Rabu, 6 November 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Antara kepentingan peribadi atau rakyat

Posted:

Antara kepentingan peribadi atau rakyat

Antara kepentingan peribadi atau rakyat

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my
(Yang membuat liputan Forum Filem Antarabangsa Tashkent dan Minggu Kesenian Style.Uz di Tashkent, Uzbekistan dibawa oleh Rafflesia The Pearl Centre)

SEORANG wanita tinggi lampai menyarung sut berwarna hijau zamrud memasuki pintu sebelah kanan Pusat Belia Kebangsaan, Tashkent, Uzbekistan ketika sidang akhbar Minggu Kesenian Style.Uz 2013 sedang rancak berlangsung.

Beliau hanya berdiri di suatu sudut dan memerhati atmosfera sekeliling sambil melontarkan sekuntum senyuman manis.

Tidak perlukan protokol khas atau memberhentikan seketika sidang akhbar yang sedang berlangsung, beliau sebaliknya menghormati sidang akhbar itu sehinggalah salah seorang wakil dari Amerika Syarikat menghabiskan ucapan.

Beliau akhirnya dijemput oleh pengacara majlis untuk turut serta dalam acara yang dihadiri oleh lebih 200 petugas media antarabangsa itu. Melangkah penuh karisma, beliau kemudian duduk di kerusi yang tertera nama Gulnara Karimova.

Gulnara merupakan tetamu kehormat yang paling dinanti-nantikan untuk acara petang itu.

Wanita itu adalah pencetus acara Minggu Kesenian Style.Uz yang sudah berlangsung buat kali kelapan sejak tahun 2006 lagi.

Gulnara, 41, ternyata merupakan wanita yang paling berpengaruh di Uzbekistan.

Gulnara atau popular disapa dengan nama timangannya, Googoogsha itu merupakan anak perempuan sulung Presiden Uzbekistan sekarang ini, Islam Karimov.

Bakal pewaris takhta kerajaan Uzbekistan itu mencuri tumpuan secara luar biasa sama ada menerusi perkembangan bisnesnya mahupun gaya hidup selebriti yang ranggi.

Gulnara merupakan seorang pereka fesyen, penyanyi pop, diplomat dan bakal pemerintah oligarki daripada bapanya.

Pendek kata Gulnara boleh digambarkan sebagai gabungan Donatella Versace, Cheryl Cole dan Ivanka Trumph dalam satu.


GULNARA KARIMOVA percaya masyarakat negaranya lebih pintar berbanding rakyat Amerika Syarikat.


Hobi atau kerjaya

Bagaimanapun, Gulnara enggan menjadikan hobinya dalam dunia seni sebagai satu kerjaya.

Ini kerana dalam masa yang sama, beliau mahu keupayaan dirinya dalam bidang rekaan barang kemas, penulisan sajak, bakat nyanyian dan penciptaan muzik sebagai batu loncatan.

"Sama ada mahu terbabit dalam sesuatu perkara itu secara serius atau menjauhkan diri semuanya terserah pada diri sendiri.

"Golongan profesional biasanya mempertaruhkan masa dan kehidupan mereka untuk semua itu tapi tidak bagi saya," ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui selepas selesai upacara perasmian Minggu Kesenian Style.Uz di Tashkent, Uzbekistan dua minggu lalu.

Hakikatnya, beliau mempercepatkan langkah kehidupannya sama ada untuk diri sendiri atau masyarakat.

Katanya, hidup seorang puteri sangat singkat durasinya: "Saya mahu melakukan segalanya yang saya mahukan ketika ini kerana hidup sentiasa berubah.

"Setiap hari ada sahaja perkara baharu berlaku dalam hidup dan saya mungkin tidak mampu untuk memperoleh segala perkara yang sama dalam masa yang singkat ini."

Bekas lulusan Universiti Tashkent, New York Fashion Institute of Technology dan Universiti Harvard itu turut berhasil menerobos pekarangan Geneva, Switzerland.

Memandangkan beliau wanita pertama Uzbekistan yang memperkenalkan negaranya kepada pertubuhan Perikatan Antarabangsa Geneva (UNOG) saban tahun, Gulnara menampakkan dirinya cukup sempurna untuk disegani negara-negara Barat.

GULNARA hadir penuh anggun pada acara Minggu Kesenian Style.Uz 2013 pada 27 Oktober lalu.


Kemusnahan perkahwinan

Seorang wanita yang berkerjaya tetapi dalam masa sama mampu membesarkan dua cahaya matanya, Islam, 16, dan Iman, 11, bersendirian selepas rumah tangga yang dibina bersama usahawan Amerika Syarikat kelahiran Afghanistan, Mansur Maqsudi musnah 12 tahun lalu.

"Apabila saya ditanya di manakah rumah saya, saya jawab rumah saya di mana sahaja anak-anak saya berada. Kami cuba untuk meluangkan waktu petang bersama-sama begitu juga menikmati hidangan lewat petang.

"Adakalanya jika saya perlu bekerja pada waktu petang saya akan tetap mencari waktu untuk bersama-sama dengan mereka sama ada mereka akan menunggu saya pulang untuk menikmati makan malam awal atau lewat bersama.

"Oh! Alangkah indah kalau saya diberikan waktu 25 jam sehari," tambahnya.

Perceraian Gulnara dan Mansur sebelum ini pernah menjadi kontroversi yang menggemparkan ekoran perebutan hak penjagaan kedua-dua anak mereka.

Ujar Gulnara, seboleh-bolehnya beliau enggan berbicara mengenai perkara itu di hadapan kedua-dua anaknya.

Perebutan itu sehingga melibatkan mahkamah untuk mengenakan hukuman penalti dan penjara terhadap Gulnara sekiranya dia berada di Amerika Syarikat dan hal yang sama dijatuhkan pada Mansur sekiranya berada di Uzbekistan.

Susulan itu, selepas hampir lima tahun bergelut merebut hak penjagaan anak, mahkamah Amerika Syarikat memutuskan Gulnara beroleh hak penjagaan rasmi Islam dan Iman.

Ditanya adakah beliau masih terguris dengan tindakan sesetengah pihak yang mengambil kesempatan hingga mengaitkan isu itu dengan autoriti serta kebebasan di Uzbekistan, Gulnara mengakui.

"Kini saya sudah lega, anak-anak saya sudah bebas untuk bergerak, belajar dan mengembara termasuk di Amerika Syarikat. Biarpun sukar untuk saya melupakannya tapi saya kini boleh bernafas dan kembali meneruskan kehidupan.

"Di Uzbekistan, kami percaya anak-anak tidak boleh hidup tanpa ibunya. Atas dasar itu, masyarakat kami rasanya lebih pintar berbanding masyarakat Amerika Syarikat dan saya gembira apabila kedua-dua anak saya tinggal bersama saya," ujarnya.

Kecewa atau tidak dengan perkahwinan itu? Jawab Gulnara: "Saya tidak tahu, dengan pengalaman 'indah' ini yang telah membenamkan saya sedalam-dalamnya, saya seperti enggan berkahwin lagi."


GULNARA (tengah) dirakam pada sidang akhbar Minggu Kesenian Style.Uz 2013 di Tashkent, Uzbekistan baru-baru ini.


Fesyen

Aktif dalam bidang politik, kebajikan dan bisnes tidak menghalang Gulnara menceburi dunia fesyen dan nyanyian.

Pada tahun 2009. Gulnara telah mempersembahkan koleksi barang kemas kolaborasi bersama syarikat terkenal Switzerland, GULI for Chopard.

Hasil daripada kutipan jualan barang kemas itu telah disalurkan untuk Festival Kanak-kanak Yangi Avlod (New Generation).

Setahun kemudian, beliau tampil dengan koleksi fesyen Guli yang menampilkan fabrik serta rekaan berasaskan kot labuh tradisional Uzbekistan sempena Minggu Fesyen di New York, Amerika Syarikat.

Kecenderungan Gulnara dalam bidang seni mendorong beliau untuk mengemudi Minggu Kesenian Style.Uz yang menampilkan barisan pereka fesyen terkemuka antarabangsa seperti Cavalli, Scervino dan Chopard selain membabitkan Festival Teater Antarabangsa Theatre.Uz, Forum Filem Antarabangsa Tashkent Golden Guepard, pertunjukan karya seni Biennale & Ponobiennale, kelas seni, konsert dan acara kebajikan.

Gulnara dalam pada itu telah memperkenalkan wangian pertamanya Victorious for Men dan Mysterieuse for Women sempena Minggu Kesenian Style.Uz 2012.

Jika Gulnara mencintai negara, keluarga, pemerintah, ibu, kelulusan, negara dan bahasanya, beliaulah yang diertikan seorang puteri yang mana undang-undang tidak pernah bersara. Hari ini, Gulnara adalah wajah utama Uzbekistan dalam setitis suntikan revolusi glamor.

Style.Uz cetusan Gulnara

Posted:

Style.Uz cetusan Gulnara

Style.Uz cetusan Gulnara

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


DARI kiri: Alia Bastamam, Datuk Profesor Jimmy Choo dan pengasas Rafflesia, Winnie Soo bangga berada di pentas Minggu Kesenian Style. Uz.


MINGGU Kesenian Style.Uz merupakan salah sebuah acara kebudayaan dan kesenian terbesar dan berprofil tinggi yang pernah dianjurkan negara-negara sekitar Asia Tengah.

Bermatlamat untuk membangunkan bidang fesyen dan kesenian kontemporari serta tradisional negara Uzbekistan, acara yang diasaskan oleh Gulnara Karimova itu memulakan langkah sulung pada tahun 2006 lagi.

Biar pun ketika itu penganjuran acara itu cuma bersifat skala kecil, perkembangan positif dilihat saban tahun berjaya dilaksanakan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Gulnara dengan nama Fund Forum.Uz.

Seiring pertambahan agenda antaranya konsert dan peragaan barang kemas yang berlangsung setiap kali penganjuran acara itu, pelbagai penambahbaikan dilaksanakan termasuk kemasukan Festival Teater Antarabangsa bermula tahun 2010 dan Forum Filem Antarabangsa Tashkent Golden Guepard bermula tahun 2011.

Pada tahun 2011, Style.Uz dijenamakan bersama moto baharu Mix of Dreams, Colors and Emotions berserta simbolik warna-warna ceria daripada paten fabrik terkenal Uzbekistan, han atlas.

Style.Uz yang diadakan setiap tahun menampilkan pelbagai pameran seni moden dan tradisional, pameran fotografi, pertunjukan fesyen, Festival Pakaian Kebangsaan, demonstrasi filem, produksi teater, acara kebajikan, konsert oleh bintang popular antarabangsa dan bengkel bersama pakar dalam setiap bidang.

Acara itu juga kian mendapat perhatian dunia merangkumi kelompok pereka fesyen, artis, pemuzik, media dan usahawan daripada segenap negara termasuk Malaysia.

Forum Filem Antarabangsa Golden Guepard

Menggunakan moto tetap Civilizations of the 21st Century: Dialog of Cultures merupakan sebuah forum yang membincangkan kritikan penyertaan filem dari beberapa negara yang bertanding.

Pertama kali diadakan pada tahun 2011, acara itu menarik penyertaan 45 buah negara dan tahun lalu sebanyak 503 penyertaan daripada 50 buah negara telah diterima.

Tahun 2013 telah menukar slogan Per speculum et in aenigmate yang bermaksud enigma daripada sekeping cermin telah memilih 11 buah filem cereka, 13 buah filem pendek dan 10 buah filem animasi daripada lebih 500 penyertaan.

Pembukaan acara itu berlangsung pada 19 Oktober dan majlis penutup dan pengumuman pemenang telah diadakan pada 24 Oktober lalu.


PEMAIN biola dan konduktor terkenal Rusia, Yuri Bashmet turut menghiburkan para tetamu.


Festival Filem Antarabangsa Theatre.Uz

Pada penganjuran kali keempat tahun ini yang bermula 20 hingga 26 Oktober lalu, sebanyak empat bengkel, enam persembahan teater antarabangsa, enam persembahan teater tempatan Uzbekistan serta lapan persembahan teater kecil Tashkent telah berlangsung.

Membabitkan produksi teater Uzbekistan, Israel, Lithuania, Rusia dan Tajikistan, pementasan turut membabitkan karya terkenal Alisher Novoi, Abdulla Qodiri, Alessandro Baricco, Ilya Chlaki dan Carlo Gozzi.

Konsert

Bermula tahun 2008, memperlihatkan pembabitan artis antarabangsa seperti Julio Iglesias, Rod Stewart, Sting, Eros Ramazotti, Ennio Marricone, Sophie Ellis Bextor dan Demis Roussos mengadakan konsert sempena Style.Uz.

Tahun 2013, konsert Style.Uz diserikan dengan persembahan pemain biola dan konduktor muzik terkenal Rusia, Yuri Bashmet pada 22 Oktober serta penyanyi soprano Lara Fabian pada 27 Oktober.

Pertunjukan fesyen

Pereka fesyen antarabangsa antaranya Guy Laroche, Balmain, Yves Saint Laurent, Valentino, Max Mara, Dolce & Gabbana, Versace, Oscar De La Renta, Roberto Cavalli dan Carolina Herrera turut memperlihatkan hasil koleksi masing-masing sebelum ini.

Tahun ini, pertunjukan fesyen membabitkan pereka antarabangsa seperti Seville Fashion School, Antonio Garcia, Hello Kitty, Kosuke Tsumura, Vlov, Christophe Guillarme, Stefano Ricci telah membuat kemunculan.

Paling mengujakan, pereka fesyen Alia Bastamam turut mempersembahkan rekaan koleksi pakaian pengantin terbaharu beliau berkolaborasi dengan pengeluar barang kemas terkenal Rafflesia serta koleksi kasut Jimmy Choo.

Maldives tarik kehadiran pengembara

Posted:

Maldives tarik kehadiran pengembara

Maldives tarik kehadiran pengembara


KERAJAAN Maldives menetapkan dua undang-undang berbeza bagi rakyat dan pelancong bagi menjaga kemakmuran negara itu.


MALDIVES merupakan salah satu destinasi percutian eksklusif di dunia. Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, ia menjadi tumpuan golongan pengembara bajet, sekali gus membuatkan agamawan di negara itu berasa tidak selesa dengan kehadiran mereka.

Kebiasaannya, pelancong yang menjejakkan kaki di lapangan terbang negara itu akan menaiki bot laju atau pesawat laut untuk ke resort persendirian yang dikelilingi batu karang indah. Di situ, pelancong bersantai dan menghabiskan masa tanpa mengendahkan keadaan negara sekeliling mereka.

Ia satu senario yang biasa dilihat sejak beberapa dekad lalu ekoran polisi yang memastikan pelancong asing mewah, terutamanya dari Barat dan pasangan pengantin baharu, berada di kepulauan-kepulauan tidak berpenghuni dan terasing daripada populasi Muslim tempatan.

Kerajaan Islam negara itu telah menetapkan dua undang-undang berbeza iaitu pelancong dibenarkan meminum alkohol, makan daging babi dan hubungan seks luar nikah bagi mereka yang belum berkahwin. Bagi wanita Maldives pula, mereka akan disebat di khalayak ramai sekiranya berzina.

Negara Islam

Naib Presiden Parti Adhaalath yang bersifat konservatif, Mauroof Hussain berkata, memandangkan Maldives merupakan sebuah negara Islam, pihaknya sentiasa menyokong idea bahawa industri pelancongan perlu diasingkan dari pulau-pulau yang didiami penduduk.

"Sekiranya pelancong yang datang membawa dadah, ia turut memberi kesan negatif kepada masyarakat di sini," ujarnya.

Walaupun gugusan kepulauan itu jauh dari penempatan penduduk, pelancong tetap memilih untuk bercuti di sekitar ibu kota Maldives, Male dan Pulau Maafushi terletak berhampiran selepas pengenalan polisi baharu yang bertujuan menarik pengembara bajet ke negara itu.

"Pelancong berbogel di kawasan kediaman penduduk adalah sesuatu yang tidak dapat diterima. Penduduk merungut ketika mereka bersolat di masjid, pelancong pula berbikini di sekitar kawasan itu," tambah Mauroof.


SEKUMPULAN lelaki bermain catur di luar restoran di Male.


Sejak pembaharuan yang dilaksanakan presiden pertama Maldives yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Nasheed pada tahun 2009, penduduk Maldives dibenarkan untuk membuka rumah tumpangan di kawasan-kawasan pulau yang berpenghuni.

Seorang usahawan tempatan, Ibrahim Mohamed, 25, memperoleh keuntungan hasil perniagaan rumah tumpangan iaitu Sundhara Palace.

"Penduduk Maldives merupakan rakyat yang peramah. Masyarakat di sini tidak mahu pelancong diasingkan daripada penduduk. Ia merupakan kehendak kerajaan dan segelintir ahli perniagaan tempatan," ujarnya.

Sundhara Palace yang terletak di Male dibuka pada awal September lalu. Rumah tumpangan tiga bilik itu menawarkan penginapan asas serendah AS$30 (RM94) semalam.

Resort paling murah di negara itu kebiasaannya menawarkan harga 10 kali ganda lebih mahal berbanding Sundhara Palace. Selain kadar penginapan semalam yang mencecah ribuan ringgit, pihak resort juga menghidangkan makanan dan minuman yang mahal.

Potensi perniagaan

Menurut Ibrahim, polisi di rumah tumpangan merupakan sistem terbaik untuk memberi keuntungan kepada rakyat dan bukan ahli perniagaan yang kaya.

Segelintir pemilik resort yang mempunyai hubungan baik dengan pemerintah autokratik selama 30 tahun iaitu Maumoon Abdul Gayoom, terus menguasai ekonomi dan politik di Maldives.

Kumpulan ahli perniagaan yang berpengaruh itu telah bersatu menentang Mohamed yang digulingkan pada Februari 2012 oleh pemberontakan pasukan keselamatan yang dipanggilnya sebagai satu rampasan kuasa.

Usaha bekas pemimpin itu untuk kembali berkuasa melalui peti undi, gagal ekoran protes dan ketidakpastian rakyat selepas Mahkamah Tinggi Maldives membatalkan kemenangannya pada pilihan raya yang berlangsung pada 7 September lalu.

Keputusan mahkamah itu merupakan susulan pertikaian daripada calon pilihan raya, Gasim Ibrahim yang juga merupakan salah seorang taikun di Maldives dan penyokong Parti Adhaalath.

Terbaharu, pilihan raya Maldives akan diadakan semula pada 9 November ini dan jika perlu, proses ulangan seminggu selepas itu.

Sekiranya dipilih semula, Mohamed berjanji untuk mengembangkan polisi rumah tumpangan sebagai program pembaharuan sosial dan ekonomi negara itu.

"Industri ini berkembang dengan begitu pesat. Kami berpendapat banyak potensi yang harus diterokai," ujarnya kepada pemberita sebelum sesi pengundian pusingan pertama pilihan raya September lalu. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved