Rabu, 2 Oktober 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Bilik kecik, sempit tapi selesa

Posted:

Bilik kecik, sempit tapi selesa

Bilik kecik, sempit tapi selesa

PELUANG bermalam di Hotel Container sebulan lalu mengubah persepsi Wilhelmina Wee, 26, mengenai penginapan di rumah tumpangan atau hotel butik. Baginya, hotel butik yang terletak di Jalan Delima, Kuala Lumpur itu menyediakan kelengkapan asas yang mencukupi sepanjang dua kali dia menginap di hotel tersebut.

Sebelum ini, rumah tumpangan atau hotel butik bukanlah pilihan utama beliau apabila bercuti sama ada di dalam mahupun di luar negara. Alasan beliau mudah, bimbang mengenai tahap kebersihan tempat penginapan tersebut.

Namun, setelah bermalam di Hotel Container, tanggapannya ternyata salah. Walaupun ruang bilik yang disediakan agak terhad dan sempit, dia cukup gembira dan selesa sewaktu menginap di hotel yang baru sahaja dibuka kepada umum pada awal Ogos lalu.

"Saya menginap di hotel itu sebanyak dua kali bersama rakan. Bilik Konservatif merupakan pilihan pertama saya sewaktu menginap di sini. Kemudian pada penginapan kali kedua, saya memilih bilik Cabaran. Kedua-dua bilik mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan ia amat bersesuaian untuk para pengembara yang datang ke ibu kota," ujar konsultan ketua projek di salah satu organisasi swasta di Lembah Klang itu.

Menurutnya, dia lebih sukakan konsep bilik Cabaran yang diperbuat daripada paip konkrit walaupun ruang biliknya agak sempit dan tandasnya di luar.

"Hanya ada katil, pendingin hawa dan lampu disediakan di bilik Cabaran tetapi ia memadai pada harga yang ditawarkan. Paip konkrit yang diubah suai menjadi bilik itu mempunyai suhu sejuk dan kalis bunyi," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di hotel tersebut baru-baru ini.

Bilik Cabaran dibina di dalam paip konkrit boleh memuatkan dua orang tetamu manakala dorm pula menempatkan sehingga lapan orang.


LANDSKAP tumbuh-tumbuhan sekitar kawasan hotel dijaga rapi oleh pihak pengurusan.


Konsep hotel

Walaupun kediamannya terletak di Petaling Jaya, dia tidak mahu melepaskan peluang bermalam di Hotel Container selepas mendapat maklumat mengenai hotel itu daripada kenalannya.

Konsep Hotel Container yang menggunakan kontena iaitu sebuah peti besar yang diperbuat daripada logam itu merupakan salah satu faktor Wilhelmina mahu bermalam di sana.

Menurutnya, kontena yang diubah suai menjadi hotel itu ternyata unik dan jarang diketahui umum terutamanya dalam konteks rakyat Malaysia.

Kedudukan hotel yang terletak berdekatan kawasan segi tiga emas ibu kota iaitu Bukit Bintang merupakan faktor yang menarik pelancong asing untuk bermalam di situ.

"Pihak pengurusan hotel juga menyediakan ruang di aras bawah dan aras tiga untuk tetamu beristirehat. Walaupun hanya menyediakan kelengkapan asas, tetapi kadar harga yang ditawarkan menjadikannya sebuah penginapan yang selesa," ujarnya.

Hotel Container menawarkan tiga pakej utama iaitu Konservatif, Cabaran dan Dorm. Ketiga-tiga pakej itu mempunyai kelebihan dan kesesuaian mengikut bajet dan kemahuan tetamu.

Hotel yang menggunakan tujuh kontena berwarna jingga itu dibahagikan kepada tiga tingkat di dalam kawasan seluas 465 meter persegi. Namun, hanya 279 meter persegi tanah sahaja digunakan untuk memuatkan kontena tiga tingkat itu manakala selebih dijadikan kawasan istirehat dan tujuh buah paip konkrit untuk bilik Cabaran.

Pemilik hotel itu, Ryan Loo Chung Fong, 30, memberitahu, hotel tersebut merupakan idea baharu dalam bidang perkhidmatan perhotelan di Malaysia.

RYAN menganggap kewujudan Hotel Container di ibu kota memberi idea baharu kepada industri pelancongan di Malaysia.


Menurutnya, hotel kontena telah digunakan secara meluas di Amerika Syarikat dan Eropah untuk penginapan para pelancong yang mengembara di negara-negara itu.

"Hotel Container merupakan satu-satunya hotel kontena yang dibina untuk tujuan pelancongan dan penginapan di tengah-tengah ibu kota. Ia merupakan salah satu daya tarikan baharu kepada pelancong asing terutamanya kepada pengembara yang berkunjung ke ibu kota," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai idea kontena yang diubah menjadi hotel, Ryan memberitahu, dia percaya kepada konsep menggunakan bahan-bahan kitar semula.

Menurutnya, selepas membuat kajian sebelum memulakan projek itu, dia mendapati syarikat-syarikat besar akan mula menjual kontena syarikat selepas menggunakannya selama 10 tahun.

Lambakan kontena

"Saya melihat lambakan kontena-kontena terpakai milik syarikat-syarikat besar tetapi tidak digunakan dengan sebaiknya. Selepas mengadakan perbincangan bersama keluarga dan rakan-rakan, idea untuk menjadikan kontena sebagai hotel itu mula timbul.

"Melalui kaedah yang dilakukan dalam pembinaan Hotel Container, sekurang-kurangnya saya dapat mengurangkan pembaziran bahan-bahan besi yang tidak digunakan," ujar pemegang Ijazah Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Monash, Australia itu.

Tambah Ryan, bapanya yang memiliki perniagaan dalam industri pembinaan di Perlis dan ibu negara juga merupakan salah satu pemangkin untuk dia mencuba nasib dalam industri itu.

Idea Ryan dalam pembinaan hotel daripada kontena itu juga merupakan salah satu kaedah untuk menghadapi harga tanah yang semakin melonjak. Melalui tanah yang disewa secara kontrak selama sembilan tahun itu, dia menggunakan tanah yang ada untuk menjayakan projek itu.


REKAAN bilik cabaran yang berasaskan paip konkrit merupakan pilihan penginapan lain untuk tetamu di Hotel Kontena.


Dalam tempoh sebulan, hotel yang bernilai kira-kira RM1 juta itu dibuka kepada umum, Ryan menerima kira-kira 50 tetamu dari dalam dan luar negara. Dua pelancong dari Jepun merupakan tetamu pertama yang menginap di situ pada hari pertama hotel itu dibuka.

Pihaknya kini dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi hotel yang menggunakan kontena sebagai bahan asas di Jalan Yap Kwan Seng dalam masa tiga tahun akan datang.

"Hotel tersebut dibina setinggi 10 tingkat. Ia merupakan idea yang berteraskan hibrid dengan menggabungkan besi dan bahan kitar semula. Ia masih dalam peringkat perancangan. Segala persediaan sudah siap dan hanya menunggu projek itu terlaksana," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Trend baharu pelancongan negara

Posted:

Trend baharu pelancongan negara

Trend baharu pelancongan negara


SELAIN daripada penginapan, kontena juga diubah suai menjadi sebuah pejabat di kebanyakan negara Eropah.


HARGA berpatutan yang ditawarkan Hotel Container dan Ladang ar-Raudhah antara faktor yang menarik pelancong untuk singgah sewaktu mengembara di Malaysia.

Selain itu, pelancong asing yang biasa mengembara di kebanyakan negara di Eropah, mereka lazimnya menginap di hotel kontena selain rumah tumpangan.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, penginapan kontena kurang mendapat sambutan kerana tidak ramai menyedari kewujudannya.

Naib Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Ab. Rahman Mohd. Ali memberitahu, pakej penginapan di hotel kontena mungkin mengambil tempoh yang panjang untuk diperkenalkan.

"Hotel Container di Jalan Delima, Kuala Lumpur misalnya, perlu bersaing dengan deretan hotel lima bintang di sekitar Jalan Bukit Bintang. Tidak semua pelancong akan menginap di situ. Hanya pengembara tegar sahaja yang berminat kerana harga yang ditawarkan sesuai dengan bajet mereka.

"Penginapan berkonsepkan kontena ini merupakan idea baharu yang dapat membantu industri pelancongan negara. Pengusaha hotel kontena juga perlu melakukan strategi pemasaran dan pengiklanan yang agresif bagi menarik perhatian pelancong tempatan dan asing," ujarnya ketika dihubungi.

Tambah beliau, penginapan kontena seharusnya mempunyai ciri-ciri yang melambangkan masyarakat Malaysia sama ada dari segi rekaan hotel atau aktiviti yang ditawarkan.

Mengambil contoh inap desa, penginapan di kawasan kampung itu mempunyai pelbagai pakej dan produk pelancongan yang melambangkan identiti masyarakat di Malaysia.

Golongan sasaran

"Sekiranya kelengkapan asas yang disediakan memenuhi cita rasa pengembara, saya pasti bukan pengembara sahaja yang menginap di situ malah pelancong berkeluarga juga memilih menginap di hotel itu," jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah dan Koordinator Latihan Industri Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka, Shareenie Shera Abdul Hamid, 33, memberitahu, kewujudan penginapan kontena merupakan trend baharu dalam industri pelancongan Malaysia.


KELENGKAPAN perabot dan bilik yang selesa disediakan untuk tetamu yang menginap di ladang ar-Raudhah.


Menurutnya, pengusaha-pengusaha hotel kontena perlu mengetahui golongan sasaran untuk mempromosikan pakej penginapan yang mereka tawarkan.

"Dalam psikologi pelancongan, pelancong terdiri daripada tiga kategori iaitu psikosentrik, alosentrik dan midsentrik. Kebanyakan pelancong asing yang mengembara di Malaysia mempunyai pemikiran alosentrik dan midsentrik," ujarnya ketika dihubungi.

Pelancong yang biasa menginap di hotel lima bintang dikategorikan sebagai psikosentrik manakala pemikiran alosentrik terdiri daripada pengembara yang gemarkan penginapan asas sahaja. Midsentrik pula terdiri daripada pelancong yang berfikiran fleksibel tanpa menghiraukan aspek penginapan mereka.

Jelas Shareenie, pengusaha hotel kontena perlu memupuk semangat hospitaliti dalam perniagaan mereka untuk membantu meningkatkan industri pelancongan negara.

Servis dan layanan yang baik kepada tetamu mampu mencerminkan perkembangan industri pelancongan bagi sesebuah negara.

Selain itu, penginapan kabin lebih sesuai di kawasan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru, Johor kerana ia merupakan destinasi persinggahan pelancong sebelum meneruskan pengembaraan mereka.

Seorang pengembara, Siti Noridah Ab. Rahman, 30, memberitahu, kewujudan penginapan di dalam kontena di ibu kota memberi idea kepadanya untuk menginap di hotel berkonsepkan seumpamanya sewaktu mengembara ke luar negara.

"Kebiasaannya saya akan menginap di dorm kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah daripada hotel. Destinasi di kawasan pedalaman sesebuah negara menjadi pilihan saya sewaktu mengembara. Jadi saya jarang melihat kontena dijadikan tempat penginapan," ujarnya yang pernah mengembara ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Indonesia dan Pakistan.

Baginya, ciri-ciri yang ditawarkan oleh penginapan kontena sesuai untuk pengembara yang melancong ke Malaysia. - MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

200 bahasa lenyap di India

Posted:

200 bahasa lenyap di India

200 bahasa lenyap di India


PARA pelajar beratur panjang di hadapan guru mereka sambil memegang papan hitam yang tertera huruf-huruf bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Hyderabad.


KAJIAN mendedahkan lebih 200 bahasa telah lenyap di India sejak lima dekad lalu. Migrasi ke bandar dan kebimbangan puak nomad untuk bertutur dalam bahasa ibunda mereka dilihat sebagai punca kepupusan itu.

Kajian yang dijalankan di seluruh negara sejak empat tahun lalu mendapati, sebanyak 230 bahasa ibunda lenyap sementara 870 bahasa masih terselamat daripada ujian masa di India yang kaya dengan kepelbagaian termasuk dari aspek penduduk asli dan puak serta kepesatan pembangunan negara.

Ganesh Devy, yang mengetuai tinjauan itu berkata, terdapat 480 bahasa puak yang masih digunakan di India, manakala bahasa Hindi dan Inggeris terus mengukuh dalam dunia mudah alih dan saling berhubungan masa ini.

"Saya bimbang apabila melihat sejumlah besar bahasa berkurangan secara mendadak di India," kata Ganesh, penulis dan Pengasas Bhasha Trust, satu organisasi bukan kerajaan yang berjuang memulihara bahasa ibunda di India.

Kajian

Pasukan beliau, yang terdiri daripada 3,000 orang sukarelawan di seluruh India telah mengunjungi masyarakat di kebanyakan bahagian terpencil negara yang mempunyai 1.2 bilion penduduk itu. Tujuan mereka adalah untuk mengkaji dan mendokumen bahasa yang masih dipertuturkan dan ditulis pada hari ini.

Kajian tersebut melibatkan penelitian bukti kewujudan suatu bahasa asal melalui penggunaan dalam lagu dan kisah rakyat serta istilah-istilah mengenai persekitaran mereka.

Pasukan itu membandingkan penemuan mereka dengan keputusan bancian yang dijalankan kerajaan pada tahun 1961 yang menyatakan kira-kira 1,100 bahasa ibunda wujud di seluruh negara tersebut.

Lima jilid pertama daripada 50 jilid terperinci Tinjauan Linguistik Rakyat India telah didedahkan di New Delhi baru-baru ini.

ANAK seorang pekerja buruh yang berhijrah ke bandar berinteraksi dengan gurunya di sebuah sekolah di Bangalore.


Sembunyi identiti

Ganesh memberitahu, bahasa-bahasa penduduk pesisiran pantai juga telah terhakis sejak beberapa tahun lalu dengan golongan nelayan tradisional yang berhadapan dengan kekurangan hasil pendapatan, terpaksa berpindah ke kawasan bandar mencari pekerjaan.

"Bagi komuniti-komuniti pesisiran pantai yang terkesan daripada perubahan teknologi penternakan laut, kekayaan terminologi untuk ikan dan ombak tidak lagi berguna di kawasan darat," jelasnya.

Tambah beliau, loghat juga kian hilang dalam kalangan puak nomad yang sering dilabelkan sebagai penjenayah di masa silam. Mereka juga dianggap sebagai masyarakat di paras terendah sistem kasta India.

"Ramai dalam kalangan puak ini cuba menyembunyikan identiti mereka, termasuk tidak berbahasa dalam dialek tradisi, agar tidak diganggu.

"Ada juga antara mereka yang meninggalkan gaya hidup nomad dan berhijrah ke bandar raya, tidak mahu terikat dengan amalan, budaya dan bahasa ibunda mereka kerana bimbang ditolak oleh masyarakat sekeliling," ujarnya.

Kajian turut mendapati, hubungan kekeluargaan kian menyusut bersama-sama dengan terma-terma dalam upacara keagamaan, tulis Ganesh dalam akhbar The Hindu baru-baru ini.

Jelas beliau, kelemahan dalam hubungan dengan ekosistem juga digambarkan melalui ketidakupayaan masyarakat dalam menamakan pokok atau burung dalam bahasa ibunda mereka.

Walau bagaimanapun, tambahnya, terdapat pengecualian antara puak nomad terutamanya yang tidak terkecuali dalam pertumbuhan ekonomi negara itu.

"Ini dapat dilihat pada bahagian wilayah timur, Jharkhand, yang mana 30 peratus penduduk di situ masih mengamalkan warisan budaya mereka," ujarnya.

Kepelbagaian puak

Kira-kira 190 kumpulan puak didapati di seluruh India, merangkumi kawasan Andaman dan Pulau Nicobar ke Himalaya sehingga kawasan timur laut bersempadan dengan Bhutan dan China, dengan jumlah penduduk kira-kira 60 juta orang.

"Kehadiran kumpulan pribumi bermakna India terus menikmati kepelbagaian bahasa walaupun dilambung pembangunan ekonomi dan kesan penjajahan British.

"Sungguhpun dijajah selama lebih dua abad, lebih 800 bahasa masih terselamat," ujar Ganesh.

Perlembagaan India menggariskan sebanyak 22 bahasa rasmi, dengan bahasa Hindi sebagai bahasa utama. Bahasa Inggeris pula merupakan bahasa pilihan untuk perniagaan dan ahli akademik diberikan status bersekutu.

Masyarakat yang berpendidikan dan fasih berbahasa Inggeris telah menjadi salah satu faktor utama di sebalik ledakan penyumberan luar ke India, yang menyaksikan syarikat-syarikat Barat mewujudkan sistem sokongan teknologi maklumat atau pusat panggilan di seluruh negara itu. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved