Isnin, 19 Ogos 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Raya Montreal Anzalna, kisah kampung Sakinah

Posted:

Raya Montreal Anzalna, kisah kampung Sakinah

Raya Montreal Anzalna, kisah kampung Sakinah

KECOH suasana studio fotografi Kosmo! pada pertengahan bulan Ramadan lalu. Mana tidaknya, menggabungkan dua pelakon muda yang banyak keletah, Anzalna dan Sharifah Sakinah memang tak menang tangan dibuatnya.

Sementara aksi penuh anggun mereka dibidik jurufoto Kosmo! Farizwan Hasbullah, derai tawa Anzalna dan Sakinah memecah hening buntu seisi studio fotografi Utusan Melayu.

Aidilfitri pastinya memberikan sejuta rasa bagi kedua-duanya, namun berkongsi interpretasi sama - meraikan kejayaan setelah sebulan berpuasa.

Baju kurung jaket tebal

Mengimbau kembali kerinduan suatu ketika dulu meraikan 1 Syawal di Montreal, Kanada, kata Anzalna, 25, saat mendengar takbir raya yang dilaungkan masjid berdekatan kejiranannya, rasa rindu terus menusuk ulu hati.

"Beraya di perantauan benar-benar mengundang sebak, terutama pada 1 Syawal. Mana tidaknya saudara-mara kita semua berada di Malaysia, cuma saya dan keluarga kecil kami di sana.

"Komuniti Islam di Montreal tidak besar, kalau ada pun beberapa buah keluarga Arab, Indonesia dan Pakistan. Selebihnya bukan Islam, tapi saya seronok kerana bertemu dengan saudara seagama kita berbeza-beza latar belakang.

"Biasanya selepas sembahyang raya kami akan menziarahi antara satu sama lain dan tradisi rumah terbuka ketika itu diamalkan dengan penuh rasa kesyukuran," ujarnya yang menetap di Kanada ketika berusia tujuh hingga sembilan tahun.

Cerita Anzalna lagi, dia pernah meraikan Aidilfitri ketika musim sejuk ditemani butir-butir salji menyelimuti tanah. Lucunya, walaupun berbaju kurung, mereka sekeluarga terpaksa menyarung beberapa lapis baju sejuk untuk memanaskan badan.

"Keseronokan beraya bertambah meriah apabila perasaan untuk memakai baju kurung dalam cuaca terlampau sejuk meluap-luap.

"Kita sudah terbiasa apabila tiba hari raya wajib pakai baju kurung, jadi dalam cuaca yang sejuk pun kami adik-beradik tetap berdegil mahu pakai baju kurung, tapi terpaksa pakai jaket lagi berlapis-lapis," tambahnya.

Selain Kanada, keluarga Anzalna juga pernah menetap di Tasmania, Australia sejak usia 15 hingga 21 tahun dan pelakon drama Adam & Hawa itu mengakui beraya di perantauan ibarat alah bisa tegal biasa.

JADUAL kerja Sakinah kini semakin padat dengan tawaran berlakon.


Konvoi utara selatan

Tiada kenangan paling manis yang ingin dikongsi Anzalna selain dapat meraikan 1 Syawal bersama keluarga tercinta.

"Nikmat Aidilfitri bagi saya adalah bersama-sama keluarga saya pada pagi hari raya pertama. Bermaaf-maafan dalam suasana syahdu ditemani seisi keluarga yang lengkap sudah memadai untuk merasai keindahan Syawal, itu anugerah terindah saya," ujarnya.

Kemeriahan Syawal beraya di Malaysia pula berbeza bagi selebriti lain. Hampir kebanyakan waktu menyambut lebaran di Malaysia dihabiskan dengan berkonvoi di atas jalan raya.

"Keluarga kami memang meriah, hari raya pertama disambut di Pulau Pinang bersama keluarga sebelah ibu, kemudian kami bertolak ke Muar, Johor pada hari raya kedua untuk beraya bersama keluarga sebelah bapa.

"Seronoknya apabila suasana raya sangat dirasai walaupun berada di atas jalan raya. Ketika itu semua pemandu kenderaan lain berpakaian raya walaupun perjalanan jauh dari utara ke selatan," katanya.

Raya budak KL

Berbeza bagi Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar atau mesra disapa Sakinah, 24. Aidilfitri baginya cuma bersama keluarganya di ibu kota Kuala Lumpur.

"Malam raya saya di Kuala Lumpur dan 1 Syawal saya pun di Kuala Lumpur, malah malam raya baru saya berkesempatan ke Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mencari baju raya.

"Pada pagi raya pula saya dan keluarga kakak-kakak saya akan berkumpul bersama di rumah abang Ijoy (suami kakaknya, Sharifah Shahirah) di Melawati.

"Kemudian, barulah kami menziarahi jiran-jiran dan kawan-kawan terdekat selain rumah rakan artis yang berada di sekitar Kuala Lumpur.

"Makna Aidilfitri saya barangkali berbeza daripada orang lain yang selalunya teruja pulang ke kampung halaman masing-masing, tapi hakikatnya keluarga saya beraya di bandar. Kiranya sambutan Aidilfitri saya adalah sambutan Aidilfitri moden," singkapnya.

Malah kata Sakinah, adakalanya saudara-maranya dari Pahang dan Alor Setar, Kedah akan berkunjung ke rumahnya di Kuala Lumpur pada hari raya.

"Saya cuma pernah sekali pulang ke Alor Setar, Kedah untuk beraya dan ketika itu usia saya tujuh tahun.

"Rumah keluarga di sana bukan tipikal rumah kampung, semua sudah moden dan sama saja seperti Kuala Lumpur. Ruginya saya kerana tidak dapat merasakan suasana kampung pada hari raya," kata adik bongsu kepada pelakon Sharifah Noor Haslinda dan Sharifah Shahirah itu.

ANZALNA merupakan salah seorang pelakon baharu yang sering menjadi pilihan penerbit.


Bekas dan bakal

Istimewa raya keluarga Sakinah katanya kerana kemeriahan beraya dengan bekas keluarga dan bakal keluarga baharu.

"Kami tidak memutuskan silaturahim dan Aidilfitri adalah waktu terbaik untuk berkumpul bersama insan yang dahulunya pernah hadir dalam keluarga kami.

"Abang Yantzen (bekas suami Sharifah Noor Haslinda) masih menyambut lebaran bersama-sama kami sekeluarga begitu juga abang Jatt (bekas suami Sharifah Shahirah).

"Tahun ini istimewa bagi saya kerana auntie Erma Fatima satu keluarga datang beraya ke rumah pada malam hari raya pertama.

"Perasaan ketika itu rasa sangat gemuruh sebab pertama kali kami dua keluarga beraya bersama-sama. Lagipun, kami sudah lama tidak berjumpa sebelum ini walaupun rumah cuma berdepan," katanya yang menafikan tujuan kedatangan Erma Fatima sekeluarga atas tujuan merisik kerana dia bercinta dengan anak pengarah tersebut.

Berbeza raya tahun ini, kata Sakinah kerana dia terlampau sibuk untuk membuat persiapan raya dek tuntutan kerja.

"Puasa tahun ini tidak terasa kerana saya sibuk dengan penggambaran drama Penghujung Dendam sepanjang bulan Ramadan, jadi secara tidak langsung saya tidak sempat membuat persiapan raya.

"Saya tidak kisah pun kalau pakai balik baju-baju raya tahun lepas, cukup bersederhana," ujarnya.

Farawahida kahwin usahawan Disember ini

Posted:

Farawahida kahwin usahawan Disember ini

Farawahida kahwin usahawan Disember ini

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

FARAWAHIDA berharap agar khalayak tidak terus salah faham terhadap hubungannya dengan Zulfekar.


LAMA sudah tidak mendengar khabar mengenai penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu, Farawahida. Kali terakhir penyanyi berusia 28 tahun itu hangat diperkatakan di media ekoran gosip hubungannya bersama komposer Zulfekar.

Bertemu dengan Farawahida ketika majlis Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, penyanyi berketurunan Melayu, Pakistan itu mendedahkan tidak pernah menjalinkan hubungan dengan Zulfekar, malah mengakui bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasih yang sudah dikenali selama lapan tahun pada bulan Disember ini.

Kepada Kosmo!, Farawahida melanjutkan perbualannya itu.

KOSMO: Lama sudah tidak muncul, apakah perkembangan terkini anda sekarang?

FARAWAHIDA: Saya masih lagi wujud dalam industri seni, malah masih aktif menyanyi untuk majlis-majlis korporat dan sebagainya. Dalam pada itu, saya juga sedang mengumpul bahan untuk single kedua manakala single pertama iaitu Jangan Tanya Aku Lagi sudah diputarkan di corong-corong radio.

Bagaimanakah lagu yang anda inginkan untuk single kedua nanti?

Saya beri peluang kepada sesiapa sahaja untuk membuat lagu single kedua itu. Komposer muda atau sesiapa yang mempunyai bakat dalam menghasilkan lagu boleh hantar kepada saya.

Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi anda?

Saya bakal bernikah pada bulan Disember ini. Saya dan pasangan tidak akan melakukan adat merisik dan bertunang, tetapi mengambil keputusan untuk terus bernikah.

Kenapakah anda mengambil keputusan begitu?

Saya dengan dia sudah lama bercinta. Lapan tahun. Jadi, kami ambil keputusan untuk tidak lagi memanjangkan hubungan kami dengan melakukan pertunangan.

FARAWAHIDA bakal berkahwin dengan kekasihnya yang telah bersamanya sejak lapan tahun lalu.


Lapan tahun bercinta? Bagaimana pula dengan gosip hubungan anda dengan Zulfekar selama ini?

Saya dengan dia (Zulfekar) tidak pernah bercinta. Hubungan kami tidak lebih sekadar rakan kerja sahaja. Gosip-gosip selama ini tidak benar.

Apakah perasaan anda kerana sehingga kini ramai lagi yang mendakwa anda pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Zulfekar?

Sejujurnya saya berasa sangat sedih dan tertekan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana teman lelaki sangat memahami keadaan saya dan tidak mempercayai gosip tersebut. Gosip itu langsung tidak memberi kesan terhadap hubungan cinta kami selama ini.

Boleh kongsikan mengenai siapakah gerangan bakal suami anda?

Apa yang boleh saya cakap, dia berusia 29 tahun. Dia bukan orang industri dan bukan suami orang (ketawa). Dia bekerja dengan pakar jantung dan kini baharu berkecimpung dalam dunia perniagaan hartanah.

Di manakah majlis perkahwinan anda bakal berlangsung?

Insya-Allah, majlis akan diadakan di kampung saya iaitu Taiping, Perak. Majlis pernikahan akan diadakan pada sebelah siang manakala majlis bersanding akan diadakan pada sebelah malam pula.

Apakah konsep perkahwinan anda itu nanti? Sudah buat sebarang persiapan?

Saya mengimpikan sebuah majlis berkonsepkan ala kampung. Persiapan perkahwinan saya sedang berlangsung. Saya juga akan pergi kursus kahwin.

Kenapakah anda memilih hujung tahun ini untuk melangsungkan perkahwinan?

Sebenarnya saya tunggu kakak saya yang kedua balik ke sini. Dia sekarang menetap di Jepun, ikut suami dia bekerja di sana. Jadi kebiasaannya dia boleh balik hujung tahun. Sebab itu saya pilih untuk melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun.

Haliza Misbun anggap kahwin bosan

Posted:

Haliza Misbun anggap kahwin bosan

Haliza Misbun anggap kahwin bosan

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

HALIZA yang kurang berlakon, bakal muncul dengan novel pertama miliknya, Cinta Rimau.


LAMA tidak muncul di semua saluran media, kelibat pelakon Haliza Misbun di majlis Melodi Raya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur mencuri perhatian.

Ini kerana, pelakon filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami itu masih kekal cantik dan langsing biarpun usianya kini sudah mencecah 40 tahun.

Terlanjur bertemu dengannya, persoalan sama ada dia sudah memiliki teman lelaki atau sudah berumah tangga berlegar di benak fikiran pihak Kosmo!.

Menjawab pertanyaan yang dilantunkan kepadanya, ternyata Haliza tidak berselindung.

Katanya: "Hidup berkahwin sangat membosankan. Saya senang hidup bersendirian. Sebabnya, saya boleh buat apa yang saya suka. Hidup saya tidak sunyi kerana ia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti."

Haliza juga tidak mahu berkahwin disebabkan tekanan daripada keluarga atau teman-teman yang tidak mahu dia terus hidup membujang.

Jelasnya, sampai masa nanti jika bertemu dengan lelaki yang sesuai, dia tetap akan berkahwin.

"Memang dulu keluarga sering bertanya bila mahu berkahwin. Tetapi, sekarang mereka sudah berhenti bertanya," ungkapnya sambil ketawa.

Haliza sebelum ini pernah bersuara yang dia tidak akan memilih lelaki Malaysia sebagai suaminya. Bagaimanapun, persepsinya kini mula berubah.

Tuturnya, dia tidak kisah apa juga status lelaki itu asalkan dia boleh serasi dengan lelaki tersebut.

Mengulas mengenai lelaki pucuk muda yang kini menjadi dambaan kebanyakan artis wanita, ujar Haliza, jika pemikiran lelaki muda itu matang ia tidak menjadi masalah buat dirinya.

Berkongsi mengenai rahsia dirinya yang semakin cantik dan kurus, kata Haliza, dia tidak pernah berdiet, tetapi mengamalkan senaman sejak berumur 29 tahun lagi.

"Tiada rahsia apapun, cuma kena gigih bersenam. Sejak berumur 29 tahun, saya tidak pernah gagal untuk bersenam setiap hari," luahnya yang kali terakhir berlakon dalam filem terbitannya sendiri iaitu Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami pada tahun 2009.

SUDAH memasuki usia 40-an, Haliza bagaimanapun masih selesa hidup solo.


Rindu pada bidang lakonan, bagaimanapun Haliza akui tidak menerima sebarang tawaran, berkemungkinan disebabkan statusnya sebagai penerbit.

Katanya, dia berharap mendapat tawaran berlakon dan dia tidak kisah memegang watak apapun termasuklah watak ibu asalkan dengan syarat wataknya itu ada memberi kesan kepada jalan cerita.

"Memang sudah lama saya tidak muncul di kaca TV atau di dalam filem. Bukan tidak ada tawaran, cuma watak yang saya dapat tidak memberi kesan. Itu saya kena selektif. Insya-Allah, selepas raya nanti saya akan muncul dengan dua projek baharu iaitu sebuah program majalah di RTM berjudul Citra Wanita dan saya juga bakal keluarkan sebuah novel berjudul Cinta Rimau," dedahnya.

Mengulas mengenai novel pertamanya itu, ujar Haliza, ia berkonsepkan fiksyen dan mengisahkan tentang seorang perempuan yang membela harimau di rumahnya.

Bidas pelakon baharu

Disoal bilakah filem terbaharunya bakal diterbitkan selepas filem terakhir Andartu Terlampau pada tahun 2009, Haliza akui tidak mahu menerbitkan filem kerana kualiti pelakon-pelakon baharu sekarang.

"Pelakon sekarang terlalu ramai dan saya tidak kenal mereka. Melalui pemerhatian saya, kebanyakan pelakon baharu ini tidak mempunyai kualiti lakonan yang baik. Disebabkan itu, saya tidak mahu menerbitkan drama atau filem. Saya masih tidak jumpa lagi pelakon yang boleh berlakon dalam cerita saya," dedahnya.

Ulas Haliza lanjut, kebanyakan pelakon baharu tidak tahu maksud sebenar lakonan dan hanya bersandarkan pada rupa semata-mata.

Katanya lagi, tiada seorangpun pelakon baharu yang boleh menjadi pelapis kepada pelakon-pelakon pada eranya seperti Vanidah Imran, Umie Aida dan Sofea Jane.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved