Isnin, 19 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sagat pisang, ubi selepas subuh

Posted:

Sagat pisang, ubi selepas subuh

Sagat pisang, ubi selepas subuh

SETIAP kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, peniaga kerepek tidak menang tangan. Bahkan, mereka merupakan golongan yang paling sibuk selain pembuat biskut raya dan tukang jahit.

Keadaan itu diakui sendiri oleh pemilik Ina Murni Enterprise, Jumaiah Salim. Kesibukan yang luar biasa bersama 10 pekerja memaksanya mengambil pekerja sementara seramai 20 orang.

Menjalankan operasi perniagaan di kediaman di Lorong Laverda Peket 60, Sungai Nipah di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, Jumaiah, 46, yang dikenali dengan nama Ina berkata, pekerjanya akan memulakan tugas menyagat bahan-bahan mentah seperti pisang dan ubi selepas solat Subuh.

Dia bernasib baik kerana kerja-kerja mengupas bahan mentah itu diagih-agihkan kepada penduduk kampung terutama golongan suri rumah yang ingin mendapatkan pendapatan tambahan.

"Saya menawarkan pelbagai jenis kerepek seperti ubi masin, barbeku, lada hitam, racik, pedas basah dan kering.

"Bagi kerepek pisang pula, kami membekalkan kerepek pisang manis dan masin mini rempeyek, kuih sepit, loyang dan kerepek bawang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi bekalan bahan mentah, Ina mendapatkannya daripada pembekal di Perak kerana bekalan ubi dan pisang di Selangor berkurangan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, tempahan bekalan itu ditambah daripada lima tan metrik bagi ubi dan pisang kepada lapan tan metrik sejak awal bulan Ramadan lalu.

"Disebabkan kami menerima bekalan bahan mentah yang terhad, harga borong untuk kerepek pisang sejak dua tahun kebelakangan ini agak mahal sedikit kerana kami mengimport kerepek dari Indonesia bagi menampung permintaan," ujarnya.


UBI yang sudah disagat sedia untuk digoreng.


Penglibatan awal

Menyentuh latar belakang perniagaannya, Ina yang tidak pernah merasa suasana bekerja di pejabat mahupun sebagai operator pengeluaran berkata, dia sebenarnya bukan jenis wanita yang suka duduk diam di rumah dan hanya menerima wang saku daripada suami pada hujung bulan.

Bertitik tolak dari situ, dia yang pernah menceburi pelbagai bidang perniagaan termasuk jualan langsung membongkar penglibatannya dalam bisnes tersebut. Ina mula tertarik membuat mini rempeyek apabila melihat jirannya aktif menjalankan perniagaan kerepek.

"Pada peringkat awal, saya sendiri yang mencari bahan-bahan mentah dan menggoreng menggunakan kuali kecil sahaja.

"Kerja-kerja menggoreng hanya dilakukan di belakang rumah," jelasnya yang memiliki enam kuali kawah dan satu kuali besar yang diubah suai bagi menggoreng kuih sepit.

Berkat kegigihannya, Ina mendapat pinjaman perniagaan dan bantuan peralatan daripada Jabatan Pertanian. Bahkan dia juga diberi peluang mengikuti pelbagai kursus termasuk kursus produk halal dan pemasaran.

Sejak sedekad lalu, produk keluaran syarikatnya mendapat perhatian daripada peniaga kerepek di Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak serta Pulau Pinang.

Persaingan

Lebih menggembirakan Ina apabila rata-rata pelanggannya memberi maklum balas positif mengenai rasa dan kerangupan kerepeknya.

Ditanya mengenai persaingan daripada pengusaha industri kecil dan sederhana di kawasan tersebut, Ina melihat keadaan itu sebagai satu persaingan yang sihat.


MOHD. HAFIZUDDIN menyusun kerepek di gerai bapanya.


Malah, Ina gembira kerana masing-masing sepakat dalam menentukan harga dan saling membantu meminjamkan kerepek masing-masing sekiranya ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu menyediakan bekalan berdasarkan permintaan pelanggan.

"Dalam kalangan kami juga tiada perasaan hasad dengki, sebaliknya kami saling membantu antara satu sama lain.

"Saya tidak pernah sabotaj mana-mana pengusaha kerepek di sini kerana percaya rezeki masing-masing ditentukan Allah," katanya.

Lebih 30 jenis

Sementara itu, bagi Mohd. Hafizuddin Mohd. Yunus yang membantu menjalankan perniagaan jualan kerepek milik bapanya, Mohd. Yunus Gama di Simpang Lima, Sungai Besar, produk makanan yang dihasilkan oleh peniaga IKS itu sememangnya sering dicari oleh pelanggan yang singgah di gerai mereka.

Malah, ada dalam kalangan pelanggannya bukan sahaja datang dari sekitar Sungai Besar, Sekinchan, Tanjong Karang mahupun Kuala Selangor tetapi ada juga dari Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Kami menawarkan lebih 30 jenis kerepek dan yang paling popular ialah kerepek pisang dan ubi.

"Namun kami turut menyediakan pilihan lain seperti kerepek jari udang, tempe, sukun, rempeyek dan bermacam-macam lagi yang dijual pada harga antara RM9 sekilogram (kg) hingga RM26 kg," katanya.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan, Mohd. Hafizuddin yang turut dibantu dua orang pekerja iaitu Nurahayu Nanak, 36, dan Nurul Jannah Mohd. Salleh, 20, melanjutkan masa perniagaan sehingga pukul 1 pagi.

MEMBASUH ubi yang sudah dimesin sebelum digoreng.


"Biasanya gerai ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 7 malam setiap hari tetapi pada 10 hari terakhir Ramadan lalu kami membuka gerai selepas solat tarawih sehingga pukul 1 pagi.

"Memandangkan gerai ini terletak di hadapan rumah, jadi ia memudahkan kami bergilir-gilir menjaganya," kata Mohd. Hafizuddin bahawa pelanggan yang melalui jalan tersebut lazimnya dari Klang menuju ke Teluk Intan.

Mengenai bekalan bahan jualan, selain mengambil bekalan daripada peniaga di sekitar Sungai Besar, mereka turut mendapatkan bekalan di tempat lain termasuk negara jiran.

Bekalan makanan ringan seperti popia gulung, pisang dan kekacang dari Bandung manakala pisang tanduk dari Medan, Indonesia.

"Biasanya kami mempunyai stok bekalan sekitar 30 hingga 40 kilogram bagi setiap jenis kerepek, tetapi untuk menampung permintaan musim perayaan ini, jumlah bekalan diterima melebihi 100 kilogram setiap jenis.

"Kami turut menghasilkan kerepek sendiri seperti rempeyek biasa, rempeyek bilis dan bayam yang dihasilkan oleh penduduk tempatan," ujarnya.

Kaktus peyote dadah suci Mexico

Posted:

Kaktus peyote dadah suci Mexico

Kaktus peyote dadah suci Mexico


PELANCONG diingatkan agar menghormati kaktus peyote sepanjang upacara dijalankan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.


GISELE BEKER, seorang warga Argentina berumur 26 tahun, menapak berjam-jam lamanya di bawah terik matahari merentasi gurun Wirikuta, Mexico untuk memenuhi satu matlamat - melihat kaktus peyote. Kaktus itu merupakan tumbuhan halusinogen yang dianggap suci oleh penduduk tempatan.

Selain Beker, ramai warga Mexico dan pelancong asing sanggup datang ke gurun tersebut demi peyote yang mempunyai alkaloid psikoaktif terutamanya meskalina iaitu alkaloid beracun yang menyebabkan halusinasi khususnya yang melibatkan warna dan muzik.

Disertai tiga teman dari Mexico, Beker merupakan salah seorang dalam gerombolan pelancong asing yang teruja merasai pengalaman mencari peyote atau nama saintifiknya, Lophophora williamsii.

"Adakah anda sudah menemuinya?" soal Beker kepada rakannya dengan penuh harapan, selepas meredah perjalanan sejauh 700 kilometer dan mencari sesuatu yang kecil di lantai gurun dengan penuh hati-hati.

Peyote secara teknikalnya merupakan dadah yang diharamkan, namun sejak berabad lamanya, ia memainkan peranan utama dalam kebudayaan penduduk peribumi di utara Mexico dan Texas (Amerika Syarikat).

Kesucian peyote menjadikan ia sebahagian daripada upacara kerohanian dan meditasi kepada kumpulan etnik Wixarika atau sinonim dengan nama Huichol di Sepanyol.

Sejak tahun 1960-an, gurun yang terletak di pedalaman San Luis Potosi itu menjadi tanah impian kepada mereka yang memburu tumbuhan eksotik tersebut, biarpun berdepan kerumitan logistik.


UPACARA ke atas kaktus peyote memerlukan ia disiram sebelum bahagian kecil di atasnya dimakan.


Mengubah sikap

Mereka tidak terhalang oleh kepayahan topografi, tidak juga mempedulikan papan tanda metal berkarat yang tertera amaran 'Menanam dan menjual Peyote merupakan satu jenayah persekutuan.'

Pihak berkuasa juga tidak berusaha untuk mengubah sikap pemandu pelancong yang akur dengan kemahuan pelawat asing setiap kali diminta dibawa ke gurun itu. Perkhidmatan haram itu kini sudah menjadi kemestian.

Salah seorang rakan Beker yang hanya mahu dikenali dengan nama Cesar mengimbas kenyataan pemandu pelancong yang membawanya: "Anda tidak boleh mencari peyote. Ia akan menemui anda."

Apabila kumpulan pelancong itu menemui apa yang mereka cari, upacara pemujaan dimulakan penuh teratur.

Mengikut proses normal, mereka akan meminta kebenaran daripada gurun Wirikuta kerana orang Asli di situ percaya ia merupakan lokasi permulaan alam semesta ini dicipta.

Kemudian pemujaan pun dijalankan terhadap tumbuhan tersebut. Orang ramai perlu berhati-hati agar tidak mencabut kaktus itu dari tanah.

Peyote yang ditemui itu disiram air dan bahagian berisi kecil yang berbentuk butang pada tumbuhan itu kemudian dimakan.

"Ia rasa seperti buah, lembut tetapi sangat pahit," jelas Beker.

Penduduk setempat menganggap tumbuhan itu sebagai simbol hati kepada Tuhan Rusa, yang juga menjadi perantara komunikasi bersama tuhan kepercayaan mereka.

Setiap tahun, komuniti tempatan pergi ke bukit Quemado sambil dipimpin seorang bomoh bagi menjalankan upacara pemujaan dan memberi restu kepada peyote.

Merasai aura mistik lokasi itu, Eliana, seorang warga Mexico sambil menggigit peyotenya berkata: "Ia seperti memasuki ke dalam roh anda sendiri."

Ramai orang berasa khayal, mengalami sinestesia, muntah-muntah dan efek lain ketika memakan kaktus itu.

Chris Biddle, lelaki berusia 32 tahun dari Afrika Selatan memberitahu, dia dan teman wanitanya terasa seperti bersatu dengan alam. Namun demikian, dia memaklumkan, perasaan itu tidak dapat dirasai semua orang.


KAKTUS peyote boleh menyebabkan si pemakan khayal dan mengalami sinestesia.


Tumbuhan suci

Seorang pakar tempatan, Jose Luis Bustos, 67, mendakwa individu yang melayan peyote tanpa hormat akan mendapat balasan setimpal.

"Peyote bukan dadah. Ia adalah tumbuhan suci dan mesti dilayan penuh kehormatan kerana sesiapa yang berbuat jahat, ia mngkin menghukum individu itu," katanya..

Penduduk setempat lain juga menceritakan terdapat kes-kes pelancong asing yang datang dari pelbagai negara mati keseorangan di gurun atau terpaksa dirawat di pusat psikiatri tempatan.

Sementara itu, Datuk Bandar bandar itu, Hector Morena memberi amaran: "Peyote hanya eksklusif untuk kebudayaan Huichol. Kita yang lain hanya berperanan untuk mempromosikan pemeliharaan dan menghomatinya." - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved