Isnin, 10 Februari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Hubungan kami serius - Aiman

Posted:

Hubungan kami serius - Aiman

Hubungan kami serius - Aiman

CERITA mengenai hubungan istimewa yang terjalin antara pelakon Aiman Hakim Ridza, 25, dan Nur Fathia Abdul Latiff, 27, mula menjadi bualan ramai apabila Aiman dilihat turut serta mengikuti Fathia menyertai rombongan penerbangan sulung Air France dari Kuala Lumpur ke Paris, Perancis pada tahun lalu.

Lebih menguatkan lagi spekulasi apabila ada beberapa buah blog hiburan tanah air yang mendedahkan tentang aksi mereka yang kelihatan cukup mesra ketika berada di lapangan terbang sebelum berlepas ke Paris.

Bagaimanapun, sama ada Aiman atau Fathia, masing-masing tidak pernah mendedahkan status sebenar berkenaan hubungan yang terjalin, meskipun ada pihak yang berpendapat mereka memang sedang bercinta.

Setelah acap kali ditanya dengan soalan yang sama tentang hubungan yang terjalin, akhirnya Fathia membuka mulut dan membuat pengakuan yang kini dia merupakan kekasih kepada pelakon kacak tersebut baru-baru ini.

Bertemu dengan Aiman ketika sidang akhbar pementasan teater Bidasari di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur minggu lalu, pelakon tersebut lantas ditanya berkenaan kenyataan yang dibuat oleh Fathia itu.

Menurut Aiman, dia mengambil tindakan berdiam diri berhubung status hubungannya dengan Fathia selama ini kerana merasakan ia bukanlah suatu perkara yang perlu didedahkan atau dihebohkan kepada umum.

"Ya, hubungan kami memang serius sejak setahun yang lalu. Sebelum ini saya mengambil tindakan untuk berdiam diri kerana kami masing-masing ada keluarga dan perlu menjaga hati mereka.

"Lagipun saya agak kurang senang sekiranya perkara ini terlalu digembar-gemburkan. Bayangkan kalau hubungan yang terjalin ini tidak menjadi, sudah tentu saya tidak berasa seronok," jelasnya berhubung kisah cintanya dengan Fathia.

Dalam pada itu, pelakon yang dikenali ramai menerusi drama bersiri Vanila Coklat itu juga menepis dakwaan tentang pembabitannya dalam teater Bidasari semata-mata disebabkan Fathia yang turut berlakon dalam pementasan teater berkenaan.

AIMAN dan Fathia kini enggan menafikan lagi hubungan cinta mereka.


Pernah menolak tawaran yang diberikan kepadanya sebelum ini, Aiman yang memegang watak sebagai Tengku Indra menjelaskan, dia memberikan persetujuan atas dasar semangat yang telah diberikan oleh Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Erma Fatima.

Ujarnya, dengan penampilan sulungnya dalam bidang teater, sudah tentu peluang yang diperoleh itu menjadi platform terbaik buat dirinya dalam usaha untuk memperbaiki lagi mutu lakonannya.

"Sebelum ini saya menolak kerana masih belum ada keyakinan lagi, meskipun agak teruja dapat berlakon teater.

"Namun begitu, dengan semangat yang diberikan oleh Abang Joe (Juhari) dan Kak Erma telah membuka hati saya semula untuk menerimanya.

"Apabila difikirkan semasak-masaknya, saya merasakan bukan senang peluang sebegini akan saya dapat pada masa akan datang. Jadi, saya ambil dari sudut yang positif serta ingin membalas kepercayaan yang telah diberikan," ujarnya.

Berkenaan cabaran yang terpaksa dilaluinya memandangkan Bidasari merupakan teater sulung lakonannya, Aiman memberitahu masa yang terlalu singkat berlatih serta perlu bersilat agak mencabar dirinya.

Mengakui sedikit tertekan memandangkan dia hanya dapat berlatih dalam tempoh kurang sebulan, ia langsung tidak melemahkan semangatnya untuk tampil dengan persembahan yang terbaik.

"Sebenarnya saya memang langsung tiada asas dalam ilmu persilatan tetapi bernasib baik kerana ada guru yang mengajar. Selain itu, saya perlu berlatih selama 12 jam setiap hari, bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam," jelasnya.

Brazil

Bercerita tentang perkembangan dunia lakonannya pula, Aiman menyatakan, dia agak gembira kerana drama bersiri lakonannya yang kini sedang ditayangkan iaitu Projek Memikat Suami dan Antara Laut China Selatan mendapat sambutan baik penonton.

FATHIA mahu memberi yang terbaik dalam persembahannya menerusi teater Bidasari.


Dedah Aiman, selepas selesai membintangi teater Bidasari, dia ada mendapat tawaran berlakon dalam sebuah telemovie berjudul Nak World Cup dan berkemungkinan besar penggambaran akan dijalankan di Brazil.

"Memandangkan pertandingan bola sepak Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Brazil tahun ini, saya telah diberitahu akan ada penggambaran yang dilakukan di sana pada bulan Jun nanti kerana ada babak yang menunjukkan saya menonton perlawanan bola sepak yang berlangsung.

"Sudah tentu ia merupakan satu rezeki yang tidak dijangka kerana selama ini saya pernah mengimpikan untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 depan mata sendiri," ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon tersebut menyatakan, impiannya itu yang pernah hampir berkubur sebelum ini lantaran kos penerbangan serta tiket perlawanan yang sangat mahal telah menjadi realiti apabila ditawar berlakon dalam telemovie berkenaan.

Berterus terang

Selepas berlangsungnya sidang akhbar, Kosmo! turut mendapatkan kenyataan daripada Fathia berhubung sikap terbukanya sekarang yang akhirnya telah mendedahkan hubungan sebenar dengan Aiman.

Menurut Fathia, dalam situasi sekarang ini dia merasakan bahawa langkah terbaik yang harus dilakukan adalah dengan berterus terang agar ia tidak terus dibangkitkan oleh ramai pihak pada masa akan datang.

"Sebelum ini, sudah ramai yang selalu bertanya mengenai hubungan kami berdua. Setiap kali berjumpa dengan mana-mana pihak, terutamanya wartawan, pasti soalan mengenai hubungan saya dan Aiman yang akan ditanya.

"Akhirnya, saya merasakan lebih baik kalau saya mengaku sahaja yang kami ini memang bercinta. Jadi, selepas ini tidak akan ada lagi orang yang akan bertanya kerana semuanya sudah tahu," luahnya.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai pembabitannya dalam teater Bidasari, dia yang memegang watak sebagai Bidasari menyatakan agak gugup kerana ia merupakan teater pertama lakonannya.

AIMAN mengaku jadual kerjanya sibuk, namun mencuba untuk terbabit dalam teater Bidasari untuk mencabar kemampuannya.


Berhadapan dengan situasi yang sama seperti kekasihnya itu kerana mempunyai masa terhad untuk berlatih, pelakon cantik itu berkata, dia memulakan latihan sejak 1 Februari lalu kerana terbabit dengan penggambaran drama bersiri Ariana Rose di London, England sebelum ini.

"Mungkin ramai tidak tahu saya mempunyai perasaan gemuruh apabila beraksi di hadapan orang ramai. Jadi, menjelang hari pementasan saya perlu menghilangkan perasaan tersebut dengan bantuan pengarah dan pelakon lain," ujarnya.

Menurut Fathia, dia bersetuju untuk membintangi teater tersebut kerana ingin tampil dengan kelainan agar peminat tidak bosan. Malah, dia gembira kerana Aiman turut berlakon bersama-sama dengannya.

"Meskipun kami pernah bergandingan dalam beberapa buah drama sebelum ini, namun perasaan berdebar itu tetap ada. Namun begitu, saya nampak kesungguhan yang ada dalam dirinya sehingga merasakan lakonannya lebih baik berbanding saya," jelasnya.

Emma, Zizan jawab isu bersekedudukan

Posted:

Emma, Zizan jawab isu bersekedudukan

Emma, Zizan jawab isu bersekedudukan

ZIZAN dan EMMA berterusan dihujani kontroversi bersiri.


SELEPAS reda dengan gosip bercium dalam kapal terbang sekitar bulan Januari lalu, terkini timbul pula gosip yang mendakwa Zizan Razak dan Emma Maembong bersekedudukan.

Gosip berkenaan mula tersebar selepas sebuah portal hiburan yang mendakwa menerima sepucuk surat daripada jiran Zizan yang mendedahkan pengacara popular itu tinggal serumah dengan pelakon jelita tersebut.

Walaupun si pengirim surat itu tidak menyatakan nama kedua-duanya, namun ramai yang meneka mereka ialah Zizan dan Emma.

Kosmo! yang menemui Zizan dan Emma di sebuah majlis anugerah baru-baru ini, bertanya lebih lanjut mengenai gosip berkenaan.

Selain gosip mengenai bersekedudukan itu, Zizan dan Emma turut ditanya mengenai gosip yang mengatakan Emma bakal meninggalkan syarikat milik Zizan iaitu Wire Fame Sdn. Bhd. (Wire Fame).

Kosmo!: Boleh ulas mengenai gosip dalam sebuah portal hiburan yang mendakwa Zizan dan Emma bersekedudukan?

ZIZAN: Saya terkejut kenapa jiran saya buat macam itu. Kenapa beritahu kepada portal. Kenapa tidak tegur saya sendiri. Baru habis kes bercumbu, kini timbul pula gosip bersekedudukan pula. Tidak habis-habis!

Adakah benar seperti apa yang didakwa jiran Zizan itu?

Saya kenal jiran saya. Jiran mesra dengan saya. Saya juga tidak rasa jiran saya buat macam itu. Saya mengakui Emma pernah datang rumah tetapi ketika ibu dan abang saya ada. Mana mungkin (Emma datang) ketika orang lain tidak ada di rumah saya. Kami tidak akan buat seperti itu (bersekedudukan), sebab saya dan dia dikenali umum.

Apakah perasaan Zizan apabila satu persatu cerita tidak baik mengenai kalian timbul?

Saya sudah tidak tahu hendak cakap apa. Kalau betul hendak tegur kenapa tulis macam itu. Kenapa hendak hantar kepada portal? Pada saya, kalau niat macam itu memang hendak jatuhkan saya.

Cara dia tulis macam islamik tetapi kalau dia betul-betul islamik, jika mahu tegur (tentang sesuatu), lebih baik secara berbisik berbanding didedahkan kepada orang lain. Sebaliknya, dia menyebarkannya pula. Datanglah tegur saya secara profesional.

Saya tidak tipu bahawa memang Emma ada datang (ke rumah). Saya juga ada datang ke rumah Emma tetapi keluarga masing-masing ada ketika itu.

Jangan buat macam ini. Kalau betul kami buat begitu, pasti kami akan coverline (berselindung). Ini pada siang hari pula. Tak logik saya buat macam itu.

Bagi Zizan, adakah orang ini menyimpan sebarang dendam dengan anda?

Kita (sebagai selebriti) ada golongan pemuja (lovers) dan golongan pembenci (haters). Saya bukan lelaki kacak. Saya bergerak dengan kekuatan bakat dan penyokong. Saya tidak percaya dengan kontroversi.

Kalau boleh, saya mahu orang kenal Zizan kerana lakonan dan jenaka saya. Kalau kita buat baik sekalipun orang menyampah juga. Ia bergantung kepada sama ada saya melenting dan pandai bawa diri atau tidak.

Apakah reaksi ibu Zizan mengenai berita ini?

Reaksi ibu saya rileks sahaja. Janji ibu saya tahu saya ada di rumah bersamanya. Saya mahu beri kebahagiaan kepada ibu bapa saya dan abang saya. Itu yang selalu saya doa.

Walaupun tidak mewah, malah kami pernah naik motosikal berempat tetapi saya juga tidak susah. Jadi, hari ini saya berusaha untuk membuatkan hidup keluarga saya senang.

Mungkin penyebar gosip itu ingin lihat kalian berkahwin?

Kalau mahu ke arah lebih baik sekalipun jangan push (paksa) kami macam ini dengan keluarkan gosip yang bukan-bukan tentang saya dan Emma. Saya percaya melalui perkahwinan, Allah sudah janjikan rezeki. Kahwin suatu rezeki dan anak juga rezeki.

Sebelum ini ada gosip yang mengatakan Emma bakal meninggalkan syarikat Wire Fame Sdn. Bhd. Komen Zizan?

Itu kena tanya Emma sendiri. Kalau ikut kontrak dia ada enam bulan lagi. Dia sekarang tengah berfikir. Dia pernah beritahu saya, ingin menguruskan dirinya sendiri.

Bagaimanakah kalau Emma benar-benar buat keputusan keluar daripada syarikat anda?

Saya tak kisah kalau itu perkara yang patut untuk diri dia. – FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

Fizie tidak bimbang dibandingkan dengan FBI

Posted:

Fizie tidak bimbang dibandingkan dengan FBI

Fizie tidak bimbang dibandingkan dengan FBI

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

FIZIE berpengalaman sebagai penyampai radio di Hot FM Kelate dari 2011 hingga 2013.


SETELAH penyampai radio Faizal Ismail atau FBI meninggalkan Hot FM pada 16 November tahun lalu, tempatnya bakal diisi dengan kehadiran penyampai baharu, Mohamad Hafizie Roslan.

Suara Mohamad Hafizie atau Fizie dapat didengari oleh seluruh rakyat Malaysia bermula pada hari ini (10 Februari), menerusi slot HOT FM AM Krew dari pukul 6 hingga 10 pagi bersama dua penyampai sedia ada, Fara Fauzana dan AG.

Bukan baharu dalam dunia penyiaran radio, ujar Fizie, dia merupakan bekas penyampai radio di Manis FM, Kelantan dan juga penyampai radio di Hot FM Kelate di Kelantan selama tiga tahun.

Bahkan, Manis FM bukan permulaannya sebagai penyampai radio sebaliknya jejaka berasal dari Taiping, Perak itu mula berkecimpung dalam dunia tersebut sejak di bangku sekolah lagi.

"Sejak kecil lagi saya sudah bercita-cita ingin menjadi deejay. Ketika itu saya cukup meminati deejay Zainal Din Zainal dan Kamal Hassan. Saya pernah jadi deejay di sekolah dan juga deejay di pasar raya selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama tiga bulan.

"Selepas itu, saya memulakan karier pertama sebagai deejay di Manis FM selama dua tahun (2006-2008) dan kemudiannya berhenti dan menghasilkan radio internet sendiri iaitu Gempak FM," ceritanya yang kemudiannya bekerja sebagai penyampai radio di Hot FM Kelate, Kelantan bermula 2011 hingga 2013 pula.

Mengakui teruja menggalas tugas baharu sebagai penyampai radio Hot FM AM Krew bersama Fara dan AG, Fizie disoal jika dirinya bakal dibandingkan dengan Faizal.

Tidak risau bakal dibandingkan dengan Faizal, ulas bapa kepada dua anak itu, dia diasuh untuk bekerja dengan jiwa dan dia berharap dapat menghiburkan pendengar.

"Saya bukan menggantikan Faizal. Faizal adalah Faizal. Dia berada dalam kelas tersendiri tetapi, saya mahu menjadi sebaik Faizal," luah Fizie yang turut memiliki sifat humor semula jadi seperti Faizal.

Fara profesional

Gembira tempat Faizal digantikan dengan Fizie, ulas Fara pula, keseronokan dan keserasian itu sudah ada kerana mereka sudah mengenali antara satu sama lain.

"Saya selalu dengar Hot FM Kelate. Lagu di sana lain dan cara penyampaian juga lain. Bila bos bagi peluang kepada penyampai Hot FM sendiri saya sangat gembira. Kita selalu pandang orang luar tetapi kenapa tidak pada orang sendiri," ujarnya optimis.

Sering bergurau mesra dengan Faizal dan AG seperti memanggil panggilan 'sayang' selama ini, bagaimanapun kemesraan tersebut tidak menimbulkan salah faham terhadap isteri kedua-dua penyampai tersebut.

AG (kanan) dan Fara Fauzana kini bergandingan dengan Fizie menerusi slot HOT FM AM Krew.


Berjumpa dan berkenalan dengan isteri Faizal dan AG, perkara yang sama akan dilakukan kepada isteri Fizie pula.

"Masa bekerja saya akan profesional. Namun, saya juga akan mengusik dengan memanggil 'sayang.' Saya ada minta Fizie beritahu isterinya terlebih dahulu dan saya juga akan berjumpa dan berkenalan dengan isterinya.

"Saya mahu isteri mereka tahu saya tiada niat lain. Hanya bekerja dan saya mahukan kepercayaan itu," ujarnya jujur.

Disoal mengenai Fizie, kata Fara, penyampai radio juga perlu pandai memberi punch line dan melihat pada kebolehan dan karakter Fizie, dia mampu melakukannya.

Mengulas lanjut, kongsi Fara, Fizie juga mampu membuat panggilan Hangit dengan baik.

"Hot FM Kelate juga ada Panggilan Hangit tetapi namanya Keno Khenak (kena khianat). Konsepnya sama dengan Panggilan Hangit," kata Fara lagi.

Rosyam jadi penyampai Hot FM

AG pula menganggap penyampai berusia 26 tahun itu seorang yang agresif dan mempunyai pemikiran yang laju.

"Dia muda. Idea muda. Ada perkara yang saya tidak tahu tetapi dia tahu. Elemen padanya itu kita boleh pakai," ujarnya yang turut memberitahu pengisian Hot FM AM Krew juga akan berbeza dengan kehadiran Fizie.

AG juga memberitahu, Fizie mempunyai pendengar setia di Kelantan dan kehilangan penyampai itu tidak akan dirasai di sana kerana rakyat Kelantan juga boleh mendengar celoteh Fizie di Hot FM AM Krew.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul pula menjelaskan, Fizie dipilih berdasarkan keserasian gandingannya bertugas di samping Fara dan AG.

"Sebagai satu nama yang sinonim dengan masyarakat Kelantan, Fizie turut menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tiga tahun bertugas di Hot FM Kelate.

Bukan sekadar kemasukan Fizie akan menjadikan pagi pendengar Hot FM lebih segar, pengisian Hot FM AM Krew turut diberi perhatian terperinci.

Penampilan beberapa nama yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air akan meledakkan hangat pagi pendengar Hot FM.

"Satu segmen mingguan bersama Doktor R akan mula bersiaran setiap hari Rabu bermula pukul 7.30 hingga 8.30 pagi. Segmen tersebut akan dihoskan oleh pelakon dan penerbit terkenal iaitu Datuk Rosyam Nor.

"Segmen Diva @ AM Krew pula akan menampilkan dua pelakon iaitu Zulin Aziz dan Sherry Alhadad. Kedua-dua mereka akan digandingkan untuk menghiburkan pendengar Hot FM seawal pukul 7 pagi dari Isnin hingga Jumaat," katanya.

Mencapai usia lapan tahun pada hari ini, Hot FM juga membuka ruang kepada penyanyi atau komposer muda yang memiliki aspirasi untuk berjaya dalam industri muzik tempatan melalui sebuah kempen yajg dinamakan Projek EP.

Kempen tersebut turut menggunakan khidmat AG Coco sebagai penerbit dan panel pilihan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved