Khamis, 3 Oktober 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Rasa hebat lakukan jenayah

Posted:

Rasa hebat lakukan jenayah

Rasa hebat lakukan jenayah

ADA penjenayah sanggup membunuh diri kerana tidak tahan menanggung perasaan bersalah. - Gambar hiasan


MUTAKHIR ini, kita dikejutkan dengan begitu banyak berita berkaitan jenayah termasuk pembunuh upahan dan kumpulan kongsi gelap.

Ia menimbulkan tanda tanya kepada kita mengapa manusia cenderung melakukan jenayah? Adakah jenayah merupakan satu cara baharu untuk manusia mendapatkan keseronokan?

Itulah antara persoalan yang belum dapat dirungkaikan dalam kajian-kajian psikologi. Sekiranya salah laku jenayah atau keganasan mampu memuaskan hati manusia, ia mungkin hanyalah ilusi.

Kita selalu mendapati bahawa penjenayah yang dimomokkan sebagai bengis dan kejam, biasanya terpaksa menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika hukuman dijatuhkan ke atas mereka oleh mahkamah.

Malah, walaupun ada yang sanggup membunuh orang lain, pada akhirnya mereka rela membunuh diri kerana tidak lagi mampu menanggung perasaan bersalah.

Semua ini jelas menunjukkan bahawa penjenayah yang ganas sekali pun hanyalah manusia biasa.

Umumnya, kajian-kajian psikologi mendapati bahawa penjenayah selalunya datang daripada kelompok yang mempunyai 'penghargaan kendiri' yang rendah.

Bagi meningkatkan keyakinan diri, mereka menyertai kumpulan tertentu atau terlibat dengan jenayah yang membolehkan mereka dinilai sebagai manusia hebat dan luar biasa.

Kelemahan

Berdasarkan tanggapan ini, cubaan menutup kelemahan itulah yang menjebakkan diri mereka dengan jenayah. Sekiranya mereka lemah, mengapa mereka mampu melakukan keganasan dan kekerasan?

Seolah-olah mereka yakin terhadap perkara yang dilakukan, sedangkan bagi majoriti lain, mereka sangat takut untuk melanggar undang-undang. Apatah lagi untuk merompak atau membunuh orang tanpa rasa kasihan.

Dalam konteks ini, ahli psikologi menganggapnya sebagai satu bentuk 'ego diri'. Penjenayah ini perlu menunjukkan kekuatan mereka bagi memberitahu orang lain bahawa mereka bukanlah individu lemah, sebaliknya mereka adalah manusia unik.

Tekanan hidup turut mendorong seseorang melakukan jenayah. - Gambar hiasan


Mereka mahu menunjukkan bahawa mereka mampu melakukan apa yang tidak boleh dilakukan orang lain, walaupun tindakan itu mungkin bertentangan dengan norma dan peraturan hidup manusia.

Penyertaan dalam kumpulan jenayah tertentu juga mungkin ada kaitan dengan pengiktirafan psikologi ini. Semakin besar dan terkenal satu-satu kumpulan itu menyebabkan mereka berasa memiliki kehebatan tersendiri.

Sebab itulah, kita dapati aktiviti jenayah banyak berlaku dalam kelompok masyarakat minoriti, kumpulan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak berpendidikan tinggi.

Kelemahan diri telah ditukar kepada bentuk lain bagi membolehkan mereka mendapat pengiktirafan. Adakah undang-undang sedia ada tidak cukup untuk menakutkan manusia?

Hukuman

Sebenarnya, inilah juga antara isu yang sering dibahaskan dalam kajian-kajian psikologi. Umumnya, kajian mendapati ramai penjenayah tidak menghiraukan bentuk undang-undang atau hukuman bagi tindakan mereka.

Mereka juga tidak melakukan pertimbangan untung rugi dalam setiap tindakan jenayah, khususnya hukuman yang bakal diterima.

Mereka hanya mempertimbangkan apa yang bakal diperoleh sekarang dan bukannya musibah pada masa hadapan.

Bagi sesetengah penjenayah, mereka cuma mempertimbangkan sama ada mereka akan ditangkap ketika melakukan jenayah atau berjaya menghindarkan diri daripada dihidu oleh pihak berkuasa.

Ego diri memperteguhkan perlakuan mereka tadi. Bagi segelintir penjenayah, mereka dikatakan mempunyai personaliti yang sukakan risiko. Semakin besar hukuman, semakin 'seronok' mereka melakukan jenayah terbabit.

Ini bukanlah bermakna undang-undang tidak diperlukan. Undang-undang diperlukan bagi mengawal perilaku mereka yang tidak mempunyai personaliti mudah melakukan jenayah.

Undang-undang diperlukan bagi membolehkan majoriti masyarakat yang tidak terlibat dengan jenayah berasa gerun dan menghindarkan mereka daripada terjebak.

Sebab itulah, penjenayah mesti dihadapkan ke mahkamah dan dihukum setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Sekalipun mereka tidak takut atau menyesal, sekurang-kurangnya mereka menerima balasan atas perbuatan tersebut.

Kecenderungan segelintir ahli masyarakat menganggap penjenayah sebagai wira dan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa sebenarnya tidak memberikan sebarang manfaat.

Ia hanya akan meninggikan ego diri penjenayah untuk terus melakukan jenayah yang mengancam nyawa dan keselamatan negara.

Mengelilingi dunia di Intermark Mall

Posted:

Mengelilingi dunia di Intermark Mall

Mengelilingi dunia di Intermark Mall


KANAK-KANAK yang menyertai peraduan mewarna peti harta karun di Intermark Mall berpeluang memenangi percutian menyeronokkan di taman-taman tema terkemuka seperti Sunway Lagoon (kiri) dan Universal Studios.


BAGI anda yang mempunyai anak-anak kecil, jangan ketinggalan membawa mereka menyertai peraduan mewarna peti harta karun di Intermark Mall, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Oktober ini.

Pelbagai hadiah menarik seperti tiket masuk dan penginapan untuk empat orang ke Taman Tema Universal Studios di Singapura, Legoland di Johor dan Sunway Lagoon di Selangor sedia untuk dimenangi.

Pengarah The Intermark, Patrick Liau berkata, peraduan tersebut merupakan sebahagian daripada promosi Mengelilingi Dunia pusat beli-belah tersebut yang berlangsung pada 3 hingga 6 Oktober ini.

"Promosi ini bertujuan untuk memperkenalkan kepelbagaian barangan dan cita rasa antarabangsa dari kedai, restoran dan rangkaian kesihatan dan gaya hidup yang disediakan The Intermark," katanya.

Dengan perbelanjaan serendah RM10, pengunjung boleh menikmati hidangan restoran-restoran dan kafe terkenal di podium melalui gerai-gerai promosi mereka di tingkat bawah dan tingkat satu. Para pengunjung juga berpeluang merasa pelbagai jenis keju di gerai-gerai tersebut.

Selain itu, pengunjung berpeluang mendapat baucar bernilai RM50 untuk dibelanjakan di Intermark Mall jika "pasport" mereka dicop sebanyak enam kali di gerai-gerai promosi yang disediakan. "Pasport" ini boleh didapati di kaunter penerangan di tingkat bawah.

Mereka yang menjamu selera di sana juga diberi potongan harga antara 20 sehingga 50 peratus bagi hidangan terkenal di restoran dan kafe yang mengambil bahagian.

Selaras dengan tema mengelilingi dunia, para pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuklah samurai Jepun, nyanyian tenor; dendangan lagu-lagu klasik Cina dari Shanghai; pukulan kompang; tarian kipas Korea dan Flamenco dari Sepanyol.

Intermark Mall merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu The Intermark yang turut merangkumi Menara Integra, Menara Vista dan Hotel Double-Tree by Hilton.

Rekaan tema Malaysia pada cawan Starbucks

Posted:

Rekaan tema Malaysia pada cawan Starbucks

Rekaan tema Malaysia pada cawan Starbucks

Saleharon (dua dari kiri) melihat pelbagai hasil seni yang dihasilkan pelajar-pelajar.


SEMPENA sambutan ulang tahun ke-50 Hari Malaysia tahun ini, jenama kopi terkemuka di Malaysia, Starbucks dengan kerjasama Kolej Saito, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini telah menganjurkan program Colors of Malaysia.

Melalui program itu, seramai 53 pelajar dari Fakulti Reka Bentuk, Kolej Saito berpeluang menunjukkan kreativiti masing-masing di atas cawan Starbucks.

Pengurus Hal Ehwal Awam dan Strategi Digital Starbucks Malaysia, Salleharon Ahmad berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan memberi platform kepada golongan muda untuk mengetengahkan bakat-bakat mereka.

Pihaknya sengaja memilih tema Malaysia bertujuan memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan golongan muda lebih-lebih lagi sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-50.

"Setiap pelajar diberi sebanyak enam cawan Starbucks dan tempoh selama seminggu untuk menyiapkan kesemua rekaan dan lukisan yang bertemakan Malaysia.

"Ada yang mengangkat kebudayaan, muzik, kepelbagaian kaum, lokasi-lokasi pelancongan, karnival dan perayaan bagi mencerminkan keunikan serta kepelbagaian negara ini," katanya pada majlis penghargaan kepada para peserta di cawangan Starbucks Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Reka Bentuk Kolej Saito, Mok Chuang Yung.


Program Colors of Malaysia merupakan kerjasama antara Starbucks dan Kolej Saito bertujuan memeriahkan sambutan Hari Malaysia tahun ini.


Kagum

Tambah Saleharon, kesemua cawan-cawan itu kemudiannya dipamerkan selama dua minggu kepada orang ramai di cawangan tersebut.

"Setakat ini, ia mendapat maklum balas positif daripada masyarakat dan pelancong asing yang kagum dengan lukisan dan rekaan yang dihasilkan.

"Siapa sangka, sebiji cawan mampu menceritakan segala-galanya mengenai Malaysia dan secara tidak langsung mempromosikan inti pati negara ini kepada pelancong asing," ujarnya.

Sementara itu, pelajar tahun pertama jurusan seni reka dalaman, Chiew Burk Soon, 19, berkata, dia mengambil masa selama empat hari untuk menyiapkan kesemua lukisan berlatar belakang kepelbagaian kaum di negara ini.

"Ia merupakan sumbangan kecil saya sempena sambutan ulang tahun Hari Malaysia pada tahun ini. Tema-tema yang diangkat dalam program ini secara tidak langsung membolehkan saya lebih memahami, mengenali keunikan dan kepelbagaian negara kita," ujarnya.

Rakannya, Wang Jing Wen, 19, pula berkata, program itu memberi peluang kepadanya untuk mengembangkan bakat dalam bidang rekaan dan lukisan.

"Biarpun sibuk dengan tugasan dan kuliah, saya gunakan masa luang sebaik mungkin untuk menyiapkannya. Walaupun tampak mudah, melukis di atas cawan kertas yang mempunyai ruang terhad sememangnya menguji kreativiti seseorang," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved