Rabu, 6 November 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Heliza mahu bina masjid

Posted:

Heliza mahu bina masjid

Heliza mahu bina masjid

WAJAHNYA cukup comel, mulutnya pula petah berkata-kata manakala imejnya sangat ayu dan sopan dengan hijab labuh dan jubah.

Bermula sebagai penyanyi dengan mencuba nasib dalam program Akademi Fantasia musim kelima, kini kerjaya Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi, 27, sudah berkembang.

Wajahnya lebih kerap muncul sebagai pengacara program televisyen, penceramah bebas dan juga terbaharu, Heliza sudah bergelar ahli perniagaan.

Bukan hanya satu atau dua perniagaan yang diuruskan, sebaliknya dia menguruskan bisnes Heliza Helmi Hijjab, Heliza Helmi Instant Telekung dan terbaharu, butik pakaian Muslimah, Falah Abiyana yang diusahakan bersama beberapa rakan kongsinya.

Disoal mengapakah dia seperti kelihatan begitu tamak mahu membuat semua perkara serentak, ujar Heliza, dia bukannya tamak.

Sebaliknya, dia menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk sesuatu yang berguna.

"Kita ada masa 24 jam. Jika digunakan sebaik mungkin, banyak perkara yang boleh dicapai. Apa sahaja yang beri manfaat kepada diri, keluarga dan orang lain, saya akan cuba libatkan diri.

"Saya sendiri bukannya sempurna, ada kekurangan di sana sini. Jadi, apabila saya melibatkan diri dengan pelbagai bidang yang berbeza secara tidak langsung saya turut belajar untuk memperbaiki diri sendiri," ujarnya.

Hari ini, wajah Heliza bukan asing lagi dalam banyak program motivasi dan keagamaan. Bukan calang-calang orang yang pernah bergandingan dengannya kebanyakan jauh lebih berusia, berpengalaman dan mempunyai pengaruh yang besar.

Sejak berusia lima tahun lagi dia sudah menyimpan cita-cita untuk bergelar pakar motivasi seperti Datuk Fadzilah Kamsah.

"Masa saya lima tahun, saya cukup suka tengok program motivasi Datuk Fadzilah Kamsah di televisyen, saya kata pada ibu saya ingin jadi sepertinya suatu hari nanti.

"Tidak sangka, dua tahun lalu saya berada di dalam Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin) dan penaungnya ialah Datuk Fadzilah Kamsah. Ia umpama mimpi jadi nyata rasa seperti tidak layak untuk duduk satu pentas dengannya," katanya.

Sedar perjalanannya masih jauh untuk bergelar seorang pakar motivasi, Heliza merangkak perlahan-lahan menuntut ilmu daripada mereka yang lebih pakar.

HELIZA mengakui dia sudah lama meninggalkan aktiviti membeli-belah dan menonton wayang di pawagam.


Setakat hari ini, Heliza yang mempunyai sijil sebagai perunding imej bertauliah lebih banyak berkongsi pengalamannya sebagai anak seni jika dijemput menghadiri forum.

"Jika nak berdakwah apabila diri sudah cukup sempurna, tiadalah pendakwah. Saya hanya berkongsi pengalaman dan ilmu yang saya tahu sahaja.

"Saya mengaku diri ini bukan yang paling hebat, paling baik dan paling bijak. Selain berkongsi pengalaman, saya juga selalu dijemput sebagai perunding imej untuk Muslimah.

"Alhamdulillah, walaupun yang datang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia, mereka dapat menerima saya dengan baik," akuinya.

Album baharu

Walaupun sibuk dengan bidang lain, aktiviti seni tidak pernah dilupakan Heliza. Tahun ini genap enam tahun penglibatannya dalam bidang seni, ironinya baru kini dia bakal muncul dengan album sulungnya.

Bukan bidang nyanyian tidak lagi menjadi pilihannya, sebaliknya sebelum ini peluang untuk menghasilkan album belum tiba.

"Sudah lama jadi penyanyi, baru sekarang nak hasilkan album. Mungkin sekarang baru tiba rezeki saya, apapun saya bersyukur walaupun orang kata, agak lewat," ujarnya.

Album yang dijangka berada di pasaran dalam tahun ini mengandungi 10 buah lagu, doa dan zikir seperti Jom Zikir dan La Tahzan.

"Buat masa ini baru siap dua buah lagu sahaja, selebihnya masih dalam proses. Disebabkan jadual yang padat, rakaman album sering tertangguh.

"Saya harap dapat keluarkan album pada tahun ini juga sebab sudah lama sangat. Kalau tunggu lagi lama takut tidak jadi pula.

"Album ini bukanlah album yang biasa sebaliknya, digabung dengan doa dan zikir. Moga-moga dapat beri manfaat buat pendengar kelak," ucapnya.

Bukan itu sahaja, Heliza juga menyimpan cita-cita untuk meluaskan perniagaan dengan menubuhkan agensi pelancongan untuk membawa orang menunaikan umrah.

"Itu juga antara yang sedang saya usahakan sekarang ini. Selain bawa orang pergi menunaikan umrah, agensi pelancongan itu nanti juga menyediakan pakej pelancongan seperti biasa untuk Muslim.

"Saya terfikir mengenai perkara ini ketika menjadi pengacara program, Rasa Halal Antarabangsa bersama Astro Oasis. Banyak tempat menarik yang saya lawati, terutama untuk pelancong beragama Islam," katanya.

Ditebak lagi soalan, apakah impian terbesarnya selepas ini? Terdiam sebentar, memikir jawapan yang sesuai barangkali. Jawabnya, dia mahu membina sebuah masjid, surau atau rumah anak-anak yatim.

"Selain apa yang saya lakukan sekarang impian terbesar saya ialah membina masjid, surau atau rumah anak yatim. Jika saya sudah tiada kelak, itulah tempat untuk saya dapat pahala berterusan, kira pencen untuk hari akhirat kelak," tuturnya ringkas.

FIGURA jelita ini menafikan dirinya tamak kerana melakukan banyak benda dalam satu masa yang sama.


Masa terhad

Sebalik imejnya yang sopan terselit perangai nakalnya, yang hanya diketahui mereka yang rapat dengannya sahaja.

Tidak ramai yang tahu, Heliza sama seperti remaja lain. Dia mempunyai perangai gila-gila, gemar berlawak, mendengar muzik dan aktiviti lasak seperti Go Kart.

"Jika orang yang kenal saya, pasti mesti mereka tertawa jika orang kata saya seorang yang terlalu baik. Saya seperti orang lain juga, agak nakal, suka kacau orang, merepek dan tidak suka duduk diam. Itulah diri saya yang sebenarnya.

"Sejujurnya, saya tidak pernah menyembunyikan perangai saya yang sebenar. Seiring dengan peningkatan usia, saya berusaha untuk menjadi lebih baik daripada semalam," balasnya.

Bercerita tentang aktiviti paling rindu untuk dilakukannya, terus anak kepada anggota polis ini mengakui sudah lama dia meninggalkan aktiviti membeli-belah dan menonton wayang.

"Sudah bertahun-tahun saya tidak jejakkan kaki ke panggung wayang. Filem terakhir yang saya tonton di panggung pun saya tidak ingat (ketawa).

"Saya memang suka tengok wayang tetapi sekarang waktu sangat terhad. Sebelum ini waktu baru keluar daripada Akademi Fantasia dan semasa belajar di universiti, saya ada masa untuk membeli-belah, tengok wayang dan keluar dengan rakan-rakan.

"Sekarang, kalau terdesak sangat, barulah saya akan keluar beli barang. Selalunya, ibu atau keluarga saya yang akan membeli-belah bagi pihak saya," katanya.

Kemuncak yang memberi petanda dia harus berehat apabila kesihatannya mula terganggu ketika Aidilfitri yang lalu sehingga keluar batuk berdarah.

"Saya demam seminggu ketika hari raya dengan batuk berdarah sebab suhu badan terlalu tinggi. Saya sangka denggi dan dalam hati, saya ingat saya nak mati.

"Rupanya badan saya terlalu penat dan harus berehat. Sejak itu saya ubah jadual kerja supaya kesihatan lebih terjamin. Mesti ada masa untuk makan, bersenam dan berehat," ujarnya mengakhiri bicara.

OneRepublic penuh dinamik

Posted:

OneRepublic penuh dinamik

OneRepublic penuh dinamik


AKSI penuh keterujaan Ryan Tedder selaku vokalis utama OneRepublic di pentas konsert.


KECERIAAN dan senyuman kepuasan jelas terpancar pada wajah lebih 5,000 peminat muzik khususnya pendengar tegar lagu-lagu kumpulan alternatif rock dari Amerika Syarikat (AS), OneRepublic.

Ini kerana persembahan hampir dua jam daripada grup tersebut sarat dengan intipati yang memenuhi citarasa audiens yang hadir menyaksikan konsert tersebut.

Berlangsung secara santai di pekarangan Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, audiens ternyata sangat teruja dengan muzik yang dipersembahkan band yang berasal dari Colorado, AS itu.

Ini kali pertama OneRepublic menjejakkan kaki ke Malaysia kerana melangsaikan konsert jelajah dunia mereka yang diberi nama sempena album terbaharu mereka, Native.

Bertujuan untuk mempromosikan album ketiga mereka itu yang telah dilancarkan pada April tahun ini, OneRepublic terlebih dulu menjelajah Eropah dan Amerika Utara sebelum hadir ke rantau Asia pada pertengahan Oktober lalu.

Sepertimana sambutan di konsert jelajah mereka sebelum ini, suasana di Sunway Lagoon juga hangat.

Audiens sudah membanjiri lokasi konsert sejak pukul 6 petang lagi biarpun persembahan dijadualkan hanya bermula pada pukul 8.30 malam.

Persembahan dimulakan dalam suasana rancak apabila OneRepublic menyanyikan lagu pertama mereka, Don't Look Down dah keriuhan bertambah apabila kain putih yang melitupi segenap ruang pentas diturunkan.

Tidak menoleh ke belakang, band yang mengejutkan peminat dengan memakai topeng khas sempena perayaan Halloween itu terus mendendangkan lagu-lagu hit mereka dalam tempoh setengah jam pertama seperti Light It Up, Secrets, All the Right Moves dan What You Wanted.

Berhenti seketika untuk berinteraksi bersama penonton, kumpulan yang diketuai oleh Ryan Tedder sebagai vokalis itu sempat bergurau dengan memberitahu bahawa Sunway Lagoon merupakan destinasi menarik nombor satu di Asia.

Konsert diteruskan dengan energi hebat ditunjukkan oleh kumpulan yang turut dianggotai oleh Zach Filkins, Drew Brown, Eddie Fisher dan Brent Kutzle itu apabila menyampaikan lagu paling 'meletup', Stop & Stare.


PERJALANAN konsert yang hangat membara dengan persembahan lagu-lagu penuh bertenaga sukses dilakukan oleh OneRepublic menerusi konsert julung-julung kali mereka di Malaysia ini.


Hampir kesemua penggemar muzik yang hadir pada malam itu menyanyikan bersama lagu yang dipetik dari album debut mereka, Dreaming Out Loud sekali gus memperkenalkan OneRepublic di persada muzik antarabangsa sebelum berterusan 'merasuk' audiens dengan single terbaharu mereka, Counting Stars.

Zach selaku pemain gitar utama OneRepublic kemudian menonjolkan diri dengan teknik bermain gitar ala Sepanyol secara solo dengan cemerlang sebelum Ryan mengambil alih dengan bermain piano secara solo sambil menyampaikan lagu hit tahun 2008, Apologize selain turut diselitkan medley pendek lagu popular Justin Timberlake, Cry Me A River dan Yellow (Coldplay).

Walaupun hujan gerimis mula membasahi bumi, OneRepublic meneruskan misi mereka dalam membuai audiens dengan dua buah lagu dari album terbaharu mereka, Burning Bridges dan Preacher.

Kehangatan diteruskan dengan lagu popular Kanye West, Gold Digger yang diubah suai sesuai dengan konsep yang dibawakan oleh kumpulan pop rock ini.

Vokal Ryan terus diuji dengan menyanyikan single terbaharu OneRepublic, Can't Stop dan sebuah lagu sentimental, I Lived sebelum mengimbau kenangan penonton dengan menyampaikan dua buah single popular mereka, Marching On dan Good Life yang dipetik dari album kedua OneRepublic, Waking Up.

Seterusnya, bahang kehangatan persembahan OneRepublic mencapai klimaks menerusi alunan dua buah lagu terakhir, Feel Again dan If I Lose Myself.

Ia sehingga membuatkan penonton menyanyi bersama bagaikan tidak mahu konsert itu berakhir.

Setiap detik yang berlalu dalam tempoh hampir dua jam itu boleh diibaratkan seperti air yang mengalir di sungai kerana penonton merasakan masa berjalan terlalu pantas, sedangkan niat di hati mahukan kumpulan itu terus menghiburkan mereka.

Konsert yang dianjur dan dibawakan khas oleh JS Concert dan Hotlink itu mempunyai tarikan serta momen unik yang dapat memberi pengalaman indah buat penggemar konsert artis antarabangsa.

Persembahan OneRepublic yang bersahaja dan tampak matang mampu memberi inspirasi buat pengkarya muzik tempatan untuk berusaha lebih baik pada masa hadapan.

Adam, Fatin nikah 21.12.13

Posted:

Adam, Fatin nikah 21.12.13

Adam, Fatin nikah 21.12.13

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

ADAM dan Fatin sudah mencapai kata sepakat untuk bergelar suami isteri.


MELALUI laman sosial Instagram, kelihatan pelakon muda, Fatin Nur Afifah Shamsudin yang dahulunya pernah popular menerusi filem Tentang Bulan, bersama Adam Shah, secara terbuka berkongsi kisah hidup mereka.

Foto-foto yang dimuat naik tersebut sudah cukup menceritakan kisah dua pelakon ini yang mereka kini sedang saling bercinta.

Ketika bertemu dengan mereka pada majlis pencalonan Anugerah Skrin 2013 di Kuala Lumpur baru-baru ini, pasangan kekasih tersebut hadir bersama.

Adam dan Fatin ternyata sudi berkongsi kisah gembira, malah mereka berterus terang tentang majlis pertunangan dan pernikahan mereka yang bakal berlangsung sekali gus pada bulan Disember ini.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adam dan Fatin tentang keputusan mereka itu.

Adam juga mengulas tentang kontroversi yang pernah melanda Fatin sebelum ini yang didakwa menjalinkan hubungan dengan seorang pengkid bernama Puteri Sarah atau nama ringkasnya, Putt.

Kosmo!: Sudah berapa lama anda mengenali antara satu sama lain?

FATIN: Saya sudah lama kenal Adam sebelum dia mula berlakon dalam drama Juvana lagi, namun mula rapat dan bercinta pada awal tahun ini.

Kelihatan anda berdua sering memuatnaik foto-foto mesra melalui laman Instagram dan ini bermaksud anda terbuka dengan kisah cinta. Adakah anda berdua tidak risau kelak orang memperkatakan tentang hal ini?

ADAM: Pada saya, instagram merupakan hak privasi kami. Jadi, konsepnya mudah sahaja, jika suka follow, jika tidak suka unfollow.

FATIN: Ya, betul.

Berbalik kepada soalan yang mengatakan Adam mengawal Fatin. Adakah ia bermaksud seperti mengongkong?

FATIN: Bukan begitu.Ia bermaksud dia mengawal saya daripada membuat perkara yang tidak baik. Dia mengajar saya untuk membuat perkara yang baik.

Bilakah kalian bakal melangsungkan pertunangan dan pernikahan?

ADAM: Pada mulanya perancangan kami ingin bertunang terlebih dulu pada tarikh 21 Disember ini dan bernikah pada bulan April tahun hadapan. Namun, disebabkan oleh bapa Fatin yang akan berangkat ke luar negara atas urusan kerja, jadi kami awalkan pernikahan pada tarikh 21 Disember itu.

Setelah berbincang dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak kami akan melangsungkan pertunangan pada pagi hari tersebut disusuli majlis khatam al-Quran.

Majlis akad nikah pula pada sebelah petang selepas waktu Asar yang bertempat di rumah keluarga Fatin di Puchong.

TIDAK mengambil kisah, kontroversi hitam masa silam yang pernah melanda bakal isterinya ini, Adam menerima Fatin seadanya.


Adakah kalian memang benar-benar bersedia untuk kahwin, terutamanya Fatin kerana anda masih muda dan baru berusia 20 tahun?

FATIN: Memang sudah dan kami bakal melangsungkan pertunangan dan perkahwinan pada 21 Disember ini. Saya tidak rasa terlalu awal. Ini kerana saya rasa untuk menamatkan zaman bujang tidak perlu ada had umur dan jika sampai jodoh kami, saya terima sahaja. Saya sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri dan untuk menjadi seorang ibu pula, mungkin kami akan membuat perancangan keluarga dulu.

ADAM: Walaupun Fatin muda tapi cara pemikirannya sangat matang. Dalam masa berkawan ini, saya juga banyak berbincang dan bercakap dengannya sehingga dia berubah. Ketika saya bertanyakan soal perkahwinan, Fatin jawab dia sudah bersedia dan begitu juga keluarganya setelah berbincang.

Bagaimanakah pula dengan penerimaan keluarga anda berdua?

FATIN: Keluarga saya memang sukakan Adam dan tidak kisah dengan perhubungan kami berdua. Adam rapat dengan keluarga saya terutamanya ibu saya. Mereka juga tidak risau apabila keluar bersama Adam kerana sudah mengenali dia.

ADAM: Keluarga saya tidak kisah dan juga sudah mengenali Fatin dan kami sudah pun bertemu keluarga masing-masing.

Bercerita tentang masa silam Fatin yang didakwa berkawan dengan kaum sejenis. Boleh komen?

FATIN: Saya mengaku, saya salah pilih kawan. Jadi, kini selepas jumpa Adam dia banyak merubah hidup saya. Dia mengawal saya dalam erti kata bagi memperbetulkan dan untuk kebaikan diri saya sendiri. Oleh kerana itu, buat saya tertarik dengan dirinya.

Ketika kontroversi tentang Fatin itu tersebar, bagaimanakah penerimaan Adam terhadap perkara tersebut?

ADAM: Memang saya sudah mengenali Fatin ketika itu, tapi belum rapat. Bagi saya, ia perkara biasa, kerana jika kita masuk ke alam selebriti, kisah hidup kita orang akan beri perhatian. Walaupun kisah itu kecil manapun, ia akan kelihatan besar.

Bagi saya, apa yang terjadi merupakan kisah silamnya, dan saya juga begitu. Apa yang lepas itu, saya anggap ia kisah suka duka dirinya. Saya beri peluang kepadanya untuk memikirkan apa yang betul dan salah. Kontroversi itu juga tidak menjejaskan perasaan saya terhadap Fatin.

Apakah perkembangan terbaharu karier seni Fatin kerana anda seperti sudah lama menyepikan diri?

FATIN: Selain berlakon, saya juga menyanyi dan album mini saya telah pun siap dan mengandungi sebanyak lima buah lagu. Namun, belum lagi dilancarkan dan ia dibawah R&R Entertainment. Jika rezeki saya ke arah lakonan, saya teruskan dan begitu juga nyanyian.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved