Khamis, 7 November 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Antara kulinari dan perbankan

Posted:

Antara kulinari dan perbankan

Antara kulinari dan perbankan

SEKALI pandang wajah Nik Michael Imran Nik Ezar, pasti ramai akan menyangka dia seorang lelaki Barat yang tidak fasih berbahasa Melayu.

Ironi, pandangan pertama itu salah. Ini kerana, biarpun memiliki wajah Pan Asian yang cukup ketara, namun jejaka tersebut begitu fasih berbicara dalam bahasa Melayu - satu bahasa yang semakin asing untuk digunakan dalam kalangan anak muda sekarang.

Bertemu dengannya baru-baru ini, banyak perkara yang dikongsikan oleh jejaka dengan panggilan mesra Nik ini.

Mula tampil dalam program pertandingan masakan Masterchef musim pertama, nama Nik mula dikenali setelah diberi peluang untuk mengendalikan program masakan yang berjudul Hello Bro…Tolong Masak.

Terkini, karier sebagai chef selebriti dikembangkan dengan sebuah lagi program masakan kendaliannya, Dapur Panas.

Seiring dengan perkembangan positif karier 'bidang terjun'nya ini, Nik yang baru berusia 24 tahun turut memiliki sebuah restoran yang diberi nama Picknik.

Ternyata Nik bukan hanya bersandarkan wajah yang tampan, namun lelaki berdarah kacukan Melayu-Australia ini juga mempunyai aura yang dapat menarik masyarakat untuk menonton program masakan yang dikendalikannya.

"Saya bermula dengan menyertai program realiti masakan Masterchef dan sejak dari itu, mereka lihat saya punya pengikut dan peminat tersendiri.

"Jadi, pada waktu itu pihak Astro menawarkan saya menjadi chef santai dalam program masakan, Hello Bro…Tolong Masak, dan ia sekali lagi mendapat respons yang baik sehingga membuat saya berada di sini pada hari ini," ujar Nik membuka bicara.

Nik kemudian memberitahu, dia telah mencipta resipi peribadinya sepanjang mengendalikan program masakan yang disiarkan.

"Saya tidak curi resipi sesiapa atau menggunakan resipi yang sedia ada," jelas Nik ketika sidang akhbar program masakan terbaharu yang dikendalikannya, Dapur Panas.


SELAIN bidang kulinari, Nik turut mempunyai ijazah dalam bidang kewangan.


Memasak di usia muda

Bicara Nik menceritakan minatnya dalam bidang kulinari atau masakan, dia telah mula meminati bidang yang pada dasarnya dimonopoli golongan wanita di rumah.

Namun, ia berjaya dikomersialkan oleh banyak lelaki sebagai selebriti chef, seawal usia sembilan tahun. Bagaimanapun, dia hanya mula memasak dengan serius setelah berusia 15 tahun.

"Saya minat memasak kerana mengikut ayah saya yang juga seorang chef di Australia. Apabila dia pulang ke Malaysia, dia banyak memasak untuk keluarga dan rakan-rakan yang datang bertandang di rumah.

"Saya juga tidak pasti mengapa minat memasak sebenarnya, namun mungkin kerana sudah biasa melihat bapa saya memasak dan terdedah dengan apa yang dia lakukan, jadi minat itu datang secara semula jadi," tutur Nik yang menjadikan bapanya sebagai mentor.

Menambah cerita mengenai minatnya ini, bicara Nik, memasak membuatkan dirinya berasa tenang selain dia sendiri memang gemar mencipta resipi baharu yang eksklusif.

"Saya gemar mencipta resipi yang lain daripada kelaziman masyarakat. Jika mengendalikan program masakan, saya memang akan mencipta resipi saya sendiri.

"Apa yang paling saya berpuas hati dan gembira dalam minat memasak ini ialah apabila pinggan berisi masakan yang saya sediakan, habis atau kosong.

"Begitu juga ketika mengendalikan program masakan. Kesemua resipi tersebut merupakan resipi yang direka khas saya sendiri.

"Saya tidak curi resipi sesiapa atau reseipi yang sedia ada," jelasnya tentang prinsip diri tentang program masakan.

Apa yang menariknya, walaupun pakar dalam masakan Itali dan Perancis, namun hidangan kombinasi nasi putih, sambal belacan, telur dadar serta sup kosong merupakan antara menu masakan yang digemari Nik setelah penat bekerja di restorannya.

"Agak sukar ingin jelaskan masakan kegemaran saya, namun apabila saya telah selesai dengan kerja di restoran, akhirnya santapan yang dipilih saya ialah nasi putih, telur dadar, sambal belacan dan sup kosong. Atau kata lain, menu nasi bujang," jelas Nik ringkas tentang makanan kegemarannya termasuk tempoyak serta tapai pulut.

Bercerita tentang dirinya, jelas Nik, ketika belajar dia mengambil ijazah dalam jurusan kewangan. Ditebak tentang perbezaan jauh antara bidang masakan dan kewangan, tutur Nik, ia merupakan perancangan masa depannya yang juga dipengaruhi oleh bapanya.

NIK MICHAEL mengaku tidak pandai menghiburkan penonton programnya dengan interaksi bersifat humor, namun dia mahu penonton senang memahami resipi yang sedang diajar.


Ambil peluang

"Secara jujur, saya terjebak dalam dunia sebagai chef selebriti ini kerana mendapat pendedahan dan publisiti yang cukup meluas selepas saya menyertai Masterchef. Bagaimanapun, pada masa yang sama, saya juga meminati bidang kewangan dan juga membesar dengan pengalaman bapa saya sebagai seorang bekas CEO sebuah bank.

"Jadi, saya terdedah dalam dua bidang ini serentak.

"Saya kira, misalnya jika masa depan saya tak panjang dalam dunia masakan, saya masih lagi punya pengetahuan dalam kewangan," ceritanya panjang lebar.

Malah akui Nik, dia masih menyimpan minat untuk terlibat dalam dunia perbankan. Bagaimanapun, buat masa ini, menjadi chef selebriti merupakan fokus dirinya.

"Walau apa pun terjadi, masakan masih menjadi minat saya walaupun mungkin suatu hari nanti saya akan bekerja di bank," akhiri Nik tentang perancangan alternatif buat dirinya kelak.

'Suami' sahkan Intan Azura isteri pertama

Posted:

'Suami' sahkan Intan Azura isteri pertama

'Suami' sahkan Intan Azura isteri pertama

Oleh HARYATI KARIM

INTAN AZURA sudah lama tidak muncul dalam produksi lakonan.


LAMA tidak mendengar perkhabaran terbaharu tentang Intan Azura, dramatis yang pernah popular suatu ketika dahulu.

Namun, baru-baru ini pihak Kosmo! secara eksklusif perkhabaran yang dramatis berusia 35 tahun ini baru sahaja melangsungkan perkahwinannya di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada minggu lalu dengan seorang lelaki bernama Rashdan.

Kosmo! turut menerima sekeping gambar perkahwinan mereka yang bertarikh 2 November 2013. Intan dan suaminya memakai busana pengantin berwarna merah jambu.

Lelaki yang didakwa menjadi suami kepada Intan merupakan seorang pengurus operasi sebuah kilang telekomunikasi di Hulu Kelang, Selangor.

Apa yang menjadi tanda tanya, Intan dikatakan berkahwin sebagai isteri kedua, bahkan majlis tersebut juga disembunyikan daripada kakitangan tempat lelaki itu bekerja.

Bagi mendapatkan pengesahan lanjut, Kosmo! menghubungi suami Intan. Ketika menghubunginya, Rashdan kedengaran terkejut dan cuba mengelak daripada memberi sebarang jawapan dengan alasan dia bukannya artis.

Disoal adakah benar dia telah berkahwin dengan Intan, jawapan yang diberikan: "Saya tidak mahu memberi sekarang komen ,tetapi saya tidak menafikan atau mengiyakan berita itu. Rasanya saya tidak sesuai untuk menjawab soalan itu kerana saya bukannya artis."

Meskipun mengelak daripada memberi pengesahan tentang perkahwinannya, Rashdan menafikan yang Intan berkahwin sebagai isteri kedua.

"Kalau dia berkahwin, apa yang pasti bukan sebagai isteri kedua, sebaliknya isteri pertama," katanya.

Tambah Rashdan, dia meminta andai ingin sebarang kenyataan berhubung perkahwinan tersebut, tanyalah kepada pihak Intan.

"Apa-apa pun tanyalah kepada tuan punya badan, bukannya saya," tuturnya sambil menyatakan, pihak Intan akan memberi kenyataan kepada pihak media dalam masa terdekat.

Christine percaya jodoh pilihan keluarga

Posted:

Christine percaya jodoh pilihan keluarga

Christine percaya jodoh pilihan keluarga

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

CRISTINA tidak sangka tercalon dalam kalangan Top 5 Pelakon Wanita Terbaik kategori Filem pada Anugerah Skrin 2013.


PERTAMA kali tercalon sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi Anugerah Skrin 2013 (ASK2013), pelakon jelita, Cristina Suzanne Stockstill mengakui dia bersyukur biarpun filem KIL lakonannya tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.

Menurutnya yang akan melangsungkan perkahwinan pada 22 Januari tahun depan itu, tiada istilah untuk bersaing, malah menganggap pencalonannya dalam lima pencalonan terbaik (Top 5) itu sudah memadai.

"Saya akui kutipan untuk filem tersebut tidak mengujakan. Ada yang boleh terima mengenai filem bergenre begitu dan ada juga yang tidak boleh menerimanya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana turut tercalon dalam senarai Top 5 ASK2013," ujarnya ketika ditemui pada majlis Debaran Anugerah Skrin 2013 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor.

Cristina tersenarai dalam lima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik kategori Filem bersama pelakon Lisa Surihani (SAM), Nadia Aqilah (Zaiton Ceritaku), Nora Danish (Mencari Cinta) dan Jojo Goh (29 Februari). ASK2013 akan ditayangkan secara langsung pada 29 November ini.

Mengulas lanjut mengenai pencalonannya itu, dia juga teruja kerana tercalon dalam kategori tersebut bersama pelakon-pelakon popular sedangkan akuinya, dia tidak begitu popular dan dikenali ramai.

"Saya tidak sangka tercalon buat pertama kalinya dalam kategori ini kerana sedar hakikat tidak begitu dikenali ramai," ungkapnya seraya merendah diri.

Bagi pelakon berdarah kacukan Jerman, Amerika Syarikat dan Melayu itu lagi, mungkin disebabkan watak Zara dalam filem KIL yang berat dan penuh warna itu membuatkan dirinya tercalon dalam senarai tersebut (Pelakon Wanita Terbaik Filem).

Bakal suami satu kampung

Bercerita mengenai persiapan kahwin pula, kongsi pelakon berusia 28 tahun itu, buat masa ini segara persiapan perkahwinannya diuruskan oleh keluarganya.

Ditanya mengenai keistimewaan memilih tarikh 22 Januari untuk melangsungkan perkahwinan, kata Cristina, ia merupakan tarikh hari lahirnya.

"Masa bertunang dulu pilih tarikh 13 Oktober sempena tarikh lahir tunang. Jadi, tarikh kahwin pula dipilih sempena tarikh hari jadi saya," jelasnya.

Jika sebelum ini ramai yang menganggap dia bertunang secara tiba-tiba kerana kecewa dengan perkahwinan pelakon Bront Palarae, bidas Cristina, ia sekadar kebetulan dan hubungannya bersama Bront tidak lebih daripada rakan sesama industri.

Cristina juga menegaskan, dia tidak kisah menerima pertunangan yang diaturkan oleh keluarganya kerana percaya dengan jodoh pilihan kedua-dua ibu bapanya.

"Kebetulan sahaja tarikh tunang saya dengan majlis perkahwinan Bront jatuh pada tarikh yang berdekatan. Bukan sebab saya kecewa. Bront juga sudah berkawan lama dengan isterinya. Sementara saya pula terima jodoh pilihan keluarga kerana selesa dengan dia (tunang).

"Lagipun kami satu kampung. Saya percaya dengan jodoh pilihan keluarga kerana mereka makan garam dulu sebelum saya," ujarnya yang memberitahu bukan merupakan gadis urban yang menolak jodoh pilihan keluarga.

Bertanya lebih lanjut mengenai gerangan tunang, dengan lembut, Cristina menolaknya dan enggan mendedahkan identiti tunang selagi perkahwinannya belum berlangsung.

Cristina sekadar boleh berkongsi mengatakan tunangnya bekerja di Kuantan dan faham dengan kerjayanya sebagai pelakon.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved