkuasa," jelas beliau sambil memaklumkan bahawa proses perbicaraan yang adil menuntut agar tertuduh diberi hak yang sewajarnya seperti mendapatkan peguam untuk membela.

Mesir kembali diperintah secara diktator

Posted:

Mesir kembali diperintah secara diktator

Mesir kembali diperintah secara diktator


ABDEL FATTAH (kiri) dijangka memenangi pilihan raya presiden Mesir kerana mendapat sokongan AS dan Israel.


TINDAKAN menggulingkan bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi yang dipilih secara demokrasi yang sah pada pilihan raya Jun 2012 merupakan agenda terancang untuk mengembalikan Mesir kepada pemerintahan diktator.

Diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang boleh dianggap sebagai boneka Amerika Syarikat, rakyat Mesir sekali lagi akan berdepan dengan sistem pemerintahan tentera seperti era Gamal Abdel Nasser (1958-1970), Anwar Sadat (1971-1981) dan Hosni Mubarak (1981-2011).

Menurut Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, kemenangan pasti berpihak pada Abdel Fattah sewaktu pilihan raya presiden yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei nanti.

"Kebanyakan pemimpin Ikhwanul Muslimin (IM) telah ditangkap dan akan dihukum bunuh. Perbicaraan terhadap para penyokong dan pemimpin utama pertubuhan itu yang diadakan baru-baru ini membuktikan ia satu bentuk hukuman untuk menghapuskan gerakan tersebut.

"Pengaruh IM kepada rakyat Mesir sangat besar lantaran mereka merupakan gerakan massa yang sentiasa membantu masyarakat.

"Jadi untuk melemahkan IM dengan matlamat untuk terus berkuasa, penyokong rejim Hosni Mubarak yang duduk di belakang Abdel Fattah berusaha melakukan apa sahaja bagi memastikan hasrat mereka tercapai," terang Mohd. Azizuddin kepada Kosmo!.

MOHD. AZIZUDDIN


Lampu hijau

Tambah beliau, peluang untuk Morsi kembali bangkit mendapatkan haknya yang dirampas agak tipis melainkan wujudnya satu gerakan rakyat secara besar-besaran yang mahu menggulingkan pemerintahan tentera.

"Apatah lagi, Abdel Fattah mendapat 'lampu hijau' dari Amerika Syarikat dan Israel sewaktu bertindak menggulingkan Morsi meskipun pemerintahan beliau baru memasuki usia setahun," kata Mohd. Azizuddin yang mengakui pertubuhan IM tidak sempat untuk mencorakkan pemerintahan mereka di Mesir disebabkan penggulingan tersebut.

Dalam aspek hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mesir jika Abdel Fattah memenangi pilihan raya presiden kelak, Mohd. Azizuddin berpendapat, negara tidak perlu campur tangan.

"Jika kita mahu mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan Mesir, Malaysia perlu bersikap terbuka. Namun, berbanding Malaysia, hubungan Mesir dengan Turki di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Recep Tayyib Erdogan pasti akan terjejas.

"Apa yang pasti, kesan akan dirasai oleh dua negara tersebut dan bukannya serantau kerana hakikatnya Turki juga mempunyai hubungan unik dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah meskipun Turki lantang mengkritik mereka," jelas Mohd. Azizuddin.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved