Ahad, 6 Oktober 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


FAM tunggu aduan KAFA, PBNJ

Posted:

FAM tunggu aduan KAFA, PBNJ

FAM tunggu aduan KAFA, PBNJ

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

INDRA (tengah) tidak dicabar pertahanan Johor DT pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV malam kelmarin.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) kini hanya menunggu aduan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung insiden panas yang berlaku pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak berkata, KAFA dan PBNJ boleh mengemukakan laporan terhadap dua insiden yang berlaku pada pertembungan penuh dramatik itu.

Dua situasi yang dimaksudkan itu ialah melibatkan penyerang import Johor Darul Takzim (Johor DT), Leonel Nunez didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Kelantan.

Satu lagi insiden melibatkan seorang lagi penyerang Harimau Selatan, Norshahrul Idlan Talaha atau dikenali sebagai Mat Yo yang mengalami kecederaan apabila hidungnya berdarah selepas disiku oleh tonggak Kelantan, Indra Putra Mahayuddin.

Insiden tersebut dikatakan 'terlepas pandang' oleh pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri sehingga menyebabkan Indra terlepas daripada menerima sebarang hukuman atau kad kuning.

Mengulas lanjut, Taufek berkata, tindakan Nunez itu boleh diambil tindakan meskipun insiden itu berlaku ketika pemain kelahiran Argentina itu sedang melakukan regangan badan di tepi padang.

"Memang ada kod tatatertib di bawah peruntukan sedia ada yang mana jika terdapat pemain atau pegawai yang menunjukkan isyarat lucah, mereka boleh diambil tindakan tegas.

"Meskipun perbuatan itu dilakukan di luar perlawanan, FAM boleh mengambil tindakan jika KAFA mengemukakan laporan demikian.

"Begitu juga dengan PBNJ, mereka boleh mengemukakan aduan berhubung kekasaran yang dilakukan Indra terhadap Mat Yo.

"Merujuk seperti kes sebelum ini, (penyerang Selangor) Mohd. Amri Yahyah pernah digantung tiga perlawanan dan denda RM1,800 disebabkan kekasaran melampau terhadap (bekas) pemain Kelantan, Mohamed Ghaddar pada aksi Liga Super tahun lalu.

Taufek berkata, pihaknya tidak boleh melakukan sebarang tindakan atau dakwaan jika tidak mendapat laporan rasmi daripada KAFA mahupun PBNJ.

"Buat masa ini, kami hanya menunggu laporan penuh atau aduan rasmi daripada kedua-kedua persatuan (KAFA dan PBNJ) mengenai insiden tersebut.

"Pihak sekretariat FAM akan mengambil tindakan susulan jika ada laporan dikemukakan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri malam kelmarin, Kelantan tampil bergaya apabila membelasah Johor DT 6-1, sekali gus melangkah ke saingan separuh akhir dengan agregat 8-5.

The Red Warriors bakal berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 18 Oktober depan.

Hafizh membara gegar Sepang

Posted:

Hafizh membara gegar Sepang

Hafizh membara gegar Sepang

HAFIZH bakal membuat penampilan kali kedua di pentas MotoGP Malaysia selaku pelumba wildcard.


KOSMO!: Tahniah atas kejayaan saudara muncul sebagai pelumba Malaysia pertama memenangi satu peringkat perlumbaan di Sepanyol tempoh hari.

HAFIZH: Terima kasih. Sebenarnya saya sendiri terkejut dengan kemenangan tersebut kerana ia tidak dijangka. Tetapi apa yang saya boleh katakan ialah kemenangan tersebut sudah pasti melonjakkan lagi keyakinan dan semangat saya untuk terus mencipta kejayaan pada masa hadapan.

PRESTASI anda dilihat semakin meningkat sejak dua tahun beraksi di perlumbaan Sepanyol tersebut. Apakah yang banyak membantu pencapaian anda kali ini?

SEBENARNYA prestasi saya sepanjang musim ini banyak dibantu oleh jentera baharu saya, Kalex. Saya menyesuaikan diri dengan cepat bersama jentera ini dan sudah tentu ia adalah hasil kerjasama seluruh anggota mekanik pasukan saya. Lagi pun jentera Kalex ini lebih kecil dan ringan, jadi ia sesuai bagi semua pelumba beginner seperti saya ini.

JADI, adakah dengan jentera Kalex ini, peminat Malaysia boleh menjangkakan satu lagi aksi cemerlang daripada anda, mungkin kejayaan podium pada MotoGP Malaysia nanti?

APA yang menjadi masalah kepada saya musim ini ialah ramai lagi pelumba kelas Moto2 yang menggunakan jentera Kalex. Seperti yang saya beritahu tadi, jentera ini lebih kecil dan ringan, jadi ia sesuai bagi pelumba baharu.

Jadi, jika semua pelumba memiliki jentera yang sama, sudah pasti yang akan membawa perubahan dalam perlumbaan adalah kemahiran tunggangan masing-masing.

Disebabkan itu, saya tidak mahu beri jaminan yang saya boleh menaiki podium di Sepang nanti tetapi apa yang boleh saya janjikan, saya akan mencuba sebaik mungkin apabila turun beraksi Ahad ini.

SAINGAN MotoGP Malaysia kali ini bakal menyaksikan anda membuat penampilan ketiga sebagai pelumba wildcard. Apa peluang anda untuk mengulangi pencapaian tahun lalu?

SAYA tidak tahu apa peluang saya pada perlumbaan itu nanti. Setakat ini saya rasa prestasi saya agak baik dalam dua penampilan wildcard lepas (No. 22 GP Perancis dan No. 18 GP Catalunya).

Saya juga ketika ini menduduki tangga ketiga keseluruhan dalam CEV Sepanyol dan hanya ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu dengan baki dua lagi saingan.

Berdasarkan prestasi saya kali ini, mungkin peluang melakukan kejutan itu masih ada, tetapi saya tidak mahu terlalu memaksa diri.

Semuanya bergantung kepada hari perlumbaan itu nanti, kalau hujan turun seperti tahun lepas, saya mungkin ada peluang memperbaiki pencapaian tahun lepas itu.

ADAKAH hujan juga memainkan peranan dalam kejayaan anda tahun lalu?

SEBENARNYA saya tidak tahu, mungkin juga. Kerana saya dapati pelumba Eropah tidak terlalu berani berlumba dalam keadaan hujan, malah sebagai pelumba dari Asia, saya sudah biasa dengan berlumba dalam hujan, jadi saya rasa ia satu kelebihan.

Malah, pada perlumbaan tahun lalu, saya berjaya mengesan laluan yang kering di atas litar, jadi saya hanya mengawal jentera di laluan tersebut sahaja sepanjang perlumbaan. Mungkin ini yang membantu kejayaan saya pada waktu itu.

BAIKLAH... adakah anda berasa sebarang tekanan yang hebat diletakkan ke atas bahu anda?

SAYA tidak berasa terlalu tertekan untuk menepati sebarang jangkaan peminat kerana saya hanya mendapat No. 4, tidak seperti Zulfahmi (Khairuddin, pelumba kelas Moto3 negara) yang menaiki podium tahun lalu.

Namun, saya sudah dapat rasakan peminat motosikal sudah mula memberi perhatian kepada saya sejak kejayaan di Sepanyol tempoh hari. Apa pun saya tidak mahu terlalu memikirkannya, sebaliknya hanya memberi fokus kepada latihan dan perlumbaan sahaja.

AKHIR sekali, apakah anda pernah mengimpikan untuk menjadi pelumba MotoGP pada masa hadapan dan berapa lama masa yang anda berikan kepada diri sendiri untuk melakukannya?

SUDAH tentu impian setiap pelumba adalah untuk menjadi pelumba MotoGP. Idola saya ialah Valentino Rossi kerana dominasinya dalam kejuaraan dunia dan juga Jorge Lorenzo kerana keberaniannya.

Saya rasa saya mampu menjadi pelumba MotoGP jika saya menjadikan pencapaian mereka sebagai panduan. Apa pun, semuanya masih jauh lagi dan saya menetapkan masa selama lima atau enam tahun lagi untuk menjadi pelumba MotoGP Malaysia.

Ronaldo julang Real

Posted:

Ronaldo julang Real

Ronaldo julang Real


RONALDO (tengah) diraikan rakan-rakan sepasukannya selepas meledak gol kemenangan Real ketika menentang Levante di Stadium Ciutat de Valencia awal pagi semalam.


MADRID - Real Madrid kembali memberi persaingan dalam perebutan takhta Liga Sepanyol.

Biarpun sekali lagi tampil tanpa kelibat pemain termahal di dunia, Gareth Bale, Real masih mampu mengutip tiga mata berharga apabila meraih kemenangan 3-2 ke atas Levante di gelanggang lawan awal pagi semalam.

Selepas ketinggalan 1-2 ketika perlawanan memasuki minit terakhir, pemain gantian, Alvaro Morata menjaringkan gol penyamaan sebelum Cristiano Ronaldo meledakan gol kemenangan Real beberapa saat sebelum wisel penamat ditiupkan.

Sebelum itu, Baba Diawara menjaringkan gol pembukaan Levante pada minit ke-57 sebelum tonggak pertahanan Real, Sergio Ramos menyamakan kedudukan berselang empat minit kemudian.

Nabil El Zhar kembali meletakkan Levante di depan pada minit ke-86 sebelum hajat tuan rumah untuk meraih tiga mata berkecai hasil dua jaringan lewat Morata dan Ronaldo.

"Kemenangan ini sangat penting kerana ia adalah satu pertemuan yang sukar," kata jurulatih Real, Carlo Ancelotti.

"Ia menjadi lebih sukar pada penghujung perlawanan, namun kami tidak mengalah dan terus berjuang bermati-matian.

"Perlawanan menjadi sukar kerana kami melepaskan dua gol kepada Levante sedangkan kami sepatutnya lebih menumpukan perhatian dan menguasai bola.

"Memang benar prestasi kami tidak berapa baik ketika ini, tetapi kami berhak dengan kemenangan ini jika dilihat berdasarkan peluang jaringan yang dicipta sepanjang babak kedua."

Tampil tanpa kelibat Bale yang masih dibelenggu kecederaan paha, Ancelotti melakukan lima perubahan dalam skuad The Galacticos yang menewaskan FC Copenhagen 4-0 dalam kempen Liga Juara-Juara Khamis lalu.

Kemenangan itu menyaksikan Real kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Barcelona yang menang 4-1 ke atas Real Valladolid di Nou Camp awal pagi semalam. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved