Isnin, 8 Julai 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Imam muda Palestin imarahkan Ramadan

Posted:

Imam muda Palestin imarahkan Ramadan

Imam muda Palestin imarahkan Ramadan

Oleh MOHAMMAD HAFIZ AHMAD

AHMED SHOURAB menjadi imam kepada jemaah ketika melakukan kunjungan mesra ke ibu pejabat Utusan Melayu baru-baru ini.


BULAN Ramadan merupakan ruang masa yang ditunggu- tunggu oleh umat Islam. Keberkatan yang terdapat dalam bulan suci itu perlu direbut dengan meningkatkan amalan.

Salah satu keistimewaan Ramadan ialah solat tarawih yang dilakukan secara berjemaah setiap malam usai melaksanakan solat fardu isyak.

Bagi mengimarahkan lagi solat tarawih ini, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Aman Palestin membawakan 14 orang imam dari Palestin bagi meng- imamkan solat tersebut di beberapa buah surau dan masjid di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut berkata, kesemua mereka yang dipilih merupakan kelompok imam muda berumur lingkungan 21 hingga 35 tahun.

"Kedatangan mereka dapat menarik lebih ramai jemaah untuk bersama-sama melakukan ibadah di surau atau masjid terpilih di seluruh Malaysia," ujarnya ketika ditemui dalam kunjungannya bersama kumpulan imam tersebut ke Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, selain menjadi imam solat tarawih dan fardu, masyarakat setempat dapat mendengar sendiri cerita dan pengalaman keperitan hidup masyarakat di Palestin.

"Melalui cerita-cerita tersebut, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai situasi sebenar di Palestin," jelas Awang Suffian. Program itu merupakan tahun kedua ia diadakan di Malaysia berikutan sambutan yang menggalakkan pada tahun lepas.

Berkongsi ilmu

Terkesan dengan layanan dan sambutan positif masyarakat tempatan, membuatkan Ahamed Shourab, 31, datang sekali lagi ke Malaysia untuk mengikuti program tersebut.

"Rakyat Malaysia banyak membantu Palestin membuatkan saya tersentuh dengan segala sumbangan dan usaha mereka," ujarnya yang turut membawa isteri.

"Saya mahu mengenal lebih dekat penduduk Malaysia selain berkongsi ilmu agar dapat dimanfaatkan sesama umat," jelasnya yang merupakan graduan bidang usuluddin.


ROMBONGAN sempat mengunjungi Bilik Berita Kosmo!.


Seorang lagi imam muda yang merupakan pelajar sarjana dalam bidang Kimia di Universiti Al-Azhar, Palestin, Abdul Latif Alshoufuh, 26, berkata, akibat pergolakan, dia terpaksa menangguhkan pengajian dan bekerja di makmal kimia di sebuah institusi pengajian.

"Kami mempunyai ramai pelajar yang berkelayakan dalam bidang-bidang tertentu, namun kami kekurangan dana bahan-bahan pengajian serta tempat pengajian mengalami kerosakan teruk akibat dibom.

"Kami terpaksa menangguhkan pengajian kerana beberapa tempat ditutup akibat kerosakan," ujar Abdul Latif ketika ditanya mengenai keadaan sistem pendidikan di Gaza.

Bercerita mengenai sambutan Ramadan di Palestin, Khaled Abdul Elmalek Abu Athra, 25, berkata, mereka menyambutnya dalam suasana yang daif dan serba kekurangan.

"Kami hanya mendapat sumber elektrik selama lapan jam sahaja setiap hari. Disebabkan itu, sebahagian besar daripada kami akan menghabis- kan masa di masjid terutama pada 10 malam terakhir Ramadan sehingga awal Syawal," kata Khaled.

Mengulas situasi yang berlaku di Mesir apabila pemerintahan Mohammed Morsi digulingkan oleh puak pembangkang baru-baru, ketua rombongan program, Walid M.I. Salem berkata, keadaan negara itu sama seperti yang terjadi di Gaza.

Berjemaah

"Puak pembangkang tidak akan membenarkan mana-mana pihak Islam untuk memerintah negara. Begitulah yang dihadapi oleh Morsi ketika memegang tampuk pemerintahan.

"Beliau langsung tidak diberi peluang untuk menggunakan kuasanya dalam menjalankan usaha membaik pulih Mesir.

"Setiap usaha yang dijalankan pasti mendapat tentangan daripada pihak- pihak tidak bertanggungjawab. Memburukkan lagi keadaan apabila kelompok samseng ini mendapat sokongan daripada Barat," ulas Walid.

Orang ramai yang ingin berjemaah bersama imam Palestin, boleh melihat jadual yang terdapat dalam laman web Aman Palestin, www.amanpalestin.- net.

Selain itu, masjid atau surau yang berminat untuk mendapatkan khidmat imam ini sepanjang Ramadan, mereka boleh menghubungi cawangan Aman Palestin negeri yang terdapat di seluruh Malaysia.

Nasi Padang Pusat Konvensyen KL

Posted:

Nasi Padang Pusat Konvensyen KL

Nasi Padang Pusat Konvensyen KL


DAGING kambing antara sajian utama Ramadan tahun ini.


SELERA berteras menu tradisional menjadi pilihan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Ramadan tahun ini. Mengetengahkan hidangan negara serantau seperti Indonesia dan Thailand, berbuka puasa di KLCC amat sesuai buat mereka yang mahukan variasi popular makanan Asia.

Nasi Padang dijadikan sajian utama. Menu tersebut diiringi sup ekor sapi dan beberapa hidangan sampingan seperti dendeng berlado dan puyuh goreng bambu.

"Penyediaan sup ekor di sini mengikut tatacara di Indonesia. Sup ekor diasingkan daripada kuahnya dan disertakan cili kicap istimewa yang kami hasilkan sendiri," ujar chef de cuisine sajian Melayu di KLCC, Mohd. Shahril Abu Rahim.

Antara seleksi hidangan timur yang disajikan di KLCC ialah pelbagai jenis sushi jenis dan teppanyaki yang menjadi makanan ruji orang Jepun. Begitupun, sajian Barat yang berasaskan kambing masih disediakan.

"Sebanyak 12 gerai disediakan dan pengunjung juga boleh merasai hidangan signatur kami iaitu makanan laut barbeku Thailand. Hidangan tempatan seperti mi udang, mi kari nyonya, nasi goreng dan mi goreng masih dikekalkan bagi memberi pilihan kepada orang ramai," tambah Mohd. Shahril.

Turut ditawarkan ialah pita kebab Arab daging cincang, ikan bakar tikka, aneka pasta Itali, nasi ayam hainan, asam laksa dan murtabak ayam. Sudah tentu, momen berbuka puasa perlu disudahi bersama sate ayam dan daging, bubur lambuk, nasi himpit, ketupat dan lemang lengkap dengan rendang tok.

Jamuan Ramadan dengan sajian tradisional dan kontemporari KLCC turut dibuka untuk tempahan kumpulan sekurang-kurangnya 100 orang. Caj yang dikenakan bagi tempahan jenis ini ditetapkan pada harga RM146.28 seorang.

Mereka yang datang dalam kumpulan 10 orang pula layak mendapat tawaran buka puasa percuma untuk seorang.

Sajian Mediterranean Perancis

Posted:

Sajian Mediterranean Perancis

Sajian Mediterranean Perancis


DUCK confit antara sajian wajib yang perlu dicuba di Romanza.


UBAH selera ketimuran kepada sajian Mediterranean Perancis di Restoran mewah Romanza Le Restaurant, Kuala Lumpur pada bulan Ramadan ini.

Jika anda berbuka puasa di Romanza, anda dapat mengenali sajian Barat yang menyelerakan.

Bufet makanan barbeku menjadi tradisi di Romanza. Ayam dan kambing bakarnya dihidangkan bersama sos ciptaan chef restoran itu sendiri. Perapan ayam dan makanan laut juga berbeza bagi memberikan kelainan rasa.

Paling menarik sudah tentunya menu nasi paella yang menjadi tarikan utama saat berbuka puasa.

Hidangan dari Sepanyol itu dimasak bersama kunyit, tomato, kacang pea dan makanan laut sekali gus menghasilkan menu istimewa untuk tetamu restoran. Usah bimbang, kerana tiada tambahan wain atau bahan meragukan digunakan di Romanza dan ia dijamin halal.

"Bagi bufet Ramadan, kami menerima kunjungan 10 orang ke atas dan bagi syarikat pula selalunya kami terima untuk jumlah 20 orang ke atas. Tempahan perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum majlis.

"Bagaimanapun, pelanggan masih boleh datang seperti biasa dan menempah menu ala carte. Selain sajian biasa, kami juga menawarkan seleksi hidangan berbuka kepada kelompok sebegini.

"Elemen tempatan seperti nasi turut ditambah ke dalam menu. Namun nasi yang disediakan bukanlah nasi biasa tetapi nasi berempah yang dibuat khas chef di sini," jelas pemilik Romanza, Shena Mohamed.

Antara menu yang wajib dicuba pengunjung Romanza pada bulan Ramadan ini ialah lamb shank, duck confit dan salad ayam caeser. Tidak lupa, lengkapi iftar anda bersama variasi pencuci mulut menyegarkan seperti chocolate marquis atau sorbet rasberi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved