Selasa, 17 Disember 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Harimau Muda singkir Vietnam

Posted:

Harimau Muda singkir Vietnam

Harimau Muda singkir Vietnam

BARISAN pemain Harimau Muda melambai tangan ke arah para penyokong selepas berjaya menewaskan Vietnam 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Zeyyer Thiri semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - "Bukan menang nasib tetapi penjaga gol dan pemain pertahanan kami beraksi dengan baik."

Itu reaksi pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee (gambar kecil) selepas anak-anak buahnya berjaya menewaskan Vietnam 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Zeyyer Thiri semalam.

Harimau Muda muncul juara kumpulan selepas mengumpul 10 mata diikuti Singapura di tempat kedua dengan lapan mata, manakala Vietnam di kedudukan ketiga (tujuh mata).

Kemenangan itu sudah cukup untuk melayakkan Harimau Muda ke separuh akhir, sekali gus mengatur pertemuan dengan Indonesia bagi mengulangi aksi final Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.

Pada aksi semalam, gol yang dicari-cari Harimau Muda hadir pada minit ke-81 menerusi jaringan Ashri Chuhu sebelum D. Saarvindran menyumbat gol kedua pada minit ke-89.

Gol sagu hati Vietnam dijaringkan pemain gantian, Mac Hong Quen pada masa kecederaan.

"Saya berasa gembira kerana berjaya melayakkan diri ke separuh akhir.

"Meskipun Vietnam menggunakan corak permainan pantas dan sangat berbahaya dalam usaha memburu gol, pemain-pemain kami masih mampu bermain dengan baik dan mengikut strategi yang telah direncanakan.

"Kekurangan kami hanya tidak dapat menjaringkan gol awal tetapi penjaga gol dan pemain pertahanan kami bermain dengan begitu baik sekali," kata Kim Swee.

Bagaimanapun, Kim Swee tanpa berselindung memuji persembahan pemain-pemainya yang tampil dengan aksi yang konsisten terutama penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi Roslan.

"Tidak hanya penjaga gol tetapi semua pemain-pemain saya bermain dengan konsisten sepanjang empat perlawanan lalu. Sukar untuk saya beritahu posisi mana yang mempunyai kelemahan yang ketara," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kritikan yang dilemparkan kepada skuad Harimau Muda sebelum ini, Kim Swee berkata, beliau menganggap semua laporan negatif itu sebagai pembakar semangat.

Katanya, tanpa kehadiran tujuh pemain utama, sukar untuk beliau merencana strategi ampuh bagi menghadapi temasya kali ini, sekali gus mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut.

Sementara itu, jurulatih Vietnam, Hoang Van Phuc memohon maaf kepada semua rakyat di negara itu selepas mereka gagal mara ke final.

Van Phuc berkata, beliau meletakkan sasaran utuk mara ke final dan akan meletak jawatan berikutan kegagalan itu.

Thailand mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B, manakala Indonesia layak selepas menewaskan Myanmar 1-0.

Jironi pengubat duka olahraga

Posted:

Jironi pengubat duka olahraga

Jironi pengubat duka olahraga


JIRONI meraikan kejayaannya meraih pingat emas acara 800m lelaki di Stadium Utama Wunna Theikdi semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Mohd. Jironi Riduan kembali menceriakan kem olahraga negara apabila meraih emas dalam acara 800 meter (m) lelaki semalam.

Selepas Muhammad Irfan Shamsuddin menjelmakan emas pertama dua hari lalu, kini giliran Jironi yang sememangnya diletakkan sasaran untuk memenuhi sasaran lima emas menggegar Stadium Utama Wunna Theikdi dengan larian penyudah yang cukup bertenaga.

Selepas hanya mengekori dari belakang pencabar di depan sejak dari awal perlumbaan, Jironi kemudiannya menggunakan 50 meter terakhir sebelum memintas pelari Vietnam untuk muncul juara.

Jironi mencatat masa 1min:50.98s untuk menewaskan pelari Filipina, Mervin Guarte (1:51:51s) yang kuat mengejarnya dari belakang manakala Thai Duong (1:51.62s) yang menguasai peringkat awal perlumbaan di tempat ketiga.

Seorang lagi atlet negara, M. Kesavan di tempat kelima dengan catatan masa 1:52.24s.

"Saya memang sengaja menggunakan taktik mengekori dari belakang untuk melihat kedudukan pelumba lain. Sebaik peluang mula terhidang, kesempatan itu saya gunakan sebaik mungkin untuk memecut laju.

"Saya dapat lihat pelari Vietnam semakin lemah manakala pelari Filipina cuba mengejar. Dengan tenaga yang masih ada, saya berlari sekuat mungkin untuk tiba di garisan penamat," katanya.

Catatan Jironi itu bagaimanapun gagal memecah rekod kebangsaan mahupun Sukan SEA tetapi berjaya menebus kekecewaannya gagal meraih emas dalam tiga Sukan SEA yang lalu.

Hanya pada temasya di Laos 2009, pelari kelahiran Sarawak ini berjaya meraih perak manakala 2007 dan 2011, guru di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor ini pulang dengan tangan kosong.

Selain acara 800 meter, atlet Malaysia hanya menyertai acara 100m lelaki dan wanita, 400m lari berpagar lelaki dan lompat kijang wanita yang kesemuanya gagal meraih sebarang pingat.

Sementara itu, Thailand terus menguasai saingan trek dan balapan Sukan SEA pada hari ketiga saingan dengan memenangi tiga emas daripada 10 yang ditawarkan semalam.

Negara Gajah Putih itu meraih emas dalam acara 100m lelaki, 400m lari berpagar wanita dan merejam lembing lelaki.

Vietnam turut menang tiga emas semalam menerusi 100 meter wanita, 5,000 meter lelaki dan 800 meter wanita.

Ini diikuti masing-masing satu diraih Malaysia (800m lelaki), Indonesia (lompat kijang wanita), Filipina (400m lari berpagar lelaki) dan Myanmar (5,000m wanita).

Hari ini, tujuh lagi pingat emas akan ditawarkan iaitu menerusi acara dekatlon, lompat jauh wanita, lompat tinggi lelaki, 3,000m lelaki dan wanita serta 200m lelaki dan wanita.

Panahan trio Malaysia memukau

Posted:

Panahan trio Malaysia memukau

Panahan trio Malaysia memukau


DARI kiri, Haziq, Khairul Anuar dan Atiq meraikan kejayaan mereka meraih pingat emas acara recurve berpasukan lelaki di Padang Memanah Wunna Theikdi semalam.


NAY PYI TAW - Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas acara recurve berpasukan lelaki Sukan SEA selepas menewaskan Thailand dalam perlawanan akhir yang sengit dan mendebarkan semalam.

Trio Khairul Anuar Mohamad, Atiq Bazil Bakri dan Haziq Kamaruddin menewaskan gandingan Thailand dengan kemenangan tipis 214-212 selepas lawan mereka bangkit di penghujung saingan.

Dengan kejayaan itu skuad memanah negara mengulangi skrip yang sama seperti temasya dua tahun lalu di Indonesia apabila turut menjuarai acara recurve individu lelaki dan berpasukan ketika itu untuk membawa pulang dua emas.

Paling bangga dengan kejayaan itu sudah tentu 'Robin Hood' Malaysia, Khairul Anuar yang dapat melalui detik manis itu sebanyak dua temasya berturut-turut.

"Apa yang mengembirakan saya, dua tahun lalu, Cheng Chu Sian menjuarai acara individu dan saya pula menang perak sebelum kami sama-sama berpadu tenaga untuk menjuarai acara berpasukan.

"Kali ini, saya pula menjuarai acara recurve individu sebelum bersama Atiq dan Haziq, kami menjuarai acara berpasukan pula.

"Memang ia detik yang cukup bermakna buat saya kerana dapat melakukannya buat kali kedua untuk negara," katanya.

Menurut Khairul, kunci kejayaan mereka semalam adalah mudah iaitu beraksi mengikut rentak sendiri tanpa memperdulikan lawan serta membina kekuatan mental yang tinggi sepanjang aksi sengit itu.

"Saya bersyukur kerana kami mampu bertahan walaupun Thailand cuba mengejar di saat akhir. Memang saya cukup puas hati dapat menang hari ini," kata Haziq.

Atiq yang walaupun kali pertama beraksi di Sukan SEA tetapi dia sudah pun dapat merasai nikmat memenangi emas semalam.

"Ia satu pengalaman yang amat berguna bagi saya. Mungkin dua tahun lagi saya mampu mencipta pencapaian sama untuk negara," katanya.

Sementara itu, Malaysia terlepas peluang untuk meraih emas ketiga dalam acara memanah apabila skuad compound lelaki tewas kepada Filipina dalam aksi final.

Walaupun mendahului tiga mata sebelum melakukan panahan terakhir, gandingan Mohd. Zaki Mahazan, Mohd. Juwaidi Mazuki dan Mohd. Kaharuddin Ashah gagal mengekalkan rentak.

Terutama sekali Kaharuddin yang hanya mampu memungut enam mata pada panahan terakhir menyebabkan skuad negara tumpas 221-218.

Dengan keputusan pada hari terakhir itu, skuad memanah negara kekal membawa pulang dua emas, sekali gus mengulangi pencapaian pada temasya dua tahun lalu di Indonesia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved