Sabtu, 30 November 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Melayari internet secara positif

Posted:

Melayari internet secara positif

Melayari internet secara positif

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

KANAK-KANAK perlu didedahkan dan diajar tentang cara-cara menangani risiko keselamatan semasa melayari internet.


ANAK matanya laju mengejar setiap perkataan dipaparkan di skrin komputer peribadi yang berubah-ubah mengikut pergerakan tetikus di tangan, sementara bibirnya ligat membaca setiap mesej dihantar oleh rakan-rakan sekolah dan teman baharu yang dikenali menerusi laman sosial Facebook.

Tiba-tiba tangannya terhenti dan matanya tertumpu pada gambar-gambar kumpulan penyanyi terkenal dari Britain, One Direction. Rupa-rupanya itu bahan yang dicari-cari oleh remaja berusia 16 tahun, Nur Zulaikha Zulkifli di laman Facebook miliknya.

Anak tunggal tersebut amat meminati kumpulan itu dan kerap melayari internet semata-mata untuk mengikuti perkembangan mereka.

"Kebiasaannya, saya akan melayari Facebook selama tiga atau empat jam sehari selepas pulang dari sekolah.

"Namun, saya tidak bersembang atau kerap menghantar komen di Facebook kerana tujuan saya membuka akaun hanya untuk melihat gambar-gambar terbaharu kumpulan One Direction," jelasnya sambil memaklumkan akaun tersebut telah dibuka sejak tiga tahun lalu.

Nur Zulaikha antara jutaan pengguna Facebook di negara ini yang terdedah dengan risiko keselamatan di alam maya terutama dalam kalangan remaja.

Antara bentuk jenayah siber yang semakin menular termasuklah penipuan wang, spam, penggodaman akaun peribadi, menghendap dan buli.

Penggunaan internet di negara ini semakin meluas, namun hanya segelintir rakyat Malaysia yang menyedari risiko melayarinya menyebabkan kes-kes jenayah siber dilaporkan semakin meningkat.

Baru-baru ini, syarikat telekomunikasi, DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia, telah berkongsi hasil kajian Keselamatan Internet yang bertujuan mengukur tahap kesedaran dan pengetahuan kanak-kanak tentang keselamatan melayari internet.

Menurut Pengarah Strategi dan Pegawai Perhubungan Korporat DiGi, Christian Thrane, sebanyak 460 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia terlibat dalam sesi soal jawab secara lisan dan bertulis yang diadakan pada 26 April hingga 12 Oktober lalu.

"Ini adalah kajian keselamatan terbesar yang pernah dilakukan di Malaysia dengan melibatkan 9,651 pelajar di bawah program CyberSAFE DiGi.

"Program ini merupakan sebuah bengkel pendidikan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan kanak-kanak di alam siber, di samping meningkatkan kemahiran golongan pelajar, guru-guru dan ibu bapa ke arah suasana melayari internet yang positif dan selamat," katanya.

Buli

Hasil kajian itu mendapati sebanyak 27 peratus pelajar mengakui pernah dibuli semasa melayari internet, manakala 13 peratus masih dibuli. Selain itu, didapati 49 peratus daripada responden mengetahui beberapa rakan mereka yang pernah dibuli dalam internet.

Antara bentuk buli tersebut termasuk menerima mesej tidak bermoral, diejek dengan nama panggilan tidak sopan dan pencerobohan akaun laman sosial.

Dalam pada itu, sebanyak enam peratus mengakui mereka merahsiakan perkara-perkara tersebut daripada pengetahuan ahli keluarga dan rakan-rakan.

Tambah Thrane, sebanyak 88 peratus pelajar bersetuju pengetahuan tentang penjagaan keselamatan diri semasa melayari internet adalah sangat penting.

"Walaupun lebih daripada separuh menyedari kepentingan menjaga keselamatan, namun seramai 38 peratus daripada mereka tidak tahu cara melakukannya," jelasnya.

Kajian tersebut juga mendapati empat daripada 10 ibu bapa tidak pernah memberitahu anak-anak tentang keperluan menjaga keselamatan semasa melayari internet.

Pendedahan

Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia, Shamsuddin Hassan berkata, kebanyakan kanak-kanak di negara ini tahu tentang risiko keselamatan semasa melayari, namun mereka tidak tahu cara menangani dan tidak diberi pendedahan secukupnya.

"Mereka harus diajar supaya tidak menggunakan kata laluan yang sama untuk setiap akaun sosial atau peribadi kerana ia akan memudahkan urusan penceroboh untuk menggodam akaun pemilik.

"Kanak-kanak harus diajar untuk meletakkan kata laluan yang lebih panjang dan tidak mudah dijangka oleh orang luar. Ini adalah antara perkara-perkara asas yang perlu diajar sebelum memberikan mereka telefon pintar.

Tambahnya, ibu bapa perlu lebih kerap memantau aktiviti anak-anak dalam talian dan tahu menggunakan penetapan yang disediakan di komputer rumah atau riba.

"Ibu bapa boleh menutup kemudahan akses internet selepas waktu perdana iaitu pukul 10.30 malam.

"Ia bagi mengelakkan anak-anak terus melayari laman-laman web sehingga melepasi waktu tidur mereka. Penetapan komputer adalah cara pengawalan yang paling mudah untuk dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, Nur Zulaikha memberitahu. bagi mengelakkan dirinya terjebak dengan jenayah siber, dia sentiasa mengambil langkah berwaspada ketika berinteraksi dengan kenalan di laman sosial.

"Ibu sentiasa mengawasi perkembangan saya di Facebook dan tidak membenarkan saya meletakkan gambar sebenar di profil.

"Saya juga tidak menyatakan alamat rumah, nombor telefon atau apa-apa butir peribadi di laman sosial. Selain itu, saya tidak berkongsi akaun atau kata laluan dengan orang lain," katanya.

Memantau

Ibu kepada dua orang anak, Sarah Ismail, 50, pula hanya membenarkan anak bongsunya, Muhd. Ainol Syazwan Mohd. Yaakob, 12, melayari internet sekiranya ditemani kakaknya.

"Kakaknya belajar di Universiti Teknologi Mara Sri Iskandar, Perak dan pulang ke rumah pada cuti semester atau hari-hari tertentu sahaja.

"Jadi, dia amat jarang melayari internet kecuali jika kakaknya pulang dan kakaknya akan memantau laman-laman yang dilayarinya," jelasnya.

Sarah memberitahu, tindakan itu ekoran dia tidak begitu mahir dalam pengendalian komputer, apatah lagi untuk mengawal tingkah laku anaknya dalam dunia siber.

Warga pendidik menjiwai kehidupan masyarakat desa

Posted:

Warga pendidik menjiwai kehidupan masyarakat desa

Warga pendidik menjiwai kehidupan masyarakat desa

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


PARA peserta asyik menikmati makanan tengah hari di salah satu restoran yang diusahakan penduduk.


TERLETAK di pinggir tebing Sungai Johor, kira-kira 40 kilometer dari bandar Kota Tinggi, Kampung Johor Lama mempunyai pelbagai tarikan tersendiri.

Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan jika ia menjadi pilihan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi menjayakan program Semaian Kasih Perpaduan yang telah berlangsung pada 18 hingga 21 Oktober lalu.

Seramai 250 siswa siswi IPGM dari IPG Kampus Bahasa Melayu, Kampus Bahasa Antarabangsa, Kampus Perempuan Melayu,Kampus Pendidikan Islam, Kampus Raja Melewar, Kampus Temenggung Ibrahim dan Kampus Tun Hussein Onn berserta warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berkampung di sana untuk beramah mesra dengan para penduduk yang kebanyakannya nelayan.


AKTIVITI air memberi satu pengalaman bermakna buat semua peserta.


Program anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu merupakan program ketiga yang diusahakan di bawah konsep sama iaitu menjana Program Sekretariat Rukun Negara.

Inisiatif berkenaan bertujuan menanam sifat cintakan negara dan perpaduan dalam kalangan siswa siswi IPGM.

Kerjasama JPNIN-IPGM telah bermula sejak tiga tahun lalu bermula dengan Program Semarak Rukun Negara diikuti Program Jom Ke Desa (2011) dan Program Semaian Kasih Perpaduan ini.

Kesemua peserta telah diterima sebagai anak angkat oleh 44 penduduk kampung yang mengambil bahagian, sekali gus berpeluang merasai pengalaman hidup di desa.


SEORANG peserta wanita menunjukkan keberanian memegang anak buaya.


Kenali dunia luar

Menurut Rektor IPGM, Sulaiman Wak, aktiviti yang disusun dan dijalankan sepanjang program berlangsung berasaskan kepada lima prinsip Rukun Negara.

"Ia membolehkan para peserta yang terdiri daripada guru pelatih pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan sebilangan kecil kaum Iban, Bidayuh serta Kadazan menyerap falsafah Rukun Negara dalam kehidupan mereka.

"Kami sangat berterima kasih kepada JPNIN kerana melalui program ini ia memberi pengalaman berharga kepada siswa, siswi dan para guru untuk mengenali dunia luar. Selain itu, ia juga boleh dianggap sebagai persediaan awal untuk mereka jika ditempatkan di kawasan luar bandar selepas tamat pengajian kelak," kata Sulaiman.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan pula melahirkan rasa bangga di atas kejayaan program tersebut.

"Kami menaruh kepercayaan yang tinggi kepada IPGM untuk menerapkan elemen integrasi nasional ke dalam program Semaian Kasih Perpaduan ini.


AKTIVITI untuk kanak-kanak seperti pertandingan melukis dan mewarna turut memeriahkan suasana sepanjang program ini berlangsung.


"Saya berpendapat semua bakal guru perlu menghayati prinsip Rukun Negara dalam usaha memupuk perpaduan dengan pelbagai kaum dan masyarakat kerana mereka merupakan agen perubahan yang utama," ujar beliau.

Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, menangkap ikan di laut, aktiviti air dan ceramah mengenai kerjaya guru.

Salah seorang peserta, Muhammad Khairul Ridha Sharifuddin memberitahu, program anak angkat memberi pengalaman dan ruang untuk hidup bersama masyarakat di kampung.

"Saya rasa amat teruja kerana dapat merasai kehidupan nelayan di kampung ini. Bapa angkat saya, Abu Bakar Abd. Aziz yang bekerja sebagai nelayan turut mempunyai sebuah warung makan.

"Sewaktu mengikutnya ke laut untuk menangkap ikan, baru saya sedar kesusahan dan cabaran hidup yang terpaksa mereka lalui. Apabila menikmati hasil tangkapan yang dimasak sendiri oleh keluarga angkat, saya rasa amat bersyukur.

"Pengalaman sebegini amat berharga dan tidak akan saya lupakan sehingga ke akhir hayat," kata Muhammad Khairul Ridha yang merupakan Naib Yang Dipertua Pelajar 1, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, IPG Kampus Ilmu Khas.

Bijaksana mengingati kematian

Posted:

Bijaksana mengingati kematian

Bijaksana mengingati kematian


MUHD. KAMIL bersama anak bongsunya, Sofea ketika menunaikan umrah baru-baru ini.


MADINAH dan Mekah sunyi sepi selepas musim haji berakhir. Ia membawa banyak kesan sekurang-kurangnya buat saya sendiri dalam melaksanakan amal ibadat di Masjid Nabawi.

Misalnya, saya amat senang bersolat di saf-saf hadapan tanpa bermasalah. Kesukaan saya untuk solat jenazah bersama imam di dalam bilik jenazah juga amat mudah.

Malah menunaikan umrah nyata mempesonakan. Pertama, harga sewa hotel untuk kami bertiga beranak jatuh merudum. Hotel yang paling hampir dengan Masjidil Haram berharga SR600 (RM514) untuk tiga katil semalam berbanding SR6,000 (RM5,144) hingga SR8,000 (RM6,859) semalam pada musim puncak.

Kedua, tawaf wajib dan sunat hanya dapat diselesaikan dalam tempoh singkat. Lebih kurang 15 minit. Malah amat menarik melihat barisan jemaah lelaki dan wanita dibina bagi mereka yang mahu mengucup Hajar Aswad. Setiap orang berpeluang untuk melakukannya.

Saya mengambil peluang untuk menunaikan ibadat umrah pada minggu lalu. Itulah yang saya peroleh. Allah ya Allah, ia nikmat yang dianugerahkan-Nya yang tidak dapat saya dustakan.

Satu ketetapan

Namun, ada sesuatu berlaku yang menyebabkan saya tersentak dan berfikir. Usai saie saya keletihan. Kemudian, ketika bercukur membotakkan kepala, saya ternampak rambut putih hampir menyamai yang berwarna hitam.

Lalu saya tersedar secara serius betapa uban-uban menghiasi tubuh badan. Saya berfikir betapa tenaga semakin berkurang, minda tidak setajam dulu dengan anak-anak semuanya sudah akil baligh. Ayah, Wan dan Abah juga telah tiada. Mak pula pastinya bakal menyusul. Ia ketetapan yang pasti berlaku.

Lalu, itulah isyarat paling hampir bertaut pada diri sendiri yang perlu diamati. Malah Allah SWT menyebut secara jelas isu tua dan beruban ini melalui ayat 17, surah al-Muzammil bermaksud: "Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia, maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur ingkar (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?"

Tiba-tiba saya teringat kepada soal kematian. Kisah yang semua orang tahu. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT kerana membuat saya berfikir sejenak.

Bayangan syurga menempa minda. Tentu sekali saya mahu ke Firdaus bersama isteri dan anak-anak. Tentunya mata mahu melihat seluruh kaum keluarga dan mereka yang hampir saling mengucap selamat di dalam syurga Firdaus.

Benar, setiap daripada kita insya-Allah, dengan rahmat-Nya akan berada di syurga. Bezanya, kita tidak mahu dahi bertanda akibat mendapat seksaan api neraka yang amat dahsyat azabnya terlebih dahulu.

Maka, saya berterus-terang dengan Allah SWT agar saya melangkah masuk ke sana tanpa dihisab. Saya memohon bersungguh-sungguh supaya terlepas daripada fitnah dunia dan akhirat.

SETIAP yang bernyawa pasti akan merasai kematian kerana dunia adalah sekadar persinggahan. - Gambar hiasan


Saya mahu lena tidur di alam kubur dan hanya dibangkit seolah-olah berada sehari di dalamnya. Bukankah ia pernah berlaku? Terjemahan ayat 19, surah al-Kahfi ada tercatat: "Dan demikianlah pula Aku bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: Berapa lama kamu tidur? (sebahagian dari) mereka menjawab: Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur."

Allah ya Allah, biarlah saya terlepas daripada azab kubur, penantian di Padang Mahsyar dan terhumban ke dalam neraka yang apinya membakar tanpa belas kasihan. Lalu penantian menuju kematian merupakan saat pertama selepas menjalani kehidupan bernyawa di dunia.

Maka tersangat logik dan bijaksana menanti saat-saat tersebut dengan berdoa, berusaha dan berharap agar terpilih memasuki syurga Firdaus di kala masa berbaki yang amat suntuk.

Tua beruban membuat saya cemas. Namun saya tetap menyerah seluruh jiwa raga kepada-Nya kerana percaya dan yakin betapa Dia Maha Pengasih. Malah, saya tidak pernah berasa hampa dan kecewa dengan Allah SWT.

Ingat kematian

Saya risaukan anak-anak yang bakal ditinggalkan. Sara, Azrai, Amirul dan Sofea merupakan kesayangan saya dan Roza. Saya jangkakan kedua-dua kami akan pergi terlebih dahulu. Aturannya begitu.

Situasi beruban akan menemui ajalnya terlebih awal berbanding anak muda. Namun Allah SWT Maha Berkuasa. Ajal maut di tangan-Nya. Walaupun demikian, sekali-sekala mereka yang masih muda meninggalkan kedua-dua ibu bapa terlebih dahulu.

Kerisauan saya bersebab. Pertama, jika mereka sentiasa berfikir yang masa berbaki masih lagi panjang. Saya tidak mahu mereka melalui jalan seiras dengan laluan yang telah saya tempuh.

Kedua, saya melihat bagaimana Nabi Nuh as sendiri tidak mampu membawa isteri dan anak-anak menaiki bahtera bagi membawa mereka ke tempat yang selamat di dunia dan akhirat.

Siapalah saya? Saya hanya insan biasa penuh dengan segala macam kelemahan dan kekurangan diri. Barangkali kisah-kisah lampau menyebabkan saya terkhilaf dalam mendidik mereka.

Mengingati kematian menjadikan kita semakin bijaksana. Biar kita semakin hampir kepada-Nya. Jumpa lagi minggu hadapan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved