Khamis, 10 Oktober 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Membina lebuh raya politik untuk wanita

Posted:

Membina lebuh raya politik untuk wanita

Membina lebuh raya politik untuk wanita

SHAHRIZAT (tengah) menunjukkan buku senarai calon Wanita UMNO di Kuala Lumpur semalam.


APAKAH visi dan misi perjuangan Datuk Seri pada pemilihan parti kali ini?

SHAHRIZAT: Jika saya diberi peluang saya berminat meneruskan perjuangan untuk mengarusperdanakan wanita dalam politik dan sebagai pembuat keputusan.

Pada zaman ini dalam apa-apa keputusan yang dibuat, termasuk dalam bidang politik, kalau tiada suara dan perspektif wanita maka keputusan itu tidak sempurna.

Saya juga mahu wanita diiktiraf sebagai tulang belakang kepada parti UMNO.

Ini bukan perkara main-main kerana sewajarnya ia diangkat sebegitu berdasarkan kejayaan Pergerakan Wanita UMNO dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional pada setiap kali pilihan raya umum.

Bagi fasa kedua, saya mahu mengadakan hubungan lebih rapat serta bekerjasama dengan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan, golongan profesional dan akademik selain meneruskan gandingan dengan sayap Puteri.

Kenapa perwakilan perlu mengekalkan Datuk Seri sebagai Ketua Wanita bagi penggal seterusnya?

Pertama, kerana dalam empat tahun kepimpinan Wanita UMNO, terutamanya pada tahun 2009, semangat Wanita UMNO dilihat menjadi lesu dan luntur akibat tsunami politik pada masa itu, tetapi bila saya dipilih menjadi ketua, saya berusaha memulihkan semua itu.

Pemulihan itu penting kerana kalau mahu UMNO terus kuat, akar umbi mesti kuat dan siapa akar UMNO? Pastilah wanita. Saya nak bina satu jentera pilihan raya yang lebih kukuh selain menangani isu-isu wanita.

Tidakkah Datuk Seri gusar menjelang pemilihan esok memandangkan wujud pelbagai cerita negatif yang terpaksa dihadapi?

Dalam politik ini, kalau mahu cari cerita negatif tentang saya, tanya kepada orang yang tidak menyokong saya, tetapi jika mahu cerita yang positif, tanya orang yang sokong saya.

Saya sudah masak dengan 'political spin', bertahun dalam politik, saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian luar biasa daripada Allah yang perlu saya hadapi. Setakat ini keimanan saya dan tawakal kepada Allah banyak membantu saya untuk terus bertahan.

Apakah pandangan Datuk Seri mengenai agenda memperkasakan Melayu?

Suatu yang perlu difahami oleh semua ialah di sebalik kejayaan seseorang lelaki, ada wanita di sebalik kejayaan itu. Sebab itu saya masih yakin kalau golongan wanita berjaya, bermakna orang Melayu akan juga berjaya.

Wanita di negara ini merupakan separuh daripada penduduk, sebab itu penting kepada kerajaan untuk 'melabur' kepada golongan wanita. Ia adalah pelaburan yang bijak sebenarnya.

Begitu juga bagi saya, kalau kita melabur kepada wanita dalam politik, pasti hasilnya sangat baik kepada negara.

Pada saya sebagai ketua pada masa ini, saya mesti wujudkan lebuh raya yang kondusif kepada wanita dalam bidang politik.

Dengan kemudahan itu wanita diharap akan lebih berdaya saing untuk membawa 'kenderaan' mereka ke mana hendak dituju.

Apakah harapan Datuk Seri kepada perwakilan?

Saya mengucapkan selamat memilih calon-calon yang puan-puan rasa mampu untuk membawa Pergerakan Wanita UMNO kebangsaan dan bahagian pada satu tahap kecemerlangan.

Saya tidak rasa calon yang bertanding yakin sepenuh hati akan menang kerana ini kali pertama dalam sejarah melibatkan lebih ramai perwakilan akar umbi memilih pemimpin.

Maznah, Raihan ingin murnikan Wanita UMNO

Posted:

Maznah, Raihan ingin murnikan Wanita UMNO

Maznah, Raihan ingin murnikan Wanita UMNO


RAIHAN


MENGAPAKAH anda mengambil keputusan bertanding?

RAIHAN: Saya ingin membawa perubahan dalam parti. Saya memilih slogan 'Wanita Wasatiyyah Kembali Kepada Fitrah' iaitu kita hendak menyerap kembali roh agama ke dalam sayap parti ini.

Pada asalnya, Wanita UMNO dikenali sebagai sayap pergerakan kaum ibu, jadi dengan mengubah kembali imej kepada kaum ibu, kita dapat membimbing dan merapatkan lagi hubungan dengan sayap lain UMNO iaitu Pemuda dan Puteri.

Apakah agenda perubahan yang ingin diterapkan?

Perubahan pertama yang akan saya lakukan ialah mengembalikan zaman ziarah, majlis rewang, kenduri-kendara dan beramah mesra dengan ahli akar umbi.

Saya mahu kembalikan sifat dan matlamat utama parti iaitu menjadi sayap pembela yang turun ke bawah, membela nasib rakyat secara umum dan bukan rakyat yang berada dalam UMNO sahaja.

Pada pandangan saya, masih terlalu banyak masyarakat bawahan yang kurang diberi pembelaan. Saya lihat gejala sosial semakin meningkat, banyak masalah yang dibangkitkan oleh remaja dan ibu tunggal kepada saya. Ia akan menjadi fokus saya.

Lawan anda ialah bekas menteri serta penyandang jawatan Ketua Wanita UMNO manakala seorang lagi Senator yang juga Exco Wanita, adakah anda dapat menyaingi mereka?

Ruang yang besar untuk saya menyaingi mereka mula terbuka apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut tentang usaha parti untuk meremajakan UMNO manakala Tun Dr. Mahathir Mohamad turut membangkitkan perkara yang sama.

Datuk Seri Shahrizat (Abdul Jalil) sudah berumur 60 tahun sementara Datuk Maznah (Mazlan) berumur 62 tahun. Sudah tentu saya yang berumur 47 tahun ini boleh mengisi ruang untuk meremajakan UMNO. Itu kelebihan yang akan memudahkan saya membina jambatan antara Puteri dan Pemuda.

Pandangan anda mengenai Wanita UMNO sekarang?

Saya rasa Wanita UMNO kini telah membina satu jarak yang jauh, sukar untuk orang dekati.

Pertama, mungkin kerana kebendaan mereka, dengan cara pakaian dan kemewahan membuat wanita-wanita di peringkat akar umbi agak sukar untuk mendekati mereka.

Mungkin juga program-program singkat yang diadakan yang saya panggil program 'potong riben' gagal memupuk kemesraan dengan golongan di bawah.


MAZNAH


APABILA Datuk menawarkan diri sebagai calon Ketua Wanita pada saat akhir, apakah yang difikirkan?

Saya fikirkan bahawa perlu ada alternatif kepada Wanita UMNO, terpulanglah kepada mereka untuk menilai dan membuat pertimbangan. Saya terpanggil menawarkan diri kerana kita akan menghadapi Pilihan Raya ke-14 dan merasai bahawa Wanita UMNO dilanda pelbagai tuduhan, tanggapan negatif, bahkan kita diperlekeh, dipersendakan terutamanya menjelang pilihan raya umum lalu.

Saya dapat laporan daripada Ketua Wanita UMNO di bahagian-bahagian, bagaimana pergerakan itu dipersendakan di papan iklan, kain rentang, bahkan binatang tertentu diarak, ditambat di pokok dan dipakaikan tudung merah.

Ini sudah tentu bukan hanya melukakan hati ahli kerana mereka bekerja bertungkus-lumus, mengorbankan masa dan tenaga tanpa mengira imbuhan.

Ada pihak mengatakan tanggapan negatif itu adalah persepsi, ia bukan realiti sebenar?

Betul, dalam politik sebahagian besarnya bergantung kepada persepsi, begitu juga jika kita mahu memenangi pilihan raya. Dari pemimpin atas sampai ke akar umbi perlu membina persepsi yang positif terhadap kerajaan.

Ada persepsi kita boleh tolak dengan mudah dan ada yang sukar untuk dipertahankan. Jadi, ini isu yang wajar kita dekati dan saya percaya jika Wanita UMNO tidak dilanda persepsi negatif, ia mampu menjadi jentera pilihan raya bahkan pertubuhan sukarela yang menerajui wanita di negara ini.

Bagaimanakah Datuk mahu perwakilan-perwakilan Wanita UMNO menilai kepimpinan Datuk?

Saya mempunyai pengalaman bekerja lebih 30 tahun, saya ada pengalaman di peringkat pelaksanaan dan pembuat dasar sebagai timbalan menteri dan exco kerajaan negeri dan juga pembabitan dalam UMNO.

Saya sendiri telah terlibat membantu hampir 20 pilihan raya kecil. Sudah tentu itu semua dapat membantu saya.

Sekiranya memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO, apakah hala tuju yang Datuk ingin bawa?

Pertama sekali, saya perlu satukan semula puak-puak yang menyokong dan tidak menyokong saya. Mungkin bunyinya sedap, bila kita kata mahu satukan ahli-ahli, orang akan bertanya, adakah sekarang tidak bersatu?

Saya sudah mengalami zaman Tan Sri Rafidah (Aziz) lawan Datuk Seri Zaharah (Sulaiman), Datuk Seri Shahrizat lawan Tan Sri Rafidah, sebenarnya ada kesan kepada parti tetapi ini memerlukan kebijaksanaan.

Selain itu, saya rasa kita perlu memurnikan semula imej dan nama Wanita UMNO yang merupakan tulang belakang parti dan tidak henti-henti bekerja tanpa mengira imbuhan.

Saya harap ahli-ahli Wanita UMNO akan menjadi berani, berfikiran terbuka dan melihat kedudukan kita pada hari ini bukan hanya daripada pandangan ahli UMNO tetapi juga masyarakat sekeliling.

Wajah masa depan UMNO

Posted:

Wajah masa depan UMNO

Wajah masa depan UMNO


KHAIRY percaya para perwakilan Pemuda UMNO mementingkan hasil kerja dan mutu perkhidmatan.


YANG Berhormat terlibat dalam dua kempen Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu pada tahun 2008 dan 2013. Apa perbezaan kempen PRU dengan kempen pemilihan UMNO kali ini?

KHAIRY: PRU melibatkan rakyat umum manakala siri kempennya kita tidak dapat kawal kerana banyak parti yang bertanding. Sebaliknya, pemilihan UMNO merupakan pertandingan dalam keluarga. Jadi walaupun pemilihan 2009 sengit, ia masih satu pertandingan sesama keluarga berbanding PRU. Dalam UMNO, kita dalam kumpulan kita sendiri dan kempen itu dapat kita kawal sedikit sebanyak. Ada juga cakap-cakap mengatakan saingan dalam parti lebih hebat berbanding PRU kerana mahu menang jawatan dalam UMNO lagi susah daripada menang PRU. Tetapi saya rasa hari ini sudah jadi sebaliknya di mana persekitarannya berbeza, iaitu mahu menang jawatan PRU sama susah seperti dalam pertandingan UMNO.

Kenapa Yang Berhormat rasa laluan untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda tidak mudah walaupun telah menjawat jawatan sebagai menteri dan dikenali ramai?

Sebab kita tidak boleh baca isi hati perwakilan. Mungkin depan kita, dia kata sokong tetapi kita tidak tahu sejauh mana sokongan itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi. Laluan ini bukan mudah sebab bagi saya semua pesaing harus kita pandang serius.

Selain itu, dahulu kita hanya ada perwakilan pusat dan jumlahnya pula tidak ramai dan kita boleh jumpa mereka malah saya kenal setiap perwakilan pusat dengan nama mereka pada tahun 2009.

Pada tahun ini, ada lebih kurang 70,000 perwakilan Pemuda yang mengundi di peringkat bahagian dan mustahil kita kenal semua orang.

Yang Berhormat ialah pemimpin yang percaya kepada keberhasilan dan perkhidmatan yang diberikan. Dalam konteks persaingan Pemuda UMNO, adakah pendirian itu masih lagi Yang Berhormat terapkan?

Insya-Allah, saya mahu terapkan kepada generasi kepimpinan yang baharu bahawa orang muda pada hari ini ingin melihat hasil, keputusan dan mutu perkhidmatan kita. Kita tiada pilihan lain kerana orang muda menolak retorik politik. Mereka lebih suka hasil kerja dan penyelesaian yang kita dapat bawa kepada mereka.

Dalam penggal yang kedua ini, sekiranya dipilih sekali lagi, saya mahu tubuhkan Akademi Kepimpinan untuk meningkatkan kepimpinan dalam UMNO dan ini telah dipersetujui oleh Presiden UMNO. Ia akan menjadi sekolah politik atau akademi politik yang penting bagi melahirkan lebih ramai pemimpin muda kerana hari ini kalau dibandingkan dengan pembangkang kita sedikit ketinggalan dari segi bilangan pemimpin-pemimpin yang boleh diketengahkan di peringkat nasional.

Dalam ucapan Yang Berhormat baru-baru ini, Yang Berhormat sentuh istilah pressure group dan centrist. Boleh jelaskan?

Pressure group ini maksudnya model kepimpinan Pemuda zaman dahulu. Zaman dahulu Pemuda dilihat sebagai kumpulan pendesak yang banyak menyentuh soal isu melibatkan kaum dan juga agama. Bagi saya, peranan itu walaupun masih lagi penting tetapi itu tidak merupakan satu-satunya peranan Pemuda pada hari ini. Sebab itu saya kata soal Pemuda pada hari ini mestilah bergantung kepada hasil.

Soal centrist itu bermakna walaupun kita tidak akan kompromi agenda Melayu, agama dan sebagainya tetapi pada masa yang sama, kita kena cari haluan tengah dalam apa juga isu.

Bagaimana kekuatan Yang Berhormat berbanding dengan calon-calon lain?

Itu saya serah kepada perwakilan untuk membuat keputusan. Bagi saya, kita mesti ukur calon itu berdasarkan kepada dua kriteria. Yang pertama, sejarah dan jasa mereka kepada parti. Selama empat tahun yang lepas dalam keadaan yang amat mencabar dan sukar bagi parti, saya telah membuktikan kesetiaan kepada parti walaupun tiada jawatan dalam kerajaan tetapi terus memimpin Pemuda dalam keadaan yang agak susah.

Apakah cabaran terbesar Pemuda UMNO pada masa sekarang dan masa depan?

Cabaran terbesar adalah visi kita. Gerak kerja kita di peringkat pusat jelas tetapi untuk sampai ke akar umbi susah. Ada sesetengah ahli dan pemimpin Pemuda UMNO peringkat bahagian dan cawangan aktif dan ada sebaliknya, ini yang menyebabkan ada tanggapan bahawa Pemuda UMNO di peringkat tersebut masih lagi tidak ke hadapan. Jadi kita kena cari kaedah untuk memperkasakan pemuda sehingga ke peringkat akar umbi. Sebenarnya penyakit ini sudah lama melanda Pemuda UMNO, bukan bermula dari zaman saya tetapi sudah 20 tahun. Saya rasa mungkin sejak zaman bekas Ketua Pemuda, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana kemewahan Melayu pada zaman 1980-an, 1990-an itu telah menyebabkan UMNO dilihat sebagai satu wadah untuk membuat duit ataupun mencari projek dan ini melemahkan semangat perjuangan akar umbi.

Apakah signifikan Pemilihan UMNO 2013 kali ini yang merupakan pemilihan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14?

Para perwakilan di peringkat akar umbi kali ini mempunyai tanggungjawab yang amat penting iaitu mereka buat pertama kali diberi hak untuk memilih barisan kepimpinan yang mencerminkan wajah baharu UMNO dalam menghadapi masa depan yang lebih mencabar terutama pada Pilihan Raya Umum ke-14. Mereka bukan sahaja menjadi jurucakap kepada parti malah kepada masyarakat negara ini keseluruhannya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved