Rabu, 6 November 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Keenakan sajian tarik pelancong

Posted:

Keenakan sajian tarik pelancong

Keenakan sajian tarik pelancong

Oleh ADLAN JAAFAR

JIKA berkunjung ke Kuala Selangor, Selangor, pastikan anda mencari sebuah restoran yang sangat terkenal di sana iaitu, Restoran Mee Udang Banjir. Memang banyak restoran yang menjual mi udang atau mi lain di Kuala Selangor tetapi restoran tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga dikunjungi ramai pelanggan termasuk dari negeri lain.

Restoran ini mudah dicari, kalau memandu dari arah Kuala Lumpur, pastikan anda mencari Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sebelah kiri manakala restoran makanan segera, McDonald's di sebelah kanan kerana ia terletak bersebelahan McDonald's.

Mendengar nama restoran sahaja sudah pasti membuatkan ramai orang teruja, inikan pula apabila semangkuk mi udang berada di depan mata.

Belum pun mangkuk tersebut diletakkan di atas meja, bau manis dan harum udang sudah menusuk hidung, serta-merta keinginan yang terbit pada deria rasa bertambah. Kecur lidah dibuatnya.

Sebaik sahaja mangkuk mi udang banjir dihidangkan di atas meja, pandangan mata pasti terkesima melihat lima hingga enam ekor udang yang besar menutup keseluruhan mi.

"Mi udang berasal dari utara Semenanjung tetapi mak cik tidak pernah merasa mi dari sana," ungkap pemilik restoran itu dan pencipta resipi mi udang banjir, Aliyah Jalal, 53, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sebelum ini, Aliyah berniaga katering secara kecil-kecilan kemudian membuka sebuah restoran lapan tahun lalu yang menjual masakan panas, namun kurang sambutan.

Ekoran itu, dia cuba menghasilkan sesuatu hidangan yang istimewa lalu memilih mi udang. Sebelum itu, dia berkunjung ke banyak restoran di merata-rata tempat bagi mencari resipi terbaik untuk mi udang ciptaannya.


LOKASI Restoran Mee Udang Banjir ini terletak berhadapan Masjid Jamek Sultan Ibrahim dan bersebelahan McDonald's, Kuala Selangor.


Keistimewaan

Akhirnya, tercipta mi udang banjir dengan keistimewaan pada kuahnya yang terasa kemanisan udangnya. Apabila ditambah perahan limau nipis, maka terhasillah rasa manis dan masam. Ia juga boleh dinikmati bersama bihun atau kuetiau.

Bagi memastikan rasa kuah mi udang sentiasa sedap, Aliyah memastikan setiap bahan mempunyai sukatan tertentu.

"Penyediaan pes dan membancuh kuah pula, saya dan anak-anak sahaja yang boleh melakukannya," katanya lagi.

Menurut anaknya, Afryza Mohamed Baharudin, 29, pada hujung minggu bilangan pengunjung sangat ramai dan ada yang datang dari Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Pahang semata-mata mahu merasai mi udang banjir.

"Apabila mengetahui mereka datang dari jauh, kami rasa terharu dan bagi memastikan mereka berpuas hati, kami akan bertanya tentang mi udang yang sedang dinikmati sama ada sedap atau sebaliknya," ujarnya.

Terdapat tiga jenis hidangan mi udang disediakan iaitu mi udang special yang mempunyai lima ekor udang galah, mi udang biasa (tujuh ekor udang biasa) dan mi udang (empat ekor udang biasa) yang masing-masing berharga RM12, RM8.50 serta RM5.50.

Selain mi udang, Restoran Mee Udang Banjir turut memiliki menu masakan panas dan istimewa seperti sup itik serati serta nasi korek-korek yang memerlukan individu mengorek nasi untuk mencari lauk.

Cendol bakar

Dalam pada itu, jika berkunjung di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor, mata anda pasti tertarik melihat papan tanda besar tertulis Cendol Bakar.

Menggunakan konsep pandu lalu dan layan diri, Gerai Cendol Bakar terkenal dengan hidangan pelbagai variasi cendol. Ia juga menjual pelbagai jenis makanan lain seperti laksa, pisang goreng dan bakso.

Dekorasi gerai ini diilhamkan berdasarkan reka bentuk rumah kampung. Kesemua pondok tempat duduk beratapkan daun nipah.


GERAI karipap gergasi yang terletak di tepi jalan memudahkan orang ramai membelinya.


Cendol Bakar mempunyai enam jenis pilihan iaitu cendol VIP, VVIP, tapai, pulut tapai, durian dan durian pulut yang setiap satunya mempunyai bahan berbeza disertakan bersama-sama cendol, gula merah serta

santan.

Pemilik Cendol Bakar, Rifhan Farhan Mohamaad Arif, 25, berkata, idea berniaga cendol tercetus ekoran kegemaran dia sekeluarga menikmati cendol.

Nama Bakar didapati ketika penyediaan air gula merah yang digunakan untuk dicampur cendol. Gula merah dibakar terlebih dahulu menjadikan rasanya seperti ada asap sedikit.

Terang Rifhan Farhan lagi, rahsia cendolnya sentiasa mempunyai rasa yang sama adalah pada penggunaan bahan mentah yang tepat dan sentiasa segar.

Bancuhan santan mesti tepat selain ia perlu dihantar setiap hari dan paling lama disimpan selama satu setengah hari.

Bahan tambahan seperti Nata de Coco yang dipilih pula hanya perisa laici atau tiada perisa supaya tidak mengganggu rasa cendol dan bahan utama yang sebenar.

"Jika bahan yang digunakan tidak segar atau berubah sudah pasti memberi kesan kepada rasa dan kualiti cendol. Santan yang dibiar lama boleh menjadi masam," ungkap Rifhan Farhan.

Konsep gerai dan pandu lalu Cendol Bakar mengalami evolusi apabila bilangan pengunjung semakin ramai.

"Kemudahan tersebut bagi memudahkan pelanggan menikmati cendol. Tidak sangka, ia menjadi suatu tarikan," katanya.

Gerai Cendol Bakar ketika ini hanya terdapat di dua lokasi iaitu di Kuala Selangor dan Rembau, Negeri Sembilan.


BUKIT MELAWATI merupakan identiti Kuala Selangor yang menjadi tumpuan pelancong.


Karipap gergasi

Di Kuala Selangor juga mempunyai satu lagi sajian unik iaitu karipap gergasi yang bersaiz sejengkal tangan individu dewasa.

Karipap gergasi itu mempunyai reka bentuk sama seperti karipap tradisional cuma bersaiz besar.

"Rahsianya terletak pada proses pembuatan yang masih mengekalkan kaedah tradisi termasuk menguli dan menggoreng," kata Khalijah Jamari, 30, yang menguruskan tiga buah cawangan karipap gergasi iaitu Kampung Assam Jawa dan Taman Belibis, Kuala Selangor dan sebuah di Kapar, Klang.

Selain itu, kesedapan karipap itu terletak pada inti kentangnya yang menyerap perasa gabungan rempah yang dimasak sekali.

Sebelum ini, Khalijah memberitahu, saiz karipap gergasi itu dua kali ganda berbanding sekarang dan dijual pada harga RM5 satu tetapi ia amat rumit untuk digoreng.

"Minyak yang banyak diperlukan iaitu 20 kilogram untuk menggoreng dua biji pada satu-satu masa selain menggunakan api yang sangat perlahan kerana takut pecah di bahagian tengah karipap," jelasnya.

Terdapat dua jenis karipap gergasi iaitu ayam dan daging yang berharga RM3.50 setiap satu.

Menurutnya, pengunjung lebih ramai pada hujung minggu dan ada yang membeli pada kuantiti banyak antara 10 hingga 20 biji pada satu-satu masa.

Mendalami klise Bali

Posted:

Mendalami klise Bali

Mendalami klise Bali


KEHIJAUAN padi bukit di Tegallang menjemput ketenangan setiap pengunjung.


KEINGINAN menyingkap misteri pesona Bali, Indonesia seperti mana yang diceritakan rakan-rakan membuatkan saya rasa teruja untuk meneroka pulau tersebut.

Akhirnya, pada pukul 12 tengah hari waktu Bali, pesawat yang saya naiki bersama seorang teman mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Denpasar. Memasuki ruang ketibaan, teman saya menyatakan ketakjubannya terhadap perubahan drastik lapangan terbang tersebut.

Dulu, pintu utama yang menyambut kehadiran orang luar ke tanah Bali itu hanyalah sebuah bangunan kayu usang. Kini, ia sedang melalui proses pembangunan drastik dilengkapi infrastruktur berteknologi terkini.

Projek menaik taraf itu bagaimanapun tidak menyekat restoran francais Malaysia, Bangi Kopitiam untuk mula beroperasi di tingkat bawah prasarana tersebut. Mereka yang teringin menghirup teh tarik seperti di tanah air disarankan duduk di kopitiam itu sebelum mengatur langkah keluar kerana sukar bagi menemui minuman itu di sekitar Bali.

Sorga Cottages yang tersembunyi di dalam lorong sempit Poppies Lane 1, Kuta menjadi persinggahan rehat saya di Bali. Kamar standard dua katil, tanpa penghawa dingin dan balkoni menghadap kolam renang sudah memadai bagi kelompok berpendapatan sederhana seperti saya.

Aktiviti air

Pertemuan bersama penunjuk arah sepanjang lima hari empat malam di Bali melancarkan perancangan liburan yang dirangka. Bima Desu, pemandu pelancong berusia 26 tahun itu menjadi sahabat serantau sepanjang percutian tersebut.

Bagai menurut pelan stereotaip pemandu pelancong tempatan lain, Tanjung Benoa (berhampiran Nusa Dua) yang popular sebagai pusat aktiviti air menjadi lokasi lawatan rasmi yang pertama. Parasailing, banana boat, menyelam skuba, flying fish dan bersiar-siar bersama bot menuju ke Pulau Penyu ialah rangkaian hiburan sedia ada untuk pengunjung.

Perjalanan diteruskan ke Taman Budaya Garuda Wisnu Kencana (GWK), Badung di selatan Kuta. Patung Wisnu dan garuda menjadi tarikan utama taman tersebut. Meskipun belum siap sepenuhnya, keistimewaan patung yang diperbuat daripada besi itu mampu memegun setiap pengunjung yang mungkin menyangka asas binaannya ialah batu.

Kurang 10 kilometer dari GWK, terletaknya pantai Padang-Padang. Sebelum sampai ke gigi air pantai berpasir putih halus itu, pengunjung perlu menuruni tangga batu yang diapit sempit batu-batu besar pesisir pantai.

PATUNG Wisnu di Taman Budaya Garuda Wisnu Kencana ini diperbuat daripada besi.


Tidak keterlaluan jika ia dibandingkan dengan laluan kelam kebanyakan gua, memerlukan pelawat bergilir-gilir untuk menaiki atau menuruni anak-anak tangga curam.

Pukul 4.30 petang, Bima memastikan saya tiba di Uluwatu, pura (kuil) kunjungan wajib pelancong. Melihat kenakalan monyet merampas topi seorang pengunjung menghidupkan kesahihan cerita teman saya tentang karakter haiwan itu di Uluwatu.

Namun, apabila seorang penduduk tempatan mengambil semula topi itu dan meminta bayaran atas 'bantuan' tersebut menimbulkan keraguan betapa liciknya manusia mempergunakan monyet bagi mengaut keuntungan atas angin.

Keagamaan

Saat mentari hampir tenggelam, saya sudah duduk dalam keramaian bagi menyaksikan persembahan tarian kecak api. Hanya bermelodikan frasa 'kecak' yang diulang kira-kira 30 orang penari lelaki tidak berbaju, pementasan epik Ramayana berbaur spiritual itu mudah memaku pandangan penonton.

Persembahan kebudayaan bertulangkan agama Hindu menjadi tiket pelancongan terpenting Bali. Teater mini barongan bagaimanapun gagal menghidupkan keterujaan saya.

Bagaimanapun, keindahan khazanah alam semula jadinya mengembalikan cinta saya terhadap Bali.

Eksplorasi di kawasan padi bukit, Tegallang, Ubud sedikit memengahkan jika anda memilih untuk turun ke dasar sawah dan meniti jambatan buluh. Namun, kepenatan itu segera lesap apabila kehijauan mengaburi mata dan udara nyaman bersatu dalam nafas.

Penyatuan jiwa dan alam dapat dirasai tatkala duduk bertentang dengan Gunung Kintamani dari Gunung Batur. Hangatkan tubuh yang dipukul kesejukan suhu di kawasan tanah tinggi itu dengan secawan kopi luwak.

Biarpun agak mahal berbanding kopi biasa, kepekatan rasa minuman itu sangat memuaskan tekak, khususnya buat golongan pencinta kopi.

Apa lagi boleh dilakukan di Bali selain memanjakan diri di spa-spa dengan harga yang rendah. Hampir setiap malam saya berurut di tempat berlainan bagi mengenal pasti spa terbaik untuk kunjungan akan datang.

Spa menjadi liburan gantian yang sempurna waktu malam kepada saya yang tidak menggemari keriuhan kelab malam.

Menghabiskan waktu berjalan kaki atau menaiki motor di sekitar Jalan Legian dan pusat beli-belah Beachwalk juga menjadi pengisi jadual logik buat mereka yang gila berbelanja.

Kayuhan amal erat hubungan

Posted:

Kayuhan amal erat hubungan

Kayuhan amal erat hubungan

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


BERBASIKAL sejauh 13 kilometer merentasi kawasan utama di Bandar Baru Bangi ternyata mencabar ketahanan fizikal para peserta.


JALAN raya di sekitar Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini dipenuhi dengan kumpulan berbasikal yang memakai baju berwarna jingga.

Peserta yang terlibat kelihatan begitu bersemangat sejak dari garisan permulaan sehingga ke penamat.

Topi keledar merupakan kelengkapan yang wajib dipakai oleh setiap peserta sebagai langkah keselamatan.

Kayuhan Amal Bersama Anak-Anak Yatim 2013 anjuran surau Al-Ittifaqiah, Taman Kajang Impian, Bandar Baru Bangi dan Persatuan Penduduk Islam Taman Kajang Impian, Selangor itu berjaya menarik kira-kira 130 peserta.

Acara bermula pada pukul 7.30 pagi di pekarangan surau. Peserta perlu menunggang basikal sejauh 13 kilometer mengelilingi Bandar Baru Bangi dan kembali ke kawasan pekarangan surau.

Antara kawasan Bandar Baru Bangi yang dilalui oleh para peserta ialah Sungai Ramal Dalam, Seksyen 8, Seksyen 4 dan Seksyen 2.

Acara terbesar

Menurut Ahli Jawatankuasa Surau Al-Ittifaqiah, Mohd. Norizan Mokhtar, 44, acara berbasikal yang julung-julung kali dianjurkan oleh surau itu merupakan satu langkah terbaik untuk mengeratkan silaturahim sesama penduduk.

"Sejak surau ini beroperasi kira-kira dua tahun lalu, Kayuhan Amal Bersama Anak-Anak Yatim 2013 merupakan acara terbesar yang pernah kami anjurkan. Ia juga sebagai salah satu cara untuk menyampaikan maklumat mengenai aktiviti anjuran pihak surau kepada penduduk setempat.

"Kebanyakan kariah surau yang menyertai acara ini merupakan ahli Kelab Berbasikal Taman Kajang Impian. Mereka lebih memahami aspek-aspek keselamatan dan panduan keselamatan sewaktu berbasikal," ujarnya kepada Kosmo!.

Selain berbasikal, acara tersebut turut meraikan 26 orang anak-anak yatim dan miskin dari Rumah Bakti Al Kausar, Bandar Baru Bangi.


PARA peserta bergambar bersama anak-anak dari Rumah Bakti Al Kausar sebagai penutup acara.


Kanak-kanak dari rumah tersebut dijemput untuk memeriahkan acara itu. Mereka turut menyertai pertandingan melukis dan futsal. Agensi Antidadah Kebangsaan juga turut mengadakan pameran berkaitan dadah.

Pengerusi Rumah Bakti Al Kausar, Razali Basri memberitahu, acara itu memberi peluang kepada anak-anak di rumah tersebut mengenali ahli kariah dan jemaah surau Al-Ittifaqiah dengan lebih dekat.

"Rumah Bakti Al Kausar ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu dan 28 orang kanak-kanak tinggal di sini. Anak-anak Rumah Bakti menyukai aktiviti riadah. Ia juga sebagai salah satu cara anak-anak bersosial bersama masyarakat di Taman Kajang Impian.

"Walaupun ini kali pertama pihak kami bekerjasama dengan pihak surau, acara ini berjalan dengan lancar. Saya dapat lihat kegembiraan pada wajah setiap peserta sewaktu melakukan aktiviti," ujarnya.

Laluan selamat

Setiap penyertaan dalam Kayuhan Amal Bersama Anak-Anak Yatim 2013 dikenakan yuran sebanyak RM30 yang mana RM10 daripadanya akan didermakan kepada Rumah Bakti Al Kausar. Selain itu, pihak pengurusan surau juga mengadakan acara cabutan bertuah kepada peserta dan anak-anak yatim.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Sukan Persatuan Penduduk Islam Taman Kajang Impian, Mohd. Shahrin Itam, 50, memberitahu, pihaknya memilih laluan yang selamat untuk para peserta berbasikal sepanjang acara tersebut.

"Laluan trafik sekitar Bandar Baru Bangi pada acara itu dikawal oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Kajang bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Laluan berbasikal pula tidak menuntut kecekapan teknikal para peserta. Hanya kekuatan fizikal dan mental yang tinggi diperlukan untuk ke garisan penamat.

"Selepas mengharungi kayuhan sejauh 13 kilometer, tiada peserta yang mengalami kecederaan. Pihak surau juga akan terus mengadakan acara kemasyarakatan untuk penduduk di Taman Kajang Impian pada masa akan datang," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved