Sabtu, 30 November 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Menjenguk kepelbagaian taman di Putrajaya

Posted:

Menjenguk kepelbagaian taman di Putrajaya

Menjenguk kepelbagaian taman di Putrajaya

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


NURUL Hidayat mengambil gambar rakan-rakannya berlatarbelakangkan kehijauan alam flora di Taman Saujana Hijau.


PERASAAN Pamella Lim, 27, amat teruja apabila melihat sekawan burung berterbangan di sekitar kawasan Wetland Upper Bisa, Presint 16, Putrajaya. Matanya fokus memerhatikan pergerakan burung-burung itu.

Apabila burung-burung itu hinggap pada dahan sebatang pokok di sebuah pulau buatan di tasik Putrajaya, dia ternyata terkejut apabila melihat spesies burung lain yang turut mendiami kawasan tersebut.

"Kehidupan burung-burung ini seumpama di habitat asalnya. Ia berterbangan dan hinggap di satu kawasan yang jarang diketahui umum. Dari belakang kawasan kejiranan Presint 16 ini, saya dapat melihat dengan jelas habitat mereka di situ," ujar pegawai di sebuah syarikat swasta itu.

Dia dan rakan-rakannya yang mewakili syarikatnya sewaktu mengadakan lawatan di Putrajaya bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) tidak menyangka terdapat kawasan pemerhati burung di situ.

Walaupun bukan seorang pemerhati burung, dia berpendapat Wetland Upper Bisa merupakan salah satu tarikan pelancongan yang wajib dikunjungi pengunjung di Putrajaya.

Wetland Upper Bisa merupakan kawasan terbaik untuk aktiviti pemerhatian burung. Bagi mereka yang menggemari subjek burung dalam karya fotografi, pengunjung boleh mengambil gambar dari pelbagai sudut dari seberang pulau buatan itu.

Walaupun dikelilingi bangunan kerajaan dan komersial seperti pusat beli-belah Alamanda dan Hotel Everly, pulau buatan itu merupakan kawasan terbaik untuk pembiakan burung spesies bangau dan pucung yang boleh hidup di tepi kawasan berair.

Selain itu, Bahagian Alam Sekitar, Tasik dan Wetland, PPj, telah merekodkan lebih 50 spesies burung yang dijumpai di kawasan tersebut.

Antara spesies burung yang dikenal pasti mendiami kawasan itu ialah pucung seriap, pucung serandau, bangau kendi, bangau kecil, pucung kuak dan botak padi.


BURUNG Botak Padi ini merupakan antara spesies yang bersarang pada dahan-dahan pokok di Wetland Upper Bisa.


Musim pembiakan

Penolong Pengarah Kanan, Unit Pengurusan Ekologi, Bahagian Alam Sekitar, Tasik dan Wetland PPj, Normaliza Noordin memberitahu, dari Jun hingga Disember setiap tahun merupakan musim pembiakan bagi burung spesies air di pulau buatan itu termasuk burung yang bermigrasi dari luar negara.

Menurutnya, faktor utama burung-burung dari luar negara membuat habitat di Wetland Upper Bisa kerana ekosistem di kawasan tersebut sesuai untuk pembiakan.

"Pulau buatan itu merupakan kawasan kegemaran bagi spesies burung air untuk membuat sarang dan bertelur. Dengan persekitaran pulau yang sedikit jauh dari kawasan daratan, burung-burung selamat daripada ancaman pemangsa dan gangguan orang ramai.

"Pengunjung dapat melihat burung botak padi secara jelas. Spesies itu disenaraikan sebagai spesies terancam secara global oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Antarabangsa (IUCN) dan telah menjadikan kawasan tersebut sebagai habitat sejak empat tahun lalu," ujarnya.

Tambahnya, burung-burung yang sedang bersarang di pulau buatan itu aktif sepanjang hari. Kebanyakan burung spesies air akan berehat di kawasan cetek sekeliling Wetland Upper Bisa.

Putrajaya diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga selepas Kuala Lumpur dan Labuan. Dengan keluasan empat hektar, jarak Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu kira-kira 25 kilometer dari Kuala Lumpur.

Putrajaya merupakan destinasi pelancongan yang paling hampir bagi warga ibu kota untuk meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan.

Sesuai dengan slogan Bandar Di Dalam Taman, Putrajaya kini mempunyai 12 buah taman yang menjadi tumpuan pelancong.

Antara taman tersebut ialah Taman Saujana Hijau di Presint 11. Taman ini merupakan sebuah kawasan yang sesuai bagi mereka yang gemarkan tumbuhan jenis gimnosperma tropika dan subtropika. Kawasan taman yang berbukit memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat panorama keseluruhan Putrajaya dengan lebih jelas.


LALUAN pejalan kaki memudahkan pengunjung menikmati kehijauan alam di Taman Saujana Hijau.


Suasana Eropah

Taman tersebut juga terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Saujana Utara, Saujana Tengah dan Saujana Selatan dalam kawasan seluas 47 hektar.

Pengunjung Taman Saujana Hijau, Nurul Hidayat Ismail, 25, memberitahu, tiga konsep dalam taman Saujana Tengah iaitu Bustan Inggeris, Bustan Oriental dan Bustan Eropah merupakan antara tarikan unik di taman tersebut.

"Suasana di Bustan Eropah dan Inggeris seperti seolah-olah berada di luar negara. Pemandangan seperti ini jarang dapat dilihat di Malaysia. Saya membawa rakan-rakan yang baru menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara untuk mengadakan sesi fotografi konvokesyen berlatarbelakangkan di kawasan tersebut.

"Saya juga sering berkunjung ke sini untuk bersantai dan beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan. Wakaf-wakaf di sekitar taman sudah tentu menjadi pilihan untuk pengunjung beristirehat setelah penat mendaki kawasan berbukit," ujarnya yang berasal dari Bangi, Selangor.

Taman Saujana Hijau menyediakan pelbagai kemudahan awam seperti laluan pejalan kaki, pelantar pemandangan, tempat teduhan, prasarana dan pusat pelawat bagi memenuhi keperluan pengunjung di situ.

Pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenis bunga yang ditanam di setiap bahagian bagi membangkitkan mood seperti berada di luar negara.

Taman itu juga berpotensi untuk menarik para pelancong dari dalam dan luar negara yang berminat dengan keunikan seleksi hidupan flora dari seluruh dunia di negara ini.

Selain itu, laluan pejalan kaki juga merupakan trek yang sesuai bagi mereka yang ingin berjoging dan beriadah. Namun, laluan yang berbukit ternyata mencabar ketahanan fizikal pengunjung.

Bagi mereka yang berminat dengan tumbuhan unik, Black Boy atau nama saintifiknya, Macrozamia Moorei merupakan pokok yang harus anda lihat di taman itu.

Pokok yang berasal dari Queensland dan Carnarvon Range, Australia itu kebiasaannya ditanam di kawasan berbukit rendah, kering dan jurang berbatu. Namun, dua batang pokok berdaun melengkung yang boleh mencecah ketinggian sehingga lapan meter itu hidup subur di Taman Saujana Hijau.

Jabal Musa catat sejarah kitab Taurat

Posted:

Jabal Musa catat sejarah kitab Taurat

Jabal Musa catat sejarah kitab Taurat


MAKAM Nabi Soleh as yang terdapat di pinggir jalan di Tursina.


PELUANG mengembara ke bumi anbiya selama sembilan hari pada penghujung bulan Februari lalu di Mesir dan Palestin bersama 27 rakan Usrah Fitrah meninggalkan satu pengalaman yang cukup berbekas di hati. Usrah Fitrah merupakan sebuah kumpulan usrah penggiat seni dan media tanah air. Berkelana sejauh 8,000 kilometer (km) menempuh perjalanan udara selama 10 jam sedikit pun tidak melunturkan semangat kami.

Dikenali sebagai Kembara Sufi di Bumi Kinanah, program di bawah kendalian murabbi seperti Ustaz Zul Ramli dan Ustaz Rusydi Aljauhari itu banyak mendedahkan peserta rombongan berhubung perkembangan tamadun Islam di Mesir dan Gaza.

Ketika berada di ibu negara Mesir, Kaherah monumen zaman Firaun, Piramid Giza di Al Ahram menjadi destinasi yang wajib dikunjungi.

"Sejak tercetusnya revolusi Arab, kadar peratusan pelancong merudum, kini sekitar 15 peratus sahaja yang datang ke sini," luah pemandu pelancong Kembara Barakah, Ustaz Majdi.

Menurut beliau, kemerosotan ini menyebabkan ramai dalam kalangan peniaga terdesak. Bahkan ada laporan yang mendakwa pelancong terpaksa membayar pada harga yang terlalu mahal hanya untuk menyewa unta.

Revolusi pada tahun 2011 dan rampasan kuasa yang menggulingkan Presiden Morsi telah banyak mengubah landskap kehidupan penduduk Mesir baik dari segi politik dan ekonomi. Kesempatan berada di Kaherah memberi peluang untuk menziarahi universiti tertua di dunia, Universiti Al-Azhar, Sungai Nil dan beberapa destinasi pelancongan yang lain.

Rombongan yang disertai sekumpulan doktor pakar, sukarelawan Aman Palestin dan media massa dari Malaysia bergerak ke Rafah, Gaza dari Kaherah. Jarak perjalanannya ialah sekitar 375km. Perjalanan dengan bas itu mengambil masa selama tujuh jam ekoran beberapa cek poin yang dikendalikan oleh tentera Mesir


PENDAKIAN menuju ke puncak Jabal Musa mengambil masa empat jam.


Terusan Suez

Perjalanan merentasi padang pasir ke Gaza disajikan dengan pemandangan indah kawasan pedalaman di Bir Qantia.

Begitu juga dengan Terusan Suez. Terusan yang dibina pada tahun 1869 dengan kepanjangan 193.30km ini telah berjaya mengubah pola laluan pedagang sekali gus menjana ekonomi Mesir dan negara jiran lain seperti Arab Saudi.

Perjalanan menerusi Arish diserikan dengan pemandangan Tasik Bardawil dengan kepanjangan 70km dan lebar 22km.

Merentasi kawasan subur Arish, North Sinai dan Rafah menerusi Al Kantara Shark Al Arish, mata dijamu dengan keindahan ladang zaitun dan tamar yang subur.

Di cek poin terakhir kami berdepan dengan kerenah birokrasi tentera Mesir. Sikap kakitangan imigresen yang acuh tidak acuh antara punca dua daripada ahli rombongan tidak dibenarkan masuk ke Gaza. Namun, lain pula layanan yang diterima di imigresen Gaza. Kami disambut mesra oleh wakil kerajaan Palestin, media massa dan Aman Palestin Gaza. Memandangkan kos yang tinggi, kami hanya berada 24 jam di bumi Gaza. Dengan masa yang terlalu singkat ini, Aman Palestin yang diketuai oleh Ustaz Anas Abdul Wahab telah membawa kami ke kawasan tapak serangan di sekitar bandar Gaza.

Meskipun keadaan rumah ranap akibat teruk dibedil tetapi ia kelihatan bersih dan harum. Kami berpeluang menziarahi kediaman srikandi perang, Allahyarhamah Maryam Farhaat @Ummi Nidhal. Beliau dan tiga daripada enam anaknya syahid menentang Zionis. Ummu Nidhal merupakan Ahli Parlimen Dewan Legislatif Perang turut mengangkat senjata bersama-sama menentang Zionis.

Di Gaza, kami menginap di Achmed Hotel iaitu sebuah hotel lima bintang yang menghadap Laut Mediteranean. Hotel ini merupakan hotel termewah di Gaza dan hanya beroperasi jika ada kunjungan rakyat Malaysia.

Meskipun Gaza sebuah bandar yang sudah ranap dibedil, namun wilayah itu mempunyai sebuah hotel lima bintang yang lengkap prasarananya.

Gaza merupakan tanah yang subur kerana terdapat banyak kebun buah-buahan di sini seperti buah tembikai, epal, limau, zaitun dan sebagainya.

Menjelang tengah hari penulis dan ahli rombongan sudah berada di sempadan Gaza untuk memasuki semula Mesir. Kesukaran proses keluar dari Gaza di pintu Imigresen Mesir rupa-rupanya menyimpan hikmah tersendiri. Peluang berpatah balik ke Gaza ekoran kerenah birokrasi di pintu masuk Mesir memberi peluang kepada kami meneroka keindahan Gaza.

Geografi Gaza yang menghadap Laut Mediteranean memberikan satu landskap yang cukup istimewa. Kelihatan para nelayan teroleng-oleng di atas sampan usang mencari rezeki meskipun hanya sejauh enam radius kilometer persegi.

Dari Gaza kami meneruskan perjalanan ke Tursina. Mengikut perancangan awal kami boleh sampai menggunakan jalan pintas iaitu sekitar tujuh jam sahaja, bagaimanapun ekoran keadaan politik yang tidak menentu kami terpaksa menggunakan jalan lama yang mengambil masa 14 jam.


AHLI rombongan menunaikan solat Zuhur di telaga Nabi Musa as.


Magis Tursina

Penulis dan ahli rombongan, sempat menunaikan solat Subuh di sebuah tempat pemeriksaan berhampiran Tursina. El Wadel Mougudus Hotel merupakan hotel kecil yang terletak di kaki Gunung Sinai. Kira-kira dua kilometer dari hotel, terdapat beberapa gereja yang menempatkan beberapa peninggalan sejarah seperti St Catherine Church. Namun, untuk ke sana kami perlu mendaki.

Gunung yang mencecah ketinggian sekitar 2,133 meter dan struktur yang curam menyebabkan kami lebih berhati-hati.

Penulis menyusuri kaki gunung selama 30 minit sebelum menaiki unta untuk sampai ke puncak Jabal Musa. Menuju ke puncak Jabal Musa tidak semudah yang disangka. Sebanyak 720 anak tangga perlu didaki selain berdepan dengan batu-batu besar yang mencabar kudrat.

Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan penulis apabila berjaya berada di atas puncak yang dicatatkan sejarahnya di dalam al-Quran. Di puncak inilah Allah SWT menurunkan kitab Taurat setelah Nabi Musa as bermunajat selama 40 hari. Kami turut dibawa melihat ukiran lembu Sahmiri yang melakar sejarah usaha seorang pemuda Bani Israel dalam memesongkan akidah kaum Nabi Musa.

Di Padang Pasir Sinai, kami berpeluang menziarahi telaga Nabi Musa as. Menurut kisahnya, baginda telah melarikan diri daripada Firaun. Apabila sampai di sebuah kawasan, baginda mendapati ia agak tandus. Atas rahmat Allah yang mengurniakan baginda tongkat mukzijat, selepas Nabi Musa mengetuk tanah, maka sebuah telaga yang deras telah mengeluarkan air.

Maskot bantal kejutan orang ramai

Posted:

Maskot bantal kejutan orang ramai

Maskot bantal kejutan orang ramai


KETIGA-TIGA maskot Ibis yang ceria berjaya menarik perhatian pengunjung di ibu kota.


KELIBAT bantal yang sinonim dengan katil dan tempat menghilangkan penat di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur, sudah tentu membangkitkan pelbagai soalan dan reaksi. Apatah lagi, ketiga- tiga buah bantal itu petah menyapa orang ramai dengan pelbagai panggilan mesra.

Begitulah yang berlaku kepada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur terutama pusat beli-belah Pavilion, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Bukit Bintang apabila melihat ketiga-tiga buah bantal berwarna hijau, biru dan merah berlegar-legar berdekatan mereka.

Kesemua bantal yang menggelarkan diri mereka sebagai Keluarga Ibis itu merupakan maskot bagi mewakili tiga hotel di bawah seliaan Kumpulan Accor Malaysia iaitu Hotel Ibis (merah), Hotel Ibis Bajet (biru) dan Hotel Ibis Styles (hijau).

Kewujudan tiga maskot itu bukanlah untuk dipeluk apatah lagi peneman tidur setia, sebaliknya maskot berkenaan yang berjalan sejauh empat kilometer (km) bermula dari Hotel Novotel, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur bertujuan mempromosikan Hotel Ibis yang mempunyai cawangan di Indonesia, Singapura dan Malaysia.

Momen indah

Lebih menarik, orang ramai yang tidak melepaskan peluang merakamkan momen indah bersama semua maskot itu berpeluang memenangi hadiah berupa penginapan selama sehari di mana-mana Hotel Ibis yang terdapat di Indonesia, Singapura dan Malaysia melalui pertandingan Memburu Bantal Ibis 2013.

Pertandingan yang kali pertama dianjurkan itu mudah disertai iaitu dengan memuat naik foto yang dirakam itu di laman sosial Facebook, Facebook/Accorhotels.com.

Memulakan perjalanan pada pukul 11 pagi, diiringi tujuh kakitangan kumpulan Accor, tiga maskot yang sentiasa tersenyum itu mula menyapa orang ramai di setiap lokasi perhentian.


ORANG ramai tidak melepaskan peluang merakamkan momen indah bersama tiga maskot Keluarga Ibis.


Ada yang lari bertempiaran, kanak- kanak menangis kerana ketakutan, malah tidak kurang mereka yang memeluk erat kesemua maskot tersebut.

Dalam pada itu, seorang pelancong Filipina kelihatan tergamam saat melihat tiga maskot yang muncul secara mengejut dan menyapanya.

Anaknya yang berusia setahun pula hampir menangis tetapi berjaya ditenangkan dengan keletah lucu tiga maskot itu.

Hairan

Dulce Dasilva, 26, mengakui pada mulanya hairan dengan kewujudan kesemua maskot itu dalam kesibukan orang ramai, apatah lagi ketika keadaan panas terik matahari.

"Apa mereka buat di sini pada waktu tengah hari yang sangat panas. Kasihan saya melihat mereka berpeluh tetapi pelik mereka masih mampu tersenyum riang. Oleh kerana mereka sangat comel, saya tidak melepaskan peluang bergambar bersama mereka," katanya.

Ketika diberitahu anggota Accor bahawa dia berpeluang memenangi hadiah penginapan di salah sebuah Hotel Ibis, keterujaannya memuncak dan memberikan pelbagai gaya persis supermodel yang ternama untuk memenangi hadiah itu.

Sementara itu, Pengurus Kawasan, Jualan Langsung dan Loyalti Malaysia, Kumpulan Accor Malaysia, Aida Azlina Ahmad berkata, pihaknya yakin dengan menggunakan maskot Keluarga Ibis, ia kelihatan lebih mesra dan mudah didekati pengguna.

"Kami yakin pendekatan ini adalah tepat bagi mendekati orang ramai sama ada pengguna setia perkhidmatan kami atau mereka yang baru sahaja mengenali Ibis," jelasnya yang memberi- tahu setiap lokasi maskot akan dikemas kini pada laman Facbook/Accorhotels.- com.

Peraduan Memburu Bantal Ibis 2013 bertemakan Gayakan, Rakamkan dan Muat turun itu bermula pada 20 hingga 22 November lalu.

Pemenang dipilih berdasarkan jumlah butang 'Like' yang diterima pengunjung laman rasmi Accorhotels.com.

Laman rasmi Facebook/Accorhotels.com kini mempunyai lebih 300,000 pengikut di seluruh dunia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved