Ahad, 6 Oktober 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


BookXcess tawar harga buku termurah

Posted:

BookXcess tawar harga buku termurah

BookXcess tawar harga buku termurah

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

KEDAI buku BookXcess sentiasa menawarkan harga yang rendah untuk menarik lebih ramai pelanggan.


TIDAK mementingkan keuntungan semata-mata, Syarikat BookXcess menetapkan matlamat yang berbeza berbanding pesaing apabila menawarkan harga serendah RM10 untuk sebuah buku.

Bermula pada 2006 dengan hanya menjual 500 buah buku, kini BookXcess menawarkan lebih 10,000 tajuk cerita dan mempunyai kira-kira 45,000 pengikut di laman sosial Facebook.

Pengarah Urusan BookXcess, Andrew Yap berkata, pihaknya tidak menetapkan matlamat perniagaan untuk mengaut keuntungan sahaja, tetapi mengambil tanggungjawab dalam membentuk amalan membaca yang didakwa semakin merosot dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Saya hanya ingin membina dan memupuk semangat membaca dalam kalangan anak muda di Malaysia, terutamanya kanak-kanak dengan cara memberikan tawaran hebat yang mampu dibeli oleh ibu bapa mereka.

"Salah satu faktor yang menjadikan masyarakat di negara kita jarang atau langsung tidak membaca adalah kerana tiada bahan bacaan ekoran harga buku yang mahal," katanya ketika ditemui di BookXcess di kompleks beli-belah Amcorpmall, Petaling Jaya baru-baru ini.

BookXcess menawarkan potongan harga bermula dari 70 hingga 95 peratus termasuk buku hasil karya penulis-penulis dan tokoh-tokoh terkenal.

Menurut Pengarah Eksekutif BookXcess, Jacqueline Ng, antara sebab BookXcess boleh menjual buku berharga murah adalah kerana mereka mendapatkan bekalan buku terus daripada pembekal luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

"Kami akan ke AS dan UK untuk berjumpa dengan pembekal dan membeli beratus-ratus ribu buah buku dengan tawaran harga yang murah.

PELBAGAI jenis buku termasuk bahan bacaan kanak-kanak boleh didapati di BookXcess.


"Ini kerana pembekal di sana sebenarnya turut menyokong dan membantu usaha kami untuk membina semangat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia," ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Jacqueline, buku-buku yang tidak terjual tidak boleh ditolak semula kepada pembekal dan ia risiko yang perlu mereka tanggung.

Jualan tahunan

Dalam pada itu, selain menjual buku-buku murah, BookXcess turut mengadakan aktiviti jualan tahunan yang dipanggil Big Bad Wolf Goes On The Road (BBW).

Aktiviti tersebut mula dijalankan pada 2009 dengan menyediakan lebih 120,000 buah buku.

Pada BBW 2011 yang berlangsung di kompleks beli-belah The Mines, Sri Kembangan, BookXcess telah membawa masuk sejumlah 1.5 juta buah buku dari luar negara dengan 90 peratus daripadanya habis dijual.

Kira-kira 300,000 pengunjung merebut peluang membeli pelbagai buku yang diingini dengan harga serendah RM5 hingga RM10 untuk setiap buku.

Selain memberi peluang untuk rakyat Malaysia memiliki koleksi buku dengan harga berpatutan, BookXcess turut melakukan aktiviti tanggungjawab sosial korporat.

Jacqueline memberitahu, BookXcess telah mendermakan sebanyak 12,000 buah buku kepada lapan rumah kanak-kanak angkat mereka.

"Kami akan membalut setiap buku itu dan diberikan kepada mereka sebagai hadiah. Dengan cara itu, kanak-kanak akan berasa lebih gembira dan menghargai buku tersebut dengan cara membacanya," katanya.

Dalam pada itu, BookXcess, BBW yang akan diadakan pada bulan Disember depan menawarkan beratus-ratus ribu buah buku dan tawaran harga terendah.

Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh menghubungi BookXcess menerusi laman sosial www.facebook.com/BookXcess.

Kemeriahan pertandingan kawad kaki beruniform

Posted:

Kemeriahan pertandingan kawad kaki beruniform

Kemeriahan pertandingan kawad kaki beruniform

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI


SEKOLAH Sultan Alam Shah, Putrajaya menghantar dua pasukan kawad pada pertandingan kali ini.


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya gamat apabila 28 pasukan berentap dalam Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Beruniform Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya 2013 yang berlangsung baru-baru ini.

Seramai 1,071 peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah mula membuat persembahan kawad seawal pukul 8 pagi hingga 2 petang.

Ketika menyaksikan pertandingan tersebut, lensa Kosmo 2 tertarik dengan lontaran suara lantang seorang kanak-kanak perempuan bertubuh genit.

Sebagai Ketua Platun Pasukan Kawad Kaki Elit dari Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) itu, Atiqah Hanim Suhaidi, 12, kelihatan tegas memberi arahan kepada anak-anak buahnya.

Ternyata, rakan sepasukannya berjaya mempamerkan satu formasi kawad yang menarik dengan pergerakan penuh seragam.

"Sebagai persediaan menyertai pertandingan ini, kami telah berlatih selama dua jam seminggu yang diadakan pada setiap petang Khamis. Selain itu, menjelang seminggu sebelum hari pertandingan, kekerapan latihan ditingkatkan kepada dua jam setiap hari.

"Untuk makluman, sebenarnya kami telah membuat persediaan awal sejak Februari lalu. Ini kerana pasukan kami terpilih untuk mewakili Putrajaya ke pertandingan kawad antara sekolah bagi peringkat kebangsaan," kata Atiqah Hanim yang mula meminati aktiviti kawad kaki sewaktu darjah tiga.

Ironinya, anak bongsu daripada empat beradik itu bukan sahaja aktif dalam bidang kokurikulum, malah merupakan antara pelajar cemerlang di sekolah. Dia juga merupakan calon pelajar yang disasarkan memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini.


DISIPLIN yang diterapkan dalam aktiviti kawad mampu membentuk jati diri pelajar menjadi lebih fokus dalam perkara yang dilakukan.


Johan keseluruhan

Pada pertandingan tersebut, pasukan pengakap Atiqah Hanim berjaya merangkul tempat ketiga, malah, dia turut dinobatkan sebagai Ketua Platun Terbaik Putrajaya (Perempuan).

Selain itu, SK Putrajaya Presint 11 (1) turut berbangga apabila membolot trofi johan bagi kategori Ketua Platun Terbaik Putrajaya (Lelaki), Johan Platun Perempuan, Johan Platun Lelaki sekali gus muncul Johan Keseluruhan Pertandingan Kawad Kaki Putrajaya.

Kedua-dua pasukan dari sekolah berkenaan mendapat bimbingan daripada jurulatih dan guru mereka, Zarawahida Zakaria, 33, dan Ismail Ghazali, 36.

Menurut Zarawahida, aktiviti kawad tersebut membuka ruang kepada murid-murid untuk mendapatkan merit kokurikulum peringkat negeri selain berupaya memupuk nilai murni seperti semangat setia kawan, berdisiplin dan keyakinan diri.

Zarawahida yang juga menggalas jawatan Ketua Pegawai Teknik pertandingan tersebut memberitahu, ia sudah empat kali dianjurkan.

"Pada peringkat awal dulu, tidak banyak penyertaan daripada sekolah-sekolah Putrajaya. Mungkin disebabkan ketiadaan guru yang mahir menguruskan latihan kawad di sekolah mereka.

"Kini, banyak sekolah semakin berminat untuk menyertai pertandingan kawad dan ada antara sekolah-sekolah terlibat menggunakan khidmat jurulatih kawad dari badan-badan kerajaan," jelas Zarawahida.

Jurulatih tersebut terdiri daripada anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan dan Perbadanan Putrajaya.

Difahamkan, semua perbelanjaan bagi mengendalikan pertandingan tersebut ditanggung oleh Jabatan Pendidikan Putrajaya yang menelan belanja kira-kira RM35,000.

Jumlah tersebut meliputi kos pengangkutan, makan dan hadiah penghargaan kepada pemenang pertandingan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved