Sabtu, 30 November 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Lauk 'haram jadah' menu istimewa

Posted:

Lauk 'haram jadah' menu istimewa

Lauk 'haram jadah' menu istimewa

Oleh NOR IDAYU BOSRO

HUJAN lebat yang turun membasahi Kampung Budaya Chetti di Jalan Gajah Berang, Melaka itu tidak menghalang buat kru Jurnal daripada menyelami keunikan cara hidup komuniti minoriti Chetti di Bandar Raya Bersejarah itu.

Jalan masuk ke perkampungan yang didiami hampir 60 keluarga itu dihias dengan tembok ukiran gajah yang terletak bersebelahan Kuil Mutamariman.

Setibanya di sebuah rumah kayu di penghujung jalan tersebut, kami disambut mesra oleh pemiliknya, K. Nadarajan Raja.

Di sisinya, berdiri seorang wanita yang begitu sopan mengenakan kain batik serta kebaya singkat berona hijau pucuk pisang.

"Perkenalkan, ini isteri saya, Wenila," ujar Nadarajan ringkas.

Sekali pandang, raut wajah pasangan suami isteri itu kelihatan seperti orang Melayu kerana mereka memiliki warna kulit sawo matang dan mata yang lebih bundar berbanding orang India yang berkulit gelap dan bermata galak.

Apatah lagi, mereka tidak kekok memperagakan pakaian dan aksesori tradisional yang biasanya dipakai orang Melayu.

Cuma, lantaran pegangan agama Hindu yang kuat dalam kalangan komuniti Chetti, mereka memakai 'pottu' di dahi bagi membezakan mereka daripada orang Melayu.

"Kebanyakan rumah di kampung India Peranakan ini tidak ubah seperti kediaman orang Melayu di kampung.

"Bezanya, kami tidak menganut agama Islam walaupun mengamalkan budaya orang Melayu," katanya ketika memulakan bicara mengenai keunikan komuniti yang berusia lebih 500 tahun itu.

Menariknya, ujar lelaki berusia 49 tahun itu, hampir setiap rumah India Peranakan di kampung tersebut mempunyai sebatang pokok mangga di halaman rumah mereka.

SEBAHAGIAN bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan juadah 'haram jadah'.


Daun mangga

Ini kerana susunan daun mangga yang telah siap dijahit dengan rotan dan digantung di atas pintu rumah sebenarnya menjadi simbol utama untuk mengenali rumah masyarakat Chetti Melaka.

Bagaimanapun, kata Nadarajan, susunan itu mestilah dalam jumlah ganjil bagi membezakan antara rumah Tamil Chetti dengan masyarakat India lain.

"Kita selalu guna 21 helai daun manakala orang India guna hanya sembilan daun mangga.

"Meskipun dalam angka ganjil, bilangan yang dibolehkan harus berakhir dengan nombor 1 seperti 21 dan 31. Jumlah daun yang lebih banyak seperti 51 dan 101 pula digunakan untuk upacara sembahyang," jelasnya panjang lebar.

Menurutnya, ia sebagai simbolik untuk menggantikan Tuhan Ganesha yang dikatakan gemar makan buah tersebut.

"Daun mangga akan digantung selama setahun dan ditukar setiap kali tiba tahun baharu India iaitu pada setiap 14 April.

"Namun, jika ada kematian, ia perlu diturunkan dan digantung semula dengan yang baharu selepas tempoh 16 hari," katanya.

Tanpa berlengah, Nadarajan menjemput kami ke dapur bagi menikmati hidangan makan tengah hari.

"Ahli keluarga saya sedang menyiapkan menu istimewa masyarakat Chetti iaitu lauk 'haram jadah'.

"Kalau mahu lihat dengan lebih dekat, mari ikut saya," katanya.

KOMUNITI India Peranakan wujud daripada perkahwinan pedagang India dengan wanita tempatan di Melaka.


Di ruang dapur, kelihatan dua orang sepupunya, S. Rajahtan dan S. Sitapillai sibuk menyediakan bahan-bahan untuk juadah tradisional masyarakat Chetti itu.

Sambil tangannya leka menggaul bahan tumis, Rajahtan memberitahu, 'haram jadah' sebenarnya merupakan hidangan yang mengandungi campuran beberapa jenis sayur-sayuran seperti lobak putih, terung, peria dan kacang panjang.

"Dahulu semasa zaman nenek moyang kami, mereka tidak mempunyai resipi khusus untuk memasak hidangan ini dan menggunakan apa jua bahan-bahan yang mudah didapati.

"Jadi, apabila ditanya, lauk haram jadah apa yang kau masak ni?, mereka pun tidak tahu nak jawab apa.

"Lalu, apabila mahu makan lauk yang sama, mereka kata masak lauk haram jadah yang dibuat hari itulah dan lama-kelamaan nama tersebut kekal sehingga sekarang," kata lelaki berusia 60 tahun itu sambil ketawa kecil.

Menurutnya, mengikut resipi turun-temurun, lauk 'haram jadah' juga tidak menggunakan sebarang jenis daging sebaliknya digantikan dengan sayur-sayuran sebagai bahan utama.

"Sayur-sayuran ini perlu dicelur dalam air panas terlebih dulu supaya tidak mengambil masa yang lama untuk dimasak.

"Selain murah dan lebih mudah didapati, sayur-sayuran juga ternyata lebih berkhasiat," katanya yang mempelajari masakan itu daripada arwah ibunya, Tevani Raja.

Berbeza dengan masakan kari dan dalca yang terkenal dalam kalangan masyarakat India, lauk itu tidak menggunakan daun atau rempah kari serta kacang dal sebagai bahan asas.

Cita rasa Melayu

"Ia hanya menggunakan santan kelapa dan air asam jawa untuk menghasilkan kuah yang pekat dan berperisa.

"Bagi bahan tumis pula, kita guna udang kering, ikan bilis, bawang merah, bawang putih, cili, lengkuas, buah keras dan belacan melaka," katanya.

Jelas lelaki yang begitu fasih berbahasa Melayu itu, menu tradisi berkenaan masih dipelihara hingga sekarang dan biasa dihidangkan ketika kenduri, musim perayaan dan hari kebesaran masyarakat India seperti Pesta Ponggal serta Deepavali.

GOLONGAN wanita Chetti lebih selesa mengenakan kain batik dan baju kebaya.


"Hidangan ini enak dimakan bersama nasi panas, ikan sinting goreng, sambal belacan serta sambal cuka timun," ujarnya.

Juadah bercita rasa Melayu begitu sinonim dalam masakan masyarakat Chetti.

Apa tidaknya, selain masakan 'haram jadah', mereka juga terkenal dengan hidangan lauk masak pindang ikan tenggiri, pindang daun gerimis, sambal telur ikan parang dengan belimbing, terung masak ikan kering dan acar cili.

"Kami juga lebih gemar makan nasi lemak sebagai sarapan berbanding makanan India seperti tose, idli dan utthapam," ujarnya.

Tambahnya, rata-rata komuniti Chetti yang menganut agama Hindu hanya mengambil ikan, daging ayam dan kambing sebagai sumber protein dalam diet seharian mereka.

Katanya, masyarakat India Peranakan itu tidak mengambil daging lembu dan babi atas faktor agama Hindu dan budaya Melayu yang dipraktikkan sejak zaman-berzaman lagi.

"Dalam kebanyakan keluarga masyarakat Chetti, ayah tidak makan daging lembu manakala ibu tidak makan daging babi.

"Oleh itu, ia menjadi ikutan daripada satu generasi ke satu generasi lain," katanya.

Wanita asli MPAJ

Posted:

Wanita asli MPAJ

Wanita asli MPAJ

Oleh ZULHILMI JALIL

ERNIEY buktikan kaum Orang Asli mampu hidup bersaing sama seperti masyarakat lain.


KETIKA menyambut kedatangan kru Jurnal baru-baru ini, Erniey Jasut kelihatan sedikit gelisah. Dia seperti tidak senang duduk.

Baju kurung biru yang dipakai pada pertemuan petang itu asyik cuba 'dibetulkan'.

Sangkaan penulis yang wanita berusia 35 tahun ini barangkali berdarah gemuruh terbukti betul.

"Dia dari tadi tak senang duduk, risau betul dia sebab nak kena interviu wartawan," seloroh Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Rosliza Mohd. yang turut menemani Erniey sepanjang sesi temu ramah berkenaan.

Biarpun begitu, Erniey yang memiliki rambut ikal paras bahu bijak bertutur ketika diminta menceritakan mengenai dirinya.

"Bapa saya daripada suku kaum Jakun, ibu pula suku Temuan, tapi apabila orang tanya saya suku apa, saya akan jawab saya suku Temuan," ujarnya yang berasal dari Perkampungan Orang Asli Batu 12, Gombak, Selangor.

Berkhidmat

Erniey merupakan satu-satunya anak Orang Asli yang bekerja bersama pihak berkuasa tempatan itu. Pada tahun ini, genaplah 13 tahun Erniey mencurahkan khidmatnya di MPAJ.

Tempoh itu sudah menggambarkan pengalaman yang ditimbanya di situ. Namun, apa yang diperoleh sekarang merupakan hasil usaha gigihnya untuk mengangkat martabat suku kaumnya sendiri.

"Sewaktu mula-mula bekerja di sini pada tahun 2001, saya hanyalah seorang pembantu tadbir di Unit Penjaja.

"Saya kemudian nekad menyambung pelajaran secara sambilan di Universiti Teknologi Mara pada tahun 2010 bagi memperoleh taraf pendidikan yang lebih baik," kata pemegang Diploma Pentadbiran Awam ini.

Bertitik tolak daripada situlah, Erniey kemudian memangku jawatan sebagai Penolong Pegawai Undang-Undang MPAJ.

Dia yang baru menjawat jawatan tersebut sejak Ogos lalu mengakui banyak lagi perkara yang perlu dipelajarinya.

"Kalau dahulu saya banyak berdepan dengan penjaja tapi kini fokus lebih kepada kerja-kerja yang berkaitan dengan undang-undang," ujar wanita yang masih bujang itu.


BANYAK pengalaman yang diperoleh Erniey sepanjang 13 tahun bersama MPAJ.


Perspektif lapuk

Kongsi Erniey, dia tidak menolak andaian masih terdapat segelintir individu yang mempunyai perspektif lapuk mengenai masyarakat Orang Asli.

Ujarnya, kehidupan masyarakat Orang Asli tidak seperti dahulu.

"Apabila sebut mengenai Orang Asli, orang ramai selalu terbayangkan pekerjaan pergi ke hutan, menyumpit. Tapi itu zaman dahulu, sekarang semua dah berkerjaya elok-elok," katanya yang pernah menjadi tenaga pengajar komputer di sebuah pusat latihan komputer di Kuala Lumpur.

Sekalipun begitu, Erniey mengakui ramai yang tidak mengetahui dirinya merupakan Orang Asli.

"Biasanya kalau orang tanya saya orang mana, saya akan cakap saya orang Gombak sahaja.

"Belum pernah lagi orang tanya saya secara terperinci sangat. Kawan-kawan yang rapat sahaja yang tahu," ujarnya yang juga memiliki Diploma Multimedia dan Animasi daripada salah sebuah kolej swasta di ibu kota.

Namun, itu tidak bermaksud anak kedua daripada tiga beradik ini cuba menyembunyikan identitinya.

Malah, dia sebenarnya bangga apabila kini boleh dijadikan contoh oleh anak Orang Asli lain.

"Ayah saya seorang yang tegas. Dia selalu nasihatkan kami adik-beradik supaya majukan diri.

"Sebab itulah saya mahu buktikan yang kami (Orang Asli) tidak seperti yang digambarkan," ujarnya yang memeluk Islam bersama keluarganya pada tahun 2008.

Segala yang digapai kini bukanlah menjadi titik noktah dalam perkembangan kerjayanya.

Apa yang pasti, Erniey teguh memasang impian untuk berada pada satu tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.

"Mungkin saya nak ganti tempat bos saya suatu hari nanti," katanya yang menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tokoh yang disanjungi.

Mastura belajar kait secara online

Posted:

Mastura belajar kait secara online

Mastura belajar kait secara online

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR


UJAR Mastura, dia mempelajari cara mengait pelbagai produk bayi seperti kasut dan topi serta karakter-karakter popular melalui internet.


MENGAMBIL keputusan untuk berhenti daripada menjalankan perniagaan menjual barangan bayi di bazar larut malam sedikit sebanyak memberi kesan kepada pendapatan Mastura Abdul Ghani, 40.

Tetapi demi memikirkan kedua-dua anaknya yang semakin membesar, Mastura tiada pilihan lain selain meninggalkan perniagaan yang sudah enam tahun dikendalikannya itu.

"Saya berhenti berniaga di bazar larut malam kerana tiada siapa yang menjaga kedua-dua anak saya.

"Apatah lagi waktu perniagaan tamat sekitar pukul 2 atau 3 pagi dan pada keesokannya mereka perlu bersekolah. Adakalanya mereka terpaksa ponteng sekolah sebab penat," ujarnya yang menggemari makanan pedas.

Jelasnya, cintanya terhadap barangan bayi tidak pernah pudar. Dia mendapat idea untuk mengetengahkan produk kait berasaskan barangan bayi itu pada Disember tahun lalu.

Ujar Mastura, kemahiran asas mengait sudah dipelajari melalui ibunya sejak di bangku sekolah lagi. Malah, dia juga pernah membantu menjualkan produk kait barangan bayi milik seorang rakan ketika dia masih aktif berniaga.

"Saya meminati seni mengait tetapi menghadapi kesukaran untuk mengikut paten seperti yang diterangkan dalam buku panduan mengait yang saya beli.

Contoh gambar

"Saya juga pernah meminta tunjuk ajar daripada rakan tetapi dia enggan berkongsi ilmu. Ketika itu, saya terfikir apa gunanya internet kalau tidak dapat membantu saya.

"Sejak itu, saya mempelajari cara mengait pelbagai barangan bayi seperti kasut dan topi serta karakter-karakter popular melalui tutorial internet," beritahu Mastura yang serius menjadikan produk kait khusus untuk bayi dan kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah sebagai sumber pendapatan.


PENGGUNAAN warna yang sesuai bagi kanak-kanak memainkan peranan penting.


Tuturnya, untuk menghasilkan satu produk kait menuntut ketelitian yang tinggi.

"Jika tiada mood, tidak menjadi juga apa yang ingin dihasilkan kerana produk ini mengambil masa untuk disiapkan. Pelanggan juga perlu sanggup menunggu," katanya yang tidak meletakkan sebarang had minimum untuk tempahan.

Mastura berkata, jika benar-benar fokus, dia boleh menyiapkan satu dozen produk kait dalam masa tiga hari sahaja.

"Saya hanya akan menghasilkan produk kait ini apabila menerima tempahan pelanggan.

"Selalunya pelanggan akan memberikan gambar karakter atau barangan yang ingin dihasilkan. Dari situ, saya kaji cara membuatnya sehinggalah menjadi produk yang diinginkan. Tetapi sudah tentu ia tidak sama 100 peratus dengan contoh dalam gambar.

"Ini kerana cara memegang jarum kait itu sendiri berbeza-beza mengikut individu. Jadi, hasilnya juga berbeza.

"Tetapi alhamdulillah, setakat ini kebanyakan pelanggan menyukai hasil kerja kreatif saya," ujarnya yang menjadikan Facebook sebagai medium promosi.

Jelasnya, benang yang diimport dari Indonesia, Thailand, China, Amerika Syarikat dan Turki selain benang keluaran tempatan digunakan untuk menghasilkan produk tersebut.

"Benang paling mahal setakat ini ialah dari Turki. Kesemua stok benang import ini dibeli secara online.

"Kebanyakan pelanggan juga menempah melalui internet. Ada juga pelanggan dari Sabah dan Sarawak," tambahnya sambil memberitahu, cekak rambut merupakan produk terlarisnya setakat ini.


SELAIN mengait, Mastura turut menjual produk barut bayi.


Mengantuk

Bagi menambah pengetahuan tentang seni mengait, Mastura bergiat aktif dalam kumpulan mengait yang membolehkannya bertukar-tukar pendapat dan ilmu.

"Saya aktif menyertai kumpulan mengait Yarn Lovers Malaysia dan Jarum Kait 1Malaysia di Facebook. Malah, mereka tidak lokek berkongsi ilmu dan tunjuk ajar dalam menghasilkan produk kait ini.

"Sekiranya saya tidak berkesempatan, saya akan meminta bantuan daripada rakan-rakan dalam kalangan kumpulan mengait ini untuk membekalkan stok produk kait," jelasnya.

Ujarnya, setiap dua bulan dia akan menyiapkan tempahan produk kait itu untuk dihantar kepada ibu saudaranya yang membantu memasarkan produk berkenaan di Melbourne, Australia.

"Selalunya saya akan mula mengait pada waktu siang kerana jika mengait pada waktu malam, saya mudah mengantuk.

"Selain menjual produk kait ini, saya juga menjahit sendiri barut bayi pelbagai corak bersaiz daripada S hingga XL," tambahnya yang bercita-cita mahu mempelbagaikan lagi produk kait bayi keluarannya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved