Selasa, 3 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Cara baharu tarik pembaca

Posted:

Cara baharu tarik pembaca

Cara baharu tarik pembaca

BEROPERASI sejak 15 tahun lalu, Readers Paradise di Ampang Point, Ampang, Selangor menjadi tumpuan warga kota untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan.

Gedung tersebut menawarkan perkhidmatan sewaan buku dan antara judul buku yang banyak disewa oleh para pembaca ialah novel berbahasa Melayu dan Inggeris.

Dengan keadaan kedai yang semakin sempit dengan 20,000 buah buku pelbagai judul itu, pemiliknya, Khadijah Abdul Hamid, 54, menjadi tidak keruan. Apabila pembaca memulangkan buku-buku yang dipinjam, tiada ruang untuk menyimpan buku-buku itu.

Ditambah pula, setiap keluaran terbaharu novel tempatan dan antarabangsa, Khadijah akan membeli lima buah buku judul yang sama untuk diletakkan di kedainya bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Lambakan buku di kedainya menyebabkan Khadijah berusaha sedaya-upaya mencari jalan untuk melupuskan buku-buku yang masih baik itu.

"Saya mula menyertai Jualan Buku But Kereta Perbadanan Kota Buku (PKB) di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu. Sepanjang acara ini, sambutan daripada pengunjung di gerai Readers Paradise amat menggalakkan," ujarnya ketika ditemui semasa jualan buku but kereta anjuran PKB baru-baru ini.

Menurut Khadijah, acara tersebut merupakan platform terbaik untuknya menjual judul novel baharu dan lama kepada pembaca.

Tanpa memerlukan meja, Khadijah yang dibantu oleh anaknya yang hanya meletakkan kira-kira 200 judul novel di atas karpet dan tikar di belakang but kereta miliknya.

Setiap novel dijual pada harga RM5 dan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang minat membaca.

Walaupun murah jika dibandingkan dengan harga pasaran, novel yang dijual masih dalam keadaan baik tanpa sebarang cacat cela. Setiap buku dibalut dengan plastik bagi menjamin kualiti untuk dijual kepada pembaca.


KHADIJAH menunjukkan beberapa judul novel klasik yang dijual di gerai Readers Paradise.


"Selain menjual buku, saya juga berpeluang memberi maklumat mengenai gedung Readers Paradise kepada pembaca. Saya juga akan memberi cadangan kepada pembaca mengenai judul-judul novel yang bersesuaian dengan minat dan umur mereka.

"Kebanyakan pembaca yang hadir ke program ini meminati novel-novel bahasa Melayu. Ada yang mencari naskhah daripada penulis terkenal, tidak kurang pula yang meminati karya penulis baharu. Pembaca mempunyai banyak pilihan novel sepanjang acara ini berlangsung," jelasnya.

Antara nama penulis novel lama dan baharu yang menjadi pilihan pembaca pada jualan buku but kereta Readers Paradise ialah Sharifah Abu Salim, Abdul Rahim Awang dan Siti Rosmiza.

Tambah pendapatan

Menurut Khadijah, novel lama bertajuk Pulang dan Boneka hasil nukilan Abdul Rahim Awang merupakan antara judul yang mendapat perhatian mereka yang meminati karya penulis itu.

Beliau berjaya mengurangkan jumlah buku di kedainya selain dapat menambah pendapatan sehingga RM300 sepanjang menyertai program tersebut.

"Selain menjual, saya dan rakan-rakan peniaga lain bertukar-tukar membeli buku antara satu sama lain. Suasana itu berbeza dengan perniagaan di kedai.

"Urus niaga di kedai berlangsung antara pelanggan dan pembaca. Tetapi di sini, saya dapat bertukar-tukar pendapat mengenai industri buku walaupun kami bukanlah penerbit buku di syarikat penerbitan," ujarnya.

Readers Paradise menjadi tumpuan penggemar buku terpakai di acara itu. Pada harga yang murah, pembaca dapat membeli lebih sebuah novel lama dan baru untuk dibawa pulang.

Selain Readers Paradise, dianggarkan sebanyak 15 buah kereta terlibat dengan acara bulanan PKB itu.

Jualan Buku But Kereta PKB dianjurkan sejak setahun lalu dengan menjadikan kawasan tempat letak kenderaan Perpustakaan Negara sebagai lokasi utama.

SETIAP urus niaga di Jualan Buku But Kereta anjuran PKB dijalan secara santai bagi memudahkan peniaga dan pembeli.


Pembacaan puisi

PKB juga tidak mengenakan sebarang caj untuk tapak perniagaan kepada peniaga yang ingin membuka gerai di situ. Aktiviti yang dianjurkan pada setiap hujung bulan ini juga merupakan matlamat terbesar PKB iaitu sebagai pusat sehenti bagi menghimpunkan kegiatan industri buku yang melibatkan pembaca, penulis dan penerbit.

Acara pembacaan puisi daripada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan penggiat seni tempatan juga merupakan pengisian yang mewarnai sepanjang acara itu.

Seorang pengunjung, Mohd. Nazim Abdul Aziz, 41, memberitahu, acara Jualan Buku But kereta merupakan platform terbaik untuk memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut kakitangan awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia itu, dia amat gembira dengan usaha yang dilakukan oleh pihak PKB dalam usaha untuk memberi ilmu mengenai industri penerbitan tempatan.

"Kunjungan saya ke Perpustakaan Negara untuk mengadakan perbincangan pelajaran dengan rakan-rakan lain. Jualan Buku But Kereta ini telah menarik perhatian saya dan keluarga. Di sini, saya juga berpeluang membeli pelbagai judul novel dan buku-buku lain untuk anak-anak.

"Saya jarang mendengar dan mengunjungi acara-acara seperti ini. Kebiasaannya, saya akan membawa keluarga terus ke kedai-kedai buku. Bagi saya, acara ini merupakan cara baharu untuk menarik pembaca membeli buku lebih-lebih lagi di Perpustakaan Negara ini," ujarnya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Menurutnya, kepelbagaian bahan bacaan seperti buku-buku agama, novel, rujukan kanak-kanak dan buku terpakai yang dijual semasa acara itu merupakan tarikan utama untuk pengunjung di acara itu.

Sementara itu, seorang lagi peserta yang terlibat dalam Jualan Buku But Kereta PKB, Siti Aminah Mohd. Said, 35, berkongsi cerita, setiap buku yang dijual akan diberi potongan harga sehingga 20 peratus sepanjang acara itu.

Menurut pemilik penjual buku menerusi akaun Facebook, Al-Qawwiy Online Bookshop itu, diskaun itu merupakan tawaran istimewa hanya kepada pengunjung di acara tersebut.


WAKIL daripada syarikat penerbitan mendeklamasikan sajak dan puisi dengan penuh semangat sekali gus menarik perhatian pengunjung.


Promosi karya

"Sepanjang tiga bulan saya menyertai acara ini, saya membawa kira-kira 200 buah buku untuk dijual dan kebanyakan habis dijual. Jualan Buku But Kereta merupakan satu langkah bijak PKB untuk membantu penjual buku mempromosikan hasil karya penulis tempatan," ujarnya.

Antara novel daripada syarikat penerbitan yang dijual oleh Al-Qawwiy Online Bookshop di acara itu ialah Fajar Pakeer, Kaki Novel, Idea Kreatif, Lovenovel dan Buku Fixi.

Kebiasaannya, kereta Perodua Kelisa biru miliknya merupakan pengangkutan utama untuk membawa ratusan novel itu ke Jualan Buku But Kereta.

Menurutnya, kombinasi pelbagai judul buku dan syarikat penerbitan tempatan yang dijual mampu memberikan gambaran bahawa industri buku di negara ini kepada pengunjung.

"Menerusi acara ini, pengunjung sering bertanya mengenai buku-buku keluaran terbaharu kepada saya. Kebanyakan daripada mereka membeli dan merupakan peminat buku-buku tempatan. Acara ini juga merupakan medan perkongsian ilmu sesama insan," ujarnya yang turut dibantu oleh suami, Abdul Halim Mamat, 35.

Antara judul buku yang dijual oleh Al-Qawwiy Online Bookshop yang mendapat permintaan hangat daripada pengunjung ialah Awek Pisang Goreng, Lafaz Cinta Di Jari Manis Isteri Untuk Disewa dan Suamiku Mr. Blind.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved