Isnin, 10 Februari 2014

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Saiz besar tetap bergaya

Posted:

Saiz besar tetap bergaya

Saiz besar tetap bergaya

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

KEBELAKANGAN ini, golongan wanita berbadan besar turut mengisi ruang di majalah-majalah fesyen dengan menampilkan gaya segar dan menarik.

Ini menunjukkan golongan tersebut tidak lagi ketinggalan dalam arus fesyen semasa selain tidak gentar menggayakan pelbagai rekaan pakaian bersama aksesori.

Begitu juga, Noorhidayah Mat Lazim, 27, dari Balakong, Selangor yang tidak ketinggalan mengayakan pelbagai fesyen terkini terutamanya pakaian berkonsepkan Muslimah.

"Sebelum ini, golongan yang berbadan besar seperti saya tidak banyak pilihan untuk bergaya. Ini kerana, di pasaran tidak banyak fesyen yang direka untuk golongan seperti saya.

"Namun, hari ini dengan ledakan internet dan perniagaan dalam talian, ramai pereka dan peniaga menawarkan fesyen yang menyasarkan golongan berbadan besar. Rekaan terkini dan menarik serta harga yang berpatutan membolehkan golongan berbadan besar untuk bergaya sekali gus meningkatkan penampilan mereka di khalayak ramai," kata wanita yang bekerja sebagai kerani itu.

Mengeluh

Salah seorang peniaga pakaian yang menawarkan pakaian bersaiz besar secara dalam talian, Nikko Tan Bee Ai, 31, berkata, dia mula menawarkan pakaian berkenaan apabila terdapat pekerjanya yang berbadan besar mengeluh sukar mendapatkan pakaian di pasaran.

"Saya memulakan perniagaan dalam talian ini sejak tahun 2008. Ketika itu, saya menjual pelbagai jenis barangan seperti hadiah, buku, kasut, pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak.

"Pada tahun 2011, saya mula menawarkan pakaian wanita bersaiz besar dan tanpa disangka sambutan pelanggan amat menggalakkan. Ekoran itu, saya memutuskan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pakaian bersaiz besar atau lebih dikenali sebagai plus size. Saya tampil dengan jenama sendiri iaitu Mis Claire," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

NOORHIDAYAH anggun menggayakan pakaian Muslimah.


Menurutnya, selepas dua tahun lebih, jenama Mis Claire semakin berkembang dengan mendapat sambutan baik daripada ribuan pelanggan. Justeru itu, Nikko turut menampilkan pelbagai rekaan pakaian terbaharu dan trend terkini bagi menarik minat pembeli.

"Saya gembira apabila para pelanggan dapat bergaya dan tampil hebat di majlis-majlis yang dihadiri, ke pejabat atau sekadar bersantai pada hujung minggu," kata Nikko yang merupakan graduan bidang Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Malaysia.

Minat

Walaupun bukan pelajar dalam bidang fesyen, ia tidak menghalang Nikko serius dalam bidang tersebut seperti kata pepatah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

"Minat dalam perniagaan memberi dorongan yang kuat untuk saya menceburi rekaan pakaian. Selepas lahirnya jenama pakaian sendiri, Mis Claire, saya dengan bantuan beberapa pekerja semakin giat menampilkan pelbagai rekaan terkini. Saya membuat rujukan di internet, majalah dan bahan bacaan lain bagi memastikan pakaian yang direka menepati cita rasa pelanggan," katanya.

Bercerita tentang cabaran yang dihadapi dalam bidang tersebut, Nikko berkata, pemilihan material yang tepat amat penting kerana para pelanggan amat mementingkan kualiti sesuatu pakaian.

"Kami perlu memastikan material yang digunakan sesuai untuk sesuatu rekaan. Kain sifon biasanya mampu memberikan keselesaan kepada pemakai yang berbadan besar. Mereka yang bersaiz badan besar boleh berpakaian ketat tetapi dengan syarat tidak menampakkan bentuk badan, lebih-lebih lagi pakaian Muslimah," terangnya.

Di samping material kain, potongan baju merupakan salah satu cabaran paling besar kerana pakaian bersaiz besar tidak sama seperti pakaian bersaiz biasa.

"Kita tidak boleh sekadar membesarkan saiz pakaian untuk menghasilkan pakaian bersaiz besar. Ini kerana, mereka yang berbadan besar mempunyai bentuk badan berbeza, misalnya saiz badan seperti buah pear yang besar di bahagian pinggang," ujar Nikko.

NURNADIA KAMIRA tidak kekok menggayakan pakaian dengan rekaan terkini jenama Mis Claire.


Bentuk badan

Rekaan atau potongan juga berbeza antara mereka yang mempunyai bentuk badan epal dan pear iaitu di bahagian dada, kaki atau tangan.

Nikko memberitahu, bukan mudah untuk tampil dengan satu saiz standard bagi semua orang bersaiz besar. Ini juga tidak termasuk ketinggian baju yang juga berbeza mengikut setiap orang.

"Kami mengikut cita rasa pelanggan dari segi potongan baju seperti skirt yang lebih kembang kerana potongan lurus tidak sesuai untuk mereka," kata Nikko.

Kini, semua koleksi baju di Mis Claire mempunyai ukuran dan dipaparkan di blog mereka. Ia bagi memudahkan pelanggan menjustifikasi pilihan baju yang pelbagai saiz. Nikko juga membenarkan pelanggan menukar baju selepas membuat pembelian kerana baju bersaiz besar boleh berbeza atas sebab potongan yang tidak sesuai walaupun ia untuk saiz mereka.

Nikko akan memastikan blog Mis Claira dikemas kini dengan satu atau dua helai koleksi baharu setiap minggu.

Mis Claire menyediakan baju bermula dari saiz 42 atau XXL hingga 58 iaitu 8XL. Turut dijual di laman blog tersebut ialah baju blaus, jean, baju denim, skirt, dres, jubah, singlet, jaket dan seluar sendat. Harganya bermula dari RM19.80 hingga RM79 sehelai.

Eksperimentasi cetakan Fleur D'Zuleykha

Posted:

Eksperimentasi cetakan Fleur D'Zuleykha

Eksperimentasi cetakan Fleur D'Zuleykha

Oleh NIZHA PERIASWAMY

BAJU kurung corak sarat mampu menyerlahkan penampilan unik wanita.


TANGGAPAN awal terhadap helaian dres dan baju kurung dengan corak berpetak dalam warna-warna dominan yang dianggap kusut ternyata berubah sebaik disarungkan pada model.

Apabila digayakan, cetakan ekstrak itu menyerlahkan keanggunan dan keperibadian si pemakai, sekali gus menarik perhatian mata yang memandang.

Lazimnya dres polos yang ringkas menjadi pilihan, namun jenama dan butik Fleur by D'Zuleykha mengambil pendekatan berbeza dengan pemilihan fabrik yang sarat dengan corak.

Menurut pemiliknya, Nor Aiza Abdul Rahman, 32, langkah tersebut diambil bagi memberikan kelainan dalam pasaran di samping memenuhi cita rasa pelanggan yang mahukan pakaian bercorak.

"Ada yang berpendapat penggunaan fabrik bercorak boleh memberikan impak positif kepada penampilan individu.

"Selain itu, terdapat pelanggan yang sukakan corak-corak yang sarat kerana beranggapan pakaian itu lebih mudah dijaga dan tidak perlu diberi terlalu banyak perhatian terutamanya apabila terkena kotoran," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengalaman percutian

Sehubungan itu, jelas Nor Aiza, Fleur by D'Zuleykha, yang baru membuka butiknya tersendiri di Bandar Baru Bangi, Selangor pada bulan lalu, akan memberi tumpuan terhadap rekaan-rekaan bercorak pada masa ini.

"Lagipun, rekaan bercorak kian mendapat tempat dalam kalangan golongan remaja dan wanita muda berkerjaya. Oleh itu, saya merasakan tumpuan terhadap trend bercorak ini lebih sesuai untuk perniagaan saya," katanya yang turut memakai dres bercorak segi tiga rona biru keluaran jenama miliknya itu.

SELENDANG yang menerapkan kepelbagaian warna pelangi dan sulaman bunga menyegarkan penampilan si pemakai.


Ibu muda ini memutuskan untuk menjalankan perniagaan fesyen pakaian Muslimah berkenaan bersama suami, Mohd. Hafizulzaman Mohd. Kamaruzaman, 32, dan adiknya, Nor Azlina, 26, selepas kembali daripada percutian di Vietnam pada tahun lalu.

Menurutnya, fabrik berkualiti tinggi pada harga berpatutan yang ditawarkan di negara jiran itu telah membuka minat mereka untuk berniaga, sungguhpun tidak terfikir untuk melakukannya pada peringkat awal.

"Kami pergi ke Vietnam dengan tujuan untuk meneroka negara itu tetapi pada masa yang sama tertawan dengan kepelbagaian fabrik yang ditawarkan.

"Memandangkan kami mempunyai sedikit wang, kami pun melabur dalam perniagaan ini. Lagipun, kami sendiri memang sukakan fesyen," jelas Nor Aiza.

Dengan bantuan suaminya, kedua-dua adik-beradik ini memutuskan untuk membuka butik sulung mereka susulan respons memberangsangkan perniagaan Fleur by D'Zuleykha di blog dan laman-laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

"Rata-rata maklum balas pelanggan yang diperoleh seiring dengan konsep kami iaitu menyediakan pakaian bersopan dengan dres potongan moden, bercorak dan baju kurung kontemporari.

"Kami memperluaskan lagi tawaran dengan menyediakan koleksi selendang berikutan permintaan dan potensi yang ada," ujar Nor Azlina pula.

Kesemua koleksi jenama berkenaan merupakan rekaan tersendiri yang mendapat inspirasi menerusi input rakan-rakan dan pelanggan mereka.

Walaupun semua material yang digunakan didatangkan dari Vietnam, Nor Aiza menjelaskan, koleksi selendang yang dijual merupakan fabrik tempatan tetapi mengenakan motif khusus Fleur by D'Zuleykha .

Variasi tawaran

Bercakap secara lanjut mengenai dres yang ditawarkan, beliau berkata, material likra berkualiti tinggi dipilih kerana berpendapat ia memudahkan pelanggan, terutamanya wanita bekerja yang tidak mahu membazir masa menggosok pakaian dan penjagaan yang mudah.

"Selain kepelbagaian corak yang menarik, kami juga memenuhi keperluan setiap pelanggan dengan kesemua dres yang ditawarkan dijual pada harga RM159 hingga RM179 untuk saiz S hingga XL," jelasnya.

REKAAN baju kurung Pahang diserikan dengan perincian manik dan renda.


Sementara itu, bagi koleksi baju kurung Fleur by D'Zuleykha yang mempamerkan potongan baju kurung Pahang, sentuhan kontemporari diterapkan pada rekaan melalui penggunaan manik dan renda.

"Potongan baju ini juga lebih runcing agar si pemakai nampak ramping dalam persalinan yang juga menggunakan fabrik likra ini. Kami percaya fabrik yang lebih licin akan memberi keselesaan tambahan kepada pelanggan," katanya sambil memaklumkan setiap pasang baju kurung dijual pada harga permulaan RM199.

Tidak ketinggalan dalam senarai fesyen Fleur by D'Zuleykha ialah selendang yang juga menitik berat keunikan tersendiri. Menggunakan bayangan warna pelangi, setiap helaian dihiasi renda berlapis dan sulaman bunga yang mempesona.

"Penerapan elemen-elemen berbeza ini memberikan pemakai pelbagai pilihan untuk menggayakan tudung mereka. Ini secara umum akan menyegarkan penampilan mereka," ujar Nor Aiza.

Sempena pembukaan butik sulung jenama berkenaan, Fleur by D'Zuleykha turut mengadakan promosi jualan murah dengan menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus bagi koleksi baju kurung dan dres serta 40 peratus bagi selendang. Tawaran itu sah sehingga 15 Februari ini.

Manfaat habbatus sauda untuk wanita bertudung

Posted:

Manfaat habbatus sauda untuk wanita bertudung

Manfaat habbatus sauda untuk wanita bertudung

Oleh NIZHA PERIASWAMY


PENGGUNAAN habbatus sauda dalam rangkaian produk rambut Safi Shayla mampu mengurangkan masalah kulit kepala dan rambut berbau dalam kalangan wanita bertudung.


SETIAP wanita mahupun lelaki, mengidamkan rambut yang sihat. Lebih-lebih lagi bagi wanita yang menganggap rambut sebagai mahkota yang melengkapkan sisi keayuan mereka.

Ia juga merupakan pemacu kepada kekuatan personaliti seorang wanita. Namun, wanita bertudung sering berhadapan masalah kulit kepala dan rambut. Lebih-lebih lagi dalam cuaca terik dan lembap, kulit kepala wanita bertudung amat mudah berpeluh dan berbau, sekali gus menyebabkan kegatalan dan keadaan tidak selesa.

Masalah ini boleh diatasi. Antaranya dengan menggunakan herba habbatus sauda. Menariknya, formulasi herba dengan menggunakan teknologi moden boleh membantu secara mengurangkan kegatalan pada kulit kepala.

Safi sebagai salah satu jenama produk penjagaan rambut berstatus halal di pasaran, baru-baru ini memperkenalkan empat variasi syampu, penyegar kulit kepala dan perapi rambut.

"Safi Shayla ialah produk yang menzahirkan khasiat habbatus sauda yang menjadi santapan Rasullullah SAW. Kami berbangga dan bersyukur kerana diberi ruang untuk memperkenalkan bukan sekadar syampu tetapi rangkaian lengkap produk penjagaan rambut khusus untuk wanita bertudung," kata Pengurus Kanan Produk Safi, Nor Aziani Azizan.

SETIAP syampu Shayla diperkaya dengan bahan antibakteria semula jadi.


Keempat-empat syampu tersebut adalah Safi Shayla-Licin terurus berserta multivitamin; Safi Shayla-Segar bermaya yang diperkuat dengan nano lipid enhancer; Safi Shayla - Antikelemumur dengan ZPT dan Safi Shayla-Kawalan rambut gugur dengan protein.

Dalam pada itu, perapi rambut Shayla pula didatangkan dengan dua kali ganda manfaat habbatus sauda serta multivitamin agar rambut sihat dengan haruman kekal sehingga 48 jam berdasarkan ujian makmal.

Antibakteria

Melengkapkan rangkaian Safi Shayla ialah krim penyegar kulit kepala yang diperkaya dengan lima kali ganda manfaat habbatus sauda dan mentol. Ia bertindak memberikan kesegaran kepada kulit kepala agar, sekali gus memberi manfaat pada rambut. Ini berupaya memberikan keyakinan dan rasa nyaman dengan haruman berkekalan sehingga 48 jam.

Dalam pada itu, manfaat habbatus sauda dalam setiap syampu Safi Shayla ialah ia kaya dengan bahan antibakteria semula jadi yang menghalang pembiakan bakteria yang membuatkan kulit kepala tidak selesa dan rambut kelihatan kusam. Ia juga kaya dengan nutrien semula jadi menyihatkan, melindungi dan mencantikkan rambut

Semua rangkaian produk Safi Shayla boleh didapati di pasar raya utama, pasar raya besar dan farmasi terpilih seluruh negara.

Rangkaian Safi Shayla dijual pada harga antara RM7.70 hingga RM12.70 sebotol.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved