Selasa, 17 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kehalusan capal buatan tangan

Posted:

Kehalusan capal buatan tangan

Kehalusan capal buatan tangan

SEWAKTU mula membantu ayahnya mengusahakan perniagaan kraf capal, Mohd. Syazwan Saad baru berusia 11 tahun. Ketika itu, dia masih ingat kerja pertamanya ialah menggunting kulit mengikut bentuk tapak capal.

Selepas 12 tahun berlalu melakukan kerja-kerja yang sama, Mohd. Syazwan semakin mahir dalam menyiapkan tempahan capal di samping menguruskan perniagaan keluarganya itu.

Meskipun pernah meninggalkan seketika tugas tersebut kerana mahu mencari pengalaman di tempat orang selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun akhirnya pemuda ini kembali ke pangkuan keluarga.

"Dahulu, saya membuat keputusan untuk berdikari kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada ayah. Saya merantau ke Kedah dan melakukan pelbagai pekerjaan.

"Antaranya menjadi pemandu van kilang, bas dan lori treler. Apabila sudah puas dengan kehidupan sedemikian, akhirnya saya nekad untuk pulang dan membantu perniagaan capal ayah semula," ujar Mohd. Syazwan, 23, ketika ditemui Kosmo! di Kampung Cemumar Tengah, Simpang Empat, Perlis.

Bagi adiknya, Mohd. Syafiq, 20, sebagai pelajar jurusan Teknologi Maklumat di Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL), dia akan membantu ayahnya membuat capal ketika cuti semester.

"Saya rasa seronok apabila dapat membantu ayah. Walaupun sekejap, namun ia satu kepuasan buat saya mempelajari kemahiran membuat capal ini.

"Insya-Allah, selepas tamat pengajian pada bulan Februari depan, saya bercadang untuk terus bekerja dengan ayah jika diizinkan," tutur Mohd. Syafiq sambil mengetuk capal yang telah siap digam.

Melalui program lawatan media anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) itu, rombongan kami dapat melihat cara-cara pembuatan capal di bengkel Saad.

SAAD (kanan) bertuah kerana anak-anaknya turut membantu perniagaan capal yang diusahakan.


Pemiliknya, Saad Saep, 47, memberitahu, perniagaannya itu dimulakan pada tahun 2001. Sebelum itu, beliau pernah bekerja sebagai penyelia kilang selama 10 tahun dengan gaji lumayan untuk menyara keluarga.

Bagaimanapun, disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda negara, Saad akhirnya terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja dengan menerima Skim Pemberhentian Sukarela yang ditawarkan oleh majikannya.

Kemudian, beliau bertemu dengan seorang rakan lama yang membuat capal secara tradisional sepenuhnya. Sejak itu, dia mula berminat untuk mempelajarinya.

Atas bantuan rakannya itu, Saad mula membeli bahan mentah untuk membuat capal dan menghasilkannya sendiri. Pada tahun 2001, Saad berjaya mendapat tapak untuk berniaga di bazar Ramadan Sungai Petani, Kedah.

Dari situ, beliau menerima banyak sambutan untuk tempahan capal namun tidak berupaya menghasilkan dalam kuantiti yang banyak.

Modal

"Akhirnya saya mengeluarkan sedikit modal sebanyak RM3,000 untuk membeli mesin tekanan tangan untuk membuat capal diikuti mesin kedua dan ketiga untuk capal empat lubang.

"Alhamdulillah, perniagaan saya semakin berkembang dan jenama capal Warisan semakin mendapat tempat di hati pelanggan, bukan sahaja di sekitar Kedah dan Perlis bahkan dari seluruh negara," jelas Saad.

Melalui syarikatnya, Sentuhan Budi Trading, capal Warisan telah pun mempunyai kira-kira 20 ejen jualan di seluruh negara. Selain itu, beliau turut menawarkan pembelian secara atas talian.

Meneliti satu persatu capal yang dihasilkan Saad, ternyata sukar untuk menafikan keistimewaan yang terdapat pada produk buatan tangan tersebut.

Berbanding capal biasa yang hanya mempunyai satu atau dua lapisan, capal Warisan sebaliknya dibuat sebanyak tiga lapisan untuk memastikan ia berkualiti dan tahan lama.


TAPAK capal yang dihasilkan daripada kulit kerbau, lembu atau kambing lebih berkualiti berbanding PVC.


"Saya menggunakan bahan mentah tempatan seperti kulit kerbau, lembu atau kambing iaitu yang paling berkualiti bagi penghasilan capal. Tapaknya diperbuat daripada jenis DC dan grip di samping etilena vinil asetat (EVA) dan polivinil klorida (PVC)," jelas Saad.

Selain itu, pelanggan juga boleh membuat tempahan sama ada mahu capal yang diperbuat daripada kulit sepenuhnya atau jenis getah PVC dan EVA mengikut keselesaan masing-masing.

Menurut Saad, selain capal untuk lelaki dewasa, pihaknya turut mengeluarkan capal untuk kanak-kanak dan wanita yang mempunyai peminat tersendiri. Tidak ketinggalan, beliau juga banyak membekalkan capal kepada pengusaha capal lain yang ada di negara ini.

"Setiap capal yang dihasilkan mampu bertahan sehingga setahun atau lebih jika dijaga dengan baik," kata bapa kepada empat cahaya mata ini sambil memberitahu antara pemimpin yang pernah memakai capalnya ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah.

Ditanya cabaran yang dihadapi sebagai pengusaha capal, Saad mengakui, tanggapan masyarakat terhadap produk yang dikeluarkan peniaga bumiputera tidak berkualiti masih tinggi.

Persaingan

"Tetapi, apabila pelanggan melihat sendiri capal yang telah dihasilkan, barulah mereka meyakini kualitinya. Selain itu, proses pengeluaran juga agak lambat iaitu purata 30 pasang capal sehari sekali gus tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan yang tinggi.

"Cabaran lain ialah persaingan dengan produk capal dari Indonesia dan yang dihasilkan secara besar-besaran oleh kilang. Apa pun, saya sentiasa optimis dengan cabaran yang ada sekali gus meyakini rezeki yang datang dari Allah," ungkap Saad yang berharap untuk menjadi pembekal capal utama di Malaysia.

Dalam pada itu, Saad turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kraftangan Malaysia yang telah banyak membantu dalam memajukan perniagaan capalnya.


KOLEKSI capal Warisan sesuai digayakan dalam pelbagai acara.


Ini termasuklah bantuan mesin pemotong hidraulik dan mesin tugas berat yang diterima pada tahun 2012 dan 2013. Tidak ketinggalan, Saad juga selalu menyertai Hari Kraf Kebangsaan dan program promosi di peringkat negeri anjuran Kraftangan.

"Melalui penglibatan dalam program tersebut, capal Warisan berjaya meningkatkan lagi sambutan pelanggan sekali gus menjadikan jenama capal ini semakin dikenali ramai," ujarnya sambil tersenyum.

Mempunyai tiga pekerja tetap dan seorang secara sambilan, bengkel Saad beroperasi mengikut waktu pejabat iaitu bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Salah seorang pekerjanya, Haizul Fazilah Rashid, 29, berkata, proses membuat capal ini memerlukan ketelitian yang tinggi.

Sebagai contoh, meskipun tugasnya sekadar menebuk lubang, namun ia perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak tersilap.

"Alhamdulillah, saya dapat menambah pendapatan keluarga bekerja di bengkel ini. Tetapi, masih banyak yang perlu saya pelajari untuk meningkatkan kemahiran membuat capal," terangnya.

Wanita Taiwan dominasi kerjaya lelaki

Posted:

Wanita Taiwan dominasi kerjaya lelaki

Wanita Taiwan dominasi kerjaya lelaki


SELAIN kestabilan kerjaya, faktor cabaran juga merupakan faktor utama golongan wanita menyertai bidang ketenteraan.


SEBAGAI seorang pelajar bijak, Irene Yen boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ke universiti seperti yang dilakukan kebanyakan remaja yang berumur 19 tahun. Bagaimanapun, dia mengambil keputusan besar dalam hidupnya apabila menceburi kerjaya sebagai pengawal pantai yang memerlukannya membuat rondaan pada setiap masa.

Irene antara ratusan wanita Taiwan yang nekad menceburi kerjaya sebagai pengawal pantai, askar dan polis yang didominasi golongan lelaki di negara pulau itu. Kini, golongan wanita mewakili 44 peratus daripada tenaga kerja dalam tiga kerjaya berkenaan yang dianggap akan membuka langkah ke arah kesaksamaan gender.

"Sudah lama saya mengimpikan untuk menjadi askar dan memilih ditugaskan di Kepulauan Spratly kerana sebelum ini peluang itu tidak terbuka untuk wanita," kata Irene yang ditempatkan di sebuah pulau yang kaya dengan minyak di kawasan Laut China Selatan.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, Taiwan telah menghantar petugas wanita ke kepulauan itu.

Tugasnya sebagai pengawal pantai lebih mencabar kerana Kepulauan Spratly terletak di tengah sempadan yang menjadi rebutan beberapa negara.

"Ia umpama berada di barisan hadapan keselamatan disebabkan ketegangan di rantau ini. Namun, pengalaman ini begitu bermakna pada saya," kata gadis muda itu.

Faktor kewangan

Pemerhati berkata, perubahan pemilihan kerjaya wanita di Taiwan memberikan gambaran kepada kesaksamaan jantina yang semakin baik. Malah, ada yang melihat kesanggupan mereka menyertai askar atau pasukan polis mungkin disebabkan faktor kewangan apabila ramai menganggap bekerja dengan kerajaan dilihat lebih terjamin khususnya dalam perkembangan ekonomi yang semakin suram.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang amat sukar mencari pekerjaan yang baik walaupun ada kelulusan tinggi," kata Hsueh Ling daripada Jawatankuasa Pertahanan di Parlimen.


PADA tahun lalu, seramai 5,300 wanita memohon jawatan dalam bidang ketenteraan di Taiwan.


Pertambahan jumlah wanita yang beralih daripada kerjaya biasa seperti guru, setiausaha dan jururawat kepada bidang pekerjaan yang lebih luas sebenarnya satu perubahan baik khususnya kepada Angkatan Tentera Taiwan kerana semakin kurang lelaki berminat untuk menyertai barisan keselamatan.

Kuota

Angkatan Tentera Taiwan bercadang untuk menghapuskan sistem paksaan pengambilan tentera dalam kalangan lelaki dewasa pada akhir tahun 2016.

Pada tahun lalu, sebanyak 5,300 wanita memohon jawatan dalam bidang ketenteraan bagi mengisi 799 jawatan. Namun, sebanyak 68 peratus daripada kuota tersebut diberikan kepada lelaki manakala bakinya untuk anggota wanita.

Sesetengah askar wanita, contohnya Sarjan Kelas Pertama Lee Tzu-yun, 32, sanggup mengorbankan kerjaya dalam bidang lain semata-mata untuk menjadi anggota pasukan beruniform. Tzu-yun antara kumpulan askar wanita sukarela pertama yang rela hati meninggalkan kerjayanya dalam bidang perbankan untuk menyertai angkatan tentera pada tahun 2007.

Dia kini bertugas di pusat pengambilan pekerja, perekrutan di Taipei dan menggunakan pengalamannya untuk menarik wanita muda lain mengikut jejak langkahnya.

"Ketika saya mengambil keputusan menyertai tentera, keluarga saya sangat risau kerana ini 'dunia lelaki' dan tidak sesuai untuk wanita. Selain kestabilan kerjaya, saya sukakan cabarannya. Saya mahu mencuba bidang baharu," katanya.

Wanita kini mewakili 11 peratus daripada pasukan askar 'sukarela' berbayar, nombor dua selepas Amerika Syarikat iaitu 15 peratus. Keanggotaan wanita dalam tentera di Taiwan juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan Jepun dan Korea Selatan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved