Isnin, 10 Februari 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Teroka keunikan Malaysia menaiki kereta api

Posted:

Teroka keunikan Malaysia menaiki kereta api

Teroka keunikan Malaysia menaiki kereta api

PERSATUAN Pelancongan Kereta Api, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menawarkan pakej percutian menarik sepanjang tahun ini.


BERCUTI menaiki kereta api pasti memberikan satu pengalaman baharu kepada mereka yang tidak pernah menaiki pengangkutan awam tersebut.

Justeru itu, jangan lepaskan peluang untuk menikmati pakej percutian ke pelbagai destinasi menarik di Semenanjung Malaysia yang ditawarkan oleh Persatuan Pelancongan Kereta Api (RTAM), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Tawaran tersebut bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 selain mencapai sasaran kementerian menarik 28 juta pelancong dalam dan luar negara.

Antara pakej yang disediakan ialah pakej tiga hari dua malam dengan tinggal di rumah inap dan di pusat peranginan yang meliputi bahagian utara dan timur Semenanjung Malaysia.

Terdapat empat pakej pelancongan harian pada harga bermula dari RM200 yang merangkumi jelajah ke tempat-tempat menarik seperti kolam air panas dan kawasan warisan.

RTAM turut menawarkan pakej percutian bersama tempat tinggal di lebih 20 rumah inap seperti di Kedah, Melaka dan Kelantan di bawah pakej percutian bermula dari RM500.

Mereka yang mengambil pakej percutian ini dapat menikmati perjalanan menaiki kereta api dalam suasana aman sambil melihat pemandangan indah dan kehidupan desa.

Pelancong pasti kagum menikmati keindahan khazanah alam Malaysia yang kaya dengan flora dan fauna. Secara keseluruhannya, Malaysia mempunyai 8,000 spesies tanaman berbunga terdiri daripada 2,000 spesies pohon, 800 jenis orkid dan 200 jenis palma.

Hutan hujan di negara ini dihuni lebih 200 spesies mamalia, 600 jenis unggas, 300 jenis spesies ikan air tawar, 140 spesies ular, 80 jenis cicak dan ribuan serangga.

Mendamaikan

Di samping itu, Malaysia mempunyai banyak landskap dan pantai seperti Air Terjun Pelangi di Sungai Lembing, Pahang, Hutan Royal Belum dan Pulau Pangkor di Perak, Empangan Beris serta Pulau Langkawi, Kedah.

Dalam menikmati suasana percutian yang mendamaikan, pelancong berkesempatan belajar tentang adat, budaya dan agama penduduk tempatan.


MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz melancarkan pakej percutian menaiki kereta api di KL Sentral baru-baru ini.


Bukan itu sahaja, para pelancong boleh mencuba pelbagai jenis permainan tradisi seperti congkak, gasing dan batu seremban. Selepas penat bermain, apa kata anda mencuba pelbagai juadah tradisional atau moden, antaranya, lontong, laksa, soto, roti canai, nasi lemak dan nasi kerabu di samping pencuci mulut seperti ais kacang atau cendol, koci, lopes dan seri muka.

Bagi Abdul Razak Mohamed Adan, 24, dari Somalia yang belajar di Universiti Antarabangsa Almadinah, Kuala Lumpur, dia berasa teruja dan seronok sepanjang mengikuti pakej percutian rumah inap RTAM.

"Percutian ini satu pengalaman yang berbeza sekali daripada penginapan di hotel. Di hotel anda tidak akan dapat menikmati keselesaan sebenar terutamanya apabila berada jauh dari rumah sendiri.

"Melalui pakej ini, saya dapat keluarga angkat dan tinggal dengan mereka untuk sepanjang tempoh percutian ini," katanya.

Majlis perkahwinan

Menurut Abdul Razak, antara pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan ialah menghadiri majlis perkahwinan tradisional orang Melayu.

Dia juga berkesempatan melihat kerja-kerja memulihara seni bina bersejarah seperti Jambatan Victoria di Kuala Kangsar yang dibina sekitar era pemerintahan Ratu Victoria pada 1897.

Yunia Vivi Kartika Surianto, 20, dari Jakarta, Indonesia yang mengikuti program rumah inap di Ipoh, Perak turut menimba pelbagai pengalaman baharu.

"Banyak tempat saya lawati dan banyak gambar yang dapat saya rakam. Antaranya, pemandangan indah dan bersejarah seperti bandar diraja Kuala Kangsar, Masjid Ubudiah dan Istana Bukit Chandan.

"Saya dapati penduduk tempatan begitu peramah dan mudah mesra. Banyak yang kami pelajari dan makanan juga enak. Saya juga suka dengan suasana kehidupan desa," katanya.

Maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang RTAM di www.malaysiarailwaytourism.weebly.com atau e-mel ke secretariat.rtam@gmail.com atau hubungi talian 017-364 1157 atau 019-326 8480. - Bernama

Tuntut ilmu sebelum melabur

Posted:

Tuntut ilmu sebelum melabur

Tuntut ilmu sebelum melabur

Oleh NASRI JAMALUDIN


PARA peserta bergambar selepas menamatkan kelas Gegar Saham Syariah di PWTC, Kuala Lumpur baru-baru ini.


MENYEDARI kepentingan menuntut ilmu tentang pelaburan di Bursa Malaysia, seramai 70 peserta telah mengikuti kelas Gegar Saham Syariah 2014 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kelas yang julung-julung kali diadakan khusus dalam pelaburan saham syariah itu dianjurkan oleh Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM). Kelas tersebut dikendalikan oleh Presiden PPSMM, Norizam Tukiman.

Seorang peserta, Anisah Hashim, 44, dari Bangi, Selangor berkata, sebelum ini, apabila berbicara tentang saham pasti dirinya tertekan kerana sering dimomokkan dengan risiko pelaburan yang tinggi atau akan berdepan kerugian.

"Bagaimanapun, saya berfikiran positif dan melalui maklumat yang diperoleh di laman sosial Facebook, saya akhirnya mendaftar untuk mengikuti kelas saham syariah ini.

"Melalui kelas ini, saya didedahkan dengan pelbagai ilmu berkaitan saham seperti kepentingan mengawal emosi, membuat kajian tentang syarikat dan analisis teknikal. Baru saya tahu, sekiranya mempunyai ilmu pasti pelaburan tersebut mendatangkan keuntungan," katanya yang merupakan ejen saham amanah.

Keuntungan

Seorang jurutera, Roslan Abdul Rahman, 52, pula menyertai kelas tersebut setelah mendapat galakan daripada rakan-rakan yang pernah menyertai kelas-kelas saham.

"Sebelum ini, saya kurang mendapat maklumat tentang pelaburan saham dan hanya bergantung sepenuhnya kepada remisier. Namun, kini saya yakin mampu membuat analisis sendiri sebelum memutuskan untuk melabur.

"Apabila melihat kajian dan latihan yang dilakukan di dalam kelas ini, saya dapati banyak saham yang berpotensi memberikan keuntungan kepada para pelabur," katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.


NORIZAM menunjukkan kaedah melakukan analisis saham kepada para peserta.


Ahmad Adlan Ahmad Aderi, 28, yang mula berminat tentang pelaburan saham sejak setahun lalu, berkata, ketika itu dia tidak tahu di mana mahu belajar ilmu berkaitan saham.

"Baru-baru ini, saya terlihat iklan di Facebook berkaitan kelas saham ini lalu memutuskan untuk menyertainya. Ternyata keputusan yang diambil adalah tepat kerana saya mendapat banyak ilmu baharu dalam kelas ini selain bertambah yakin untuk melabur di Bursa Malaysia," katanya yang baru menamatkan pengajian dalam bidang Kewangan di Universiti Teknologi Mara, Segamat, Johor.

Jelajah

Dalam pada itu, Norizam memberitahu, pihaknya telah melancarkan Jelajah Gegar Saham Syariah 2014 di Pejabat PPSMM di Johor Bahru, baru-baru ini dan kelas tersebut akan berlangsung di seluruh negara.

Menurutnya, selama ini umat Islam di negara ini bimbang untuk membeli saham kerana berpendapat ia adalah satu perjudian atau syarikat tidak menjalankan perniagaan berlandaskan syariah Islam.

Untuk rekod dan semakan, jelasnya, pada 29 November 2013, Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti telah mengeluarkan satu senarai lengkap iaitu sebanyak 71 peratus daripada 653 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia adalah lulus syariah.

"Melalui kelas ini, para peserta diberi pendedahan tentang pelaburan berlandaskan syarak, mengawal emosi ketika melabur, mempelajari teknik-teknik teknikal dan fundamental pelaburan.

"Saya juga dapat mengikis kepercayaan karut dalam kalangan masyarakat bahawa melabur saham berisiko tinggi sekali gus berdepan kerugian. Tanggapan tersebut berlaku berikutan mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Apa yang penting dalam pelaburan saham ialah memilih saham perniagaan dalam trend meningkat," katanya yang menjadi remisier berlesen sejak tahun 2003.

Maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.zamsahamsyariah.com atau menghubungi talian 013-779 2006 atau 07-556 6690.

Tarikan stik ratatouille

Posted:

Tarikan stik ratatouille

Tarikan stik ratatouille


STIK ratatouille bersama nasi safron ini antara menu yang wajib untuk dicuba.


BATU kecubung (amethyst) ialah sejenis batu permata yang dipercayai mendukung falsafah kekuasaan tinggi meliputi nilai penyembuhan, keamanan, kasih sayang, perlindungan dan kebahagiaan. Warna ungu mewahnya pula sering dikaitkan dengan elemen diraja.

Bersandarkan ciri-ciri tersebut, Arash Farahmandi mewujudkan sebuah restoran dengan nama Amethyst. Konsep separa kasual dengan cantuman sentuhan mewah dan minimalis restoran itu mendukung sempurna prinsip batu perhiasan tersebut.

Dekorasi dalaman dimonopoli tona ungu mewah lengkap bersama sudut privasi dan pencahayaan sederhana. Mampu memuatkan sehingga 60 orang dalam satu-satu masa, pelanggan Amethyst boleh memilih sama ada mahu bersantap di ruang terbuka (alfresco) atau kawasan VIP yang eksklusif.

Konsep dapur terbukanya pula membuatkan pelanggan berasa seperti berada di rumah. Seleksi juadah menggunakan bahan-bahan berkualiti dengan rasa unik menjadi kekuatan Amethyst.

Gabungan hidangan Barat-Itali merupakan signatur Amethyst. Stik ratatouille bersama nasi safron antara menu wajib untuk dicuba. Ratatouille ialah sayur yang terdiri daripada campuran bawang, timun courgette, tomato, terung ungu dan lada yang digoreng dan distu menggunakan minyak.

Daging lembu yang diperam dan dimasak sehingga teksturnya lembut pula menjadi pelengkap sempurna kepada nasi safron, cutni buatan sendiri dan sayur ratatouille. Justeru, anda dapat menikmati kombinasi rasa masam, manis dan pedas dalam satu pinggan.

Menu popular lain termasuklah kepak ayam barbeku yang diperam menggunakan sos tersendiri, pilihan pasta vegetarian dan sandwic filet campuran istimewa Greece.

Kebanyakan hidangan disediakan bersama sos-sos buatan sendiri. Amethyst turut menggunakan teknik masakan kreatif bagi menghasilkan rasa dan tekstur yang unik. Ia dapat dibuktikan menerusi hidangan salmon berkulit rangup.

Salmonnya digoreng di atas kuali bersama bayam dan sos lemon kaper. Kombinasi salmon lembut dan berjus bersama bayam serta sos istimewa menjadikan ia hidangan yang menyelerakan. Tidak lupa, lamb shank yang dimasak lembut sempurna dengan sos berperisa unik.

Farahmandi yang juga pengasas Amethyst pada majlis pelancaran restorannya memberitahu: "Di restoran kami, pandangan pelanggan sangat diutamakan dan kami amat menghargai sebarang maklum balas."

Seleksi hidangan di Amethyst ditawarkan pada harga bermula RM16 hingga RM52.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved