Isnin, 16 Disember 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Perkahwinan budaya Jovian, Nina Sabrina

Posted:

Perkahwinan budaya Jovian, Nina Sabrina

Perkahwinan budaya Jovian, Nina Sabrina

Oleh ALIF ABU BAKAR

DEWAN utama Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur padat dengan jemputan yang kemas berpakaian tradisional Melayu. Tambah unik apabila hadirin yang hadir dari Indonesia tampil dalam persalinan klasik Jawa. Lelaki lengkap berkemeja (beskap) dan songkok (blangkon) manakala perempuan bergaya elegan bersama busana berteras batik.

Tetamu acara itu sahaja sudah menjemput pesona, belum lagi melihat dua individu yang diraikan, pasti memukau. Sambil menanti ketibaan raja sehari, seisi dewan melirik tajam gugusan dekorasi yang digubah istimewa sempena resepsi persandingan pereka fesyen terkemuka tempatan, Jovian Mandagie bersama Nina Sabrina Ismail Sabri, anak sulung kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Meskipun ia adalah persandingan kedua (resepsi pertama diadakan pada malam 14 Disember 2013), perincian majlis tetap dirapi sempurna, bermula daripada hiasan dalaman, susun atur meja, pelamin dan pentas hiburan.

Tumpuan teralih ke pusat dewan saat pengacara, Adibah Noor mengumumkan ketibaan mempelai perempuan, Nina Sabrina. Gemalai gerak penari-penari Gadung Melati mengiringi setiap langkah Nina Sabrina. Pengantin wanita berusia 26 tahun itu kemudiannya duduk penuh sopan di atas pelamin, wajahnya ditutup kipas tangan berwarna putih.

Cantuman budaya

Lantas, pahlawan hati Nina Sabrina tampil di tengah-tengah keramaian. Jovian, 27, yang dipimpin ibu bapanya mengorak teruja menuju ke pelamin. Namun tidak sah jika perkahwinan Melayu tanpa 'tol', hentian singkat yang perlu dilepasi pengantin lelaki. Pantun dijawab, usikan diterima, teka-teki diselesaikan lantas halangan terakhir Jovian iaitu tol ketujuh menyaksikan interaksi simbolik antara pengantin lelaki itu bersama bapa mertuanya, Ismail Sabri.


UPACARA penyerahan keris daripada Ismail Sabri (kanan) kepada Jovian (tengah) dipinjam daripada adat perkahwinan orang Terengganu.


Ismail Sabri mengeluarkan keris yang disisip pada sampingnya lalu diserahkan kepada menantunya. Upacara itu menjadi perlambangan kepada penyerahan anak perempuan kepada suami selepas halal bergelar pasangan hidup.

Istiadat persandingan Jovian dan Nina Sabrina secara telusnya adalah rangkuman budaya dua negara. Adat Melayu dan Jawa yang mewakili Malaysia dan Indonesia dicantum bijak dari sudut pakaian, dekorasi, hidangan dan hiburan. Malah, penari-penari tradisional pada upacara itu turut diterbangkan khas dari Bali.

Adat penyerahan keris itu misalnya, diambil daripada kebudayaan orang Terengganu. Paparan tarian Johor dan Melaka turut diselitkan bagi mewakili nilai Malaysia.

Begitu juga aturan hiburan, penyanyi dari dua negara itu dipertemukan di atas satu pentas. Ning Baizura yang dipilih menjadi wajah identiti negara, lunak mengalun lagu tradisional dan moden buat santapan telinga hadirin.

Iringan muzik asli Indonesia pula membawa tetamu ke tengah lantai dewan untuk menari dan berhibur beramai-ramai atas nama serumpun. Betapa indah garapan sebuah majlis perkahwinan yang bertulangkan budaya ketimuran.

Seperti persandingan di Indonesia, begitu jua adat yang dipinjam Jovian dan Nina Sabrina. Tidak ada upacara merenjis seperti resepsi orang Melayu di sini. Pengantin bersama ahli keluarga hanya berdiri di atas pelamin menyambut salam dan ucapan selamat daripada hadirin yang beratur panjang menanti giliran.

Busana

Paling istimewa apabila Jovian dan Nina Sabrina membuat keputusan untuk menggabungkan senarai jemputan daripada kedua-dua belah pihak. Perhimpunan keluarga besar dua mempelai itu berjaya membentuk suasana persaudaraan yang erat.

ADAT bersiram dijayakan Nina Sabrina dan Jovian sebagai penghargaan kepada budaya Jawa dan Melayu.


"Majlis perkahwinan adalah hari bagi menyatukan setiap ahli keluarga. Ia adalah detik istimewa meraikan cinta," lembut tutur Nina Sabrina menyusun bicara.

Mengimbas majlis pernikahan pasangan itu pada 11 Disember lalu di Muzium Diraja Istana Negara Lama, Kuala Lumpur ramai yang memuji persalinan serba sederhana dua mempelai tersebut. Menurut Jovian, busana semua resepsi diilhamkan oleh pasukan perekanya.

Mengaku sedikit tertekan dengan jangkaan orang sekeliling, Jovian yang bertindak sebagai perancang utama rekaan persalinan bagi majlis perkahwinannya hanya mahukan yang terbaik untuk isteri dan dirinya.

"Selalu saya reka baju kahwin orang, sekarang bila saya kahwin, sudah tentu saya ingin hasilkan rekaan paling sempurna," seri pengantin terlihat jelas pada wajah Jovian ketika ditemui Stailo usai majlis persandingan.

Untuk majlis akad nikah, Jovian cuba menghidupkan karakter ringkas Nina Sabrina dengan menekankan idealisme romantik dan manis pada persalinan mereka. Kesamaan Nina Sabrina seperti seorang puteri juga mendorong Jovian memilih konsep kayangan sempena acara memateri cinta itu.

Lazim dikenali sebagai pereka gaya avant garde, Jovian bagaimanapun menolak konsep tersebut pada setiap resepsi perkahwinannya. Tiada dres sarat atau baju Melayu bersongket penuh.

Bak kata Nina Sabrina: "Kami berdua inginkan busana yang tidak akan lapuk ditelan zaman. Maksudnya, bila kami tua dan tengok kembali foto-foto perkahwinan, pakaian ini masih relevan dan ada nilai merentas zaman."

Sehari sebelum persandingan 15 Disember lalu, telah berlangsung resepsi serupa di lokasi yang sama. Namun konsep dekorasi termasuk pelamin bagi dua hari itu adalah berbeza 100 peratus.

Begitu juga pakaian, persandingan pertama menyaksikan Jovian dan Nina Sabrina memilih songket Brunei sebagai latar utama persalinan. Suntikan elemen fusion pula diimbangi sempurna menjadikan ia antara busana yang masyhur dijadikan rujukan. Jovian juga banyak bermain dengan teknik liptan (draping) bagi menghasilkan busana Nina Sabrina.


ACARA memotong kek dan tarian pertama menyaksikan Jovian dan Nina Sabrina tampil moden dalam persalinan Inggeris.


Bersiram

Persandingan kedua pula memaparkan dua set persalinan. Pada awal acara, Nina Sabrina menyarungkan kebaya Jawa yang dihasilkan dengan cantuman fabrik eksklusif iaitu satin duchess dan renda Perancis.

Bagi acara memotong kek dan tarian pertama, Jovian muncul tampan dalam tuksedo putih yang dipadankan bersama celana dan tali leher kupu-kupu hitam. Nina Sabrina pula memukau pandangan apabila memilih untuk mengenakan gaun kembang rona perak dengan perincian bunga dan dedaunan berwarna emas.

Bagi memenuhi saranan si ibu, Any Silvana Salim yang berasal dari Indonesia, Jovian mengadakan acara bersiram, berinai dan khatam al-Quran secara serentak. Ketiga-tiga acara itu dilaksanakan dua hari sebelum majlis pernikahan.

Nina Sabrina memberitahu, acara bersiram sebelum berkahwin juga dilakukan di beberapa tempat di Malaysia dengan tujuan menaikkan seri pengantin. Antaranya ialah di Perak yang juga kampung halamannya.

"Kalau dalam adat Melayu, perempuan perlu berkemban ketika bersiram tetapi kerana saya tidak mahu kelihatan seksi, saya memilih pakaian orang Jawa," kongsi Nina Sabrina yang memakai pelapik dada berasaskan bunga melur pada acara bersiram.

Pada sebelah malamnya pula, Jovian dan Nina diraikan dalam upacara berinai berkonsep Arab dan disudahi dengan majlis khatam al-Quran.

Sementara itu, masih ada satu lagi resepsi persandingan antara Jovian dan Nina Sabrina di Bera, Pahang. Mengikut perancangan awal, ia sepatutnya diadakan pada minggu depan tetapi mungkin ditunda ke bulan Januari depan ekoran bencana banjir.

Sentimen seksi dres midi

Posted:

Sentimen seksi dres midi

Sentimen seksi dres midi

Oleh ALIF ABU BAKAR

MOTIF barok tersusun kemas pada dres midi ini sekali gus menghadirkan aura menggoda si pemakai.


IDEOLOGI seksi seorang wanita secara kasarnya diukur pada potongan badan. Kecantikan susuk tubuh kaum Hawa tambah menyerlah apabila ia disarung pakaian yang melekap sempurna mengikut bentuk.

Dres dengan potongan mencecah pertengahan betis atau dalam terma fesyen digelar dres midi antara item terbaik untuk digayakan dalam usaha menampilkan pesona seksi itu. Justeru, jenama dalam talian tanah air, Kree menghamparkan dua rekaan dres midi khusus buat pengikut setia mereka.

Diberi nama Candice, dres midi keluaran sulung Kree dicabangkan kepada dua tona yang elegan. Cantuman rona hijau, biru dan putih menghidupkan jiwa alam pada dres midi bercorak flora, menyerlahkan perwatakan feminin semula jadi si pemakai.

Menggunakan likra jersi sebagai teras material, satu lagi rekaan dres midi Kree disuntik penegasan pada aturan warnanya iaitu jingga dan putih beralun senada dalam cetakan barok (baroque) iaitu seni popular di Eropah pada abad ke-17.

Dres panjang

Kehangatan sambutan skirt mini Fabulous Kree beberapa bulan lalu pula dijadikan kesempatan jenama tersebut untuk turut menghasilkan dres panjang dengan rekaan sofistikated sederhana.


PENERAPAN elemen batik pada dres Alayna memberikan nilai Asia dalam konteks moden.


Pereka Kree, Afiq Mohamed sekali lagi menunjukkan kehalusan kerjanya menerusi dres panjang Irina, Alayna, Helena dan Aymeline. Keseluruhannya, terdapat lebih 10 rekaan dres panjang ditawarkan kepada para pelanggan.

Tanpa mengehad usia terhadap ciri rekaan, setiap helaian bijak mengimbangi nilai versatil, fungsional dan kesepadanan. Keselesaan kekal menjadi tunjang penghasilan pakaian Kree selepas mengambil kira ciri-ciri pengikut mereka yang terdiri daripada wanita aktif dan tinggi keyakinan.

Likra dipilih sebagai fabrik utama dalam koleksi dres panjang kali ini. Olahan ringkas pada dres Aymeline mencipta penampilan eksklusif dengan bersahaja. Saduran motif flora besar dalam persalinan hitam itu bagai memberi tarikan magnet kepada si pemakai.

Begitu juga Irina yang memadankan dua rona paling klise, hitam dan putih. Penerapan motif barok pada bahagian bawah dres seakan-akan mencipta ilusi bahawa ia tercantum daripada blaus dan skirt labuh. Tidak lupa, mainan minimum motif batik yang menjadi jati diri Asia Tenggara pada Alayna.

"Bagaimanapun kami masih memberi pilihan kepada mereka yang kurang menggemari fabrik likra. Dres panjang Helena misalnya diperbuat daripada sifon," kongsi Afiq.

Koleksi baharu Kree kini boleh diperoleh menerusi laman web www.kree.my pada harga bermula RM199.90 sehingga RM259.90.

Gedung tumpuan fesyen kasual

Posted:

Gedung tumpuan fesyen kasual

Gedung tumpuan fesyen kasual

Oleh ALIF ABU BAKAR


BARISAN blazer sedia pakai yang menepati saiz orang Asia.


SEJAK diperkenalkan pada tahun 1947, perusahaan H&M Hennes & Mauritz AB (H&M) terus melakar sejarah cemerlang dalam industri fesyen antarabangsa. Selepas 66 tahun, jenama yang bermula di Sweden itu telah melebarkan sayapnya ke 43 buah negara dengan lebih 2,500 gedung dibuka di seluruh dunia.

Malaysia antara negara yang baru menerima kehadiran H&M pada tahun lalu. Namun, dalam tempoh setahun, cawangannya bercambah pantas. Sejak dibuka di Lot 10, Kuala Lumpur, label tersebut kemudiannya dikembangkan ke Selangor menerusi pusat beli-belah Paradigm Mall, Setia City Mall dan 1Utama. Warga Pulau Pinang juga bertuah selepas gedung H&M dibuka di Gurney Paragon.

Bulan lalu, H&M meneruskan kegemilangannya di Malaysia. Pembukaan gedung keenam di Avenue K, Kuala Lumpur menjadi petanda penerimaan luar biasa masyarakat tempatan kepada jenama tersebut.

Konsep

Tidak banyak beza berbanding gedungnya yang lain, H&M Avenue K masih mengekalkan konsep sederhana pada perincian dekorasi. Inspirasi rekaan Sweden meniupkan rasa selesa dalam diri setiap pengunjung sepanjang berbelanja.

Susun atur gedung dibahagikan kepada tiga tingkat. Barangan wanita ditempatkan di aras tanah iaitu tingkat teratas jika menggunakan pintu masuk utama Avenue K. Bahagian kanak-kanak terletak di aras tengah manakala ruangan kaum Adam ditetapkan di aras bawah.

Warna putih melatari keseluruhan 3,251 meter persegi gedung tersebut. Tempias rona pucat seperti perak dan coklat kayu diselitkan pada beberapa rak yang menggantung pakaian.


PELBAGAI stail pakaian wanita yang dijual di H&M.


Menawarkan

Tiada apa yang lebih menarik tentang H&M melainkan pakaian sedia pakai yang dijual pada harga berpatutan. Meskipun bergelar produk luar negara, kebanyakan barangan H&M tidak memerlukan pelanggan membelanjakan wang yang besar. Kualitinya juga boleh dibanggakan.

Gedung baharu itu menawarkan seleksi pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak yang dikemas kini mengikut musim. Namun, ia masih mengikut kesesuaian cuaca di negara ini.

Wanita H&M paling beruntung kerana pakaian yang dijual merangkumi pelbagai stail seperti gaya santai, formal dan elegan, semuanya serba lengkap. Aksesori seperti beg tangan, anting-anting dan selendang juga antara item yang sering menangkap perhatian para wanita.

Pengaruh fesyen jalanan Eropah pula ketara dilihat pada helaian kaum Adam. Jean sendat yang pernah mengisi ketaksuban remaja kini diganti dengan lambakan seluar potongan langsing (slim fit). Pengaruh baju-T polos pula beralih kepada singlet bercetak atau berhias grafik santai.

H&M juga bijak menyebarkan dogma fesyen kasual segak dalam kalangan lelaki tempatan. Sebelum ini, sukar untuk melihat golongan jejaka lokal menyarungkan blazer atau sut separa formal untuk acara santai, namun sejak kebelakangan ini, gaya bersut atau padanan blazer bersama kemeja polos dan khaki menjadi trend hangat.

Barisan blazer sedia pakai yang menepati saiz orang Asia menjadikan H&M gedung pilihan utama kebanyakan lelaki kota khususnya kelompok belia.

Keistimewaan

Gedung H&M Avenue K mungkin tidak sebesar gedung pertamanya di Lot 10, namun ruang sederhana itu menjadi keistimewaan kepadanya. Meskipun terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur, gedung baharu itu tidak terlalu padat berbanding cawangannya yang lain.

Kedudukan strategik bersebelahan stesen transit aliran ringan KLCC turut menjadi kelebihan kepada H&M Avenue K.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved